

SHAH ALAM 16 DIS: Dakwaan akhbar Berita Harian bahawa kegiatan curi pasir yang kononnya dilakukan di tanah rezab perkubururan Islam Bukit Enggang seluas 72 ekar adalah tidak berasas sama sekali.
Dalam satu sidang media yang diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK), Shah Alam petang tadi, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sentiasa memantau dan tahun ini sahaja, sebanyak 30 operasi pemantauan dan intipan dibuat di kawasan tersebut.
"Tanah yang dilaporkan ini bukan tanah kubur yang sedang dipohon oleh Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS). Dia kata curi pasir tersebut adalah dijalankan bukan berlaku di tanah kerajaan tetapi berlaku di tanah milik persendirian, maknanya bukan tanah yang dipohon untuk kubur tapi tanah milik persendirian. Maknanya laporan (Berita Harian) ini tidak tepat," kata beliau kepada media.
Beliau menjelaskan lot-lot tanah persendirian yang telah dikenalpasti berlakunya kegiatan curi pasir adalah di Lot 3506 (GM110), Lot 3507 (GM5030), Lot 5343 (PT11352), Lot 5380 dan Lot 3505 di mana kesemuanya terletak di Ulu Sungai Long, Hulu Langat.
"Maknanya, apa yang dlaporkan oleh Berita Harian tadi tak tepat, yang diceroboh tu adalah tanah milik persendirian, sedangkan tanah yang dipohon untuk kubur adalah tanah kerajaan," kata beliau lagi.
Yaakob seterusnya menjelaskan kerajaan Selangor melalui Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat (PTDHL) aktif membuat pemantauan di kawasan yang dikenalpsti dan tahun ini sahaja, dua mesin pengaut (excavator) dan dua biji bateri lori telah dirampas dari kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Suhaimi Shafie yang turut bersama dalam sidang media menjelaskan bahawa tanggungjawab menjaga tanah persendirian terletak pada pemilik tanah tersebut dan pemilik yang menjalankan kegiatan mencuri pasir selalunya memagar tanah mereka dan menghalang PTDHL membuat tinjauan.
Beliau seterusnya menjelaskan kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk merampas tanah walaupun milikan persendirian sekiranya didapati kegiatan mencuri pasir dijalankan seperti termaktub dibawah Akta Kanun Tanah Negara.
"Untuk tanah (dari kedalaman) enam kaki ke atas memang dibawah kuasa tuan punya tanah tetapi di bawah itu addalah, kalau diambil, dikorek adalah menyalahi Akta Kanun Tanah Negara 426, di mana kerajaan negeri berhak mengeluarkan, bermula dengan Borang 5A, kemudian 7A, 7B dan ahkir sekali Borang 8A, iaitu untuk rampas tanah," jelas beliau.
Beliau seterusnya menjelaskan walaupun kerajaan negeri mempunyai hak merampas tanah tersebut tetapi tidak boleh dirampas begitu sahaja dan perlu memberikan notis kepada pemilik tanah mengikut peruntukan undang-undang untuk memulihkan tanah tersebut.
Katanya lagi, hanya apabila pemilik tanah gagal menjalankan pemulihan terhadap tanah tersebut, proses merampas tanah akan dimulakan oleh kerajaan negeri.
Satu usul untuk menggantung tiga wakil rakyat berkenaan atas dakwaan menghina dewan tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.
Keputusan itu, bagaimanapun didakwa dilakukan tanpa mengemukakan notis tujuh hari.Ia dibuat Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membuat usul berkenaan terhadap Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R Sivarasa (PKR-Subang).
Azmin yang ditemui media di lobi parlimen berkata keputusan Speaker berubah dalam masa satu hari untuk menggantung ahli parlimen Pakatan Rakyat.
"Semalam mereka mahu menggantung ahli parlimen Permatang Pauh dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor). Tapi dalam masa satu hari keputusan diubah di mana saya, Sivarasa dan Karpal Singh akan digantung enam bulan bermula esok.
"Jadi saya mahu tanya Speaker peraturan mana yang digunakan ke atas kami kerana saya tidak diberikan notis," katanya.Menurut Azmin, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 27, dewan perlu memberi notis tujuh hari sebelum tindakan menggantung mana-mana ahli dewan.
"Ini tidak dilakukan kerana nama saya tidak ada di situ semalam.
"Kecuali Speaker setuju dengan usul menteri. Itu yang kita mahu tahu daripada Speaker atas dasar apa beliau setuju dengan menteri," katanya.
Azmin berkata ahli parlimen yang digantung, sekurang-kurangnya dibenarkan untuk merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk membenarkan beliau mempertahankan diri.
"Beliau (speaker) terus berkata saya telah membuat keputusan. Anda tidak ada hak menentang," katanya.
Azmin, pagi tadi diarahkan keluar dewan sehingga jam 2.30 petang.
Karpal Singh dan Sivarasa, adalah ahli Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Mereka didakwa menghina dewan selepas membuat kenyataan di luar parlimen berhubung prosiding jawatankuasa itu pada 3 Disember lalu.Kedua-dua mereka didakwa telah mendedahkan keterangan dan surat Apco semasa berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa.
Tindakan itu dikatakan menyalahi Peraturan Mesyuarat 85, apabila menyatakan bahawa kenyataan dan surat yang diberikan kepada ahli jawatankuasa itu tidak boleh disiarkan kepada sesiapa sehingga notis itu dibentangkan di Dewan Rakyat.
Sementara Azmin pula, dalam notis bertarikh 6 Disember di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), didakwa telah menyentuh keterangan dan surat Apco yang telah diserahkan kepada jawatankuasa itu.Tindakan ketiga-tiga, mereka itu dikatakan melanggari hak keistimewaan mereka sebagai ahli parlimen dan menghina dewan, katanya.
Usul menghina dewan ke atas ketiga-tiga ahli parlimen tersebut dikatakan berkaitan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihadapkan ke jawatankuasa itu selepas mendakwa kempen 1Malaysia mempunyai persamaan dengan 'One Israel' melalui syarikat perundingnya, Apco Worldwide.
Jawatankuasa itu telah membentangkan keputusannya di Dewan Rakyat dan mencadangkan Anwar digantung daripada Parlimen selama enam bulan.
KUALA SELANGOR, 13 Dis – Kerajaan Negeri Selangor sentiasa membawa perubahan yang memanfaatkan rakyat dan bukannya membuat perubahan hanya semasa musim pilihan raya seperti yang dibuat oleh kerajaan negeri sebelumnya, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Macam dulu, sebelum pilihan raya kata ’setuju’, lepas pilihan raya, ‘tak tahu’, ataupun sebelum pilihan raya buat jalan, lepas itu habis pilihan raya, jalan tak siap pun dia tinggalkan. Masalah sebeginilah yang kita mahu selesaikan,” kata Khalid pada Program Turun Padang Pemimpin Negeri Selangor Bersama Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Kuala Selangor yang diadakan di Kolej Inspen, Kuala Selangor hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedar JKKK mengharapkan satu perubahan yang cukup besar dan bukannya perubahan yang hanya berlaku setiap kali adanya pilihan raya kerana projek pembangunan yang dijalankan secara tiba-tiba, semata-mata untuk mendapatkan undi tidak berkualiti dan ada juga para kontraktor yang diupah pada masa itu masih tidak dibayar.
Katanya lagi, ada juga wakil rakyat dahulu yang ‘pejam mata’, sanggup meluluskan projek mengusahakan tanah simpanan kerana takut tidak mendapat undi, sedangkan tanah tersebut tidak boleh digunakan untuk apa-apa projek.
Khalid seterusnya menjelaskan kepada hadirin bahawa kerajaan negeri Selangor telahpun memperuntukkan kira-kira RM600 juta untuk pembangunan seluruh negeri Selangor dan daripada jumlah itu, kira-kira RM200 juta diperuntukkan, khusus untuk pembangunan masyarakat Islam.
“Peruntukan yang paling besar, hampir RM200 juta adalah untuk pembangunan pendidikan, perumahan, warga miskin, bagi masyarakat Islam, iaitu satu pertiga daripada keseluruhan bajet,” kata beliau lagi.
Selain itu, beliau juga memberitahu berkenaan peningkatan elaun ketua kampung kepada hadirin.
“Elaun ketua kampung, kita dah setuju, kita telah buat pengumunan bahawa, oleh kerana kita mahu sama ratakan pendapatan ketua kampung, jadi kita tingkatkan elaun ketua kampung kepada RM800,” kata beliau di hadapan kira-kira 300 ketua kampung dan ahli JKKK dari seluruh daerah Kuala Selangor.
Program yang bertujuan mendapatkan maklum balas terus daripada rakyat berkenaan pentadbiran kerajaan negeri di daerah Kuala Selangor ini turut dihadiri Pembantu EXCO Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, para Ketua Jabatan Kerajaan Negeri, jurutera dan wakil daripada Majlis Daerah Kuala Selangor(MDKS) serta wakil Pejabat Tanah Daerah.
Sumber: Pej Selangorkini