Loading...

Tuesday, December 31, 2013

Pendekatan Kerajaan Negeri Untuk 2014 Lebih Mesra Rakyat Berbanding Seteru


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan bas percuma, mengekalkan cukai premis kediaman selain menyediakan rumah mampu milik dan menambah peruntukan beberapa program dan skim yang sedia ada, dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi menghadapi tahun 2014.
Beliau berkata, biarpun Selangor mempunyai kuasa terhad dalam menentukan harga barangan keperluan dan perkhidmatan, itu tidak bermakna kerajaan negeri hanya membiarkan keluhan rakyat mengenai kenaikan harga barang dan perkhidmatan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tambahnya, peluang sama rata juga diberikan kepada seluruh rakyat yang menetap di Selangor bagi menikmati hasil negeri tanpa mengambil kira keturunan atau kedudukan .
"Saya memberi jaminan bahawa sejak Pakatan Rakyat menerajui kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008, kita tidak mengamalkan fahaman populis, sosialis dan sebagainya.
"Sebaliknya program-program kebajikan dalam dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor adalah berterusan dan diterima baik oleh majoriti rakyat negeri ini," kata Khalid dalam satu kenyataan sempena Tahun Baru.
Selain itu, Khalid berkata kerajaan Selangor memahami bebanan rakyatnya yang khuatir kenaikan barang dan perkhidmatan seperti tol dan kadar elektrik boleh menyebabkan harga kediaman rumah mampu milik menjadi mahal.
Katanya lagi, di atas kepercayaan rakyat yang memilih PR pada pilihan raya lalu, telah mendorong kerajaan negeri meneruskan kecemerlangan apabila dalam Belanjawan Negeri Selangor 2014, sebanyak RM2.28 bilion diperuntukkan bagi pembangunan negeri dan rakyatnnya.
Menurut Khalid, rakyat Selangor bakal menyaksikan kerajaan negeri menyediakan beberapa langkah mengurangkan beban rakyat.
"Lebih dari itu kerajaan negeri juga mahu keupayaan rakyat ditingkatkan bukan sekadar menerima pelbagai bantuan kebajikan, antaranya menerusi pembangunan desa yang dijangka dilaksanakan di kesemua daerah Selangor pada tahun depan," katanya.
Beliau pada masa turut menegur rakyatnya untuk menghormati kebebasan hak beragama seperti titah Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
"Demi keharmonian yang berkekalan, saya percaya rakyat berbilang kaum dan agama serta budaya di Selangor sedia mengambil maklum akan titah Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Setiap rakyat perlulah menghormati kebebasan beragama dan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang perasaan marah atau berlakunya perkara tidak diingini," katanya. - 31 Disember, 2013.

selangorkini

GST: Jika Peniaga Ditekan Maka Rakyat Tertekan


PETALING JAYA 30 DIS: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan diingatkan supaya tidak mengelirukan rakyat dengan dakwaan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan menjadi lebih rendah.
Sebaliknya, pengeluar dan peniaga terpaksa mengambil langkah mengurangkan tenaga pekerja jika berhasrat mengekang kenaikan harga barangan apabila GST dilaksanakan nanti.
Langkah itu terpaksa diambil bertujuan mengurangkan kos bagi mengimbangi pertambahan pelbagai kos perniagaan seperti petrol, elektrik, bahan mentah lain dan GST yang dikenakan terhadap mereka.
Pengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata peniaga yang tidak menaikan harga barangan atau perkhidmatan tetapi pada masa sama terpaksa menampung peningkatan kos akan menyebabkan mereka kerugian dan menutup perniagaan.
“Apabila GST dilaksanakan, harga barang akan meningkat secara keseluruhannya. Ini bermakna kos yang ditanggung peniaga sama ada kos bahan mentah atau kos perniagaan lain juga akan meningkat dan mengurangkan keuntungan.
“Dalam keadaan ini, peniaga tidak ada pilihan lain kecuali menaikan harga untuk memastikan keuntungan tetap sama apabila GST diperkenalkan atau mengurangkan tenaga kerja,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan, walaupun peniaga boleh menuntut kembali cukai GST yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaan tetapi disebabkan kenaikan harga secara menyeluruh itu tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos perniagaan mereka.
“Ini berpunca daripada pemahaman beliau (Ahmad) kononnya apabila peniaga mengenakan GST, mereka boleh mendapatkan kembali cukai GST yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaan melalui cukai input,” katanya.
Rafizi berkata, Ahmad tidak mengambil kira bahawa peniaga akan membayar harga barang mentah dan kos perniagaan lain yang lebih tinggi ekoran GST dan peningkatan kos pengeluaran yang dikenakan semua pembekal mereka.
-NFN-

Friday, December 27, 2013

Kurangkan Kos Kerajaan BUKAN Tekan Rakyat Dengan Kenaikan Harga - Tun M


Putrajaya boleh meningkatkan pendapatan melalui pengurangan kos dan bukan melalui kenaikan harga barang keperluan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mantan perdana menteri itu berkata meskipun kerajaan memerlukan dana lebih besar setiap tahun bagi menanggung perbelanjaan yang semakin meningkat, kerajaan boleh menggunakan konsep ‘cost down’ untuk mengurangkan pembaziran.
“Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan.
“Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekalkan atau mengurangkan harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan,” katanya dalam tulisan di blog Che Det hari ini.
Menurut Dr Mahathir, banyak dapat dijimatkan jika kerajaan serius bertindak berikutan Laporan Ketua Audit Negara mengenai ketirisan kerajaan.
“Kerajaan biasanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam apa juga bentuk perbelanjaan. Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya,” tulis beliau.
Dr Mahathir berkata Putrajaya boleh melakukan penjimatan sebanyak 50% jika lampu jalan digantikan dengan mentol LED.
“Penjimatan kepada bekalan elektrik dapat disalurkan kepada pengurangan subsidi bahan bakar bagi menjana tenaga namun ini tidak dilakukan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata meskipun rakyat memahami cukai lebih tinggi diperlukan bagi menanggung kos pembangunan tetapi peningkatan kos sara hidup harus selari dengan jumlah pendapatan.
"Pembayar cukai tidak mampu menanggung kenaikan cukai mendadak," katanya.
Dr Mahathir turut menyarankan kesan kenaikan cukai perlu dikaji terlebih dahulu.
"Mesti diingat adalah kenaikan cukai meningkatkan kos sara hidup, kos menjalankan perniagaan, mengurangkan keuntungan serta pengurangan cukai korporat kerajaan,” katanya.
Mantan Perdana Menteri itu turut menyelar kerajaan kerana meningkatkan tarif elektrik pada kadar 15% yang disifatkannya satu lonjakan besar kepada pengguna elektrik domestik selain memberi kesan kepada kos pengeluaran industri.
Katanya, kenaikan tarif elektrik itu sewajarnya dinaikkan secara berperingkat bagi mengelakkan industri yang telah memeterai perjanjian pengeluaran menanggung kerugian besar.
“Kenaikan tarif elektrik pada kadar 15% adalah satu perubahan besar. Kerugian pemain industri akibat kenaikan tarif elektrik itu akan menyebabkan mereka membayar cukai korporat yang lebih rendah akibat tidak mendapat keuntungan besar.
“Kenaikan tarif boleh dilakukan secara berperingkat seperti 6% setahun untuk tempoh tiga tahun atau lebih lama. Jika formula itu digunakan, peningkatan sebenarnya boleh meningkat kepada 18% berbanding 15% yang diperkenalkan kerajaan sekarang,” katanya.
Dr Mahathir berkata melalui kaedah itu, kerajaan boleh menikmati kadar kenaikan lebih dari 15% tanpa menanggung apa-apa kerugian sebaliknya melengahkan kadar kenaikan tersebut.
Beliau tidak menafikan kerajaan memerlukan wang bagi mentadbir negara tetapi perlu memikirkan kos rakyat dan perniagaan sebelum memperkenalkan cukai baru.
“Ia tidak terlalu memberi kesan kepada kerajaan sebaliknya memberi faedah besar kepada rakyat. Malah hal itu akan dikenang dalam pilihan raya umum akan datang.
“Baru-baru ini, Presiden Perancis Francois Hollande meningkatkan cukai kepada 50% tetapi ramai yang meninggalkan Perancis bagi membangunkan perniagaan di negara lain,” katanya.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semakan semula tarif elektrik mengambil kira kepentingan rakyat dengan memastikan kebanyakan rakyat tidak terjejas.
Beliau berkata kenaikan itu tidak akan menjejaskan kira-kira 71% daripada pengguna domestik di seluruh negara dengan tidak sampai 30% pengguna yang terlibat dengan kenaikan adalah pengguna industri dan komersial. – 26 Disember, 2013.

Thursday, December 26, 2013

52 Sekolah SJKC Sseluruh Selangor Mendapat Manfaat Fasa Ke-2

1IMG_1866

SHAH ALAM 19 DIS – Sebanyak 52 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh Selangor menerima bantuan pendidikan berjumlah RM 1.33 juta.
Ia adalah bantuan kewangan fasa kedua bagi tahun 2013 melalui dasar Kerajaan Selangor yang memperuntuk RM4 juta kepada setiap SJKC yang layak di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah berkata KerajaanNegeri menjadikan pendidikan sebagai agenda utama pentadbirannya.
“Pendidikan adalah agenda utama Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri mengamal ‘accountibility’ dan setiap peruntukan hendaklah digunakan sebaik-baiknya. Jika atap sekolah perlu pembaikan, gunakan dengan betul,” katanya.
Sumbangan disampaikan Dr Halimah di ruang legar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini. Turut hadir sebahagian Exco Selangor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan wakil SJKC.
Sepanjang tahun ini, sebanyak 108 SJKC menerima bantuan itu termasuk bantuan fasa pertama yang diselesaikan sebelum Mei lalu.
Selain SJKC, Kerajaan Negeri juga memperuntuk RM4 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) sejak tahun 2009.
Rata-rata wakil SJKC mengucapkan terima kasih atas sumbangan berterusan itu.
Wakil SJKC Sin Ming Semenyih, Tean Khh Keng, 61, menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana tidak mengabaipendidikan sekolah Cina.
“Bantuan ini akan digunakan untuk membaikpulih beberapa infrastruktur di sekolah saya,” katanya.
Lim Leong Cheok, 44, dari SJKC Kampung Baru Ampang pula berharap lebih banyak bantuan diberi pada masa akan datang kerana tidak semua SJKC ada kewangan yang baik.
“Saya lihat Kerajaan Negeri bersikap adil kepada semua. Pada masa akan datang, saya berharap perlu ada perhatian lebih khusus kepada SJKC yang lebih memerlukan,” katanya.
selangorkini

Monday, December 23, 2013

Orang Melayu Disarankan Lebih Progresif Dalam Aktiviti Ekonomi


Tengku Razaleigh Hamzah menasihatkan orang Melayu untuk menilai semula mengapa mereka gagal dan ketinggalan dalam aktiviti ekonomi berbanding merungut dan membuat tuntutan tidak munasabah.
Bekas menteri kewangan itu yang lebih mesra dengan gelaran Ku Li berkata, bilangan “key-personnel” daripada kalangan orang Melayu di sektor korporat menurun dengan sangat signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Beliau berkata, sementara Felda Global Ventures (FGV) yang diasaskan oleh Felda sudah berkembang luas dengan jumlah dagangan besar, orang Melayu dan Bumiputera masih gagal untuk menerajuinya.
“Industri produk halal yang besar juga difahamkan dikawal oleh orang bukan Melayu/Bumiputera, dan sangat mendukacitakan apabila pemilik asal beberapa syarikat orang Melayu yang sudah berjaya akhirnya menjadi pekerja kepada pemilik syarikat yang baru.
“Perkembangan ini tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau hak orang Melayu yang dinafikan, tetapi lebih merupakan masalah orang Melayu yang tidak mampu bertahan dalam saingan dan kesulitan alam perniagaan yang semakin kompleks,” kata veteran Umno itu semasa ucapan perasmian Persidangan Perkasa ke 4 di Pusat Islam, Kuala Lumpur hari ini.
Ku Li turut menggesa Perkasa memperjuangkan masyarakat Melayu Malaysia lebih berdisiplin, dilatih dan diberikan ilmu pengetahuan dan pendedahan.
“Ini membolehkan kita bertahan dan bersaing dengan siapa pun dan dalam keadaan apa pun dan dengan pelbagai peluang dan kemudahan serta bantuan, masyarakat orang Melayu dan Bumiputera tidak boleh menyalahkan orang lain kalau mereka masih tidak berjaya.
“Banyak yang boleh diperbuat untuk mengangkat dan memartabatkan orang Melayu dan Bumiputera yang sebahagian besar masih berada di strata bawah dalam struktur ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan aktiviti ekonomi berkelompok dan membolehkan Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi dengan lebih menyeluruh dan cepat.
“Sekiranya perkembangan ekonomi dipacu oleh daya pengeluaran yang meningkat dan rakyat menikmati pendapatan yang agak tinggi sama ada mereka ini petani, penangkap ikan, penoreh getah atau pekerja ladang dengan pelaksanaan gaji minimum dalam suasana bebas dan aman,” katanya.  – 22 Disember, 2013.

TMI

Friday, December 20, 2013

Residents against LRT construction in Selangor due to safety reasons


BY KATHLEEN MICHAEL
The construction site of the LRT track in USJ 6 along Persiaran Kewajipan in Subang Jaya.

RESIDENTS are opposed to the construction of the LRT extension from Kelana Jaya to Putra Heights because of safety concerns.

On May 27, 2009, the state had agreed to the construction.

The matter was brought up by Seri Muda assemblyman Shuhaimi Shafiei (PR) during the state assembly meeting yesterday.

Selangor Local Government, Studies and Research committee chairman Datuk Teng Chang Khim said the state government had agreed to elect two independent consultants to prepare in-depth reports on the geotechnical engineering aspects including building on sensitive ground as well as the alignment of the LRT.

He said that studies found residents opposed the project because of the dangers posed by a man-made quarry next to their housing area.


He added that developers must take mitigating steps to guarantee the safety of residents.

Shuhaimi also questioned if the local councils have the power to monitor construction sites.
Teng said local councils have the authority to take action against developers.

“This includes issuing a stop-work order if they fail to take action following complaints,” he said.
Mat Shuhaimi added that because of construction work for the LRT project, landslides have hit the home of a resident in Taman Subang Alam, twice.

He added that residents have also complained that work was continuing beyond 10pm.

Teng said an investigation will be carried out.

Thursday, December 19, 2013

Syarikat Konsesi Tidak Terkesan Dengan Kenaikan Harga Barang,Kenaikan TOL Yang Tidak Jelas



Pemain industri Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (Misif) menyifatkan kenaikan harga tol adalah tidak munasabah kerana syarikat konsesi tidak menerima sebarang kesan daripada kenaikan harga barang seperti yang dialami rakyat.
Presiden Misif Datuk Soh Thian Lai berkata, syarikat konsesi telah menikmati banyak keuntungan menerusi peningkatan pengguna jalan raya.
"Mereka juga tidak menerima kesan ketara oleh faktor-faktor lain seperti turun naik mata wang, kenaikan kadar elektrik dan harga bahan api, dan lain-lain, tidak seperti yang dialami pengindustri khususnya dalam sektor perkilangan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Soh berkata satu-satunya aspek yang akan memberi kesan kepada kos operasi konsesi adalah sekiranya gaji pekerja meningkat.
"Wujud  juga aduan mengatakan lebuh raya sesak dan pastinya memberi kesan kos kepada konsesi," kata Soh yang menggambarkan keuntungan yang diperoleh oleh konsesi.
Menurut Soh, pengusaha industri besi dan keluli juga akan menerima kesan peningkatan kos kepada mereka.
"Pengumuman kemungkinan kadar tol baru-baru ini akan memberi kesan kepada logistik dan kos pengangkutan. Ia akan menyebabkan industri besi dan keluli lebih lesu," ujarnya lagi.
Cadangan supaya jalan alternatif digunakan juga tidak praktikal menurut Soh, kerana beberapa faktor seperti keselamatan dan tempoh masa.
"Penggunaan kenderaan berat untuk mengangkut produk besi dan keluli menerusi jalan alternatif tidak praktikal kerana isu keselamatan.
"Lebih-lebih wujud larangan ketinggian kenderaan, keadaan jalan yang buruk dan masa yang tidak efisien juga adalah faktor tidak munasabah untuk menggunakan jalan alternatif," katanya lagi.
Kadar tol dijadualkan berlaku ekoran kenaikan tarif elektrik di seluruh negara, dan peningkatan yang dicadangkan dalam cukai taksiran serta tambang pengangkutan awam di Lembah Klang yang menjadi tempat tinggal kepada kira-kira tiga juta rakyat Malaysia.
Kerajaan mengurangkan subsidi minyak pada September, mengumumkan penghapusan subsidi gula di bawah Bajet 2014 dan baru-baru ini mengumumkan kenaikan tarif elektrik yang akan berkuatkuasa bulan depan.
Kenaikan tol yang dicadangkan ini dijangka berlaku tahun depan bagi mematuhi perjanjian di antara kerajaan persekutuan dan syarikat konsesi lebuh raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana ia dinyatakan  dalam perjanjian konsesi antara Putrajaya dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.
Beliau berkata,  kadar tol itu sepatutnya disemak semula pada 2011, seperti yang dinyatakan dalam perjanjian konsesi tetapi ia dikekalkan dan Putrajaya terpaksa menanggung kos RM400 juta untuk membayar pampasan kepada syarikat-syarikat ini dengan menggunakan wang pembayar cukai.
Kenaikan kadar tol dicadangkan selepas pengumuman kadar pengangkutan, peningkatan 15% dalam tarif elektrik dan kadar taksiran yang lebih tinggi untuk hartanah di Kuala Lumpur. – 19 Disember, 2013

TMI

Kecurian Pasir,Rakyat Digalakkan Bekerjasama Membuat Laporan


SHAH ALAM, 18 DIS: Orang ramai digalakkan segera membuat laporan kepada Kerajaan Negeri sekiranya mendapati berlaku kejadian curi pasir di kawasan mereka.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia bagi memastikan insiden sama tidak berulang lagi kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu akan memberi keuntungan berlipat ganda kepada sindiket terbabit.
Beliau turut menyokong usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membanteras dan menyiasat kegiatan ini.
“SPRM bersama pejabat tanah mengambil inisiatif untuk menangkap dan membawa pesalah ini ke mahkamah atas kesalahan (curi pasir) yang dilakukan.
“Kerajaan Negeri menyokong usaha tersebut dan menggalakkan rakyat untuk membuat laporan sekiranya berlaku kecurian pasir di kawasan mereka,” katanya berhubung kejadian curi pasir di Sungai Long, Hulu Langat dan ladang kelapa sawit di Bandar Sunway Semenyih, baru-baru ini.
Kegiatan itu didakwa berlarutan sejak dua tahun lalu di mana sindiket terlibat dikatakan mampu mengaut keuntungan sehingga RM12 juta.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai perlantikan Ahli Majlis di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk sesi 2014, Abdul Khalid berkata senarai nama yang dipilih akan diumumkan pada Januari depan.
“Pada bulan depan kita akan umumkan senarai nama yang akan dilantik sebagai Ahli Majlis yang akan memulakan tugas pada Februari 2014,” katanya.
-EZY

Harga TOL Tidak Naik Pun Syarikat Konsesi Sudah Untung Besar



Saya telah menegaskan bahawa cadangan dan alasan kenaikan tol seperti yang dipertahankan oleh Datuk Seri Wahid Omar tidak masuk akal kerana majoriti dari pemegang konsesi adalah dikuasai kerajaan. Malah, syarikat-syarikat ini juga mendapat bantuan kewangan dan subsidi dari kerajaan melaksanakan dan mengendalikan lebuhraya bertol.

Sebab itu, kenyataan Datuk Seri Wahid Omar cuba mengelirukan rakyat apabila beliau membayangkan bahawa Barisan Nasional perlu tunduk kepada syarikat-syarikat swasta yang kononnya memilik syarikat pemegang konsesi, sedangkan hakikatnya syarikat ini kebanyakannya syarikat milik kerajaan.

Saya juga membidas sekeras-kerasnya keangkuhan Datuk Seri Wahid Omar yang memberi kata dua kepada pengguna jalanraya agar tidak menggunakan jalan bertol jika tidak bersetuju dengan kenaikan tol. Walaupun beliau sebelum ini dibayar gaji berjuta ringgit setahun dan sudah tentu tidak memahami kepayahan rakyat di bawah berhadapan dengan kenaikan harga barang, sepatutnya beliau mengambil kira kebajikan rakyat dalam melaksanakan tugas sebagai menteri. Kehadiran menteri-menteri seperti ini membuktikan betapa terpisahnya kabinet Dato’ Seri Najib Tun Razak dari realiti seharian rakyat.

Saya membantah keras cadangan menaikkan kadar tol kerana rekod kewangan syarikat pemegang konsesi menunjukkan mereka telah pun mendapat keuntungan berlipat kali ganda (obscene profits) pada kadar tol sekarang. Setiap kenaikan kadar tol sebenarnya menambahkan lagi keuntungan mereka sedangkan rakyat terus terbeban dengan tekanan ekonomi.

Pampasan yang dibayar oleh kerajaan bukanlah satu bentuk subsidi yang diwar-warkan oleh Barisan Nasional. Subsidi bermakna belanja yang dikeluarkan kerajaan untuk menampung kos sesuatu barangan atau perkhidmatan supaya harganya boleh dikekalkan pada paras yang lebih rendah.

Dalam kes kenaikan kadar tol, jumlah kos yang ditanggung pada kadar tol sekarang pun sudah terlalu rendah hingga memberikan keuntungan yang terlampau tinggi kepada pemegang konsesi. Oleh itu, sebarang kenaikan kadar tol sebenarnya sama dengan kerajaan mencukai rakyat dengan cukai tambahan kerana keuntungan syarikat-syarikat pemegang konsesi yang dimiliki kerajaan ini akhirnya kembali ke kantung Putrajaya untuk diborosi oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kabinetnya.

Analisa keputusan kewangan PLUS Berhad (yang mengendalikan 6 lebuhraya), KESAS Berhad dan LITRAK Berhad (yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong dan SPRINT) menunjukkan kadar keuntungan yang melampau telah pun dinikmati oleh pemegang-pemegang konsesi, seperti berikut:

1) PLUS Berhad (keputusan kewangan bagi tahun 2011 dan perincian kos bagi tahun 2010 berdasarkan Laporan Tahunan PLUS)
Jumlah kutipan tol & perolehan (2011)
  RM4.098 bilion

Jumlah kos menyenggara lebuhraya (mengikut kos 2010)

  RM241 juta

Jumlah kos penggajian, pentadbiran dan lain-lain (mengikut kos 2010)

  RM397 juta

Jumlah bersih kos faedah dan pembiayaan kewangan (mengikut kos 2010)

  RM507 juta

Anggaran keuntungan dari operasi tanpa caj susutnilai 2011 (mengikut kos 2010)

  RM2.953 bilion

Keuntungan bersih sebelum cukai dengan caj susutnilai (2011)

  RM2.515 bilion

% untung bersih sebelum cukai ( 2011)  

  61%

Tidak banyak perniagaan di dunia ini yang mencapai peratus untung bersih sehingga 61% seperti yang dicatatkan oleh PLUS Berhad. Melihatkan kepada kos untuk menyenggara lebuhraya hanyalah 6% dari jumlah kutipan tol setiap tahun sudah cukup menunjukkan bahawa kadar tol sedia ada sudah pun terlalu tinggi dan memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada PLUS.

2) KESAS
Lebuhraya KESAS mencatatkan keuntungan berganda sehingga 121% secara terkumpul (cumulative annual growth rate atau CAGR) di antara tahun kewangan 2008 hingga tahun kewangan 2012 seperti dilaporkan oleh Maybank Investment Bank Research bertarikh 6 November 2013.
Kadar keuntungan yang naik satu kali ganda dalam tempoh empat tahun ini juga membuktikan bagaimana kadar tol sudah pun terlalu tinggi hingga pemegang konsesi menikmati keuntungan yang meningkat dua kali ganda dalam tempoh hanya 4 tahun.

3) Litrak Berhad yang mengendalikan LDP dan SPRINT (keputusan kewangan bagi tahun 2013 mengikut Laporan Tahunan terkini)
Jumlah kutipan tol & perolehan
RM369 juta
Jumlah kos menyenggara lebuhraya
RM21 juta

Jumlah kos penggajian, pentadbiran dan lain-lain

RM29 juta

Jumlah bersih kos faedah dan pembiayaan kewangan

RM79 juta

Keuntungan dari operasi tanpa caj susutnilai

RM240 juta

Keuntungan bersih sebelum cukai dengan caj susutnilai

RM180 juta
% untung bersih sebelum cukai
49%

Seperti juga pemegang konsesi yang lain, Litrak Berhad yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) menikmati margin keuntungan bersih sebelum cukai yang begitu tinggi pada kadar 49% iaitu lebih tinggi dari industri minyak dan gas. Kos menyenggara lebuhraya juga hanyalah 6% sahaja dari jumlah kutipan tol.

Ini membuktikan bahawa kadar tol sedia ada sudah terlalu tinggi hingga memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada pemegang konsesi.

Pada masa yang sama, walaupun kadar tol tidak dinaikkan, jumlah kutipan tetap meningkat dan margin keuntungan kekal tinggi kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuhraya meningkat saban tahun.
Jadual berikut menunjukkan kadar pertambahan jumlah kenderaan setiap tahun yang dinikmati pemegang-pemegang konsesi besar di Malaysia seperti yang dilaporkan di dalam laporan tahunan masing-masing dan pelbagai analisa lain:
LEBUHRAYA
TAHUN
JUMLAH KENDERAAN
% PENINGKATAN
PLUS
2010
417 juta setahun
8%
LDP
2013
497,000 seminggu
3.3%
Sprint
2013
237,000 seminggu
4.4%
KESAS
2013
290,000 sehari
5.0%
Maju Expressway
2010
78,962 sehari
8.1% lebih tinggi dari jumlah mengikut perjanjian

Angka-angka yang saya bentangkan secara jelas menunjukkan bagaimana pemegang-pemegang konsesi utama menikmati kutipan tol yang lebih tinggi kerana jumlah kenderaan yang bertambah telah pun melampaui sasaran kenderaan yang digunakan untuk menetapkan kadar tol sedia ada.

Dalam keadaan kos operasi sudah pun rendah (bagi sesetengah lebuhraya kos penyenggaraan tidak sampai 10% pun dari kutipan tol), keuntungan yang dinikmati merupakan antara yang tertinggi berbanding industri-industri lain. Oleh sebab itu, sebarang kenaikan kadar tol menghina rakyat pada kala kerajaan dan pemegang konsesi bermewah dengan keuntungan yang sudah pun terlalu tinggi.

Rafizi Ramli 
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat

Kos Sara Hidup Yang Melonjak Menggambarkan Tatakelola Negara Yang Pincang


Rakyat menyifatkan kenaikkan kos sara hidup sebagai isyarat negara berada di landasan salah, menurut kajian terbaru Merdeka Center.
Sebanyak 49% responden yang ditinjau bersetuju Malaysia berada di landasan salah berbanding 41% yang menyokong.
Daripada jumlah tersebut, 30% responden menyifatkan kenaikan harga minyak, inflasi dan kenaikkan kos sara adalah isyarat utama ke arah itu.
Sebanyak 35% masyarakat Melayu bersetuju, diikuti 78% masyarakat Cina dan 43% masyarakat India.
Indeks Harga Pengguna (CPI) pada bulan November 2013 meningkat kepada 2.9% selepas Jabatan Statistik mengeluarkan data terkini hari ini.
Kadar tersebut tertinggi sejak Disember 2011 dan selari dengan ramalan susulan pemotongan subsidi minyak yang diumumkan Putrajaya pada September lalu.
Kajian terkini tersebut dijalankan pada 4 hingga12 Disember baru-baru ini sebaik sahaja berakhir Perhimpunan Agung Umno 2013.
Bagi kajian bulan Disember 2013, sebanyak 1,005 pengundi berdaftar diambil sebagai sampel, 60% terdiri daripada masyarakat  Melayu, 31% Cina dan 9% adalah India.
Responden dipilih berdasarkan persampelan rawak berlapis bersama-sama etnik, jantina dan negeri bagi tempat kediaman.
Kajian dilakukan menerusi temuduga perbualan telefon.
Selepas berakhir pilihan raya umum ke-13 lalu, pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak telah mengambil beberapa langkah pengukuhan defisit fiskal, antaranya mengumumkan pemotongan subsidi petrol sebanyak 20 sen, pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen, menaikkan tarif elektrik hampir 15% dan terbaru bakal menaikkan kadar tol di sekitar ibu kota dan Selangor.
Putrajaya juga mengumumkan pelaksanaan cukai GST yang akan bermula pada tahun 2015 sebagai langkah mengelak  kebergantungan kepada pendapatan Petronas semata-mata.
Kadar hutang negara yang kini berada pada paras 53.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 43% pada 2008  dan semakin menghampiri 55%.
Najib bagaimanapun menyatakan komitmen kerajaan untuk mencapai sasaran defisit fiskal pada paras tiga peratus daripada KDNK  pada 2015 dan bajet berimbang pada 2020 dengan usaha konsolidasi fiskal yang diambil pentadbirannya. – 18 Disember 2013.

TMI

Wednesday, December 18, 2013

Kerajaan Negeri Antara Pemegang Saham KESAS & SPRINT Membantah Kenaikan Harga TOL


Pakatan Rakyat melalui kerajaan negeri Selangor akan menolak cadangan kenaikan kadar tol melalui saham yang dimilikinya dalam tiga syarikat konsesi lebuh raya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan negeri Selangor memiliki 30% saham dalam Lebuhraya Kesas melalui PKNS manakala 20% dalam Lebuhraya Sprint serta Lebuhraya Damansara-Pucong (LDP) melalui Kumpulan Perangsang.
Pada sidang medianya hari ini, Anwar berkata, beliau berbincang dengan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan mereka mencapai kata sepakat untuk menggunakan saham minoriti itu bagi membantah kenaikan tol.
"Saya difahamkan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Exco hari ini dan arahan akan dikeluarkan kepada wakil kerajaan dalam konsortium berkenaan untuk membantah kenaikan tol ini," katanya.
"Mereka ada hak untuk menentang sebagai pemegang saham minoriti," katanya.
Sehubungan itu, Selangor akan mengenakan syarat ketat kepada syarikat yang terlibat dalam pembinaan lebuhraya baru seperti DASH, KIDEX, SUKE dan KLORR.
Katanya, kebenaran untuk pembangunan hanya akan diberi sekiranya cara mengaut keuntungan mengikut formula yang adil kepada rakyat dan mengikut undang undang kerajaan persekutuan dan syarikat konsesi.
Kerajaan negeri juga hanya boleh membenarkan syarikat untuk mengambil tanah negeri untuk pembinaan lebuh raya sekiranya syarat yang dikenakan seperti kadar tol dan tanggungjawab kepada rakyat Selangor dipenuhi.
"Ini adalah sebahagian daripada tindakan yang akan diambil oleh kerajaan negeri untuk mengelakkan kenaikan kadar tol," katanya.
Ketua umum PKR itu mendesak kerajaan persekutuan yang menjadi pemegang saham besar dalam konsesi lebuh raya supaya hak rakyat  dilindungi.
"Ini sebabnya mengapa saya melawan kenyataan menteri Barisan Nasional (BN) yang berkata kenaikan harga tol tidak dapat dielakkan kerana ia dalam perjanjian konsesi.
"Saya juga menolak alasan yang diberikan BN bahasa kerajaan tiada kuasa untuk membendung kenaikan kadar tol, " katanya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, pengalamannya sebagai menteri kewangan sebelum ini  'meyakinkan' beliau bahawa kerajaan harus 'berhati-hati dengan keuntungan yang berlipat kali ganda' yang diraih oleh syarikat konsesi lebuhraya.
"Syarikat lebuh raya sudah pun mengaut keuntungan.
"Kenaikan tol yang akan datang adalah kesan perbelajaan mewah kerajaan BN," katanya.
Anwar juga membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar iaitu pengguna jalan raya yang tidak berpuas hati boleh mengambil jalan alternatif.
"Kita menyediakan jalan jalan alternatif untuk mereka yang sedia membayar harga premium. Bagi sesiapa yang merasakan laluan ini terlalu mahal, mereka boleh melalui jalan raya lain," kata Abdul Wahid.
"Ini menunjukkan kesombongan beliau. Beliau bukan ketua korporat di bank. Beliau adalah seorang menteri maka beliau harus sensitif kepada masalah rakyat," kata Anwar.
Pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli yang serta dalam sidang media itu berkata, kerajaan Selangor hanya "cuba mengajar" Putrajaya yang mereka boleh menolak kenaikan kadar tol jika ia menjanjikan lebih keuntungan untuk negeri.
"Kerajaan persekutuan harus mempunyai sifat sama seperti agensi yang memegang saham dalam syarikat konsesi.
"Jika kita boleh melakukannya dengan Kesas, Sprint dan Lebuhraya Damansara-Puchong, mereka juga boleh melakukan yang sama dengan PNB dan EPF," katanya.
Media melaporkan kenaikan kadar tol dijangka di antara 50 sen dan RM2 melibatkan 15 lebuh raya terutama di Lembah Klang.
Wahid sebelum ini pernah berkata, mustahil untuk menghentikan kenaikan kadar tol tahun depan kerana perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.
Katanya, kerajaan harus mengeluarkan RM400 juta wang pampasan kepada syarikat konsesi selepas menghentikan semakan kadar tol pada 2011. – 18 Disember, 2013.

TMI

Sebelum PRU-13 UMNO-BN Kempen Turunkan Harga TOL,Selepas PRU-13 Rakyat Kempen Turun Jalan Raya

Dalam kempen PRU13 lalu, Barisan Nasional (BN) berjanji akan mengurangkan kadar tol dalam bandar tetapi musuh politik dan penganalisis kini berkata parti pemerintah itu akan menyebabkan 13 lebuh raya  menyaksikan kadar yang lebih tinggi tahun depan.
Kadar tol dijadualkan berlaku ekoran kenaikan tarif elektrik di seluruh negara, dan peningkatan yang dicadangkan dalam cukai taksiran serta tambang pengangkutan awam di Lembah Klang yang menjadi tempat tinggal kepada kira-kira tiga juta rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata BN  mempermainkan pengundi sejak dari awal lagi, kerana mereka tahu kadar tol akan naik dan subsidi akan dipotong yang bakal menyebabkan kos sara hidup lebih tinggi.
"Rakyat Malaysia pada dasarnya sentiasa ditipu, kerajaan memilih untuk tidak jujur kepada rakyat dan kini mereka berada dalam situasi yang tidak baik," katanya ketika mengulas janji pengurangan tol yang dijaja secara aktif  oleh calon BN di Selangor dan Kuala Lumpur semasa kempen pilihan raya lalu.
Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata kenaikan tol yang dicadangkan adalah satu cara untuk menghukum pengundi bandar kerana tidak menyokong parti pemerintah.
Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, yang juga Setiausaha Agung BN, tidak mahu berdebat mengenai manifesto ini dan berjanji bahawa kadar tol dalam bandar akan dikurangkan.
"Tiada komen," katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur semalam apabila ditanya mengenai isu itu.
Pengkaji pendapat yang disegani, Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, berkata terdapat juga janji-janji lain yang dibuat melalui ucapan pemimpin BN yang sampai kini tidak dipenuhi.
Katanya,  adalah jelas bahawa Putrajaya bersedia untuk menghadapi rasa tidak puas hati orang awam terhadap kenaikan tol  untuk 13 lebuh raya yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Selangor.
"Akhirnya, kerajaan perlu menangani defisit dan siling hutang dalam ekonomi supaya mereka bersedia untuk menghadapi rasa tidak puas hati orang ramai.
"Pilihan raya umum akan datang masih jauh dan mereka akan dapat meredakan keresahan ini menjelang PRU14 nanti," katanya kepada The Malaysian Insider.
Penganalisis politik, Khoo Kay Peng yang mempunyai pandangan berbeza berkata, gabungan faktor penarikan balik subsidi, kenaikan tarif elektrik dan kenaikan tol yang dicadangkan itu akan menyebabkan BN menghadapi rasa tidak puas hati pengundi, bermula dengan pilihan raya negeri Sarawak pada 2016.
"Di Sarawak, mereka juga menghadapi kenaikan tarif elektrik sebanyak 17%, dan pada masa sama, pendapatan mereka tidak meningkat.
"Ini menunjukkan perancangan yang tidak baik di pihak kerajaan dan akan menyebabkan kadar inflasi yang tinggi kerana semua peningkatan ini datang serentak, dengan GST menjadi aising pada kek," kata Khoo.
Ong berkata, Pakatan Rakyat akan memastikan orang ramai tidak lupa tindakan BN yang melupakan janjinya ini.
"Pakatan Rakyat akan memastikan orang ingat perkara ini kerana peningkatan kos sara hidup akan membebankan rakyat untuk masa lama, memandangkan kenaikan tarif elektrik, kos pengangkutan dan harga gula yang datang serentak," katanya dan menambah bahawa apabila GST dilaksanakan pada April 2015, kos lebih banyak barangan dan perkhidmatan akan naik.
Kerajaan mengurangkan subsidi minyak pada September, mengumumkan penghapusan subsidi gula di bawah Bajet 2014 dan baru-baru ini mengumumkan kenaikan tarif elektrik yang akan berkuatkuasa bulan depan.
Pengumuman ini menyebabkan penurunan nilai kredit Malaysia pada Julai oleh Fitch Ratings.
Ong berkata, pembangkang tahu bahawa semua janji yang dibuat oleh BN sebelum pemilihan 5 Mei lalu tidak akan dipenuhi.
"Ini (pengurangan kadar tol antara bandar) hanya salah satu daripadanya dan kita sudah tahu dari awal lagi.
"Ini adalah sebabnya mengapa pembangkang berjaya mendapat undi bandar, dengan mengatakan bahawa kita akan menghapuskan bayaran tol, tetapi mereka berjanji untuk mengurangkannya dalam masa lima tahun," katanya.
Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli bersetuju bahawa kadar tol boleh turun dan bukannya naik.
Beliau berkata, ini boleh dilakukan oleh kerajaan melalui rundingan semula perjanjian dengan syarikat konsesi tol, yang beliau dakwa adalah agensi yang berkaitan.
Beliau berkata, peningkatan besar jumlah kenderaan di lebuh raya juga meningkatkan keuntungan pengendali tol.
Santiago, bagaimanapun berpendapat rakyat Malaysia akan lupa janji BN.
"Bila rakyat negara ini ingat?
"Kerajaan tidak bodoh, yang mereka lakukan sekarang adalah supaya dalam tiga tahun akan datang apabila pilihan raya sudah dekat, mereka akan membuat lebih banyak janji dan orang ramai akan lupa tentang ini," katanya.
Ibrahim juga bersetuju dan berkata, janji yang tidak ditunaikan pada kadar tol tidak akan menjejaskan bank undi BN kerana akan ada pengundi baru yang percaya janji kerajaan yang dibuat dalam pilihan raya akan datang.
"Dalam setiap pilihan raya umum, ada di antara 20% dan 25% pengundi baru yang belum mendaftar tetapi akan menyertai senarai daftar pemilih dalam empat tahun akan datang.
"Mereka tidak akan tahu atau ingat isu ini," kata Ibrahim.
Kenaikan tol yang dicadangkan ini dijangka berlaku tahun depan bagi mematuhi perjanjian di antara kerajaan persekutuan dan syarikat konsesi lebuh raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan, kerana ia dinyatakan  dalam perjanjian konsesi antara Putrajaya dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.
Beliau berkata, bahawa kadar tol itu sepatutnya disemak semula pada 2011, seperti yang dinyatakan dalam perjanjian konsesi, tetapi ia dikekalkan dan Putrajaya terpaksa menanggung kos RM400 juta untuk membayar pampasan kepada syarikat-syarikat ini dengan menggunakan wang pembayar cukai.
Kenaikan kadar tol dicadangkan selepas pengumuman kadar pengangkutan, peningkatan 15% dalam tarif elektrik dan kadar taksiran yang lebih tinggi untuk hartanah di Kuala Lumpur. - 18 Disember 2013

TMI

Tuesday, December 17, 2013

Program "Back To School" Kerajaan Negeri Di Fitnah

SMS-PALSU
KLANG 17 DIS : Pemberian baucer RM200 untuk Program ‘Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’ untuk anak Selangor yang disebar luas dalam sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi ‘Whatsapp’sejak semalam adalah palsu.
Justeru, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berharap orang ramai khususnya ibu bapa tidak terpengaruh fitnah yang sengaja dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.
“Ini SMS tidak bertanggungjawab yang sengaja menyusahkan dan mengelirukan semua pihak selain mengecewakan ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
“Kesannya, semua 56 Pusat Khidmat DUN dan Pejabat Ahli Parlimen dihujani panggilan daripada rakyat berhubung dakwaan pemberian baucer itu,”katanya.
Sejak semalam, SMS pemberitahuan pemberian baucer RM200 untuk membeli barangan keperluan sekolah kononnya dari Kerajaan Selangor di bawah Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, disebar luas.
Dengan menetapkan syarat penerima dari kalangan murid darjah satu hingga tingkatan enam atas hanya perlu membawa kad pengenalan dan hadir bersama ibu bapa (pengundi Selangor) boleh menebus baucer itu di semua pasar raya kecuali MyDin dan Kedai 1Malaysia.
SMS itu juga memaklumkan, baucer boleh diambil di seluruh Pusat Khidmat DUN mulai 16 Disember hingga 28 Disember depan.
Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Selat Klang membuat laporan polis kira-kira jam 11.00 malam semalam selepas menyedari kewujudan SMS fitnah itu.
Selangor Kini difahamkan,PKM Selat Klang menerima lebih 3,000 panggilan telefon dari orang ramai serata Selangor dalam tempoh kurang 24 jam yang bertanya pemberian baucer itu.
“Terdapat beberapa keraguan yang jelas dalam sebaran SMS tersebut. Kerajaan Selangor tidak menggunakan istilah ‘Pengajian Tinggi’ sebaliknya ‘Pendidikan Tinggi’ untuk portfolio pendidikan.
“Nombor telefon pegawai  dalam SMS itu juga tidak tepat kerana ia nombor pegawai PKM DUN Selat Klang,bukannya nombor pegawai dari pejabat Exco Pendidikan.
“Kerajaan Selangor tidak pernah membuat pengumuman rasmi pemberian baucer RM200. Sebaliknya hanya memberi baucer RM30 untuk keluarga berpendapatan rendah untuk membeli kasut sekolah anak-anak di BATA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di PKM DUN Selat Klang di sini, hari ini. Hadir sama Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin dan pegawai PKM DUN Selat Klang.
Sementara itu, Manivanan Gowin yang juga merupakan seorang peguam menyifatkan penyebaran SMS fitnah itu  bertujuan memburuk-burukkan pentadbiran Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.
“Seolah-olah ia dari Kerajaan Selangor. Perkataan kecuali MyDin dan Kedai 1Malaysia sengaja dikaitkan kononnya Kerajaan Pakatan Rakyat anti dan boikot kepada pasar raya yang ada kaitan dengan Kerajaan Pusat.
“Kebetulan hari ini PKM Selat Klang serahkan baucer (RM30-Kasut Sekolah) dan sebaran SMS pula semalam. Jadi, nampak sangat ia dirancang rapi untuk memburuk-burukkan Kerajaan Negeri dan Dr Halimah,” kata Manivanan.
EZY FZL
selangorkini