Loading...

Thursday, October 31, 2013

America Syarikat Kemungkinan Besar Menggunakan Kedutaanya Untuk Mengintip Malaysia


KUALA LUMPUR - Pentadbir di Malaysia terkejut dan bingung berikutan khabar bahawa Amerika Syarikat bermungkin besar menggunakan kedutaannya di Kuala Lumpur untuk mengintip.

"Kami amat bimbang dan mengharapkan penjelasan segera dan kenyataan balas daripada duta AS. Jika benar Kuala Lumpur menjadi sebahagian daripada PRISM atau mana-mana program pengintipan Amerika Syarikat yang lain, ini bermaksud kedaulatan negara kita telah dicerobohi," Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin memberitahu Malaysia Chronicle.

"Ini bukan masanya untuk kerajaan terutamanya Najib Razak, membutakan mata terhadap apa yang berkemungkinan besar adalah pelanggaran hak asasi dan syarat-syarat penubuhan misi AS di sini. Najib mestilah berhenti daripada cuba mengambil hati Obama sehingga ke tahap membuka peluang untuk Malaysia digunakan sebagai stesen mengintip ke atas negara-negara jiran kita. Lebih baik kita menjadi tanah jajahan Amerika Syarikat jika begitu."

Sim, ahli parti pembangkang PKR, mengulas berita dari media Australia bahawa AS telah mengesan perbualan telefon dan memantau rangkaian komunikasi dari fasiliti pengawasan elektronik dari kedutaan dan konsulatnya di seluruh timur dan tenggara Asia.
Menurut Sydney Morning Herald, maklumat itu telah dibocorkan oleh pemberi maklumat perisikan Edward Snowden.

Diam membisu
Setakat ini, tiada sebarang maklum balas daripada Kementerian Luar Malaysia, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berada dalam lawatan kerja ke London.

Pemimpin Malaysia itu telah dijangka mengalu-alukan kedatangan Presiden Barack Obama ke Kuala Lumpur pada awal bulan Oktober, dimana sesetengah pengkritik percaya adalah umpan AS untuk Najib supaya menandatangani perjanjian Trans Pacific Partnership atau TPPA Obama yang berkontroversi.

Walau bagaimanapun, lawatan itu terbantut kerana penutupan sebahagian kerajaan Amerika Syarikat yang memaksa Obama untuk berada dalam negara bagi menyelesaikan pertelingkahan dasar ekonomi dengan pesaing Republikannya.

Presiden Amerika Syarikat itu merupakan tokoh yang popular di Malaysia di mana dia dianggap sebagai 'hero' dalam isu perkauman.

Pegawai-pegawai kedutaan AS di Kuala Lumpur sehingga kini tidak memberi sebarang ulasan mengenai khabar 'mengintip' itu.

Jangan buat bodoh, bertindaklah ke atas perbuatan “jijik" itu
Ketua Pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim dengan lantang , menuntut tindakan daripada pentadbiran Najib.
"Orang ramai meluat dengan cara perisikan yang digunakan untuk mengintip ... terbaru yang berlaku di Sepanyol, " Malay Mail melaporkan Anwar sebagai berkata.

"Saya fikir perisikan Malaysia, khususnya Perdana Menteri, tidak harus membiarkan sahaja isu ini dan tunduk tanpa berani berkata apa-apa. Mereka mesti membuat bantahan, tidak ada sebab untuk mana-mana negara asing , sama ada Amerika Syarikat atau mana-mana negara lain terlibat dalam perbuatan mengintip ke atas mana-mana negara . "

Nik Nazmi , seorang lagi pemimpin dalam PKR atau Parti Keadilan Rakyat pimpinan Anwar, menggesa pegawai-pegawai AS untuk memberi penjelasan.

"Ini mencemarkan kedaulatan Malaysia. Kedutaan AS tidak perlu menunggu Najib atau Kementerian Luar Negara Malaysia untuk meminta penjelasan. AS perlu bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat Malaysia jika benar mereka menggunakan KL sebagai pusat untuk mengintip kita dan jiran kita. Dalam pada itu, adakah sesiapa dalam kerajaan Malaysia telah memberi kebenaran terhadap aktiviti rahsia itu?" kata Nik Nazmi kepada Malaysia Chronicle.

Peta rahsia Snowden

Peta rahsia dari Snowden menunjukkan 90 fasiliti pengawasan di seluruh dunia, termasuk fasiliti komunikasi perisikan di kedutaan di Jakarta , Kuala Lumpur, Bangkok , Phnom Penh dan Yangon.

Bertarikh Ogos 13, 2010, peta itu menunjukkan tiada fasiliti seperti itu diletakkan di Australia, New Zealand , Britain , Jepun dan Singapura – negara-negara sekutu rapat AS .

The Sydney Morning Herald berkata Australia menyedari sepenuhnya tahap pengintipan elektronik Amerika Syarikat terhadap jiran-jiran dan rakan-rakan dagangannya dan mempunyai akses kepada banyak data-data yang telah terkumpul.

Menurut peta yang diterbitkan oleh majalah Der Spiegel di Jerman pada hari Selasa, Agensi Perisikan Pusat bersama - kumpulan Agensi Keselamatan Negara yang dikenali sebagai " Perkhidmatan Koleksi Khas" menjalankan operasi pengawasan yang luas, serta operasi rahsia terhadap sasaran risikan tertentu.

Peta , yang pada mulanya diterbitkan dalam versi penuh di laman web Der Spiegel , kemudiannya telah digantikan dengan versi yang ditapis , menyenaraikan fasiliti Perkhidmatan Koleksi Khas di 90 lokasi di seluruh dunia , termasuk 74 fasiliti yang dikendalikan, 14 fasiliti yang dikendalikan dari jauh dan dua pusat sokongan teknikal.

5- pusat rangkaian: China tumpuan utama

Hanya dikeluarkan khas untuk " FVEY " - Rakan "5- pusat" perisikan Amerika Syarikat adalah termasuk Australia - peta mendedahkan AS melakukan operasi sulit di fasiliti perisikan dan komunikasi di kedutaannya di Jakarta , Kuala Lumpur, Bangkok , Phnom Penh dan Yangon.

Kedutaan Amerika Syarikat di Bangkok juga mempunyai pasukan sokongan teknikal yang di kendalikan dari jauh iaitu di konsulat AS di ibu kota Thai wilayah Chang Mai.

Di timur Asia, usaha pengumpulan perisikan AS bertumpu kepada China, dengan fasiliti yang terletak di kedutaan AS di Beijing dan konsulat AS di Shanghai dan Chengdu, ibu kota wilayah Sichuan di barat daya China. Satu lagi fasiliti pemantauan terletak pejabat diplomatik tidak rasmi AS di Taipei.

Peta mengesahkan isyarat risikan AS yang berada di hampir serata dunia dengan fasiliti mengumpul khas yang bertempat di kebanyakkan ibu kota di setiap benua.

Terdapat lapan fasiliti di selatan Asia termasuk di kedutaan AS di New Delhi dan Islamabad. Timur Tengah dan Afrika Utara yang mempunyai tidak kurang daripada 24 fasiliti , manakala sub –Sahara di Afrika mempunyai sembilan lagi fasiliti.

Malaysia Chronicle

Mohon Kerajaan Tegas Dalam Soal Hutang Negara Kerana Ia Bakal Mencapai Rekod Buruk Asia Tenggara


KUALA LUMPUR: Bajet 2014 dilihat masih kekal sebagai bajet defisit, 16 tahun berturut – turut semenjak krisis kewangan Asia berlaku ekoran amalan dan pelaksanaan dasar fikal ekonomi.
Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali berkata, disiplin fiskal yang lemah menyebabkan hutang negara terus meningkat daripada 36% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 1998 kepada 54.7% (jangkaan) pada tahun 2014.
Ini berdasarkan laporan Maybank Berhad bahawa hutang negara bagi tahun 2013 dijangka meningkat kepada RM 541.3 bilion dan akan terus meningkat kepada RM 578.4 bilion iaitu 54.7% daripada jumlah KDNK.
” Ini adalah rekod yang tertinggi di Asia Tenggara,” katanya semasa ucapan perbahasan Bajet 2014 dalam Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, dalam tempoh 56 tahun negara mencapai kemerdekaan, Malaysia mengalami defisit fiskal selama 49 tahun dan hanya menikmati lebihan kewangan selama 5 tahun berturut-turut (tahun 1993-1998), iaitu ketika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menajdi Menteri Kewangan.
“Negara hari ini tidak mempunyai ‘fiscal space’ untuk berbelanja kerana hutang negara yang terlalu besar dan ianya juga tidak mempunyai ‘political will’ untuk memerangi rasuah dan menangani masalah ketirisan dan salahguna kuasa,” katanya.
Menyentuh mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Timbalan Presiden PKR itu berkata, pihaknya menyokong sistem percukaian yang dilihatnya telus sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan pendapatan daripada hasil sumber petroleum dan gas.
Malah GST juga dilihatnya boleh menjadi satu rangsangan kepada rakyat untuk meningkatkan simpanan serta tidak boros dalam berbelanja.
Bagaimanapun, tegasnya rakyat Malaysia hari ini masih belum bersedia untuk perlaksanaan GSTkerana lebih 40% rakyat berpendapatan isi rumah kurang daripada RM 2,500 sebulan; 80% daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera.
Hal ini menurut Azmin bertambah serius apabila Bajet 2014 memotong RM 7.29 bilion jumlah subsidi kepada rakyat yang akan menyebabkan kos produktiviti meningkat dan kuasa membeli atau ‘purchasing power’ rakyat semakin lemah (inflasi).
“Persoalannya adakah kerajaan telah meneliti impak sosio ekonomi rakyat dengan perlaksanaan GST dan pemotongan subsidi rakyat?
“Penganalisis ekonomi mengunjurkan tahap inflasi akan meningkat sebanyak 2% apabila GST dilaksanakan.
“Jika perlaksanaan GST ini konsisten dengan langkah pemotongan subsidi yang diumumkan, maka dijangkakan kadar inflasi akan terus meningkat sehingga kadar 5% pada tahun 2015,” katanya.
Sementara itu, katanya langkah kerajaan menarik balik RM 551.25 juta subsidi gula dan subsidi minyak masak bernilai RM 505.4 juta akan terus membebankan rakyat.
“Kerajaan wajar memberikan perhatian di atas tuntutan Pakatan Rakyat supaya memecahkan monopoli industri gula.
“Belanjawan negara bukan sekadar bertujuan untuk meningkatkan hasil negara tetapi menguruskan perbelanjaan secara berhemah dan mengambil langkah  proaktif untuk membanteras ketirisan dan amalan rasuah,” katanya.
Sementara itu Bernama melaporkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menegaskan pakatan pembangkang tidak pernah menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mahu dilaksanakan kerajaan.
Nada
Berbeza nada dengan rakan seperjuangannya yang lain termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin berkata pendirian pembangkang adalah GST merupakan satu sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan dalam jangka masa panjang mampu memberi kebaikan kepada sistem ekonomi negara.
Bagaimanapun menurut anggota Parlimen Gombak itu, Malaysia dilihat masih belum bersedia untuk melaksanakan cukai baharu itu kerana lebih 40 peratus rakyat mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan dengan 80 peratus daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera.
“Sudah pasti, jika dilaksanakan GST akan menekan golongan dalam kelompok berpendapatan rendah dan rakyat miskin,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata dalam pelaksanaan sistem percukaian itu, perhatian tidak sewajarnya diberi kepada golongan miskin tegar samata-mata, tetapi juga kepada golongan yang mempunyai bebanan hutang yang tinggi termasuk pekerja muda, pasangan yang baharu berkahwin dan juga mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai.
Hutang
Malah, katanya, FOMCA melaporkan sejumlah 47 peratus pekerja muda di negara ini dibebani jumlah hutang yang begitu serius, manakala Kajian Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna menyatakan lebih 30 peratus daripada gaji golongan muda digunakan untuk membayar hutang sekaligus mengesahkan beban dan kesempitan hidup generasi muda dan rakyat secara keseluruhannya.
Azmin turut menyarankan satu reformasi sistem percukaian yang bersifat meluas dan komprehensif digubal segera bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyumbang tujuh peratus kepada pendapatan negara.
Azmin dalam hujahnya berkata dalam pelaksanaan GST, kerajaan perlu memperbetul falsafah dan matlamatnya agar menjurus kepada menjadi satu rangsangan kepada rakyat untuk meningkatkan simpanan serta tidak boros berbelanja.
“Pendek kata, GST bertujuan untuk mengagihkan semula atau mempelbagai, dan bukan meningkatkan bebanan cukai…bukannya berobjektifkan memperoleh pendapatan RM27 bilion,” katanya.
Katanya kerajaan perlu belajar daripada negara maju di mana negara terbabit hanya mula melaksanakan GST selepas infrastruktur cukai sudah kukuh di samping kadar cukai pendapatan juga turut dikurangkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

FMT

Hentikan Rasuah , Kebocoran & Monopoli Dahulu Untuk Laksanakan GST


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat tidak menolak kemungkinan akan meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila diberi mandat sebagai pemerintah Pusat kelak.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan, perkara itu akan dilaksanakan hanya jika dua perkara utama dicapai iaitu ketirisan perbelanjaan kerajaan ditangani dan tahap pendapatan perkapita rakyat meningkat.
Katanya, tempoh 17 bulan target kerajaan untuk melaksanakan GST April 2015 hendaklah ditangguhkan   selagi masalah berkenaan gagal diatasi.
“Saya tak mengatakan saya bantah pada prinsip GST. Dalam ucapan belanjawan saya tegaskan dari sudut sistem pelaksanaannya itu lebih telus dan efisyen.
“Hentikan rasuah, kebocoran dan monopoli. Ini dulu perlu dihentikan. Kemudian usahakan taraf hidup rakyat. Lepas tu baru fikir pasal GST,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Anwar menegaskan, GST juga akan dilaksanakan Pakatan hanya jika masalah defisit negara dapat diatasi, namun beliau melihat penyelesaian masalah itu mengambil masa yang panjang antara lima hingga lapan tahun.
Katanya, isu GST pernah dibangkitkan kerajaan sejak Tun Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan pada 1980-an sebelum portfolio itu diambil alihnya, tetapi ketika itu beliau dan Daim melihat GST masih belum sesuai dilaksanakan walaupun ketika itu negara mencatatkan belanjawan lebihan.
Sehubungan itu, beliau berkata Pakatan Rakyat akan menjalankan kempen penerangan di seluruh negara bagi memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap pendirian pembangkang berhubung perkara itu.
Ini bagi mengelakkan salah faham yang diputarbelitkan oleh media dan blogger Umno-Barisan Nasional (BN).
“Saya faham kita ada masalah pendekatan dengan media untuk rakyat faham. Tapi dengan kempen ia boleh dijelaskan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai subsidi gula, Anwar berkata pihaknya akan berusaha memujuk Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad menyokong usaha Pakatan memansuhkan anti-monopoli gula yang dikuasai taikun Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari.
“Bukan saja gula tetapi monopoli dalam sektor lain yang dikuasai Tan Sri Ananda Krishnan dan Robert Kuok,” katanya.
Kelmarin, Shahrir yang juga Ahli Parlimen BN-Johor Bharu dalam Dewan Rakyat menggesa kartel dalam industri gula ditamatkan memandangkan subsidi dikurangkan dalam pembentangan Bajet 2014.

fmt

Wednesday, October 30, 2013

Teks Penuh Ucapan Perbahasan Belanjawan 2014 Oleh Ketua Pembangkang



1. Sebenarnya, Bajet Barisan Nasional 2014 hanyalah satu pengulangan dan pengekalan sikap boros berbelanja Barisan Nasional yang hanya mementingkan dan menguntungkan segolongan kecil rakyat disebalik penambahan derita ekonomi dan bebanan kewangan rakyat terbanyak

2. Meskipun Bajet Barisan Nasional diramalkan akan mengakibatkan pengurangan defisit Negara dari 4% kepada 3.5% KDNK, apabila dikaji dengan lebih teliti, masalah fiskal ini tidak diatasi dengan cara yang betul. Perbelanjaan pengurusan negara sepatutnya dikurangkan melalui pengurangan perbelanjaan perbekalan dan perkhidmatan yang selalunya terededah kepada ketirisan dan pembaziran, manakala, perbelanjaan pembangunan sepatutnya ditambah untuk menjana lebih banyak program-program pembangunan ekonomi

3. Ciri dan masalah utama Bajet Barisan Nasional adalah perbelanjaan pengurusan negara sekali lagi naik daripada RM 216.2 billion (2013) kepada RM 217.6 billion (2014), manakala, perbelanjaan pembangunan terus-menerus dikurangkan daripada RM 45.1 billion (2013) kepada RM 44.5 billion (2014). Perbelanjaan subsidi untuk rakyat pula dikurangkan serta mendadak sebanyak RM 7.3 billion dan seterusnya cengkaman kewangan rakyat ditambahkan melalui GST pada kadar 6% pada 2015

4. GST juga merupakan suatu kebimbangan memandangkan ianya merupakan suatu bentuk cukai regresif yang sekiranya dilaksanakan dalam keadaan ekonomi kini akan menyebabkan pelebaran jurang ketidakseimbangan pendapatan (“income inequality’) yang wujud kini.

5. Di dalam keghairahan pemimpin Barisan Nasional meniru penyelesaian ekonomi dari Barat, seperti GST, kita tidak mahu wujudnya suatu keadaan ketidakseimbangan pendapatan yang lebih buruk di Malaysia, di mana golongan berada bertambah kaya, golongan bawahan semakin menderita, sepertimana yang sedang dialami di Amerika Syarikat. Menurut suatu kajian yang dibuat oleh Emmanuel Saez di University Calfornia Berkeley, mengenai permasalahan ketidakseimbangan pendapatan di Amerika Syarikat bertajuk “Striking it Richer: The Evolution of Top Incomes in the United States” bertarikh September 2013, beliau mendapati bahawa; “the top 1% incomes (of the population) grew by 31.4% while bottom 99% incomes grew only by 0.4% from 2009 to 2012. Hence the top 1% captured 95% of the income gains in the first three years of the economic recovery hence, close to recovering, while the bottom 99% have hardly started to recover”

6. Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2014, Pakatan Rakyat dengan jelas telah menggariskan cadangan pengurangan defisit dengan menangani ketirisan dan pembaziran yang rata-ratanya membarah pada perbelanjaan pengurusan menurut Laporan Ketua Audit Negara

Realiti Ekonomi Global

7. Prospek yang lebih baik bagi ekonomi global pada tahun 2014 berbanding 2013 oleh badan dunia seperti OECD, IMF dan Bank Dunia pada kadar 3.0% hingga 4.0% tidak boleh dijadikan alasan untuk Malaysia bersikap tidak endah akan kedudukan fiskal dan pembangunan ekonomi negara

8. Ini adalah kerana ramalan di atas masih lagi tertakluk kepada beberapa faktor global yang penuh ketidaktentuan seperti siling hutang kerajaan dan penarikan semula “quantitative easing” di Amerika Syarikat, kelembapan ekonomi Eropah akibat kesan penjimatan dan pertumbuhan ekonomi negara China yang kurang memberangsangkan

9. Berdasarkan ketidaktentuan di atas, pengurusan ekonomi yang berhemah perlu menjadi dasar utama kerajaan untuk memastikan Malaysia tidak terpaksa berdepan dengan risiko kenaikan kos khidmat bayaran hutang negara secara mendadak, penguncupan permintaan dalam negeri bagi mengimbangi sebarang penurunan permintaan luar akibat kemerosotan eksport dan risiko defisit berkembar pada belanjawan negara dan penguncupan akaun semasa

10. Mutakhir ini, kita telah menyaksikan satu siri pasang surut modal di dalam pasaran aset global kerana para pelabur terutamanya yang dahulunya selesa dengan era “wang mudah” kini dilihat menjual asset-aset yang lebih berisiko terutamanya dalam pasaran negara membangun dan lebih cenderung mengalihkan pelaburan mereka ke dalam aset pasaran maju yang dilihat lebih baik dan selamat

11. Sekiranya jangkaan pemulihan ekonomi global yang lebih meluas dan muktamad tidak menjadi kenyataan, kemerosotan eksport semasa dijangkakan akan terus memberi tekanan ke atas sektor pembuatan Malaysia sehingga hujung tahun ini, mengheret pertumbuhan KDNK pada kadar yang lebih perlahan dan melewatkan pemulihan muktamad bagi ekonomi Malaysia ke suku kedua 2014 meskipun sokongan yang memberangsangkan dari permintaan domestic swasts dan awam. Buat masa ini, Pakatan Rakyat menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 5.2% bagi tahun 2014

12. Jangkaan pengurangan subsidi berterusan dan pengenalan Goods & Services Tax (GST) dilihat sebagai usaha konsolidasi fiskal untuk mengelakkan kemungkinan penurunan taraf kepada penarafan kredit berdaulat Malaysia berikutan semakan bagi “outlook” kepada negatif daripada stabil oleh Fitch Ratings pada hujung bulan Julai 2013, berkemungkinan memberi tekanan ke atas inflasi pada masa hadapan.

13. Pengurangan berterusan kepada lebihan akaun semasa Malaysia, yang mengecil kepada hanya RM2.55 billion pada suku kedua 2013 berbanding purata sukuan sebanyak RM23.93 billion di antara 2005 dan 2012, memungkinkan Malaysia menghadapi masalah defisit berkembar (“twin deficit”) dalam jangka masa yang terdekat.

PRESTASI KERAJAAN BN SEMENJAK PRU-12

Prestasi buruk dan tiada kesungguhan pengurangan perbelanjaan pengurusan

14. Berdasarkan data Kementerian Kewangan di dalam Laporan Ekonomi tahunannya, jelas bahawa, perbelanjaan  pengurusan sebenar bertambah setiap tahun mulai 2010. RM 151.6 billion 2010, RM 182.6 billion 2011, RM 205.5 2012 dan RM 216.2 untuk anggaran 2013. Kadar purata pertambahan untuk setiap tahun adalah sebanyak RM 22 billion atau 13%

15. Perbelanjaan pembangunan pula menurun secara konsisten setiap tahun bermula 2010, iaitu RM 51.3 billion 2010, RM 45.3 billion 2011, RM 44.3 billion 2012 dan RM 45.1 billion untuk anggaran 2013. Kadar purata pengurangan setiap tahun adalah sebanyak RM 2 billion atau 5%

16. Ini ditambah pula dengan perbekalan tambahan yang dilakukan 2 kali setahun secara berterusan semenjak 2009

17. Kajian perbedaan di antara anggaran jumlah perbelanjaan tahunan dengan jumlah perbelanjaan sebenar tahunan mendapati bahawa “underestimation” jumlah perbelajaan tahunan kerajaan adalah pada kadar purata 7% setiap tahun

18.  Kadar purata peningkatan jumlah perbelanjaan tahunan kerajaan tahun demi tahun pada 9% juga amat membimbangkan terutamanya apabila kadar pertumbuhan ekonomi hanya pada 4% hingga 5% setahun. Dalam ertikata lain, kadar kenaikan perbelanjaan mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi yang boleh menjurus ekonomi Negara kepada keadaan yang lebih parah

19. Kami juga ingin memaklumkan Dewan ini bahawa sebelum pimpinan Dato’ Seri Najib, kerajaan selalunya memperuntukkan 30 hingga 35% daripada jumlah perbelanjaan untuk perbelanjaan pembangunan. Tetapi pada era Dato’ seri najib, nisbah ini telah turun pada kadar 20%. Perlu diingatkan bahawa masih banyak pembangunan perlu dilakukan di kawasan pendalaman dan negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak yang bakal mengecapi sedikit keselesaan sekiranya perbelanjaan pembangunan ditingkatkan

20. Jika kesemua permerhatian ini diambilkira, adakah ini gambaran sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berhemat dikala rakyat menderita akibat kesempitan ekonomi dan bebanan kewangan?

21. Oleh itu, perlukah Dewan ini percaya akan angka-angka anggaran yang diberi kerajaan untuk tahun 2014? Setiap kali anggaran perbelanjaan dibuat sudah tentunya jumlah perbelanjaan sebenar akan menjadi lebih besar dan sudah tentu juga akan ada perbekalan tambahan. Kami menganggarkan bahawa perbelanjaan pengurusan 2014 akan bertambah sekurang-kurangnya 10% lagi iaitu RM 22 billion, menjadikan perbelanjaan pengurusan berjumlah sekitar RM 240 billion. Ini bermakna paras defisit keseluruhan Negara bagi 2014 akan meningkat kepada RM 59 billion. Berkemungkinan besar kadar defisit negara boleh melonjak pada kadar yang lebih tinggi daripada kadar 3.5% KDNK yang dianggarkan untuk 2014. Terima kasih Barisan Nasional!

22. Di samping permasalahan defisit negara, perlu juga diingatkan bahawa penguncupan akaun semasa akibat penguncupan lebihan dagangan boleh mengheret Malaysia ke dalam permasalahan ‘twin defisit’. Ini boleh menyebabkan Malaysia kehilangan kekuatan fiskal untuk menangani kemelesetan ekonomi yang mungkin timbul akibat kelembapan berterusan ekonomi global. Perdagangan lebihan (trade surplus) untuk 2014 dianggarkan pada RM 57.3billion berbanding RM 64.3 billion (2013), RM 94.82 billion (2012), RM 124.24 billion (2011). Anggaran 2014 hampir menyamai tahun 1998 pada RM 58.44 billion.

23. Inilah kerajaan BN yang sebenar. Kerajaan boros yang kini dilamun kerunsingan akibat penerusan keborosan dan kecuaian menjaga ekonomi negara tetapi masih tidak ada kekuatan untuk mengakui kelemahan ini dengan mengurangkan perbelanjaan pengurusannya demi mengurangkan bebanan kewangan rakyat.

LANGKAH PENGURANGAN SUBSIDI


Pengurangan subsidi menguntungkan siapa?
24. Kami mendapati tiada pengurangan sebenar pada perbelanjaan pengurusan melainkan pengurangan subsidi. Antara penuruan subsidi yang dimaklumkan adalah;
a.  penghapusan sebanyak RM 551.25 juta subsidi gula oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
b. pengurangan sebanyak RM 505.365 juta untuk minyak masak melalui Skim Penstabilan Harga Minyak Masak oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

25. Kita semua maklum akan kesan penghapusan subsidi gula di mana lonjakan segera sebanyak 34 sen/kg telah terkesan. Akibat dari penghapusan in, industri gula akan dimonopoli oleh 2 syarikat utama iaitu Malaysian Sugar Manufacturing (dimiliki Felda Global Ventures) dan Central Sugar (dimiliki Tradewinds).

26. Pendapatan kasar industri gula adalah sekitar RM 4 billion setahun. Pada kebiasaannya, keuntungan sebelum cukai syarikat gula adalah sekitar 9%. Setelah kemasukan syarikat dimiliki Tan Sri Mokhtar ke dalam sektor ini, keuntungan sebelum cukai telah melonjak naik kepada 15%. Dengan penghapusan subsidi, kentungan sebelum cukai syarikat-syarikat di dalam sektor ini dijangka melonjak ke 20% hingga  25% dengan pengumpulan keuntungan hampir RM 1 billion, akibat pengukuhan monopoli oleh kedua syarikat ini. Yang menjadi pertanyaan kita mengapa korporat mendapat kentungan berganda akibat penghapusan subsidi gula dan rakyat dibebankan dgn kenaikan harga gula?

27. Seharusnya liberalisasi industri gula perlu dilakukan untuk mengelakkan monopoli berterusan yang boleh mengekang kenaikan harga gula akibat pengurangan subsidi dengan kemasukan syarikat-syarikat pembekal baru. Dengan izin: Remove monopoly to allow free market mechanism to take place

28. Ketika rakyat masih lagi dikejutkan dengan kenaikan harga gula, mengapa Perdana Menteri dalam ucapan bajet beliau segan mengumumkan kenaikan harga minyak masak yang bakal dihadapi akibat pengurangan subsidi yang bernilai RM 505 juta yang hampir sama dengan subsidi gula yang dihapuskan?

29. Kita sedia maklum bahawa syarikat-syarikat pengeluar minyak masak yang dibarisi Felda, Sime Darby dan sebagainya semestinya juga mendapat keuntungan yang banyak kerana syarikat-syarikat ini memiliki ladang-ladang kelapa sawit yang banyak.

30. Mengapa kerajaan pilih untuk mengurangkan subsidi dan menyembunyikan kesan pengurangan subsidi minyak masak? Di dalam keadaan semasa di mana pengeluaran minyak mentah kelapa sawit dunia berada pada tahap yang tertinggi, kerajaan Indonesia sebagai contoh telah memperuntukkan subsidi minyak kelapa sawit (CPO) sebanyak 2 liter kepada setiap isirumah dan juga subsidi untuk biofuel. Mengapa kerajaan Malaysia tidak pilih inisiatif sebegini untuk menyerap pengeluaran CPO yang berlebihan sebaliknya membebankan rakyat dengan harga minyak masak yang bakal dinaikkan?

31. Jelas apabila dilihat kepada pengurangan subsidi bahan makanan seperti gula dan minyak masak ini, yang rugi dan terus dibebankan adalah rakyat. Sebaliknya korporat-koporat besar terus dibelai dan dilindungi daripada kerugian.

Pendekatan Pakatan Rakyat

32. Pakatan Rakyat tidak mengambil pendekatan pengurangan subsidi sebagai langkah utama untuk mengurangkan defisit negara. Sebaliknya, Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 mencadangkan pengurangan perbelanjaan pengurusan negara sebanyak 10% bagi setiap kementerian dan agensi kerajaan sebagai langkah utama yang akan dicapai menerusi;
a. Penangguhan kenaikan gaji dan merasionalkan elaun pegawai atasan kerajaan dan menteri kabinet
b. Pengkajian semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama sekali dalam pemberian kontrak dan prokumen peralatan
c. Pengutamaan perbelanjaan di mana perbelanjaan yang dianggap kurang berfaedah seperti Program Khidmat Negara yang menelan belanja RM 800 juta setahun ditangguhkan ataupun diberhentikan serta-merta sehingga kajian dibuat
d. Penangguhan projek-projek yang mempunyai kandungan import yang tinggi dan kesan pengganda yang rendah

33. Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas ke atas kes-kes ketirisan dan penyelewengan yang dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 bagi mengurangkan ketirisan di dalam perbelanjaan Negara sekiranya berkuasa.

34. Sebagai contoh penjimatan, sebanyak RM 1.1 billion boleh dijimatkan di dalam Pengurusan Projek Mansuh oleh Jabatan Kerja Raya, RM 1.6 billion dalam projek penyediaan sistem kawalan keselamatan di sekolah/institusi pendidikan dan termasuk perbelanjaan hari belia selama seminggu yang menelan belanja RM 67.6 juta dan bukan hanya bayaran k-pop sebanyak RM 1.6 juta.

35. Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 juga mencadangkan penubuhan sebuah Defence Accounts Committee Dwipartisan yang dianggotai oleh wakil kerajaan, pembangkang dan pakar pertahanan awam yang akan memantau kesemua perbelanjaan pertahanan yang tidak diklasifikasi sulit. Penjimatan sebanyak RM 3.5 billion boleh dicapai menerusi inisiatif ini. Tiada langsung inisiatif untuk memperbaiki dan mengkaji semula polisi pemerolehan pertahanan negara yang diselimuti pelbagai kontroversi di dalam Bajet 2014.

Pemberian BR1M tidak cukup untuk mengimbangi pengurangan subsidi

36. Menurut Laporan Ekonomi 2013/2014 (mukasurat 36), jumlah penerima BR1M (dan berpendapatan kurang RM 3,000 sebulan) adalah 4.8 juta isirumah yang layak, manakala angka Jabatan Perangkaan Negara adalah pada 2.65 juta isirumah. Sekiranya jumlah sebenar isirumah yang layak adalah benar lebih rendah, adakah ini satu lagi bentuk kebocoran yang bakal direstui kerajaan BN? Sekiranya juga angka kerajaan yang lebih tinggi adalah benar, maka tidakkah ini juga bermakna golongan berpendapatan rendah di Malaysia semakin bertambah?

37. Sejumlah RM 7.29 billion subsidi dikurangkan untuk 2014 (RM 39,408 billion) berbanding 2013 (RM 46.698 billion). Pada 2013, bayaran untuk BR1M berjumlah RM 2.9 billion. Untuk 2014, penambahan bayaran BR1M dianggarkan bertambah sebanyak RM 1.7 billion. Dengan ini, potongan subsidi sebanyak RM 7.29 billion jauh melebihi kenaikan bayaran BR1M untuk 2014. Kesimpulannya, perbezaan sebanyak RM 5.6 billion yang di kutip oleh kerajaan ini masih akan dibiayai oleh penerima-penerima BR1M kerana pengurangan subsidi, walaupun BR1M ditambah.

38. Perlu dimaklumkan juga di Dewan yang Mulia ini bahawa kerajaan masih belum menunaikan janji-janjinya yang berkait dengan BR1M pada PRU-13 yang lalu. Kerajaan menjanjikan kenaikan BR1M untuk setiap isirumah dari RM500 kepada RM1200. Hingga kini hanya RM 650 diberi. Begitu juga bantuan BR1M kepada warga bujang yang dijanjikan untuk dinaikkan dari RM 250 kepada RM 600. Setakat ini hanya RM 300 diberi. Inilah kerjaan BN dengan slogan kosongnya: “janji ditepati”

Pengurangan perbelanjaan pembangunan kepada rakyat luar bandar, belia dan rakyat terbanyak, Sabah dan Sarawak

39. Bajet BN 2014 juga telah menyatakan pengurangan perbelanjaan pembangunan yang agak tinggi kepada kementerian dan agensi kerajaan yang berperanan untuk membantu golongan berpendapatan rendah luar bandar.

40. Di antara yang boleh kami ketengahkan adalah:
a. Pengurangan peruntukan untuk pembangunan perkhidmatan kesihatan luar bandar sebanyak -RM 130 juta
b. Pengurangan peruntukan pembangunan luar bandar, termasuk Institut Kemahiran Mara (- RM 50 juta), Bekalan Elektrik luar bandar (-RM 47 juta), bekalan air luar bandar (-RM 136 juta), Jabatan Kemajuan Orang Asli (-RM 24 juta).
c. Pengurangan peruntukan pembangunan jalan-jalan dan jambatan oleh Kementerian Kerja Raya di Sabah & Sarawak (-RM 158 juta).

41. Ini berbeda dengan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat yang juga akan menyegerakan pembinaan dan menaiktaraf lebuhraya Pan-Borneo untuk menghubungkan semua bandar di Sabah dan Sarawak. Pakatan Rakyat juga akan menyelesaikan isu-isu tanah Orang Asal secepat mungkin dengan menyegerakan pengeluaran geran-geran tanah agar Orang Asal dapat memiliki tanah untuk menjana pendapatan. Pakatan Rakyat juga akan mengkaji semula polisi Kabotaj untuk Sabah dan Sarawak untuk mengurangkan harga barangan di sana

42. Sebaliknya, jumlah peruntukan perbelanjaan untuk pengurusan Jabatan Perdana Menteri naik sebanyak RM 1.5 billion untuk 2014 berbanding 2013

43. Jelas bahawa pembangunan golongan berpendapatan rendah terus dipinggirkan tetapi pembayaran yang tinggi untuk khidmat jururunding-jururunding yang mahal di Jabatan Perdana Menteri terus dikekalkan dan ditambah

Duplikasi agensi sedia ada bakal merugikan negara

44. Beberapa agensi baru akan ditubuhkan yang bakal mempunyai matlamat yang sama seperti agensi yagn sudah sedia ada. Ini akan menyebabkan duplikasi dan pembaziran. Antara contoh adalah:
a.  The Malaysian Green Foundation dengan geran pelancaran sebanyak RM15 juta apabila  Green Technology Corporation Malaysia sudah diwujudkan
b. Skim Permulaan Entreprenor Melayu Bumiputera (SUPERB) dengan peruntukan permulaan sebanyak RM30 juta apabila kita sudah mempunyai TERAJU dengan geran mudah cara sekurang-kurangnya RM 412 juta
c. Penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta apabila kita sudah mempunyai Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia.
d. Apakah motif penubuhan New Entrepreneurs Foundation (MyNEF) dan SME Corp dimana kedua-duanya mempunyai objektif yang sama?

45. Pakatan Rakyat juga mencadangkan agar 1MDB digabungkan bersama Khazanah Nasional Berhad memandangkan keduanya mempunyai objektif dan fungsi yang sama. Penggabungan ini boleh menjimatkan perbelanjaan pengurusan yang bernilai berjuta ringgit dan ia juga penting bagi menjana keyakinan para pelabur dan penganalisa luar terhadap 1MDB yang kini dianggap tidak telus, penuh kerahsiaan dan diselubungi pelbagai kontroversi, terutama sekali dalam isu siapakah yang mendapat habuan keuntungan terbesar dalam penerbitan bon bernilai USD 3 billion melalui Goldman Sachs yang bertaraf ‘sovereign’ pada bulan April 2013.

GST

Malaysia tersendiri dan rakyat bakal kesempitan

46. Walaupun GST pada dasarnya diandaikan boleh menjadi mekanisma penjana hasil yang berkesan dengan pengenaan cukai kepada kesemua rakyat serta mengekang ‘ekonomi gelap’ dan pengelakkan cukai yang berleluasa, Pakatan Rakyat berpendirian bahawa:

47. GST merupakan cukai regresif di mana golongan berpendapatan rendah dan tinggi akan membayar GST. Walaubagaimanapun, golongan berpendapatan rendah dan menengah akan kehilangan peratusan pendapatan yang lebih tinggi untuk membayar GST berbanding golognan berpendapatan tinggi. United Nations Conference on Trade and Development UNCTAD, di dalam laporannya “Trade and Development Report 2012: Policies for Inclusive and Balanced Growth” telah menyatakan bahawa Value-Added Tax (VAT) atau Goods and Services Tax (GST) adalah bersifat regresif; “The lower share of the income tax yield and the higher share of VAT(or GST) in total tax revenues indicate that the tax system overall is more regressive in developing and transition economies than in developed countries”;

48. Kemungkinan penyalangunaan kuasa oleh kerajaan persekutuan sebagai jalan mudah untuk meningkatkan hasil secara cepat kerana GST selalunya berada pada kadar yang lebih rendah berbanding tahap cukai pendapatan;

49. GST boleh menjadi punca utama kenaikan inflasi. CIMB Research meramalkan bahawa perlaksanaan GST pada mana penyelewengan berleluasa dan penguatkuasaan yang lemah (kerana ketiadaan Akta Anti-Pencatutan, Akta Persaingan, sistem laporan) akan membolehkan pertambahan inflasi kepada tahap 5% lebih tinggi dari tahap sekarang;

50. Menurut satu kajian oleh Wee Chong Hui (Wee Chong Hui, 2006, Fiscal Policy and Inequality in Malaysia, Universiti Malaya Press, Kuala Lumpur) GST oleh menyumbang kepada pelebaran jurang pendapatan isirumah (income inequality) yang merupakan antara masalah utama di Malaysia

51. GST juga mampu membantutkan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pertumbuhan sector ‘ekonomi gelap’ terutama sekali dalam negara-negara membangun. Joseph Stiglitz dalam kertas pembentangannya berjudul “Development Oriented Tax Policy” mengatakan: “Economists have long recognized that any market taxation encourages non-market production, and that this can constitute a significant distortion. …Similar issues arise in developing countries, except is not only labor within the household which escapes taxation, but work in the informal sector, which typically cannot easily be monitored, or monitored at all. Accordingly, a VAT or GST shifts resources away from the formal sector into the informal sector, lowering GDP”

52. Keperluan Malaysia untuk melaksanakan GST berbeda dengan negara-negara lain dan tidak boleh dibandingkan secara terus

53. Sebagai contoh, GST dilaksanakan di Singapura kerana perlunya kerajaan menambah pendapatan akibat bilangan cukai pendapatan rakyatnya yang terhad. Kadar kenaikan pendapatan lebih tinggi dari kenaikan kadar cukai. Sebelum perlaksanaannya, Singapura sudahpun mempunyai sistem percukaian yang sistematik dan GST dimulakan dengan kadar yang lebih rendah, iaitu 3%, dan dikekalkan selama 7 tahun berikutnya

54. Menyenaraikan negara-negara seperti Rwanda, Zimbabwe dan Cambodia untuk menjustifikasikan pelaksanaan GST di Malaysia adalah tidak sesuai sama sekali memandangkan negara-negara tersebut tidak mempunyai sistem kutipan cukai pendapatan yang baik ditambah juga dengan keberhasilan yang sedikit. Jadi, negara-negara ini patut melaksanakan GST untuk menjamin pendapatan berterusan

55. Komuniti perniagaan seluruhnya menjangkakan penambahan kos sebanyak RM 2 bilion untuk penyediaan sistem dan pematuhan perundangan (compliance)

56. Pelaksanaan SST pada 2013telah membawa masuk RM 16.4 bilion ke dalam kantung negara, manakala, pelaksanaan GST pada kadar 6% dijangka akan membawa pulangan tambahan sebanyak RM 12 billion kepada negara menurut kajian CIMB Research. RM 12 billion tambahan melalui melalui GST ini sudah semestinya dibiyai oleh kesemua rakyat.

57. GST dijangkakan akan memberikan lebih kesan negatif kepada golongan penerima BR1M yang berpendapatan kurang dari RM 3,000 sebulan. Dengan terlaksananya GST, bantuan BR1M yang diberikan untuk membantu golongan ini berbelanja bagi tujuan memacu ekonomi melalui permintaan domestik akan terkesan. Pengurangan permintaan domestik dikala permintaan luar berkurangan boleh membawa negara ke dalam kemelut kemelesetan ekonomi

58. Lazimnya, kerajaan yang melaksanakan GST akan menaikkan kadar GST di masa hadapan kerana cukai ini adalah antara yang paling mudah dikenakan.  Perlaksanaan GST akan merangsangkan kerajaan yang boros ini untuk menaikkan kadar GST tatkala kesempitan

59. Oleh itu kami berpendirian bahawa GST masih belum boleh dilaksanakan dan perlu terus dikaji sehingga pendapatan rakyat berada pada suatu tahap yang memuaskan, kutipan cukai pendapatan diperbaiki seluruhnya dan sehingga kedudukan ekonomi negara berada pada tahap yang lebih memberangsangkan

60. Kerajaan BN tidak mempunyai legitmasi moral untuk mengenakan GST kepada kesemua rakyat selagi mereka tidak memperbaiki perbelanjaan mereka dan mengurangkan kebocoran dan penyelewengan.

Penutup

61. Seperti yang saya sebutkan pada awal bicara, Bajet Barisan Nasional 2014 hanyalah satu pengulangan dan pengekalan sikap boros berbelanja Barisan Nasional yang hanya mementingkan dan menguntungkan segolongan kecil rakyat disebalik penambahan derita ekonomi dan bebanan kewangan rakyat terbanyak

62. Sesungguhnya inilah kerajaan yang tidak “menepati janji (“Janji ditepati”) dan yang mendahulukan rakyat (“Rakyat Didahulukan) dan bukan dirinya sendiri terutama sekali dalam menyelesaikan permasalahan defisit negara yang telah kekal lama semenjak PRU-12 yang lalu

Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

Bajet Kerajaan Bakal Menjarakkan Jurang Kemiskinan

KUALA LUMPUR 29 OKT: Kecuaian jelas dalam Bajet BN yang dibentang Datuk Seri Najib Razak ialah kegagalan menangani jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Walaupun Najib bicara soal transformasi, tetapi kalau lihat kerangka bajet (yang dibentangnya) itu tidak berubah. Masalah kesenjangan atau melebarnya jurang pendapatan golongan kaya dengan yang miskin tidak disentuh,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.
Ketua Umum KEADILAN itu turut menempelak tindakan Najib merampas subsidi rakyat lebih RM7 bilion dan pada masa sama mempropagandakan wang golongan itu atas nama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang jumlahnya jauh lebih kecil.
BR1M-2.0“Subsidi rakyat lebih RM7 bilion ditarik balik dan diganti dengan BR1M yang jauh lebih kecil. Oleh kerana BR1M jadi bahan propaganda besar politik sempit Umno, maka ia diulang-ulang, bertujuan cuba menutup pemotongan subsidi rakyat,” katanya lagi.
Sehubungan itu kata Anwar, Belanjawan Pakatan Rakyat jauh lebih baik kerana menolak pendekatan pengurangan subsidi sebagai langkah utama mengurangkan defisit negara.
“Sebaliknya, Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 mencadangkan pengurangan perbelanjaan pengurusan negara 10 peratus bagi setiap kementerian dan agensi kerajaan sebagai langkah utama yang dicapai menerusi penangguhan kenaikan gaji dan elaun pegawai atasan kerajaan dan menteri kabinet
“Mengkaji semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama pemberian kontrak dan prokumen peralatan serta menangguh sebarang projek yang didapati merugikan rakyat,” katanya lagi.

keadilandaily

Monday, October 28, 2013

Kenyataan Media Timbalan Presiden :Belanjawan Orang Kaya , Yang Miskin Papa Kedana


KENYATAAN MEDIA TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN
Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang diumumkan Dato’ Sri Najib Tun Razak dalam ucapan belanjawannya di Parlimen hari ini adalah satu tamparan hebat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Malah, bermula pada kadar 6%, adalah sangat melampau. Perbandingan pelaksanaan GST yang dilaksanakan di Singapura pada kadar 7% sekarang ini juga adalah cubaan mengelirukan rakyat kerana ia mula diperkenalkan pada tahun 1994 dengan kadar hanya 3%, sejak 13 tahun yang lalu.
Dalam apa keadaan pun, membuat perbandingan dengan negara seperti Singapura dan negara-negara Eropah adalah sia – sia disebabkan tahap urus tadbir yang baik jauh lebih tinggi di negara – negara tersebut.
Bagi rakyat Malaysia, kos sara hidup sudah cukup membebankan tanpa GST. Dengan adanya cukai ini, beban yang lebih berat akan menimpa golongan miskin memandangkan mereka hampir tidak ada pilihan lain selain membelanjakan juga sebahagian besar daripada pendapatan boleh guna (disposable income) yang ada.
Hujah Najib bahawa GST akan menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan semakin berkurang adalah bohong dan sekali lagi cuba mengelirukan rakyat.
Majoriti rakyat tidak akan dapat memanfaatkan GST dengan penjimatan ataupun pelaburan seperti golongan kaya dan berpendapatan tinggi. Ini akan mewujudkan jurang yang lebih nyata dan menyebabkan ketidakadilan sosial yang lebih berpanjangan.
Jika belanjawan tahun lalu adalah belanjawan rakyat disebabkan pilihanraya bulan Mei lalu, maka yang ini merupakan belanjawan orang kaya kerana kerajaan UMNO dan Barisan Nasional merasakan ia sudah tidak lagi terhutang budi kepada rakyat.
Mereka lewatkan GST kerana mereka tahu rakyat akan membantah dan kini selepas pilihan raya mereka melaksanakannya. Maka Belanjawan 2014 ini hanya akan melebarkan kesenjangan ekonomi rakyat. Jurang kaya – miskin, gini – coefficient rakyat akan terus meluas.
Selain itu, saya meramalkan tekanan inflasi yang bakal menimbun serta kos sara hidup yang kian meningkat.
Dorongan untuk memacu sektor pelancongan, dengan membina lebih banyak hotel bertaraf lima bintang dan bersaing dengan dunia untuk memiliki bandar terhebat tidak memberi kelebihan dan kemakmuran kepada rakyat.
Di mana usaha Kerajaan untuk merendahkan kos pengangkutan atau memperbaiki pengangkutan awam ? Tidak ada disebut tentang perumahan mampu milik. Malah program kesihatan rakyat terus diabaikan.
Meskipun peruntukan yang diumumkan amat substansial, namun yang masih menjadi permasalahan adalah pengagihan dan penggunaan dana tersebut. Perbelanjaan negara tahun lalu tentang latihan Bahasa Inggeris sahaja sudah cukup menjadi contoh bagaimana pembaziran berlaku.
Dana keusahawanan melalui pinjaman mudah bagi mengurangkan pengangguran di kalangan graduan hanya akan menjurus kepada nilai hutang yang semakin memuncak. Apa yang diperlukan oleh graduan – graduan ini adalah kemahiran ‘soft skill’ dan lebih banyak latihan kemahiran dan teknikal untuk meningkatkan kebolehan mereka diambil bekerja, bukan hutang yang lebih banyak. Cadangan untuk memberi dana kepada pelajar lepasan SPM untuk latihan kemahiran adalah baik dari segi prinsip, akan tetapi yang lebih signifikan adalah soal pelaksanaan serta pengkhususan di lapangan.
Kita semua setuju bahawa defisit belanjawan mesti dikurangkan, tetapi memeras lebih banyak wang daripada rakyat bukanlah caranya. Masalah asas adalah soal ketirisan, pembaziran dan rasuah. Dengan menangani masalah ini secara tidak komprehensif, kita tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah yang tidak akan berkesudahan. Masalah ini tidak mampu diselesaikan dengan hanya mengutip cukai sebanyaknya.

MOHAMED AZMIN ALI
Timbalan Presiden