Sunday, June 30, 2013

Kes saya bermotif politik untuk memburukan imeh KEADILAN - Yahya Sahri


KUALA LUMPUR, 29 JUN: Bekas pegawai khas Menteri Besar (MB) Selangor Mohd Yahya Mat Sahri berkata, kes terhadapnya bermotif politik dan bertujuan memburukkan imej KEADILAN.

“Kes ini sengaja dipanjangkan bukan kerana saya, tetapi bermotifkan politik untuk memburukan imej KEADILAN.

 “Saya juga mendapat maklumat kes ini dipantau rapi dari pejabat Peguam Negara,” katanya kepada Keadilandaily.

Katanya, kes itu sepatutnya sudah selesai kerana Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh pada 2 Disember 2010 membebas dan melepaskan beliau selepas mendengar keterangan 28 saksi pendakwaan, termasuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Malah Datuk Karim yang merupakan saksi pertama pernah menafikan dirinya ditipu sebagaimana perbicaraan kes sebelum ini,” katanya.

Pada Jun 2010, Karim dalam keterangannya di mahkamah memberitahu beliau sama sekali tidak berasa tertipu dan terpedaya mengenai pemberian RM50,000 itu kepada Yahya.

“Datuk Karim turut menekankan mengenai prinsip beliau yang sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan.

“Apatah lagi perkara membabitkan kewangan dan urus tadbir syarikat kerana sumbangan ikhlas yang diberikan itu merupakan 100 peratus tanggungjawab sosial syarikat dan bukan kerana terpedaya ataupun tertipu,” tegas Yahya.

-keadilandaily

Thursday, June 27, 2013

Kerusi Kuala Besut Payah , Namun Ada Harapan - DSAI


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Terengganu sebagai kawasan yang mencabar untuk dirampas pembangkang, sekiranya pilihan raya kecil diadakan.
Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata ini kerana DUN tersebut telah dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti yang besar iaitu 2,434 undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), pada 5 Mei lepas.
"(DUN Kuala Besut) benar-benar kawasan yang kritikal dan mencabar bagi satu pilihan raya kecil kerana majoriti yang diperoleh BN agak besar. Bagaimanapun, kawasan itu juga besar bagi PAS, jadi kita akan sokong calon PAS.
"PAS akan bermesyuarat segera untuk menentukan siapa yang akan bertanding (di DUN itu)," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Kerusi DUN Kuala Besut kosong apabila penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu hari ini, akibat kanser paru-paru.
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS Napisah Ismail.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mohd Zubir Embong dilaporkan akan menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, untuk tindakan lanjut.
SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Kuala Besut selepas menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu. - Bernama, 26 Jun, 2013.

Kualiti Udara Semakin Pulih



Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 52 buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada jam 4.00 petang, 26 Jun 2013 (Rabu) mencatatkan maklumat-maklumat berikut:-
(i) 7 stesen berada pada tahap baik;
(ii) 42 stesen berada pada tahap sederhana; dan
(iii) 3 stesen berada pada tahap tidak sihat iaitu Nilai, Negeri Sembilan (IPU 153), Seremban, Negeri Sembilan (IPU 104) dan Bukit Rambai, Melaka (IPU 106).
Secara keseluruhannya, status kualiti udara sehingga jam 4 petang ini bertambah baik di mana hanya 3 kawasan yang masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat (IPU antara 101 hingga 200) berbanding sebanyak 19 kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, 3 kawasan pada tahap sangat tidak sihat dan 1 kawasan pada tahap berbahaya pada jam 4 petang semalam, 25 Jun 2013.
Hujan yang turun di kebanyakan kawasan di Lembah Klang pada lewat petang dan malam semalam telah sedikit sebanyak membantu mengurangkan partikel jerebu di ruang udara dan menyebabkan kualiti udara semakin bertambah baik. 
Selain itu, peningkatan status kualiti udara juga dipengaruhi keadaan cuaca dalam negara apabila kekuatan angin barat daya yang bertiup dengan kelajuan lemah pada skala kurang daripada 10 km sejam dan angin dari pelbagai hala telah menyerakkan ketebalan asap jerebu sebelum ini ke kawasan yang lebih meluas meliputi keseluruhan kawasan di Semenanjung Malaysia. 
Keadaan cuaca dan pergerakan angin ini dijangka akan berterusan sehingga hari Jumaat, 28 Jun 2013. Dalam tempoh tersebut iaitu sehingga 28 Jun 2013 ini, adalah dijangka kualiti udara akan bertambah baik berbanding sebelum ini dan stabil sekiranya punca kebakaran atau titik panas (hotspot) di Sumatera Tengah, Indonesia terus berkurangan. 
Kronologi tindakan
Bermula pada 24 Jun 2013, bacaan IPU setiap jam untuk makluman orang awam telah boleh diakses melalui laman portal Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di alamat url www.nre.gov.my dan mulai pada 26 Jun 2013 di laman portal Jabatan Alam Sekitar di alamat url www.doe.gov.my. Langkah ini akan membolehkan orang awam mendapat maklumat yang terkini mengenai status kualiti udara dan keadaan jerebu.
Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 25 Jun 2013 menunjukkan lingkaran asap jerebu sederhana telah menyelubungi hampir keseluruhan kawasan Semenanjung Malaysia. Pihak ASMC juga melaporkan bilangan titik panas (hotspot) yang dikesan melalui imej satelit NOAA 18 di Sumatera, Indonesia pada semalam, 25 Jun 2013 telah menurun secara mendadak iaitu sebanyak 174 titik panas berbanding 437 titik panas yang dikesan pada 24 Jun 2013.
Di Malaysia, bilangan titik panas (hotspot) yang dikesan melalui imej satelit NOAA 18 pada semalam, 25 Jun 2013 adalah sebanyak 12 titik panas iaitu di Johor (1), Kelantan (1), Pahang (7), Sarawak (2) dan Selangor (1) .
Tindakan di peringkat tempatan
Berikutan kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia mengalami kemerosotan kualiti udara sejak lebih seminggu lalu, Ketua Pengarah Alam Sekitar telah mengeluarkan Perintah Larangan Pembakaran Terbuka di bawah Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 KECUALI bagi beberapa aktiviti iaitu pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan dan gril/barbeku yang tidak dilakukan di kawasan tanah gambut:- 
i. Pada 25 Jun 2013 meliputi seluruh negeri Perak dan Pulau Pinang; 
ii. Pada 24 Jun 2013 meliputi seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu; dan
iii. Pada 19 Jun 2013 meliputi seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor.
Semua Perintah Larangan tersebut adalah masih berkuatkuasa sehingga masa kini.
Semenjak 20 Jun 2013, Majlis Keselamatan Negara telah mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan Jerebu mengikut tahap amaran (on alert) dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang melibatkan peranan pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara dan telahpun menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri. 
Selain daripada itu Jabatan Alam Sekitar juga telah mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. 
JAS juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri. 
Penguatkuasaan ke atas kesalahan pembakaran terbuka
Pada tahun ini sehingga kini, sebanyak 248 kes kesalahan melakukan pembakaran terbuka telah dikeluarkan kompaun, sebanyak 14 kes kesalahan akan dibawa ke mahkamah dan sebanyak 36 kes telah dikeluarkan Notis Arahan. Bilangan aduan pembakaran terbuka yang direkodkan sepanjang tempoh jerebu iaitu dari tempoh 14 Jun 2013 hingga 26 Jun 2013 adalah sebanyak 293 aduan. 
Tindakan di peringkat dua hala
YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar akan menemui rakan sejawatannya di Jakarta, Indonesia pada 27 Jun 2013 (Khamis) bagi membincangkan bentuk kerjasama dalam usaha menangani masalah jerebu merentasi sempadan. 
Malaysia juga akan terus menggesa Indonesia untuk meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan yang telah diwujudkan semenjak tahun 2002 serta mempertingkatkan keberkesanan tindakan di peringkat tempatannya melalui Pelan Tindakan Indonesia Dalam Menangani Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan.
Mesyuarat Ke-15 Sub-Regional Ministerial Steering Committee On Transboundary Haze Pollution (MSC) yang mulanya dijadualkan pada bulan Ogos 2013 kini telah dicadangkan untuk diawalkan pada 17 Julai 2013 di Kuala Lumpur bagi membincangkan penyelesaian segera terhadap masalah pencemaran jerebu merentasi sempadan.
Nasihat / Makluman 
Berikutan cuaca panas dan kering yang sedang dialami Negara, orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. 
Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.
SUMBER : Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar 

bernama

Wednesday, June 26, 2013

Takziah Buat Keluarga Adun K.Besut , PRK Yang Pertama Bermula

Al-Fatihah

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Terengganu Dr. Abdul Rahman Moktar yang berusia 55 tahun meninggal dunia pada pukul 10.18 pagi tadi kerana penyakit barah paru-paru. 

Adun Barisan Nasional (BN) yang juga merupakan Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerajaan negeri Terengganu itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said kepada agensi berita nasional Bernama.

Ini bermakna, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan tidak lama lagi buat pertama kalinya selepas pilihan raya umum 5 Mei.

Abdul Rahman menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Azizah Omar dan empat orang anak.

Abdul Rahman mendapatkan ijazah kedoktorannya di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran lagi di Kolej Perubatan Filipina di Manila.

Abdul Rahman merupakan anak kelahiran Pulau Perhentian, Kuala Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan PRK dalam masa 60 hari selepas menerima notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

BN pada ketika ini menguasai 17 kerusi DUN manakala Pakatan Rakyat (PR) mempunyai 15 kerusi.

Kematian Abdul Rahman menyebabkan BN hanya tinggal 16 kerusi dan kemenangan PR pada PRK akan datang akan menyebabkan DUN Terengganu tergantung. - 26 Jun, 2013.


malaysianinsider

Kadar IPU Semakin Menurun Sejak Pagi Tadi



Keadaan jerebu yang melanda negara kini menunjukkan tanda-tanda pulih apabila tiada lagi kawasan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) paras bahaya setakat pukul 7 pagi hari ini.
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya 13 kawasan mencatat IPU paras tidak sihat sementara 35 kawasan lain mencatat paras sederhana.
Hujan yang turun di beberapa kawasan semalam antara faktor yang membantu peningkatan kualiti udara di kawasan terjejas.
Kualiti udara di beberapa kawasan di Selangor dan Perak yang mencatat bacaan paras bahaya dan sangat tidak sihat semalam, mencatatkan bacaan tidak sihat pagi ini.
Pelabuhan Klang yang mencatat bacaan IPU 464 pada pukul 5 petang semalam merekodkan 140 pagi ini, manakala Sri Manjung dan Jalan Pegoh di Perak yang masing-masing mencatat 290 dan 211 semalam, menunjukkan peningkatan kualiti udara pagi dengan IPU 137 dan 118.
Kawasan lain yang mencatat IPU tidak sihat ialah Bukit Rambai (111), Nilai (148), Port Dickson (105), Seremban (118), Tanjung Malim (110), Kuala Selangor (134), Petaling Jaya (111) dan Putrajaya (112).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.
Semalam Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud memaklumkan semua sekolah di daerah Klang dan Petaling Perdana di Selangor serta Manjung, Perak ditutup hari ini berikutan bacaan IPU di kawasan terbabit melebihi paras 250 pada pukul 5 petang semalam. - Bernama, 26 Jun, 2013.

malaysiainsider

Tuesday, June 25, 2013

JEREBU: Selangor Kritikal Khususnya Pelabuhan Klang




Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Port Klang berada di paras bahaya dengan bacaan 487, sementara kualiti udara sangat tidak sihat seluruh Lembah Klang.

Bacaan IPU Pelabuhan Klang itu semakin buruk berbanding 314 pada jam 3 petang semalam.

Jabatan Alam Sekitar melaporkan, sehingga jam 7 pagi, kualiti udara di di tempat-tempat lain di Selangor - Banting (292), Shah Alam (289), Kuala Selangor (242) dan Petaling Jaya (213) - merosot.

Perak juga hari ini menghampiri angka melebihi 300 di Seri Manjung (288).

IPU mengelaskan udara baik antara 0-5, sederhana 51-100, tidak sihat 101-200, sangat tidak sihat 201-300 dan berbahaya kepada kesihatan manusia apabila melebihi angka 300.


azlan

-malaysiakini

Jika IPU Mencecah Lebih 250 Maka Sekolah Boleh Ditutup.


Sekolah yang terletak dalam kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 250 boleh ditutup dengan memaklumkannya terlebih dahulu kepada Kementerian Pendidikan. 
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dalam satu kenyataan semalam berkata keputusan itu dibuat demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena jerebu.
Katanya satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Keadaan Jerebu yang diadakan di Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya hari ini meminta kementerian mengambil tindakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
Menurutnya berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah wajib ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 300.
Bagaimanapun, sekiranya keadaan jerebu di kawasan tersebut memberi kesan yang teruk kepada murid-murid atau bacaan IPU dalam lingkungan 250 hingga 300, Jabatan Pelajaran boleh merujuk Kementerian Pendidikan untuk pertimbangan arahan penutupan sekolah.
Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan juga semua sekolah yang telah ditutup dan terletak di kawasan bacaan IPU kurang daripada 250 perlu dibuka semula.
"Sehubungan dengan keputusan mesyuarat tersebut, serta demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersetuju agar sekolah-sekolah yang terlibat boleh ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah bacaan melebihi 250 dan perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada KPM," kata Abd Ghafar.-- Bernama, 

Monday, June 24, 2013

JEREBU: Nasihat Kesihatan Dari Director General Of Health Malaysia.



JEREBU
(Memanjangkan mesej Pengarah Kesihatan Msia)

Saya selaku Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia menyarankan orang ramai supaya menjaga kesihatan masing-masing semasa kita menghadapi situasi jerebu ini dan ikut nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Saya juga mohon jasa baik semua untuk sama-sama berkongsi ("share") maklumat yang dimuatkan di dalam Facebook ini dari semasa ke semasa sebagai tanda kita sebagai satu masyarakat mengambil berat terhadap satu sama lain.

GOLONGAN ORANG YANG BERISIKO TINGGI SEMASA JEREBU

Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung , pesakit jantung dan respiratori juga mereka yang sensitive kepada habuk, orang yg merokok termasuk mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah

NASIHAT KESIHATAN SECARA UMUM UNTUK MENCEGAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU

i. Orang ramai dinasihatkan supaya, sejauh mana yang boleh, berada di dalam bangunan.

ii. Kurangkan aktiviti lasak di luar rumah.

iii. Orang ramai dinasihatkan supaya kerap membasuh muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kepada jerebu.

iv. Orang ramai dinasihatkan supaya minum banyak air.

v. Mereka yang menggunakan kenderaan yang berhawa dingin hendaklah menghidupkan alat penghawa dingin (mod: kitaran dalam) dan menutup semua tingkap

vi. Penutup hidung dan mulut hendaklah digunakan oleh mereka yang melakukan aktiviti di luar terutamanya mereka yang berisiko tinggi.

vii. Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan penyakit bertambah teruk.

viii. Perokok dinasihatkan supaya berhenti merokok.

ix. Sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada media massa dan mengikut nasihat daripada pihak berkuasa.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah,
Director General Of Health Malaysia.

Friday, June 21, 2013

N08 Sg Burong Shamsudin Lias Ketua Pembangkang Selangor



SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong Datuk Mohd Shamsuddin Lias sebagai Ketua Pembangkang negeri yang baharu.
Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara daripada kesemua 12 Adun BN serta mendapat restu Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Najib Razak.
“Kami telah mengemukakan cadangan itu kepada Pengerusi BN semalam dan beliau turut bersetuju dengan pelantikan Shamsudin,” katanya dalam sidang media di Bangunan Umno Selangor di sini hari ini.
Noh berkata, pelantikan Shamsudin dibuat berdasarkan pengalamannya sebagai wakil rakyat sejak tiga penggal berturut-turut serta latar belakangnya yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah selain beberapa jawatan dalam jabatan awam.
Shamsuddin, 60, juga adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang dan pernah dinamakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor namun tawaran itu ditolaknya.
Sementara itu, Adun Jeram Datuk Amiruddin Setro dilantik sebagai Timbalan Pembangkang Selangor dan Adun Sungai Panjang Budiman Zohdi sebagai Setiausaha.
Ketua Pembangkang sebelum ini disandang bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo namun ekoran penglibatannya dalam kes rasuah jawatan itu digantikan dengan bekas Adun Seri Serdang Datuk Dr Mohamad Satim Diman.
Mohamad Satim bagaimanapun digugurkan dalam senarai calon BN bertanding semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Sementara itu, Shamsudin ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya berikrar akan bekerjasama dengan teman seperjuangan lain untuk menjadi pembangkang yang berkesan di Selangor.
Katanya, antara isu utama yang akan dibangkitkan adalah manifesto Selangor, ‘Akujanji’ yang dilafazkan Menteri Besar dan Exco Selangor serta mempertahankan Perlembagaan termasuk hak istimewa Raja-Raja.
PRU13 menyaksikan BN memperoleh 12 kerusi DUN Selangor, dan jumlah ini berkurangan berbanding 20 kerusi yang diperoleh BN semasa PRU12.
Mereka yang tinggal adalah Adun Kuang Abdul Shukur Idrus, Sulaiman Abdul Razak (Permatang), Jakiran Jacomah (Bukit Melawati), Halimaton Saadiah Bohan (Kota Damansara), Shahrum Mohd Sharif (Dengkil), Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Batang Kali), Kamarol Zaki Abdul Malik (Sungai Air Tawar) Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam), selain Budiman, Amiruddin dan Mohd Shamsudin.
Manakala bagi kerusi Parlimen di Selangor, BN hanya memperoleh lima (empat kerusi Umno, satu MIC) daripada 22 kerusi semasa PRU13 lalu.


fmt

Perang Besar Jika Pemiihan YDP Dewan Rakyat Tidak Melalui Undi Rahsia-DSAI



Blok pembangkang memberi amaran untuk memberi tentangan keras sekiranya pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 24 Jun tidak dijalankan melalui secara undi rahsia.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Parlimen akan berdepan dengan "perang besar" dari blok pembangkang sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.

"Kalau kamu gagal bersikap jujur dalam Parlimen, kamu nak langgar pemilihan Speaker, kamu berdepan dengan perang besar pada 24 Jun ini," katanya.
Beliau mensasarkan amaran tersebut kepada sekretariat Parlimen, yang akan menjalankan pengundian tersebut.
Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Anwar sekali lagi menekankan bahawa gabungan parti itu mahu bekas hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Kadir Sulaiman dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pakatan juga akan mencadangkan ahli parlimen Tumpat Datuk Kamruddin Jaafar untuk jawatan timbalan speaker.

Anwar berkata Pakatan dimaklumkan tempoh speaker bagi sesi lalu akan tamat pada 23 Jun ini.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat secara konsensus meminta beliau menyambung sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat

Anwar turut mengulangi bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir dalam majlis angkat sumpah bagi menghormati Yang di-Pertuan Agong yang akan merasmikan sesi parlimen kali ini.


malaysiakini

Wednesday, June 19, 2013

7 Check-Point Blackout 505


Pakatan Rakyat dan pemimpin NGO akan berkumpul di tujuh tempat di Kuala Lumpur pada Sabtu sebelum bergerak ke Padang Merbok untuk acara perhimpunan ‘Black 505'.

Tempat-tempat itu:

Brickfields - dipimpin oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan pemimpin BERSIH Maria Chin Abdullah
Masjid Negara - dipimpin oleh anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali

Jalan Pudu - dipimpin oleh Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai, setiausaha organisasi parti Anthony Loke, pemimpin kumpulan anti-Lynas Wong Tack dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Jalan Raja Laut (pejabat PAS) - dipimpin oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Mohamad Sabu

Jalan Raja Laut (Sogo) - dipimpin oleh Naib Presiden PKR Tian Chua dan NGO bekas-bekas pesara tentera

Universiti Malaya - dipimpin oleh aktivis mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan

Pekeliling - dipimpin oleh Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub dan NGO ANAK


-malaysiakini

Pemerintah Hari Ini Harus Vertikal , Turun Padang



Selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia berjumpa dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada Sabtu lalu, kini giliran orang kanannya pula, Mohamed Azmin Ali ke negara republik itu.
Timbalan Presiden PKR itu dilaporkan ke Indonesia untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Gabenor DKI Jakarta, Ir H Joko Widodo.
Menurut laporan di blognya, azminali.com, kunjungan hormat itu antara lain turut membabitkan perbincangan dua hala bersama Widodo mengenai isu pembangunan fizikal dan kemanusian kedua-dua negara.
"Widodo menegaskan bahawa pemerintah hari ini tidak lagi harus berfalsafah horizontal tetapi harus lebih ke bawah, vertikal.
"Widodo juga berkata, kerajaan yang efektif hanya memerlukan masa kira–kira empat hingga lima jam sehari di pejabat dan selanjutnya kerja di lapangan," katanya.
Difahamkan, pertemuan itu turut disertai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskadar Mat Akin dan berlangsung selama sejam.
Minggu lalu, telah bertemu dengan Susilo bagi membincangkan pelbagai isu termasuk isu pilihan raya.
Dalam pada itu, Anwar juga dilaporkan mengadu tentang 'kecurangan' PRU13 lalu kepada Presiden Indonesia itu dan bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla (JK).
Memetik laporan media Indonesia, VIVAnews, Ketua Umum PKR itu membuat pengakuan itu dalam satu sidang media bersama pemberita Indonesia.
"Saya beritahu Presiden bahawa isu kecurangan belum selesai, tidak boleh dibiarkan begitu saja," dakwa Anwar.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin juga berkata pertemuan itu turut membincangkan cabaran dalam memerangi gejala rasuah di Indonesia dan Malaysia.
"Kedua tokoh yakin dan percaya bahawa sistem pentadbiran yang baik dan kerajaan yang efektif akan memastikan gejala rasuah dapat dikurangkan selain daripada iltizam politik yang jelas untuk perubahan.
Tambahnya, beliau juga sempat berkongsi pandangan bersama Jokowi tentang isu pengangkutan awam dan rumah mampu milik selain isu pilihan raya dan kebebasan media di Malaysia dan Indonesia.
- Sinar Harian

Tuesday, June 18, 2013

Proton V6 Tukar Honda Accord


Sisa-sisa projek kereta nasional akan berakhir tidak lama lagi kerana Putrajaya akan menggantikan penggunaan Proton Perdana V6 yang telah lama sebagai limosin rasmi dengan Honda Accord sementara kerajaan negeri Pahang akan menggunakan Volkswagen Passat.
Kedua-dua model sekarang ini dipasang oleh pemegang saham terbesar Proton Bhd iaitu DRB-Hicom Bhd di Pekan di mana ahli Parlimennya adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kenderaan baru itu untuk menteri Kabinet, timbalan menteri dan ahli majlis kerajaan negeri (Exco). Jumlah kos keseluruhan pembelian masih belum ditentukan.
Kerajaan negeri lain perlahan-lahan telah menggantikan Perdana yang mempunyai kapasiti enjin dua liter dan dibuat pada tahun 2010 – sekarang ini terbukti mahal untuk diselenggara.
The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua kerajaan pusat dan kerajaan negeri Pahang telah menolak Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi mereka kerana ianya dipasang di negara jiran Thailand.
“Pertimbangan utama adalah kenderaan mestilah dipasang di sini,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.
Beliau mengatakan Putrajaya akan menggunakan model Honda Accord berkapasiti enjin 2.4 liter sementara kerajaan Pahang akan mengambil Volkswagen Passat berkapasiti enjin 2.0 liter. Difahamkan, sebuah Volkswagen Toureg juga telah dibeli untuk kerajaan negeri Pahang.
Penggantian lain bagi Perdana termasuk Mercedes-Benz E200 Kompressor oleh kerajaan Terengganu pada tahun 2008, menggantikan Perdana V6 Eksekutif tahun 2004 mereka.
Kedua-dua Selangor dan Perak juga telah menggantikan Perdana mereka dengan Toyota Camry sementara kerajaan negeri Sabah menggunakan Volvo S80s.
Proton telah melancarkan model berkos rendah Saga SV hujung minggu lalu akan tetapi tidak menyatakan sama ada akan mengeluarkan model berkuasa tinggi yang boleh menggantikan Perdana.
Terdapat spekulasi tentang model baru Perdana berasaskan Passat apabila perjanjian diantara Proton dan Volkswagen dibincangkan sekitar 2004-2007. Akan tetapi rancangan itu dibatalkan apabila Volkswagen mengumumkan rundingan kerjasama menemui kegagalan.
Terdapat juga perbincangan diantara Proton dan Mitsubishi pada 2005 untuk model baru Perdana berasaskan Mitsubishi 380 sedan yang menghentikan pengeluaran pada 2008.
Spekulasi lain tentang penggantian Perdana adalah menggunakan platform Proton Exora iaitu Nissan Fuga atau berkongsi casis dengan Honda Accord akan tetapi tiada perkembangan.
Perdana merupakan model terbaik Proton yang menggeluarkan model pertama Saga pada tahun 1985 dalam program industri berat dimulakan oleh perdana menteri paling lama berkhidmat Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana SEi diperkenalkan buat pertama kali sedekad selepas model pertamanya dan dibuat dari 1995 hingga 1998. Ia berdasarkan kepada platform Mitsubishi Galant dan menggunakan enjin 2.0L 4G63 SOHC pembuat kereta Jepun itu.
Generasi pertama Perdana merupakan model pertama Proton menawarkan sistem brek anti-kunci (ABS) dan kawalan pemanduan. Pada tahun 1997, Perdana diberikan wajah baru dengan jeriji krom, reka bentuk rim baru, warna badan yang baru dan hiasan dalaman dipertingkatkan.
Pada tahun 1999 Proton menggeluarkan Perdana yang menggunakan enjin Mitsubishi 2.0L 6A12 V6 dengan bodykit dan rim 16 inci. Pada tahun 2003, Perdana V6 telah melakukan prubahan yang besar dan diberi wajah serta bumper baru. Di dalam, perubahan besar turut dilakukan. Model ini kekal dijual sehingga awal 2010.
Terdapat juga Proton Perdana V6 versi mewah dengan kepanjangan melebihi 25 cm (10 inci) di pintu sisi - di gelar Proton Perdana V6 Executive yang diubah oleh Automotive Conversion Engineering (ACE), salah satu unit EON - khusus dalam membangunkan limosin untuk negarawan.
Seperti Perdana asal, Perdana V6 juga tidak dieksport ke Eropah.
- The Malaysian Insider

Monday, June 17, 2013

Pendamaian Nasional Selepas Blackout 505


Putrajaya mesti menyelesaikan isu penipuan pilihan raya dalam Pilihan Raya 2013 sebelum bercakap soal perdamaian nasional dengan Pakatan Rakyat (PR), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. 

Ketua pembangkang itu mengatakan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengusulkan perdamaian nasional kekal sebagai cakap kosong sekiranya tiada apa dilakukan untuk menyelesaikan penipuan, kecurangan dan salah tadbir oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya umum 5 Mei. 

“Selesaikan soal Pemilu (pilhan raya umum) yang curang. Rekonsiliasi itu harus berlaku. Walau apa cara sekalipun, isu kecurangan itu perlu ditangani dengan serius,” katanya kepada pemberita di Jakarta pagi ini, seperti dilaporkan oleh Keadilan Daily.
 
Pemimpin de facto PKR itu berada di ibu kota Indonesia selepas lawatan tiga hari ke negara itu di mana beliau bertemu dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. 

Terdapat spekulasi beliau turut akan bertemu Najib yang secara kebetulan berada di Jakarta. 

Anwar menafikan terdapat pertemuan dan rancangan untuk pertemuan seperti itu. 

“Tidak ada pertemuan. Tidak ada rencana untuk adakan pertemuan. Jika ada, ianya harus telus. Rakyat perlu tahu, pimpinan seluruh partai perlu tahu,” katanya kepada pemberita di Hotel Crown Plaza, Jakarta. 

The Malaysian Insider difahamkan Najib juga dijadualkan untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan Yudhoyono yang telah menyatakan kebimbangan berkenaan dengan keputusan pilihan raya Malaysia. 

Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Najib berjaya mempertahankan Putrajaya dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding PR 89 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Majoriti BN kurang tujuh berbanding kemenangan Pilihan Raya 2008 di bawah perdana menteri pada ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Dalam sidang akhbar itu, Anwar mengulangi tuntutan agar perubahan berlaku dalam kepimpinan SPR dan kerajaan membenarkan perhimpunan Black 505 di Padang Merbok Sabtu depan yang mahukan tuntutan sama. 

“Najib perlu tahu. Pokoknya kecurangan pemilu,” kata Anwar menggunakan bahasa Indonesia menjelaskan, himpunan Black 505 akan tetap diteruskan di Padang Merbok, walaupun terdapat amaran ianya adalah perhimpunan haram. 

Pemimpin PKR itu turut menyelar kerajaan berhubung penangkapan 15 peserta ‘flashmob’ Black 505 di hadapan gedung membeli-belah Sogo di ibu kota Malaysia semalam. 

Katanya, tangkapan tidak ubah seperti suasana sebelum merdeka apabila pengedaran risalah dianggap sebagai kesalahan. 

“Sedangkan ini cara baru anak muda memperjuangkan keadilan dan menolak perkauman. Kemunculan anak-anak muda sebelum dan selepas pemilu luar biasa,” katanya. - June 16,2013 


malaysianinsider

Thursday, June 13, 2013

Selepas PRU-13 , Seteru Najib Adalah Ku Li ?



KUALA LUMPUR, 13 Jun – Tengku Razaleigh Hamzah telah bertemu dengan lebih ramai ahli Parlimen daripada kedua-dua gabungan bertelagah minggu ini dalam usaha untuk dipilih sebagai perdana menteri selepas Parlimen bermula pada 24 Jun, kata sumber.

The Malaysian Insider difahamkan, putera raja Kelantan itu telah mengaturkan mesyuarat di rumah a la White Housenya di Langak Golf di sini untuk membincangkan strategi mendapatkan cukup angka dalam Parlimen ke 13 untuk mengambil alih jawatan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau hanya memerlukan 112 undi, termasuk dirinya, jika usul diluluskan bagi 222 anggota Dewan Rakyat memilih perdana menteri. Akan tetapi masih diragui sama ada beliau boleh mendapatkan cukup sokongan untuk menjatuhkan Najib.
“Sesetengah ahli Parlimen bersetuju Ku Li adalah satu-satunya boleh menyediakan kepimpinan,” kata sumber yang biasa dengan mesyuarat tersebut kepada The Malaysian Insider merujuk kepada nama samaran putera raja Kelantan itu.
“Kita bercakap tentang sokongan dari PAS dan DAP juga,” tambah beliau.
PAS dan DAP masing-masing memenangi 21 dan 38 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 5 Mei yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 133 kerusi Parlimen, lebih rendah tujuh berbanding 140 dimenanginya pada Pilihan Raya 2008.
Sekutu PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR), PKR mendapat 30 kerusi Parlimen dan pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai calon gabungan itu bagi jawatan perdana menteri jika mereka menawan Putrajaya.
Satu sumber lain mengatakan Tengku Razaleigh dilihat sebagai calon kompromi oleh ahli-ahli Parlimen BN yang tidak menyokong sama ada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Anwar untuk jawatan tertinggi itu.
“Pemilihan untuk ahli-ahli Parlimen BN yang tidak gembira mudah. Ku Li atau Muhyiddin akan tetapi memilih TPM bermakna penerusan polisi Mahathir. Tiada beza diantara Najib dan Muhyiddin.
“Ku Li sebagai PM akan bebas daripada polisi seperti itu,” kata sumber kepadaThe Malaysian Insider merujuk kepada pesaing ahli Parlimen Gua Musang itu, perdana menteri paling lama berkhidmat, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kem Mahathir sudah memberikan tekanan kepada Najib untuk membuang penasihat-penasihatnya yang mana strategi mereka menyebabkan prestasi buruk BN dalam PRU13. Najib masih belum melantik semula setiausaha politiknya yang kalah akan tetapi ahli strategi “bilik perang” kekal bertugas, dengan dua daripada mereka masing-masing dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.
Pelantikan Kabinet Najib bulan lepas menyebabkan kemarahan beberapa ahli Parlimen terutamanya dari Sabah dan Sabah yang merasakan mereka layak diberikan jawatan tinggi kerajaan.
Difahamkan Najib telah menjanjikan sesetengah daripada mereka jawatan dalam agensi kerajaan beberapa minggu lagi.
Akan tetapi beberapa ahli Parlimen BN dari Malaysia Timur yang tidak berpuas hati bertemu dengan Tengku Razaleigh Hamzah Isnin malam bagi membincangkan pilihan masa depan mereka.
Ahli-ahli Parlimen yang dipilih pada pilihan raya umum 5 Mei berada di sini selama dua hari untuk diterangkan tentang prosedur dan etika Parlimen.
BN mendapat 47 daripada 56 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, menyumbangkan satu pertiga dari 133 kerusi mereka menangi daripada 222 jumlah kerusi di Parlimen.
Walau bagaimanapun, Najib hanya memberikan 20 jawatan menteri dan timbalan menteri kepada ahli Parlimen Malaysia Timur, menyebabkan parti seperti SPDP dari Sarawak hanya mempunyai satu wakil walaupun menang empat kerusi Parlimen.
Sebaliknya MIC dari semenanjung Malaysia menyaksikan empat ahli Parlimen mereka mendapat jawatan menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran Najib – yang mempunyai 32 menteri penuh termasuk lapan di Jabatan Perdana Menteri


malaysianinsider

Wednesday, June 12, 2013

Pemilihan Umno Lebih Ditakuti Najib Dari PRU


ULASAN : Sejauh mana keberanian Umno untuk merealisasikan tujuh pindaan perlembagaannya yang dimeterai pada Oktober 2009 menjelang pemilihan pada penghujung tahun ini masih belum teruji.
Mengikut pindaan yang diluluskan itu,146,500 anggota peringkat akar umbi akan memilih secara langsung pucuk pimpinan parti berbanding 2,500 perwakilan sahaja sebelum ini. Mereka juga akan memilih langsung pimpinan di bahagian masing-masing.
Pindaan ini dibuat kononnya ekoran rasuah politik (politik wang) yang sudah tidak dapat dikawal lagi selain memperlihatkan parti tersebut lebih demokratik dan tidak dikuasai oleh golongan yang berduit.
Sistem kuata sebelum ini yang memperuntukan sokongan 30 peratus (57 Bahagian) untuk jawatan Presiden,Timbalan Presiden – 20 peratus (38 bahagian), Naib Presiden – 10 peratus (19 bahagian), Anggota Majlis Tertinggi – 5 peratus (10 bahagian), Ketua Pemuda – 20 peratus (38 bahagian), Ketua Wwanita – 20 peratus (38 bahagian),    Ketua Puteri – 20 peratus (38 bahagian).
Selain itu, untuk jawatan naib bagi ketiga-tiga sayap parti itu pula, hanya perlu mendapat sokongan sebanyak 28 bahagian atau 15 peratus.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata jawatan presiden dan timbalan presiden Umno patut dipertandingkan. Katanya sebagai parti demokratik dan bersifat inklusif, apa saja jawatan dalam parti perlu melalui proses pertandingan.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sistem pemilihan sedia ada untuk jawatan tertinggi itu sudah memadai dan lebih baik berbanding sistem kuota yang diamalkan sebelum ini.
Katanya sekiranya Umno kembali menggunakan sistem kuata. parti tersebut di lihat semakin berundur kebelakang.
Tiru PKR Bukan Transformasi Dalam Umno
Ramai yang masih ingat bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno mengkritik PKR ketika pemilihan parti itu pada November 2010 lalu.
Tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang keluar PKR dan menubuhkan parti KITA dijadikan bahan rujuk oleh Umno memberikan gambaran perpecahan dalam PKR.
Sedangkan Umno tidak pernah membuat pemilihan sejak 2009 hingga ke saat ini disebabkan takut dengan perpecahan dalam parti.
Begitu juga ketika PRU 13 lalu Jawatankuasa disiplin Umno menerima 99 aduan berhubung isu calon BN ditikam daripada belakang.
Ketika pengumuman tindakan Umno membuat tujuh pindaan perlembagaannya, Najib dengan bangganya mengumumkan pindaan tersebut merupakan sebahagian dari tranformasi beliau untuk meremajakan kembali Umno.
Najib mungkin menang dari sudut moralnya ketika itu disebabkan beliau belum pernah di uji termasuk pemilihan dalam parti mahupun PRU.
Senario tersebut berbeza ketika ini apabila menyaksikan kegagalan BN menambah kerusi parlimen sebaliknya hilang tujuh lagi kerusi parlimen ketika PRU 13 lalu.
Prestasi Najib juga dilihat lebih buruk dari pencapaian Tun Abdullah Badawi ketika PRU 12 yang memenangi 140 kerusi parlimen.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam blognya berkata, kemenangan Umno kali ini bukan kerana kekuatan Umno ataupun perpaduan dalam Umno, kemenangankali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu akan kehilangan kuasa kepada DAP dan PKR khususnnya.
Kenyataan ini membuktikan Dr Mahathir sendiri mengakui kegagalan Najib. Namun di sebabkan Dr Mahathir terpaksa mengharapkan ihsan Najib untuk meletakkan anak beliau (Mukhriz) menerajui Kedah, Mahathir terpaksa menyembunyikan siratan hati beliau buat seketika.
Di sudut ekonomi pula menyaksikan keadaan defisit negara sedang berada dalam keadaan nazak di paras 53 peratus berbandik KDNK. Dari sudut nilainya pula hutang negara melebihi RM502 bilion.
Dalam kata lain daripada 28 juta rakyat negara ini serta setiap anak yang bakal lahir di Malaysia berhutang dengan bank dunia dianggar berjumlah RM17,928 seorang.
Kegagalan Tranformasi Bakal Dihukum
Angka ekonomi ini menyerlahkan lagi kelemahan Najib. Peluang ini tentunya akan dipergunakan oleh team Muhyiddin serta calon yang layak terutamanya Naib-Naib Presiden untuk menentang Najib.
Penghapusan sistem kuata dan penglibatan 146,500 anggota peringkat akar umbi untuk memilih secara langsung pucuk pimpinan parti membuka laluan yang lebih besar kepada calon yang dianggap layak untuk bertanding diperingkat tertinggi
Penolakan masyarakat Cina, Melayu dan India terhadap BN dan kepimpinan Umno yang di ketuai Najib boleh dijadikan senjata oleh pencabar Najib.
Pemulauan MCA dan Gerakan dari menyertai kabinet Najib mencerminkan kempen dan slogan 1Malaysia Najib gagal mencapai matlamatnya.
Begitu juga dengan sambutan penduduk bandar yang terlalu dingin dan menolak Umno-BN secara total. BN kalah hampir disemua kawasan bandar di seluruh negara dalam PRU 13 lalu.
Ini juga disuluh sebagai kegagalan tranformasi Najib yang gagal membawa orang-orang Melayu dibandar untuk menyokong Umno-BN.
Lebih menakutkan, era Najib membawa Umno berubah dari moderate Melayu menjadi extremist Melayu yang bersifat rasis dan mengalakkan kempen permusuhan di antara kaum.
Kenyataan-kenyataan pemimpin Umno di semua peringkat terpaksa menggunakan pelbagai sentimen perkauman, fitnah, sentimen agama dan sebagainya untuk mengembalikan kekuatan Umno.
Sentimen ini ternyata membawa Umno kembali ke era 1970an. Manakala pembangkang pula dilihat mengorak selangkah demi selangkah menuju kepada realiti politik pelbagai kaum untuk masa depan negara.
Ramai yang ternanti-nanti, apakah Najib bakal menerima hukuman dari kegagalan beliau dalam pemilihan Umno penghujung tahun ini?.

selangorku