Loading...

Monday, October 31, 2011

Hak Asasi manusia ancam kerajaan?

Hafiz Zainuddin | Oct 31, 2011 11:16:48 am

Kalau tidak disebabkan perjuangan hak asasi dan misi kemanusiaan, tidak perlulah susah-susah kerajaan Malaysia menghantar misi bantuan ke Palestin. Begitu juga dengan misi kemanusiaan kelab Putera 1Malaysia sehingga menyebabkan terkorbannya jurukamera Bernama, almarhum Noramfaizul semasa di Somalia.

Kita imbau kembali detik bersejarah 1 Mei 1886, bagaimana atas semangat memperjuangkan hak asasi telah mencetuskan Revolusi Perindustrian. Ketika itu, seluruh kesatuan-kesatuan pekerja dari Amerika dan Eropah telah berkempen menuntut hak mereka bagi mengurangkan masa bekerja dari 16 jam kepada 8 jam sehari dan segala jenis penindasan oleh majikan.

Ternyata perjuangan hak asasi merupakan perjuangan yang tulus dan murni. Ia sejajar dengan perisytiharan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948 yang dikenali sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Dalam konteks negara kita, setiap rakyat dijamin dalam perlembagaan akan hak-hak tertentu yang jelas, termaktub, harus dipertahan dan diperjuangkan. Antaranya menjamin kebebasan untuk hidup, kebebasan bergerak, bersuara, berhimpun, berpersatuan, hak beragama dan juga hak-hak yang bersangkutan dengan pendidikan. Mana mungkin kita tidak mahu hak yang sepatutnya kita peroleh dinafikan.

Kebimbangan yang tidak masuk akal

Tiba-tiba, kita diberitahu mengenai sebuah kebimbangan yang tidak berasas. Sama sekali tidak boleh diterima dan dilihat terdesak dari seorang yang pernah terbukti menyalahguna kuasa dan melanggar hak asasi manusia iaitu mantan Ketua Polis Negara Rahim Noor.

Dia terbukti dalam Suruhanjara Diraja sebagai pelaku yang menumbuk sehingga menyebabkan kecederaan dan mata lebam pada Anwar Ibrahim (gambar kanan) ketika soal siasat dijalankan di lokap ketika itu.

Pada perhimpunan agung PERKASA kedua yang dijalankan baru-baru ini, Rahim Noor secara terang menyatakan kebimbangannya pada gelombang hak asasi yang memungkinkan negara jatuh dan terjajah malah dikaitkan pula dengan kebangkitan komunisme, agenda Yahudi, kontrak sosial dan sebagainya.

Semua ini adalah gambaran yang meleset pada nilai-nilai sejagat dan dilihat menyebarkan doktrin yang salah, tidak matang dan secara tidak langsung mampu untuk mewujudkan suasana yang tidak senang di kalangan rakyat.

Agama baru, human right?

Di kala rakyat mula celik dan semakin bijak; semakin sedar untuk keluar dari kepompong yang menindas, rakyat telah bangkit dan menuntut hak-hak mereka dibela; soal keadilan, pilihanraya yang bersih, kebebasan bersuara, gaji minima, kenaikan harga barang, isu diskriminasi wanita dan gender, kemiskinan, keselamatan dan sebagainya, perjuangan untuk menuntut hak asasi telah dipandang sesuatu yang berbahaya. Kita patut berasa hairan, apa dan siapa sebenarnya yang berbahaya?

Sebagai seorang tokoh yang pernah berkhidmat dalam PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang, Rahim Nor cuma memalukan dirinya sendiri. Dia telah silap. Ibarat perangkap makan tuan. Dengan dakwaan perjuangan hak asasi yang dikaitkan sehingga cuba mempersoalkan institusi beraja, kita semua harus ketawa.

Penghinaan terhadap institusi beraja

Sejarah membuktikan siapa sebenarnya yang mempersoal kuasa raja sehingga menyebabkan krisis perlembagaan tahun 1983 dan 1991. Pindaan perlembagaan telah dibuat oleh mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang mengurangi kuasa sultan dan raja. Krisis perlembagaan tersebut sangat jelas menunjukkan siapakah yang telah menyentuh kuasa raja, bukannya Aziz Bari yang cuma memberi pandangan beliau terhadap titah sultan Selangor sehingga dianggap sebagai penderhaka.

Kita juga tidak akan lupa bagaimana media-media arus perdana ketika itu bertalu-talu menyerang institusi beraja secara terang dan lancang. Apakah ini perbuatan menghina raja? Tentu sekali ya!

Pembodohan atau perpaduan?

Dalam menyentuh soal "perpaduan Melayu" dan kontrak sosial, kita harus fahami apa yang telah menyebabkan isu ini berbangkit dan apa pula rasional untuk "bersatu" di bawah pentadbiran yang korup dan menindas.

Perkara ini tidak perlu dijelaskan secara terperinci, kita semua telah sedia maklum bagaimana sejumlah wang negara tiris akibat salahguna dan rasuah dalam laporan audit negara 2010 baru-baru ini. Ia merupakan isu yang berbalik kepada soal integriti, ketelusan dan kecekapan mengurus kerajaan.

Apakah kita sebagai pembayar cukai mahu wang kita yang dipungut setiap hari dan setiap tahun ini disalahguna oleh kerajaan? Tentu sekali tidak. Apakah Rahim Noor cuba untuk menutup isu sebenar yang terjadi?

Hak asasi manusia, hak kita


Kita harus bertegas. Soal perjuangan hak asasi manusia sama sekali tidak ada kena mengena dengan soal "bangsa" apatah lagi selama ini lebih separuh abad rakyat telah memberi kepercayaan dan mandat mereka kepada pentadbiran sedia ada. Dan, apabila rakyat mula bersuara bertanyakan hak asasi mereka, suara-suara rakyat ini dituduh sebagai ancaman dan "menghakis dasar yang dipersetujui selama…" dan sebagainya. Tuduhan sebegini mengarut!

Kembalilah kepada asas perjuangan hak asasi, ia adalah keperluan dan keutamaan semua kita. Jauh lebih mendasar kepada hak-hak kita sebagai rakyat yang perlu dipelihara sebaik mungkin melampaui batas agama, bangsa mahupun ideologi politik. Dan kita takkan mendengar lagu-lagu Inonesia yang lain selain dangdut dan keroncong, juga filem-filemnya yang hebat melainkan setelah rakyatnya membebaskan diri dari cengkaman orde baru lantas merampas kembali hak asasi mereka untuk bekarya, dan lagi dan lagi…!

*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview.

Saturday, October 29, 2011

Hutang negara menurun zaman Anwar, melonjak era Najib

Kajian perbandingan hutang negara ketika Anwar dan Najib menjadi menteri kewangan

KUALA LUMPUR 28 Okt: Hutang Negara berkurang pada zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, namun melonjak selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kementerian itu.

Sepanjang Anwar menjadi menteri kewangan dari tahun 1991 hingga 1998, beliau berjaya mengurangkan hutang negara dan menukar kepada lebihan belanjawan (surplus) dalam masa dua tahun sahaja.

Belanjawan itu berterusan sehingga beliau dipecat secara tidak adil pada 1998 oleh pentadbiran Mahathir.

Sebelum pelantikannya sebagai menteri kewangan, Malaysia mengalami belanjawan defisit selama hampir 20 tahun, namun selepas pemecatannya, Malaysia sekali lagi berdepan Belanjawan defisit 14 tahun berturut-turut.

Kajian itu dikeluarkan badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) dalam satu analisa perbandingan antara pentadbiran Anwar dan juga Najib sebagai Menteri Kewangan.

Kajian itu menunjukkan semasa pentadbiran Anwar, hutang domestik berjaya dikekang di bawah RM80 bilion sehingga tahun 1997 dan RM88.197 bilion pada tahun 1998.

“Rekod Anwar sebagai Menteri Kewangan amat impresif. Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan sebenarnya berkurang antara tahun 1992 sehingga tahun 1996 selepas meningkat secara berterusan selama hampir 20 tahun.

“Secara perbandingan, hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan meningkat secara tekal pada kadar lebih 10 peratus setiap tahun sejak Najib menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2008,” kata KPRU dalam analisa itu yang dibuat bersama Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Menurut KPRU lagi, hutang negara yang meningkat secara berterusan itu diburukkan lagi oleh Barisan Nasional yang cenderung meluluskan belanjawan tambahan untuk menyorokkan angka hutang dan defisit negara yang terus meningkat saban tahun.

Belanjawan tambahan itu, kata KPRU, sepatutnya hanya perlu diluluskan untuk perkara-perkara yang bersifat kecemasan seperti sekiranya berlaku bencana alam di Jepun.

“Sebagai contoh, dalam Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2011) dibentangkan Jun tahun ini, pentadbiran Najib dikritik kerana memanipulasi peruntukan emolumen RM1 bilion untuk Kementerian Kesihatan kerana emolumen sepatutnya tidak tergolong sebagai perbelanjaan di luar jangka,” kata KPRU.

Ini menyebabkan hutang negara semakin meningkat setiap tahun sejak Najib menjadi Menteri Kewangan, kata KPRU.

“Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan adalah RM306.437 bilion pada tahun 2008 apabila Najib mengambil alih sebagai Menteri Kewangan, Ia meningkat kepada RM362.387 bilion pada tahun 2009 dan RM407.101 bilion pada tahun 2010. Ia diunjurkan mencecah RM455.745 bilion pada tahun 2011.

“Menurut laporan terkini Bank Negara Malaysia pada 30 Jun 2011, hutang Kerajaan Persekutuan kini sudah mencecah RM437 bilion,” kata KPRU.

Kajian perbandingan hutang negara ketika Anwar dan Najib menjadi menteri kewangan

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=22286

Friday, October 28, 2011

PKR S'gor: Gantung lesen(tapak - E) peniaga tindakan kejam

PKR Selangor hari ini mencabar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar supaya menarik balik sekatan yang didakwa telah dikenakan ke atas sekumpulan peniaga, termasuk seorang ibu tunggal daripada berniaga di tapak pasar tani Shah Alam.

Ketua penerangan PKR negeri, Shuhaimi Shafiei berkata Noh perlu memberikan tempat semula kepada individu berkenaan dalam tempoh tujuh hari untuk membuktikan bahawa menteri berkenaan benar-benar mendahulukan rakyat.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Noh perlu bertanggungjawab ke atas nasib yang ditimpa individu berkenaan kerana "surat penggantungan ini pasti dibuat atas restu menterinya."

ADUN Sri Muda itu juga berkata, Noh perlu memastikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memansuhkan penggantungan lesen pada Oktober dan November itu dengan segera.

"Peniaga ini memerlukan tapak niaganya semula kerana itu sahaja punca pendapatannya. Ke mana dia harus pergi jika tapak niaganya digantung? Apakah Noh Omar mahu membiayai semua keperluan peniaga ini dan keluarganya?," soalnya lagi.

Shuhaimi turut mengulangi permintaannya supaya Noh menjelaskan dakwaan penggantungan lesen yang disifatkan "kejam" kerana menyekat rezeki individu tersebut.

Ibu kepada tiga anak itu merupakan antara sekumpulan individu yang didakwa telah dikenakan tindakan berkenaan, atas alasan tidak menghadiri satu program anjuran kementerian tersebut pada 19 September lalu.

"Apakah wajar anak-anak peniaga ini dibiar menjadi mangsa kelaparan kerana tiada wang untuk berbelanja atas ketidakhadiran ibunya berbaris menyambut Noh Omar?

"Kesalahan ini pun belum tentu dapat dibuktikan tetapi hukuman telah dijalankan. Undang-undang dan peraturan manakah yang agensi di bawah kawalan kementerian guna pakai?," soalnya lagi.

Malaysiakini


komen