Misi Solidariti Gaza 7 Disember
Awang Suffian (dua, kanan), Shuhaimi (dua, kiri) dan ketua rombongan, Anas Abdul Wahab (kanan).
SHAH ALAM - Aman Palestin akan melancarkan konvoi 'Misi Solidariti Gaza' pada 7 Disember hingga 12 Disember ini, bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas dan menyatakan sokongan moral rakyat Malaysia di Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut berkata, rombongan seramai 200 orang ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli-ahli politik, seniman, tokoh-tokoh masyarakat, atlit sukan dan lain-lain.
Menurutnya, konvoi misi ini akan dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
"Penyertaan setakat ini 101 orang dan Aman Palestin mengalu-alukan lebih ramai turut serta dalam misi ini.
"Kami juga gesa pihak berkuasa salur bantuan seperti perubatan dan makanan kepada misi ini untuk dibawa ke Gaza, secepat mungkin," katanya dalam sidang media, semalam.
Ketika ditanya berhubung faktor keselamatan dan laluan masuk misi ini ke Gaza, Awang berkata, rombongan ini akan melalui satu-satunya pintu sempadan yang masih dibuka, iaitu di Rafah, Mesir.
Menurutnya, pihak berkuasa Palestin memberi jaminan kepada Aman Palestin untuk menjaga rombongan itu sepanjang berada di Gaza.
"Sekatan atau halangan untuk tidak memasuki  Gaza itu tidak timbul kerana kita telah mendapat kelulusan. Kes-kes sebelum ini yang tidak berjaya masuk ke Gaza, adalah kerana mereka tidak mendapat kelulusan.
"Berdasarkan pengalaman saya mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza, masalah sekatan di pintu sempadan belum pernah ada," katanya.
Beliau berkata, rombongan ini memfokuskan bantuan kemanusiaan di Bandar Gaza yang menjadi sasaran serangan tentera Israel.
Antara ahli politik yang menyertai misi adalah Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.