Loading...

Tuesday, May 6, 2014

"Malaysia Yang Paling Untung Dalam Perjanjian TPPA" Ini Hanya Cakap Politik Amerika



Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dimuktamadkan sebelum penggal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berakhir pada Januari 2017.
    
Duta AS ke Malaysia, Joseph Y Yun, berkata walaupun perjanjian perdagangan pelbagai hala itu pada asasnya rumit, semua rakan kongsi mahu memuktamadkannya secepat mungkin.
    
"Obama menamatkan penggal pentadbirannya pada 2017 dan kita kini pada Mei 2014. Oleh itu saya fikir beliau mempunyai banyak masa.
    
"Semua negara mempunyai isu dan saya melihat ia akan dimuktamadkan ketika penggal Obama. Sudah pasti," katanya di majlis meja bulat media di kedutaan AS di ibu negara, hari ini.
    
Yun diminta mengulas sama ada perjanjian TPPA akan dimuktamadkan sebelum penggal pentadbiran Obama berakhir.
    
Menurutnya, perjanjian perdagangan ini mempunyi banyak elemen, ia bukan setakat mengurangkan tarif malah ia perlu dimuktamadkan secara wajar dari segi politik serta boleh diterima di peringkat domestik.
    
TPPA adalah perjanjian dimana AS merupakan perunding utama dalam rundingan itu dan berharap akan berperanan dalam membangunkan platform yang lebih luas untuk liberalisasi perdagangan di rantau Asia-Pasifik.    
    
Malaysia kini sedang berunding dengan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Jepun untuk memuktamadkan TPPA itu.
    
Yun berkata, mengikut Institut Ekonomi Antarabangsa, Malaysia mendapat manfaat paling besar daripada TPPA.
    
Ditanya mengenai rancangan seterusnya untuk TPPA, beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Obama telah berbincang secara panjang lebar mengenai perdagangan serta pelaburan sehingga kepada sensitiviti domestik.
    
"Mereka bersetuju yang setiap orang yang terbabit dalam TPPA perlu memahami semua isu, dan menyerahkan butiran terperinci kepada menteri masing-masing untuk diselesaikan supaya kita dapat mencapai penyelesaian yang baik dan terus bergerak ke depan," katanya.
    
Kepada soalan bilakah AS menjangka tarikh akhir TPPA, Yun berkata, walaupun tiada tarikh ditetapkan, apa yang paling penting ialah mencapai perjanjian yang baik dan berkualiti tinggi.
    
Kepada soalan lain, Yun berkata, perjanjian perdagangan itu mempunyai bidang yang luas dan mempunyai 29 bab dan negara terbabit masih berunding mengenainya.
    
"Mesyuarat peringkat menteri seterusnya dijadual diadakan di Singapura. Jika anda mempunyai kepentingan khusus, anda mahu ia menyebelahi anda, tetapi jika anda tidak mempunyai kepentingan khusus, tolong bersabar sedikit dan jangan membuat pengadilan awal terhadap perjanjian itu," katanya.
    
Ditanya mengenai sesetengah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang menentang TPPA, Yun berkata: "Ia adalah mengenai bagaimana Malaysia menanganinya. Seperti yang anda tahu, selalu terdapat orang yang tidak gembira dengan perjanjian perdagangan itu.
    
"Dalam kes ini, semua kajian menunjukkan Malaysia adalah pemenang terbesar dalam perjanjian ini. Terpulang kepada kerajaan anda untuk membuka jalan agar ia diterima secara meluas," katanya.
    
-Bernama

No comments: