Loading...

Saturday, August 31, 2013

3 Loji Kembali Beroperasi, Syabas Jangan Leka


SHAH ALAM 31 OGOS: Loji Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 kembali beroperasi semula bermula awal pagi ini selepas ditutup sementara semalam, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.
Menteri Besar itu berkata bekalan air dijangka pulih mulai tengah hari tadi secara berperingkat-peringkat.
Bermula jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi tadi, katanya, SSP1 dan SSP3 kembali beroperasi selepas pencemaran dikawal dengan memastikan tiada lagi kesan minyak.
Pada jam 4 pagi sehingga 6 pagi tadi, beliau berkata, pengeluaran air di SSP1 dan SPP3 meningkatkan tahap rizab air mentah sebanyak 5 meter.
“Kita menjangkakan bekalan air bersih kepada pengguna akan pulih secara berperingkat selepas tengah hari ini,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Beliau juga mengingatkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya tidak menggunakan alasan itu untuk membiarkan gangguan bekalan air berleluasa sedangkan masalah pencemaran sudah terkawal.
“Kita menjejaki punca pencemaran ke sebuah pusat selenggaraan lori sampah di Rawang. Siasatan awal menunjukkan minyak diesel terpakai dibuang ke longkang dan dibiar mengalir ke sungai,” katanya.
Berterima kasih kepada kakitangan agensi terbabit, beliau berkata, usaha menjejaki itu dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).
“Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sudah menyita premis berkenaan dan perintah berhenti kerja dikeluarkan,” kata Abdul Khalid.
- FZL

selangorku

Thursday, August 29, 2013

Ops Cantas :40 Ribu Anggota Kongsi Gelap Terlibat Dalam Jenayah Keras


CYBERJAYA:  Polis menyenaraikan 40,000 anggota kongsi gelap di seluruh negara dalam Ops Cantas kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah kekerasan.
Jenayah kekerasan adalah termasuk pembunuhan, pergaduhan, pecah rumah, samun, rogol dan merusuh.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata polis akan meneruskan operasi itu sehingga kadar jenayah kekerasan di seluruh negara menurun.
“Operasi itu akan diteruskan sehingga keyakinan rakyat terhadap keselamatan meningkat dan persepsi “rasa takut menjadi mangsa jenayah” berkurangan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis menandatangan Memorandum Persehaman (MoU) antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lim Kok Wing University di sini, hari ini.
MoU ditandatangani Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan dan Naib Presiden Kanan Lim Kok Wing University, Datuk Raja Aznil Raja Hashim.
MoU itu membolehkan universiti itu mendapat kontrak lima tahun untuk menyediakan bahan seperti poster, animasi dan klip video kepada PDRM untuk kempen pencegahan jenayah siber.
Ops Cantas dilancarkan 23 Ogos lalu berikutan peningkatan laporan jenayah kekerasan termasuk kes tembak dan operasi itu merangkumi pemeriksaan di jalan raya, kelab malam serta kenderaan untuk memeriksa individu yang terbabit dalam penggunaan senjata api tanpa lesen, anggota kongsi gelap, penyalahgunaan dadah, memiliki senjata berbahaya dan mereka dalam senarai dikehendaki polis.
Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan mengumumkan senarai nama kumpulan kongsi gelap serta jenayah yang dilakukan kumpulan itu dalam tempoh terdekat kerana mereka merupakan pertubuhan haram serta mahu masyarakat faham bahawa polis bersungguh-sungguh dalam usaha menangani jenayah.
Mohd Bakri berkata sejak operasi itu dijalankan, 2,247 orang ditahan sehingga semalam di seluruh negara dengan tujuh senjata api, satu bom tangan dan 77 senjata tajam berbahaya dirampas.
Beliau berkata pihak polis juga telah memeriksa 37,305 kenderaan.
- Bernama

Kongsi Gelap & Ahli Politik, Kemungkinan Besar


Sebilangan ahli politik ternama didakwa menaungi beberapa kongsi gelap dan beberapa orang daripadanya turut menjadi penasihat kumpulan terbabit.

Laporan akhbar Sin Chew Daily menyebut, kumpulan berkenaan merupakan antara 10 kongsi gelap, yang akan didedahkan esok oleh Kementerian Dalam negeri.

Ia membabitkan kumpulan gengster Cina, Melayu dan India, menurut laporan akhbar berbahasa Cina itu.

Kumpulan itu meliputi “Geng 04”, “Geng 08”, “Geng 21” dan “Geng 36” dari kumpulan India; “Hong Shun Tang”, “3821”, “Wu Se Qi”, “Hong Men” dan Hua Ji Dang” dari golongan Cina; serta “Geng 3 Calit” dari kelompok Melayu.

Akhbar tersebut yang memetik kenyataan sumber menyebut, kerajaan buat kali pertama akan melancarkan “perang” ke atas kongsi gelap dengan mendedahkan senarai nama kongsi berkenaan kepada umum.

Menurut sumber tersebut, gengster Cina aktif dalam perniagaan haram termasuk menjual DVD cetak rompak, membuka pusat karaoke, pusat perjudian, mengedar dadah dan khidmat pelacuran.

“Gengster India secara perbezaannya lebih agresif kerana mereka memungut wang perlindungan dari pengusaha gerai dan pub selain menjadi penembak.

“Sementara itu, gengster Melayu lebih aktif 'menjaga' tapak pembinaan dengan memungut wang di sana.

“'Geng 3 Calit' Melayu paling aktif dan ketua setiap kawasan dipanggil ayahanda,” katanya.


malaysiakini

Mesir: Ledakan Meletus Berhampiran Kedutaan Malaysia


Bunyi tembakan kedengaran di Gamaat El Dawal pada Rabu, kawasan terletaknya bangunan Kedutaan Malaysia di Mesir.
Tembakan dikatakan mula didengar kira-kira jam 4.15 petang (waktu tempatan) dan sehingga 6 petang ia masih dilaporkan berlaku.
Pegawai Education Malaysian Egypt, Zaliha Zulkifli, berkata insiden dipercayai bermula daripada tembakan rambang dari sebuah bangunan tinggi di kawasan berkenaan ke arah kem kawalan tentera sebelum kedua-dua pihak berbalas tembak.
"Anak saya menghubungi mengatakan rumah tidak ada elektrik dan selepas beberapa minit ada bunyi tembakan bertalu-bertalu berhampiran kedutaan.
"Ada juga bunyi bom kedengaran begitu dekat dengan rumah saya yang hanya 50 meter dari kedutaan," katanya.
Beliau berkata, kali terakhir kejadian sedemikian berlaku ialah pada 14 Ogos lalu.
Kejadian itu turut disahkan Pengarah Education Malaysia Egypt, Datuk Dr Su'adi Safei.
"Ketika melintas dari lebuh rraya, saya nampak kenderaan cuba lari daripada tempat berkenaan.
"Isteri saya turut menghubungi (saya) memberitahu mendengar bunyi tembakan bertalu-talu dari (kawasan) rumah saya yang 300 meter dari tempat berkenaan," katanya.
Katanya, ini mungkin episod permulaan kepada 'Jumaat kemarahan' pada Jumaat ini.
Dr Su'adi dan Zaliha mengikuti delegasi Kementerian Pendidikan yang ke negara bergolak itu sejak Isnin lalu untuk membincangkan isu penuntut Malaysia di Kaherah bersama pihak universiti di negara itu. – 

Bernama, 29 Ogos, 2013.

Kenyataan Akhbar Dato Menteri Besar : Syabas Gagal



KENYATAAN AKHBAR

28 OGOS 2013
RUMAH PAM WANGSA MAJU ROSAK LAGI: BUKTI SYABAS GAGAL

Kerajaan Selangor kesal dengan kejadian gangguan bekalan air yang berulang kali berlaku kerana kegagalan operasi Rumah Pam Wangsa Maju.

Selepas kejadian henti tugas Rumah Pam Wangsa Maju pada Julai 2012, lebih 10 kali berlaku kejadian gangguan bekalan air  kerana kegagalan rumah pam itu beroperasi.

Kejadian terbaru berlaku semalam yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Cheras dan Bandar Tun Razak.

Walaupun beberapa remedi telah dipersetujui untuk dilaksanakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), namun sehingga hari ini operasi Rumah Pam Wangsa Maju sering kali gagal dan menyebabkan gangguan bekalan air.

Bagi menyelesaikan masalah Rumah Pam Wangsa Maju, kerajaan negeri telah memanggil pembuat pam untuk membaiki kerosakan dan segala kos akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Kegagalan berulang yang berlaku terhadap Rumah Pam Wangsa Maju adalah salah satu bukti kukuh SYABAS tidak kompeten dan kami menyeru kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses rundingan pengambilalihan bagi membolehkan Kerajaan Selangor mengambil alih pengurusan dan operasi SYABAS termasuk operasi Rumah Pam Wangsa Maju.

Ini bagi memastikan hak pengguna lebih terjamin untuk mendapatkan bekalan air terawat yang lebih cekap, tanpa gangguan kerana kelemahan pengurusan dan pada kadar tarif yang munasabah.

YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

Wednesday, August 28, 2013

Kes Altantuya Manifestasi Kepincangan Sistem Pendakwaan


KUALA LUMPUR 27 Ogos: Keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan dan membebaskan Chief Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar boleh mengundang pelbagai persepsi negatif, kata Ahli Dewan Undangan Sri Muda, Suhaimi Shafiei.
Katanya, keputusan itu meletakkan institusi keadilan negara dalam keadaan dipertikaikan kewibawaannya.
“Kita melihat dari awal perbicaraan itu agak pincang. Beberapa saksi penting tidak dipanggil memberikan keterangan di mahkamah.
“Itu membuatkan rakyat tertanya-tanya tentang ketelusan sistem pendakwaan dalam negara kita,” kata Shuhaimi kepada Keadilandaily.
23 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya mengetepikan hukuman bersalah yang dijatuhkan ke atas kedua tertuduh.
Dalam rumusan penghakiman empat muka surat, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam mensabitkan mereka.
Justeru, kata Shuhaimi, dalam perbicaraan berprofil tinggi seperti itu, pihak pendakwaan mesti menyediakan kertas pendakwaan cukup, menyeluruh dengan bukti dan keterangan berwibawa.
Katanya, jika langkah itu gagal dilakukan, kemungkinan ada ruang melakukan kesalahan.
“Demi keadilan, seharusnya kertas siasatan dibuka semula. Dalam kes ini, saya setuju jika kertas siasatan dibuka semula.
“Jalankan siasatan betul-betul supaya keputusan yang dihasilkan nanti diterima oleh semua pihak,” jelasnya.

keadilandaily

Sanjeevan Pernah Diugut Tembak Oleh Satu Panggilan



KUALA LUMPUR: Polis dikatakan menemui petunjuk baru yang akan mengheret penjenayah yang menembak Pengerusi MyWatch, S Sanjeevan ke muka pengadilan, kata ahli badan pemantau jenayah MyWatch, S Gobikrishnan.
s_gobikrishnanIa berdasarkan laporan semasa Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Ku Chin Wah yang menyatakan polis hanya menunggu Sanjeevan pulih dari kecederaan untuk diambil keterangan.
“Datuk Ku Chin Wah maklumkan sudah menemui beberapa petunjuk terbaru. Tetapi menunggu keterangan dari Sanjeevan sebelum tindakan lanjut boleh diambil.
“Namun beliau tidak beritahu pula bagaimana petunjuk yang dimaksudkan kerana masih dalam siasatan polis,” ujar Gobikrishnan (gambar) kepada Keadilandaily.
Siasatan diambil alih ibu pejabat polis Bukit Aman selepas mendapat desakan kuat ahli keluarga Sanjeevan ekoran kelewatan tindakan polis Negeri Sembilan.
Menurut Gobikrishnan, ia berkemungkinan akibat kritikan Sanjeevan terhadap beberapa pegawai polis negeri yang didakwa mempunyai masalah moral dan disiplin.
“Saya juga syak kelembaban ekoran ‘conflict of interest’.
“Sebelum itu Sanjeevan pernah buat laporan mendakwa beberapa pegawai polis Negeri Sembilan dengan beberapa pertuduhan.
sanjeevan“Pernah satu ketika Sanjeevan mendapat panggilan yang mengugut untuk menembaknya.
“Apabila dikesan nombor tersebut, rupanya datang dari balai polis Jelebu,” kata Gobikrishnan.
Dalam pada itu, Gobikrishnan memaklumkan Sanjeevan menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan membuang peluru walaupun hanya mampu menggerakkan tangan dan kakinya.

 keadilandaily.com

Seksyen 5 , Akta Pertubuhan Mengharamkan Pertubuhan Syiah



Menteri Dalam Negeri hari ini mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang, berpandukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi (kiri) berkata, walaupun permohonannya untuk didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ditolak, badan itu tetap bergerak aktif.

Malah, katanya, kegiatan itu memudaratkan ketenteraman awam serta mencetuskan keresahan di negara ini yang sebahagian besarnya berfahaman Ahli Sunnah wal Jamaah.

Menurut Abdul Rahim lagi, pengikut Syiah di Malaysia memohon mendaftarkan mendaftarkan pertubuhan itu pada 16 Jun 2011 dan tolak pada 4 Ogos tahun yang sama.

Rayuannya kepada menteri berkaitan juga ditolak pada 31 Oktober 2011, menurut kenyataan itu lagi.


-malaysiainsider

Tuesday, August 27, 2013

Pentadbiran Sekolah Halang Murid Gunakan Makmal Komputer Sumbangan PR


halang murid guna komputer sumbangan Pakatan
SHAH ALAM 26 OGOS: Pentadbiran sebuah sekolah di sini dikatakan menghalang muridnya menggunakan komputer sumbangan kerajaan Selangor berikutan perbezaan fahaman politik.
Hal itu didedahkan seorang Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), R Panner Selvam kepada TV Selangor selepas dimaklumkan guru besar sekolah berkenaan.
“Tindakan tidak masuk akal itu merugikan murid kerana kita ada makmal komputer yang lengkap tetapi tidak digunakan hanya disebabkan alasan politik,” katanya.
Beliau berkata, larangan itu bermula kira-kira lapan bulan lalu sejak pelantikan muka baru PIBG atas alasan makmal itu didakwa beroperasi haram.
Katanya, pentadbiran sekolah itu dikatakan mengenakan yuran RM70 setahun terhadap murid bagi menampung kos penyelenggaraan makmal komputer itu.
“Yuran dikutip dari Januari atau Februari tetapi kelas tak jalan,” katanya yang turut mendakwa kelas komputer itu tidak mengikut jadual.
Timbalan YDP PIBG, Selvarajah Palaniappan, pula berkata PIBG sudah membawa bantahan kepada pentadbiran sekolah.
Mengulas isu itu, Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Melawati, S Manikavasagam, berkata kerajaan Selangor pada 2010 berbelanja RM85,000 untuk membeli 45 komputer bagi pembelajaran murid SJKT Ladang Rasak, Subang .
“Ini tidak patut berlaku sebab tidak kiralah siapa yang beri komputer, sekolah harus manfaatkan untuk masyarakat kita,” kata Pengarah Biro Aduan Rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
- FZL

selangorku

BN Tiada Tokoh Yang Dapat Membela Kaum India


AMPANG 26 Ogos: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali berkata, ‘perang mulut’ antara menteri kabinet BN adalah akibat daripada pelantikan berasaskan kepada kepentingan undi sesuatu kaum.
“BN tidak ada tokoh yang dapat membicarakan soal bukan satu kaum sahaja.
“Meletakkan Waythamoorthy sebagai Menteri hanya untuk memancing undi masyarakat India,” kata Azmin ketika ditemui di majlis hari raya parlimen Ampang, malam tadi.Azmin
Beliau mengulas isu reaksi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi terhadap kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy.
Waythamoorthy sebelum ini mempersoalkan tindakan polis berhubung kes tembakan ke atas lima penjenayah yang disyaki ahli kongsi gelap 04 di Pulau Pinang.
Waythamoorthy dicabar meletakkan jawatan ekoran kritikannya.
Hari ini Waythamoorthy sekali lagi ‘menyindir’ dengan menimbulkan persoalan sama ada perlu ‘menembak semua anak muda yang tidak terkawal ini untuk membersihkan jalanan kita dari jenayah’.
Kata Azmin, ia menggambarkan sikap kabinet Menteri tidak seiring dengan slogan ‘Endless Possibilities’ yang dipromosikan kerajaan sendiri.
“Ini akibatnya tidak ada keihlasan untuk meletakkan seseorang yang berwibawa.
“Masalah sosial, pendidikan dan ekonomi orang India tak selesai,” katanya.

keadilandaily

Monday, August 26, 2013

DYMM Sultan Selangor Mengingatkan Jemaah Haji Jaga Nama Baik Negeri.


SHAH ALAM 25 OGOS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negeri ini yang bakal mengerjakan ibadah haji tahun ini supaya menjaga nama baik negeri.Baginda bertitah, mereka yang akan menjalankan ibadah Rukun Islam kelima itu harus menumpukan niat untuk beribadah, bukan tujuan lain.“Ikutlah segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi di musim haji supaya segala urusan dapat dipermudah dan berjalan lancar,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Musim Haji Tahun 1434H/2013M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.
Hadir mengiringi, kerabat Diraja Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Exco Hal Ehwal Islam, Sallehin Mukhyi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Pengarah Lembaga Tabung Haji (LTH) Selangor, Md Ridza Md Zain.
Turut sama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.
Seramai 3,600 jemaah musim ini dari Selangor termasuk dua yang dikurniakan baginda iaitu Abdullah Apandi Ngalimin, 58 dan Baharun Mohd Noh, 71 manakala 14 lagi tajaan Tabung Bantuan Menunaikan Haji Waris, Kerabat dan Datuk-Datuk Diraja Selangor 1434H/2013M.
Sambil merakam ucapan tahniah kepada bakal haji yang terpilih, baginda bertitah, bakal haji diingatkan supaya tidak mengadakan tunjuk perasaan atau demonstrasi semasa di Mekah dan Madinah.
“Beta tidak berkenan rakyat negeri Selangor yang pergi menunaikan haji atau umrah ke tanah suci Mekah dan Madinah mengadakan tunjuk perasaan atau demonstrasi,” katanya.
- FZL

selangorku

Pelbagai Pihak Tidak Bersetuju Dengan TPPA

Tun Dr Mahathir Mohamad mencurigai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang dirundingi oleh Putrajaya ketika ini, mendesak kerajaan supaya didedahkan semua butiran mengenai perbincangan itu.
Bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu mengulangi pendirian perjanjian itu lebih merugikan daripada memberikan keuntungan.
"Perbincangan pun tidak diberitahu dan dibuat secara tersorok daripada orang ramai, dirahsiakan.
"Ini mesti ada perkara yang tidak diingini diketahui umum. Tetapi apa yang saya lihat, ia lebih rugi daripada untung," kata Dr Mahathir dalam ucapannya pagi ini pada persidangan meja bulat TPPA anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir menegaskan TPPA adalah bertujuan menindas negara yang terbabit dalam perjanjian, dengan matlamatnya adalah untuk mengawal.
"Negara dalam TPPA masing-masing dikehendaki tidak cakap pasal perjanjian ini untuk empat tahun.
"Ini bermakna tidak ada perjanjian bebas, ini adalah perjanjian mengawal," katanya.
Beliau turut mengingatkan Putrajaya untuk tidap terperangkap dengan bentuk penjajahan baru menerusi TPPA yang disifatkannya sebagai 'penjajahan ekonomi'.
"Kuasa ekonomi pun boleh diguna untuk menguasai, pelbagai usaha barat cuba lakukan.
"Pada mulanya mereka perkenalkan pelbagai jenis perjanjian, membuka pasaran dalam negara yang telah capai kemerdekaan," kata Dr Mahathir mengenai usaha barat terutama Amerika Syarikat dalam usaha menjajah atas nama globalisasi.
Sementara itu, Dr Mahathir menggesa kerajaan supaya membentangkan analisis kos untung rugi mengenai TPPA kepada umum supaya penilaian mengenai kelebihan dan keburukan perjanjian itu.
"Kerajaan mesti dedahkan kos analisis untung rugi ini secara terbuka supaya dapat dinilai.
"Selain itu, perbincangan penuh secara terbuka perlu dilakukan dengan pihak berkaitan," katanya.
Malah, Dr Mahathir mengulangi secara tegas supaya kerajaan serta-merta menghentikan daripada terus menandatangani perjanjian TPPA.
"Secara tidak langsung apa yang saya katakan tadi, saya menggesa kerajaan supaya menghentikan daripada menandatangani perjanjian TPPA ini," katanya.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) awal bulan ini mengadakan satu rumah terbuka bagi membincangkan mengenai TPPA dengan kumpulan perniagaan dan pihak berkaitan, bagaimanapun enggan mendedahkan butirannya atas alasan 'kerahsiaan'.
TPPA adalah inisiatif untuk membentuk satu kawasan perdagangan bebas (FTA) di kalangan 12 negara yang berjumlah 800 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Malaysia menyertai TPPA sebagai anggota perunding penuh pada pusingan ke-3 yang diadakan di Brunei Darulssalam pada Oktober 2010 lalu, serta terbaru adalah di semasa pusingan ke-18 baru-baru ini di Kota Kinabalu.
Kontroversi TPPA mendapat perhatian banyak pihak antaranya kumpulan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan juga parti Pakatan Rakyat (PR), hingga menyaksikan Putrajaya terpaksa membentuk Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) melibatkan keanggotan dwi partisan bagi membolehkan pembangkang mendapat penjelasan berhubung perjanjian berkenaan.
PR turut membangkitkan persoalan terhadap beberapa isu dalam TPPA yang memungkinkan akan memberikan kesan negatif kepada Malaysia memandangkan perjanjian itu tidak boleh diumumkan kepada orang ramai.- 26 Ogos, 2013.

malaysianinsider

Hari Belia Selangor Meneliti Mesej Anak Muda

SHAH ALAM 25 OGOS: Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini semalam mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda.
Membawa tema ‘Tolak Rasuah, Anak Muda Merdeka’, ia dihadiri lebih 5,000 orang mulai jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam dengan pelbagai acara menarik.
Bagi Muhammad Adam Che Yusuf, 23, program itu merapatkan ukhwah di kalangan masyarakat, malah menarik minat anak muda terhadap isu semasa dalam dan luar negara.
Katanya, program khas seperti bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantu memberi penerangan kepada anak muda terhadap gejala rasuah di negara ini.
“Sambutan dipenuhi dengan pelbagai program berunsur ilmiah, bukannya hiburan semata-mata, selain penekanan mesej terhadap integriti dalam diri belia selaku tonggak masa hadapan,” katanya.
Hal sama diakui Safiq Izzat Azmi, 23, yang menyifatkan program itu mengingatkan masyarakat terhadap tragedi berdarah di Mesir.
Katanya, sesi dialog dan penerangan tragedi di negara bergolak itu memberi banyak maklumat mengenai punca di sebalik pembunuhan beramai-ramai rakyat Mesir baru-baru ini.
“Isu Mesir memberi gambaran jelas kepada rakyat yang tidak tahu atau mencari punca sebenar pergolakan di Mesir,” kata mahasiswa sebuah institusi pendidikan tinggi awam itu.
Amirul Ridhuan Mohd Noor, 23, pula berkata, usaha kerajaan Selangor menganjurkan program penuh pengisian itu harus dipuji dan dicontohi negeri lain.
“Bukan hanya beriadah atau bersantai secara sihat tetapi turut dihidang dengan program ilmiah dan hiburan secara minimal. Ia cara terbaik untuk melahirkan belia berwawasan,” katanya.
Sambutan itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi.
Antara program menarik ialah sembang santai bersama akar sakit tuan, Dr Ismail Tambi, Ustaz Zulkifli Ahmad dan selebriti terkenal, Afdlin Shauki.
Turut diadakan, sukan Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ‘Rasuah’, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.
Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

selangorku