Tuesday, June 25, 2013

Jika IPU Mencecah Lebih 250 Maka Sekolah Boleh Ditutup.


Sekolah yang terletak dalam kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 250 boleh ditutup dengan memaklumkannya terlebih dahulu kepada Kementerian Pendidikan. 
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dalam satu kenyataan semalam berkata keputusan itu dibuat demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena jerebu.
Katanya satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Keadaan Jerebu yang diadakan di Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya hari ini meminta kementerian mengambil tindakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
Menurutnya berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah wajib ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 300.
Bagaimanapun, sekiranya keadaan jerebu di kawasan tersebut memberi kesan yang teruk kepada murid-murid atau bacaan IPU dalam lingkungan 250 hingga 300, Jabatan Pelajaran boleh merujuk Kementerian Pendidikan untuk pertimbangan arahan penutupan sekolah.
Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan juga semua sekolah yang telah ditutup dan terletak di kawasan bacaan IPU kurang daripada 250 perlu dibuka semula.
"Sehubungan dengan keputusan mesyuarat tersebut, serta demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersetuju agar sekolah-sekolah yang terlibat boleh ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah bacaan melebihi 250 dan perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada KPM," kata Abd Ghafar.-- Bernama, 

Monday, June 24, 2013

JEREBU: Nasihat Kesihatan Dari Director General Of Health Malaysia.



JEREBU
(Memanjangkan mesej Pengarah Kesihatan Msia)

Saya selaku Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia menyarankan orang ramai supaya menjaga kesihatan masing-masing semasa kita menghadapi situasi jerebu ini dan ikut nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Saya juga mohon jasa baik semua untuk sama-sama berkongsi ("share") maklumat yang dimuatkan di dalam Facebook ini dari semasa ke semasa sebagai tanda kita sebagai satu masyarakat mengambil berat terhadap satu sama lain.

GOLONGAN ORANG YANG BERISIKO TINGGI SEMASA JEREBU

Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung , pesakit jantung dan respiratori juga mereka yang sensitive kepada habuk, orang yg merokok termasuk mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah

NASIHAT KESIHATAN SECARA UMUM UNTUK MENCEGAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU

i. Orang ramai dinasihatkan supaya, sejauh mana yang boleh, berada di dalam bangunan.

ii. Kurangkan aktiviti lasak di luar rumah.

iii. Orang ramai dinasihatkan supaya kerap membasuh muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kepada jerebu.

iv. Orang ramai dinasihatkan supaya minum banyak air.

v. Mereka yang menggunakan kenderaan yang berhawa dingin hendaklah menghidupkan alat penghawa dingin (mod: kitaran dalam) dan menutup semua tingkap

vi. Penutup hidung dan mulut hendaklah digunakan oleh mereka yang melakukan aktiviti di luar terutamanya mereka yang berisiko tinggi.

vii. Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan penyakit bertambah teruk.

viii. Perokok dinasihatkan supaya berhenti merokok.

ix. Sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada media massa dan mengikut nasihat daripada pihak berkuasa.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah,
Director General Of Health Malaysia.

Friday, June 21, 2013

N08 Sg Burong Shamsudin Lias Ketua Pembangkang Selangor



SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong Datuk Mohd Shamsuddin Lias sebagai Ketua Pembangkang negeri yang baharu.
Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara daripada kesemua 12 Adun BN serta mendapat restu Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Najib Razak.
“Kami telah mengemukakan cadangan itu kepada Pengerusi BN semalam dan beliau turut bersetuju dengan pelantikan Shamsudin,” katanya dalam sidang media di Bangunan Umno Selangor di sini hari ini.
Noh berkata, pelantikan Shamsudin dibuat berdasarkan pengalamannya sebagai wakil rakyat sejak tiga penggal berturut-turut serta latar belakangnya yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah selain beberapa jawatan dalam jabatan awam.
Shamsuddin, 60, juga adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang dan pernah dinamakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor namun tawaran itu ditolaknya.
Sementara itu, Adun Jeram Datuk Amiruddin Setro dilantik sebagai Timbalan Pembangkang Selangor dan Adun Sungai Panjang Budiman Zohdi sebagai Setiausaha.
Ketua Pembangkang sebelum ini disandang bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo namun ekoran penglibatannya dalam kes rasuah jawatan itu digantikan dengan bekas Adun Seri Serdang Datuk Dr Mohamad Satim Diman.
Mohamad Satim bagaimanapun digugurkan dalam senarai calon BN bertanding semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Sementara itu, Shamsudin ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya berikrar akan bekerjasama dengan teman seperjuangan lain untuk menjadi pembangkang yang berkesan di Selangor.
Katanya, antara isu utama yang akan dibangkitkan adalah manifesto Selangor, ‘Akujanji’ yang dilafazkan Menteri Besar dan Exco Selangor serta mempertahankan Perlembagaan termasuk hak istimewa Raja-Raja.
PRU13 menyaksikan BN memperoleh 12 kerusi DUN Selangor, dan jumlah ini berkurangan berbanding 20 kerusi yang diperoleh BN semasa PRU12.
Mereka yang tinggal adalah Adun Kuang Abdul Shukur Idrus, Sulaiman Abdul Razak (Permatang), Jakiran Jacomah (Bukit Melawati), Halimaton Saadiah Bohan (Kota Damansara), Shahrum Mohd Sharif (Dengkil), Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Batang Kali), Kamarol Zaki Abdul Malik (Sungai Air Tawar) Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam), selain Budiman, Amiruddin dan Mohd Shamsudin.
Manakala bagi kerusi Parlimen di Selangor, BN hanya memperoleh lima (empat kerusi Umno, satu MIC) daripada 22 kerusi semasa PRU13 lalu.


fmt

Perang Besar Jika Pemiihan YDP Dewan Rakyat Tidak Melalui Undi Rahsia-DSAI



Blok pembangkang memberi amaran untuk memberi tentangan keras sekiranya pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 24 Jun tidak dijalankan melalui secara undi rahsia.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Parlimen akan berdepan dengan "perang besar" dari blok pembangkang sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.

"Kalau kamu gagal bersikap jujur dalam Parlimen, kamu nak langgar pemilihan Speaker, kamu berdepan dengan perang besar pada 24 Jun ini," katanya.
Beliau mensasarkan amaran tersebut kepada sekretariat Parlimen, yang akan menjalankan pengundian tersebut.
Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Anwar sekali lagi menekankan bahawa gabungan parti itu mahu bekas hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Kadir Sulaiman dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pakatan juga akan mencadangkan ahli parlimen Tumpat Datuk Kamruddin Jaafar untuk jawatan timbalan speaker.

Anwar berkata Pakatan dimaklumkan tempoh speaker bagi sesi lalu akan tamat pada 23 Jun ini.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat secara konsensus meminta beliau menyambung sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat

Anwar turut mengulangi bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir dalam majlis angkat sumpah bagi menghormati Yang di-Pertuan Agong yang akan merasmikan sesi parlimen kali ini.


malaysiakini

Wednesday, June 19, 2013

7 Check-Point Blackout 505


Pakatan Rakyat dan pemimpin NGO akan berkumpul di tujuh tempat di Kuala Lumpur pada Sabtu sebelum bergerak ke Padang Merbok untuk acara perhimpunan ‘Black 505'.

Tempat-tempat itu:

Brickfields - dipimpin oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan pemimpin BERSIH Maria Chin Abdullah
Masjid Negara - dipimpin oleh anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali

Jalan Pudu - dipimpin oleh Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai, setiausaha organisasi parti Anthony Loke, pemimpin kumpulan anti-Lynas Wong Tack dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Jalan Raja Laut (pejabat PAS) - dipimpin oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Mohamad Sabu

Jalan Raja Laut (Sogo) - dipimpin oleh Naib Presiden PKR Tian Chua dan NGO bekas-bekas pesara tentera

Universiti Malaya - dipimpin oleh aktivis mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan

Pekeliling - dipimpin oleh Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub dan NGO ANAK


-malaysiakini

Pemerintah Hari Ini Harus Vertikal , Turun Padang



Selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia berjumpa dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada Sabtu lalu, kini giliran orang kanannya pula, Mohamed Azmin Ali ke negara republik itu.
Timbalan Presiden PKR itu dilaporkan ke Indonesia untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Gabenor DKI Jakarta, Ir H Joko Widodo.
Menurut laporan di blognya, azminali.com, kunjungan hormat itu antara lain turut membabitkan perbincangan dua hala bersama Widodo mengenai isu pembangunan fizikal dan kemanusian kedua-dua negara.
"Widodo menegaskan bahawa pemerintah hari ini tidak lagi harus berfalsafah horizontal tetapi harus lebih ke bawah, vertikal.
"Widodo juga berkata, kerajaan yang efektif hanya memerlukan masa kira–kira empat hingga lima jam sehari di pejabat dan selanjutnya kerja di lapangan," katanya.
Difahamkan, pertemuan itu turut disertai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskadar Mat Akin dan berlangsung selama sejam.
Minggu lalu, telah bertemu dengan Susilo bagi membincangkan pelbagai isu termasuk isu pilihan raya.
Dalam pada itu, Anwar juga dilaporkan mengadu tentang 'kecurangan' PRU13 lalu kepada Presiden Indonesia itu dan bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla (JK).
Memetik laporan media Indonesia, VIVAnews, Ketua Umum PKR itu membuat pengakuan itu dalam satu sidang media bersama pemberita Indonesia.
"Saya beritahu Presiden bahawa isu kecurangan belum selesai, tidak boleh dibiarkan begitu saja," dakwa Anwar.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin juga berkata pertemuan itu turut membincangkan cabaran dalam memerangi gejala rasuah di Indonesia dan Malaysia.
"Kedua tokoh yakin dan percaya bahawa sistem pentadbiran yang baik dan kerajaan yang efektif akan memastikan gejala rasuah dapat dikurangkan selain daripada iltizam politik yang jelas untuk perubahan.
Tambahnya, beliau juga sempat berkongsi pandangan bersama Jokowi tentang isu pengangkutan awam dan rumah mampu milik selain isu pilihan raya dan kebebasan media di Malaysia dan Indonesia.
- Sinar Harian

Tuesday, June 18, 2013

Proton V6 Tukar Honda Accord


Sisa-sisa projek kereta nasional akan berakhir tidak lama lagi kerana Putrajaya akan menggantikan penggunaan Proton Perdana V6 yang telah lama sebagai limosin rasmi dengan Honda Accord sementara kerajaan negeri Pahang akan menggunakan Volkswagen Passat.
Kedua-dua model sekarang ini dipasang oleh pemegang saham terbesar Proton Bhd iaitu DRB-Hicom Bhd di Pekan di mana ahli Parlimennya adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kenderaan baru itu untuk menteri Kabinet, timbalan menteri dan ahli majlis kerajaan negeri (Exco). Jumlah kos keseluruhan pembelian masih belum ditentukan.
Kerajaan negeri lain perlahan-lahan telah menggantikan Perdana yang mempunyai kapasiti enjin dua liter dan dibuat pada tahun 2010 – sekarang ini terbukti mahal untuk diselenggara.
The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua kerajaan pusat dan kerajaan negeri Pahang telah menolak Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi mereka kerana ianya dipasang di negara jiran Thailand.
“Pertimbangan utama adalah kenderaan mestilah dipasang di sini,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.
Beliau mengatakan Putrajaya akan menggunakan model Honda Accord berkapasiti enjin 2.4 liter sementara kerajaan Pahang akan mengambil Volkswagen Passat berkapasiti enjin 2.0 liter. Difahamkan, sebuah Volkswagen Toureg juga telah dibeli untuk kerajaan negeri Pahang.
Penggantian lain bagi Perdana termasuk Mercedes-Benz E200 Kompressor oleh kerajaan Terengganu pada tahun 2008, menggantikan Perdana V6 Eksekutif tahun 2004 mereka.
Kedua-dua Selangor dan Perak juga telah menggantikan Perdana mereka dengan Toyota Camry sementara kerajaan negeri Sabah menggunakan Volvo S80s.
Proton telah melancarkan model berkos rendah Saga SV hujung minggu lalu akan tetapi tidak menyatakan sama ada akan mengeluarkan model berkuasa tinggi yang boleh menggantikan Perdana.
Terdapat spekulasi tentang model baru Perdana berasaskan Passat apabila perjanjian diantara Proton dan Volkswagen dibincangkan sekitar 2004-2007. Akan tetapi rancangan itu dibatalkan apabila Volkswagen mengumumkan rundingan kerjasama menemui kegagalan.
Terdapat juga perbincangan diantara Proton dan Mitsubishi pada 2005 untuk model baru Perdana berasaskan Mitsubishi 380 sedan yang menghentikan pengeluaran pada 2008.
Spekulasi lain tentang penggantian Perdana adalah menggunakan platform Proton Exora iaitu Nissan Fuga atau berkongsi casis dengan Honda Accord akan tetapi tiada perkembangan.
Perdana merupakan model terbaik Proton yang menggeluarkan model pertama Saga pada tahun 1985 dalam program industri berat dimulakan oleh perdana menteri paling lama berkhidmat Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana SEi diperkenalkan buat pertama kali sedekad selepas model pertamanya dan dibuat dari 1995 hingga 1998. Ia berdasarkan kepada platform Mitsubishi Galant dan menggunakan enjin 2.0L 4G63 SOHC pembuat kereta Jepun itu.
Generasi pertama Perdana merupakan model pertama Proton menawarkan sistem brek anti-kunci (ABS) dan kawalan pemanduan. Pada tahun 1997, Perdana diberikan wajah baru dengan jeriji krom, reka bentuk rim baru, warna badan yang baru dan hiasan dalaman dipertingkatkan.
Pada tahun 1999 Proton menggeluarkan Perdana yang menggunakan enjin Mitsubishi 2.0L 6A12 V6 dengan bodykit dan rim 16 inci. Pada tahun 2003, Perdana V6 telah melakukan prubahan yang besar dan diberi wajah serta bumper baru. Di dalam, perubahan besar turut dilakukan. Model ini kekal dijual sehingga awal 2010.
Terdapat juga Proton Perdana V6 versi mewah dengan kepanjangan melebihi 25 cm (10 inci) di pintu sisi - di gelar Proton Perdana V6 Executive yang diubah oleh Automotive Conversion Engineering (ACE), salah satu unit EON - khusus dalam membangunkan limosin untuk negarawan.
Seperti Perdana asal, Perdana V6 juga tidak dieksport ke Eropah.
- The Malaysian Insider

Monday, June 17, 2013

Pendamaian Nasional Selepas Blackout 505


Putrajaya mesti menyelesaikan isu penipuan pilihan raya dalam Pilihan Raya 2013 sebelum bercakap soal perdamaian nasional dengan Pakatan Rakyat (PR), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. 

Ketua pembangkang itu mengatakan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengusulkan perdamaian nasional kekal sebagai cakap kosong sekiranya tiada apa dilakukan untuk menyelesaikan penipuan, kecurangan dan salah tadbir oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya umum 5 Mei. 

“Selesaikan soal Pemilu (pilhan raya umum) yang curang. Rekonsiliasi itu harus berlaku. Walau apa cara sekalipun, isu kecurangan itu perlu ditangani dengan serius,” katanya kepada pemberita di Jakarta pagi ini, seperti dilaporkan oleh Keadilan Daily.
 
Pemimpin de facto PKR itu berada di ibu kota Indonesia selepas lawatan tiga hari ke negara itu di mana beliau bertemu dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. 

Terdapat spekulasi beliau turut akan bertemu Najib yang secara kebetulan berada di Jakarta. 

Anwar menafikan terdapat pertemuan dan rancangan untuk pertemuan seperti itu. 

“Tidak ada pertemuan. Tidak ada rencana untuk adakan pertemuan. Jika ada, ianya harus telus. Rakyat perlu tahu, pimpinan seluruh partai perlu tahu,” katanya kepada pemberita di Hotel Crown Plaza, Jakarta. 

The Malaysian Insider difahamkan Najib juga dijadualkan untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan Yudhoyono yang telah menyatakan kebimbangan berkenaan dengan keputusan pilihan raya Malaysia. 

Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Najib berjaya mempertahankan Putrajaya dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding PR 89 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Majoriti BN kurang tujuh berbanding kemenangan Pilihan Raya 2008 di bawah perdana menteri pada ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Dalam sidang akhbar itu, Anwar mengulangi tuntutan agar perubahan berlaku dalam kepimpinan SPR dan kerajaan membenarkan perhimpunan Black 505 di Padang Merbok Sabtu depan yang mahukan tuntutan sama. 

“Najib perlu tahu. Pokoknya kecurangan pemilu,” kata Anwar menggunakan bahasa Indonesia menjelaskan, himpunan Black 505 akan tetap diteruskan di Padang Merbok, walaupun terdapat amaran ianya adalah perhimpunan haram. 

Pemimpin PKR itu turut menyelar kerajaan berhubung penangkapan 15 peserta ‘flashmob’ Black 505 di hadapan gedung membeli-belah Sogo di ibu kota Malaysia semalam. 

Katanya, tangkapan tidak ubah seperti suasana sebelum merdeka apabila pengedaran risalah dianggap sebagai kesalahan. 

“Sedangkan ini cara baru anak muda memperjuangkan keadilan dan menolak perkauman. Kemunculan anak-anak muda sebelum dan selepas pemilu luar biasa,” katanya. - June 16,2013 


malaysianinsider

Thursday, June 13, 2013

Selepas PRU-13 , Seteru Najib Adalah Ku Li ?



KUALA LUMPUR, 13 Jun – Tengku Razaleigh Hamzah telah bertemu dengan lebih ramai ahli Parlimen daripada kedua-dua gabungan bertelagah minggu ini dalam usaha untuk dipilih sebagai perdana menteri selepas Parlimen bermula pada 24 Jun, kata sumber.

The Malaysian Insider difahamkan, putera raja Kelantan itu telah mengaturkan mesyuarat di rumah a la White Housenya di Langak Golf di sini untuk membincangkan strategi mendapatkan cukup angka dalam Parlimen ke 13 untuk mengambil alih jawatan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau hanya memerlukan 112 undi, termasuk dirinya, jika usul diluluskan bagi 222 anggota Dewan Rakyat memilih perdana menteri. Akan tetapi masih diragui sama ada beliau boleh mendapatkan cukup sokongan untuk menjatuhkan Najib.
“Sesetengah ahli Parlimen bersetuju Ku Li adalah satu-satunya boleh menyediakan kepimpinan,” kata sumber yang biasa dengan mesyuarat tersebut kepada The Malaysian Insider merujuk kepada nama samaran putera raja Kelantan itu.
“Kita bercakap tentang sokongan dari PAS dan DAP juga,” tambah beliau.
PAS dan DAP masing-masing memenangi 21 dan 38 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 5 Mei yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 133 kerusi Parlimen, lebih rendah tujuh berbanding 140 dimenanginya pada Pilihan Raya 2008.
Sekutu PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR), PKR mendapat 30 kerusi Parlimen dan pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai calon gabungan itu bagi jawatan perdana menteri jika mereka menawan Putrajaya.
Satu sumber lain mengatakan Tengku Razaleigh dilihat sebagai calon kompromi oleh ahli-ahli Parlimen BN yang tidak menyokong sama ada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Anwar untuk jawatan tertinggi itu.
“Pemilihan untuk ahli-ahli Parlimen BN yang tidak gembira mudah. Ku Li atau Muhyiddin akan tetapi memilih TPM bermakna penerusan polisi Mahathir. Tiada beza diantara Najib dan Muhyiddin.
“Ku Li sebagai PM akan bebas daripada polisi seperti itu,” kata sumber kepadaThe Malaysian Insider merujuk kepada pesaing ahli Parlimen Gua Musang itu, perdana menteri paling lama berkhidmat, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kem Mahathir sudah memberikan tekanan kepada Najib untuk membuang penasihat-penasihatnya yang mana strategi mereka menyebabkan prestasi buruk BN dalam PRU13. Najib masih belum melantik semula setiausaha politiknya yang kalah akan tetapi ahli strategi “bilik perang” kekal bertugas, dengan dua daripada mereka masing-masing dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.
Pelantikan Kabinet Najib bulan lepas menyebabkan kemarahan beberapa ahli Parlimen terutamanya dari Sabah dan Sabah yang merasakan mereka layak diberikan jawatan tinggi kerajaan.
Difahamkan Najib telah menjanjikan sesetengah daripada mereka jawatan dalam agensi kerajaan beberapa minggu lagi.
Akan tetapi beberapa ahli Parlimen BN dari Malaysia Timur yang tidak berpuas hati bertemu dengan Tengku Razaleigh Hamzah Isnin malam bagi membincangkan pilihan masa depan mereka.
Ahli-ahli Parlimen yang dipilih pada pilihan raya umum 5 Mei berada di sini selama dua hari untuk diterangkan tentang prosedur dan etika Parlimen.
BN mendapat 47 daripada 56 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, menyumbangkan satu pertiga dari 133 kerusi mereka menangi daripada 222 jumlah kerusi di Parlimen.
Walau bagaimanapun, Najib hanya memberikan 20 jawatan menteri dan timbalan menteri kepada ahli Parlimen Malaysia Timur, menyebabkan parti seperti SPDP dari Sarawak hanya mempunyai satu wakil walaupun menang empat kerusi Parlimen.
Sebaliknya MIC dari semenanjung Malaysia menyaksikan empat ahli Parlimen mereka mendapat jawatan menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran Najib – yang mempunyai 32 menteri penuh termasuk lapan di Jabatan Perdana Menteri


malaysianinsider

Wednesday, June 12, 2013

Pemilihan Umno Lebih Ditakuti Najib Dari PRU


ULASAN : Sejauh mana keberanian Umno untuk merealisasikan tujuh pindaan perlembagaannya yang dimeterai pada Oktober 2009 menjelang pemilihan pada penghujung tahun ini masih belum teruji.
Mengikut pindaan yang diluluskan itu,146,500 anggota peringkat akar umbi akan memilih secara langsung pucuk pimpinan parti berbanding 2,500 perwakilan sahaja sebelum ini. Mereka juga akan memilih langsung pimpinan di bahagian masing-masing.
Pindaan ini dibuat kononnya ekoran rasuah politik (politik wang) yang sudah tidak dapat dikawal lagi selain memperlihatkan parti tersebut lebih demokratik dan tidak dikuasai oleh golongan yang berduit.
Sistem kuata sebelum ini yang memperuntukan sokongan 30 peratus (57 Bahagian) untuk jawatan Presiden,Timbalan Presiden – 20 peratus (38 bahagian), Naib Presiden – 10 peratus (19 bahagian), Anggota Majlis Tertinggi – 5 peratus (10 bahagian), Ketua Pemuda – 20 peratus (38 bahagian), Ketua Wwanita – 20 peratus (38 bahagian),    Ketua Puteri – 20 peratus (38 bahagian).
Selain itu, untuk jawatan naib bagi ketiga-tiga sayap parti itu pula, hanya perlu mendapat sokongan sebanyak 28 bahagian atau 15 peratus.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata jawatan presiden dan timbalan presiden Umno patut dipertandingkan. Katanya sebagai parti demokratik dan bersifat inklusif, apa saja jawatan dalam parti perlu melalui proses pertandingan.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sistem pemilihan sedia ada untuk jawatan tertinggi itu sudah memadai dan lebih baik berbanding sistem kuota yang diamalkan sebelum ini.
Katanya sekiranya Umno kembali menggunakan sistem kuata. parti tersebut di lihat semakin berundur kebelakang.
Tiru PKR Bukan Transformasi Dalam Umno
Ramai yang masih ingat bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno mengkritik PKR ketika pemilihan parti itu pada November 2010 lalu.
Tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang keluar PKR dan menubuhkan parti KITA dijadikan bahan rujuk oleh Umno memberikan gambaran perpecahan dalam PKR.
Sedangkan Umno tidak pernah membuat pemilihan sejak 2009 hingga ke saat ini disebabkan takut dengan perpecahan dalam parti.
Begitu juga ketika PRU 13 lalu Jawatankuasa disiplin Umno menerima 99 aduan berhubung isu calon BN ditikam daripada belakang.
Ketika pengumuman tindakan Umno membuat tujuh pindaan perlembagaannya, Najib dengan bangganya mengumumkan pindaan tersebut merupakan sebahagian dari tranformasi beliau untuk meremajakan kembali Umno.
Najib mungkin menang dari sudut moralnya ketika itu disebabkan beliau belum pernah di uji termasuk pemilihan dalam parti mahupun PRU.
Senario tersebut berbeza ketika ini apabila menyaksikan kegagalan BN menambah kerusi parlimen sebaliknya hilang tujuh lagi kerusi parlimen ketika PRU 13 lalu.
Prestasi Najib juga dilihat lebih buruk dari pencapaian Tun Abdullah Badawi ketika PRU 12 yang memenangi 140 kerusi parlimen.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam blognya berkata, kemenangan Umno kali ini bukan kerana kekuatan Umno ataupun perpaduan dalam Umno, kemenangankali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu akan kehilangan kuasa kepada DAP dan PKR khususnnya.
Kenyataan ini membuktikan Dr Mahathir sendiri mengakui kegagalan Najib. Namun di sebabkan Dr Mahathir terpaksa mengharapkan ihsan Najib untuk meletakkan anak beliau (Mukhriz) menerajui Kedah, Mahathir terpaksa menyembunyikan siratan hati beliau buat seketika.
Di sudut ekonomi pula menyaksikan keadaan defisit negara sedang berada dalam keadaan nazak di paras 53 peratus berbandik KDNK. Dari sudut nilainya pula hutang negara melebihi RM502 bilion.
Dalam kata lain daripada 28 juta rakyat negara ini serta setiap anak yang bakal lahir di Malaysia berhutang dengan bank dunia dianggar berjumlah RM17,928 seorang.
Kegagalan Tranformasi Bakal Dihukum
Angka ekonomi ini menyerlahkan lagi kelemahan Najib. Peluang ini tentunya akan dipergunakan oleh team Muhyiddin serta calon yang layak terutamanya Naib-Naib Presiden untuk menentang Najib.
Penghapusan sistem kuata dan penglibatan 146,500 anggota peringkat akar umbi untuk memilih secara langsung pucuk pimpinan parti membuka laluan yang lebih besar kepada calon yang dianggap layak untuk bertanding diperingkat tertinggi
Penolakan masyarakat Cina, Melayu dan India terhadap BN dan kepimpinan Umno yang di ketuai Najib boleh dijadikan senjata oleh pencabar Najib.
Pemulauan MCA dan Gerakan dari menyertai kabinet Najib mencerminkan kempen dan slogan 1Malaysia Najib gagal mencapai matlamatnya.
Begitu juga dengan sambutan penduduk bandar yang terlalu dingin dan menolak Umno-BN secara total. BN kalah hampir disemua kawasan bandar di seluruh negara dalam PRU 13 lalu.
Ini juga disuluh sebagai kegagalan tranformasi Najib yang gagal membawa orang-orang Melayu dibandar untuk menyokong Umno-BN.
Lebih menakutkan, era Najib membawa Umno berubah dari moderate Melayu menjadi extremist Melayu yang bersifat rasis dan mengalakkan kempen permusuhan di antara kaum.
Kenyataan-kenyataan pemimpin Umno di semua peringkat terpaksa menggunakan pelbagai sentimen perkauman, fitnah, sentimen agama dan sebagainya untuk mengembalikan kekuatan Umno.
Sentimen ini ternyata membawa Umno kembali ke era 1970an. Manakala pembangkang pula dilihat mengorak selangkah demi selangkah menuju kepada realiti politik pelbagai kaum untuk masa depan negara.
Ramai yang ternanti-nanti, apakah Najib bakal menerima hukuman dari kegagalan beliau dalam pemilihan Umno penghujung tahun ini?.

selangorku

Black 505: Merantau Ke Seluruh Pelosok Malaysia


KANGAR: Sekalipun berstatus negeri terkecil di malaysia, sekitar 7,000 orang membanjiri dataran kompleks perniagaan di Kampung Bakau dekat sini malam tadi dalam program Black 505 peringkat negeri Perlis.

Himpunan membantah penipuan di dalam pilihan raya umum ke 13 baru-baru ini dianggap sebagai antara himpunan paling besar pernah diadakan di negeri ini sekaligus menggambarkan satu fenomena kebangkitan rakyat menuntut sebuah sistem pilihan raya yang lebih telus di negara ini selain mendesak pimpinan tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya mletakkan jawatan.

Walaupun pada awalnya, pihak polis dikatakan tidak memberikan kebenaran bagi mengadakan perhimpunan ini, program tetap diteruskan dengan kehadiran orang ramai dari pelbagai kaum.

(Berdiri sambil menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat)

Ia juga untuk menyambut kehadiran pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Majlis bermula dengan ucapan dari pimpinan tempatan termasuk Ketua Cabang PKR Kangar, Ko Chu Liang; Pengerusi PKR Perlis, Mohd Faisol Abdul Rahman; ADUN PAS Sanglang, Mohd Shukri Ramli serta Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob.

Turut menyampaikan ucapan, wakil DAP, Syed Araniri Syed Ahmad Al-Idrus; ADUN Indera Kayangan; Chan Ming Kai; Setiausaha Perhubungan PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman; Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail; ADUN Sidam, Dr Robert Ling dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Majlis yang disusuli dengan tepukan dan tiupan trumpet oleh hadirin ini dimeriahkan lagi bila Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin mengambil pentas.

Seterusnya, majlis dikendalikan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan sejurus kemudian beliau menjemput Mohamad Sabu untuk menyampikan ucapan sebelum di akhiri dengan ucapan oleh Anwar.

Majlis diakhiri dengan semua pimpinan dan hadirin menyanyikan lagu Negaraku.


-harakahdaily

Kebanjiran Pendatang Filipina Menjejaskan Kek Ekonomi Warga Tempatan

Lubuk cari makan warga Filipina

LAHAD DATU  –  Masalah kebanjiran warga asing di sekitar kawasan Lahad Datu bukan sesuatu perkara yang baru.

Bagi penduduk di daerah itu, kisah warga asing yang menjadi  ‘raja’  tepi jalan dan kaki lima  adalah fenomena biasa yang dapat dilihat sejak sekian lama.

Tinjauan di sekitar kawasan Pekan Lahad Datu  semalam mendapati  tidak kurang 200 penjaja tanpa lesen mendominasi kawasan kaki lima sekitar Pasar Rakyat Lahad Datu.

Kebanyakan mereka menjual sayur-sayuran, barangan kering malah  ada juga yang   menjual rokok dan  barangan keperluan harian yang lain.

Hasil pemerhatian selama lebih sejam di kawasan berkenaan mendapati mereka sebahagian besarnya tidak fasih berbahasa melayu menguatkan bukti bahawa mereka ini bukanlah rakyat Malaysia .

Kami mendekati seorang wanita berusia awal 50an yang menjual barangan   keperluan termasuk ubat-ubatan antaranya ubat perangsang seks.

Wanita itu pada mulanya enggan ditembual akhirnya mengaku berniaga  tanpa lesen di kaki lima hadapan pasar sejak tiga tahun yang lalu.

Dia ada menjual  rokok tanpa cukai  dan ubat seks yang diimport dari Indonesia tanpa ada sebarang pelekat ataupun tertera kebenaran dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Malah ketika ditembual, dia berasa tidak rasa senang meskipun kami sudah  membeli barangan yang dijual.

Akhirnya wanita separuh abad itu mengaku tidak mempunyai sebarang dokumen untuk berniaga di kawasan berkenaan dan meminta maaf kerana terpaksa  berbohong demi menutup kesalahan kerana merasakan seolah-olah kami adalah pihak berkuasa.

Kami berjalan  dan mendekati seorang lagi  pemuda berusia awal 20an yang menjual barangan wanita antaranya sepit  dan pengikat rambut dan barangan keperluan diri berhampiran pasar ikan.

Sebaik tersedar kamera kami merakamkan gerak-gerinya, lelaki itu tiba-tiba bercakap dalam bahasa yang kami tidak fahami. Rupa-rupanya setelah diselidiki  dia berbahasa Sulu!

Pemandu kami yang merupakan anak tempatan Sabah  memberitahu bahawa lelaki itu berkemungkinan memberi isyarat kepada rakan-rakannya lain supaya berjaga-jaga.

Bukan setakat itu,kami juga disorak sepanjang tinjauan ini dilakukan seolah mereka tidak senang gambar mereka dirakamkan.

Peniaga tempatan  tidak senang

Kami memasuki kawasan bangunan pasar ikan berusia 50 tahun. Di situ kami melihat  ramai peniaga menjual pelbagai jenis ikan. Perniagaan masih  rancak meskipun hari sudah petang,ini kerana jika di bandar besar seperti Kuala Lumpur ,pasar  basah seperti itu kebiasaan sudah lenggang kerana lazimnya orang suka ke pasar pada waktu pagi.

Ketika sedang leka melihat beraneka jenis ikan yang dijual, seorang peniaga menawarkan untuk gambarnya diambil.

Peniaga itu memperkenalkan diri sebagai Am berusia 30 tahun, anak jati Lahad Datu. Kami sempat bertanya tentang situasi penjaja tanpa lesen diluar.

Lubuk cari makan warga Filipina

“Abang,mereka sudah lama di sini,memang tidak boleh buat apa-apa,kami terpaksa terima hakikat mereka (penjaja haram) berniaga diluar dan kami berniaga di dalam.


“Kalau operasi dibuat sekalipun jika ditangkap, tidak lama kemudian mereka akan kembali berniaga di sini,bukan kami boleh buat apapun,”katanya dalam nada yang agak marah.

Tambahnya ,penjaja kaki lima juga turut mewujudkan persaingan apabila menjual barangan jauh lebih murah dari harga pasaran dan tindakan itu sekaligus menutup periuk nasi warga tempatan.

An mengakui memang sukar untuk pihak berkuasa mengambil tindakan kerana penjaja-penjaja bijak menghidu kehadiran pihak berkuasa. Kami kemudiannya keluar dari kawasan itu selepas beropu

Orang ramai bimbang

Penduduk yang ditemui menyifatkan kebanjiran warga asing dari Flipina  terutama di kawasan felda juga membimbangkan.

 Japrun Jaafar,49, berkata, penjaja kaki lima ini memang budaya mereka.

“Kami penduduk felda sudah lali dengan kehadiran mereka, Hendak cakap macam mana lagi.Kalau ditegur kita pula yang dimarahinya,”katanya

Menurutnya   hubungan kekeluargaan juga diakui menjadi punca mereka membanjiri kawasan pecan di felda dan pekan Lahad Datu.

Namun bagi Joani Abdul Samat,49, berharap hanya tindakan tegas dari pihak berkuasa mampu membanteras kehadiran warga asing yang ramai di Sabah khususnya.

“Kami hampir dengan negara jiran,mereka bebas masuk dan keluar tanpa dokumen  ,harap selepas krisis pencerobohan yang berlaku di daerah ini boleh mengubah cara pihak berkuasa keselamatan bertindak,”katanya.

Difahamkan selain berbangsa Sulu,pendatang asing tanpa izin berketurunan Bugis,Bajau Pilau,dan Bajau Sibutu.

Polis sentiasa pantau

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Shamsuddin Mat ketika ditemui memberitahu peratusan jenayah melibatkan warga asing tidak membimbangkan.

Walau bagaimanapun pihaknya sentiasa memantau keadaan itu lebih-lebih selepas krisis pencerobohan pengganas berlaku sebelum ini.

“Polis melalui gabungan  Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Eszon) sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan yang lain memastikan kehadiran mereka dikawal.

“Lazimnya jika mereka terlibat dengan jenayah kita akan kenal pasti dan tangkap dam untuk yang tiada dokumen ketika akan dikenakan tindakan dibawah Akta Imigresen,”katanya

Jelasnya,kebanyakan warga asing tanpa dokumen ini dikesan terlibat dengan kegiatan  curi motorsikal dan pecah kenderaan .

Malah katanya  Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing Sabah (RCI) juga masih berjalan dan mana-mana yang ditahan akan dihantar pulang ke negara asal


sinarharian

Tukar Sistem Pilihan Raya - Subky Abdul Latif





12 JUN ―Jika Pakatan Rakyat selepas PRU13 banyak bercakap tentang polemik betapa wajarnya difikirkan mengubah sistem pilihanraya yang memberi kemenangan kepada undi popular, bukanlah ia menganjurkan supaya ditukar sistem pemerintahan beraja kepada pemerintah republik.
Yang menyebabkan ada orang terkeliru konon Pakatan Rakyat mahukan republik adalah sakatan pemimpin-pemimpin Umno yang menempelak Pakatan Rakyat kalau sudah suka sangat dengan sistem pilihan raya yang memberi kemenangan kepada undi popular, maka pergilah pindah ke mana-mana negara republik.
Jangan tinggal lagi di Malaysia yang memakai sistesm beraja dan kemenangan pilihan raya ditentukan oleh banyak kerusi yang diperolehi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, bukan didasarkan kepada jumlah undi terbanyak pada keseluruhannya.
Dalam PRU13 lalu, Pakatan Rakyat setelah merasa yakin ia ditipu berjaya mendapat sekitar 51 peratus undi popular sedang BN hanya beroleh kurang dari 48 peratus. Kalau ia menang pula disekitar 30 kerusi lagi yang dikatakan ditipu, maka tentulah undi popular itu lebih dari 51 peratus.
Atas andaian itu, maka Pakatan Rakyat mengira ia telah menang dan ia sepatutnya berkuasa kerana ia memenangi undi popular. Kerana itulah ia bercakap supaya sistem pilihan raya itu ditukar, jangan lagi menggunakan sistem yang diguna di Britain seperti yang berjalan di negara ini sejak sebelum merdeka.
Sistem pilihan raya itu jadi begitu bukan kerana ia berada di bawah sistem beraja. Tidaklah sistem republik saja yang memakai sistem undi popular itu. Negara beraja dan negara republik boleh menentukan sistem yang mereka suka.
Pakatan Rakyat mahu mengubah sistem piliihan raya saja. Ia tidak pernah terfikir untuk menjadikan Malaysia sebuah republik. Yang menjadikan sebuah negara itu berdaulat dan maju, bukan kerana sistem yang digunakannya. Tetapi ialah bersih, adil, tidak rasuah dan kecekapan pimpinannya.
Jika dibandingkan Malaysia yang memakai sistem beraja, didapati setakat ini, ia lebih teratur dari Filipina dan Indonesia yang menggunakan sistem republik. Indonesia lebih dulu merdeka dari Malaysia. Demikian juga Filipina. Tetapi dalam beberapa hal Malaysia ke depan dari dua republik itu.
Malaysia tidak menghantar rakyatnya menjadi buruh di Filipina dan Indonesia. Sebaliknya pekerja dari kedua-dua republik itu yang datang bekerja di Malaysia.
Jika kita katakan negara beraja itu lebih maju dari negara republik, maka tidaklah semesatinya betul. Kampuchea sebuah negara beraja. Tetapi ia tidaklah lebih maju dari Republik Vietnam. Bahkan Vietnam sekarang adalah bergerak maju untuk bersaing dengan Thailand dan Malaysia, dua buah negara beraja di Asia Tenggara dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan lain-lain.
Ketika Malaysia dan Thailand mula merancang pembangunan ekonominya, Vietnam masih berperang menentang pencerobohan Amerika. Tetapi setelah perang tamat, ia merancang pembangunan ekonominya, bukan mustahil ia muncul sebagai negara ASEAN yang berlumba sama maju dengan Malaysia dan Thailand yang beraja.
Oleh hal yang demikian Pakatan Rakyat tidak sedia terjebak dalam polemik sensitif mengenai sistem beraja dan sistem republik. Selagi raja tidak mencampuri urusan politik seperti Maharaja Jepun, Raja Thailand dan Ratu di Britain tiada ada keperluan bagi Pakatan Rakyat untuk menyentuh kedudukan raja-rajanya.
Yang Pakatan beri perhatian ialah untuk merombak sistem pillihan raya supaya ia menjamin kemahuan rakyat tidak disia-siakan.



- Penulis Bebas Subky Abdul Latif

Tuesday, June 11, 2013

Blackout 505: 22 Jun Ini Di Padang Merbok


PETALING JAYA 10 JUN : Pakatan Rakyat (PR) memutuskan mengadakan perhimpunan aman Blackout 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun ini berikutan tiada program lain dijalankan di kawasan itu pada tarikh berkenaan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata pihaknya mengambilkira pandangan pihak terlibat di mana pada tarikh asal iaitu 15 Jun, terdapat program karnival dan majlis perkahwinan akan diadakan di kawasan itu dan berhampirannya.

Sehubungan itu, PR memberikan notis untuk mengadakan perhimpunan aman #blackout 505 dalam tempoh 10 hari kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti ditetapkan.

“Permohonan kepada DBKL untuk menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun telahpun dibuat pada Jumaat 7 Jun lalu. DBKL juga mengesahkan tiada mana-mana pihak membuat permohonan mengadakan acara di padang itu pada tarikh tersebut.


“Oleh itu tiada lagi alasan untuk DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bermain politik dengan melengah-lengahkan permohonan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa majoriti rakyat Wilayah Persekutuan bersama PR maka DBKL dan Tengku Adnan diminta menghormati hasrat rakyat selain Padang Merbok adalah milik rakyat.

selangorku

Petisyen yang Dikemuka Melibatkan 25 Kawasan Parlimen & 10 Dun



Pakatan Rakyat akan mula memfailkan 35 petisyen berhubung kesalahan yang didakwa berlaku semasa pilihan raya 5 Mei, bermula hari ini sehingga tempoh tersebut berakhir pada Khamis.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata tindakan berkenaan akan melibatkan kos permulaan sebanyak RM500,000 dan Pakatan seterusnya perlu mengumpul sebanyak RM1 juta lagi.

Bercakap dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini, Rafizi (kiri) berkata jumlah berkenaan adalah untuk menampung kos deposit awal untuk petisyen, sebanyak RM15,000, dan kos RM30,000 untuk setoap petisyen yang difailkan.

Kos berkenaan perlu dibayar kepada defendan sekiranya mahkamah mengenepikan petisyen berkenaan atau sekiranya plaintif tewas dalam kes tersebut.

Pakatan bagaimanapun akan dapat menjimatkan kos kerana kebanyakan daripada kos guaman tersebut adalah percuma, kata Rafizi.

Petisyen yang akan dikemukakan itu melibatkan 25 kawasan parlimen dan 10 kawasan DUN, katanya.


malaysiakini

Dunia Belum Kehabisan "Black Gold" - CEO Petronas




KUALA LUMPUR, 10 Jun — Dunia belum kehabisan minyak dan gas walaupun telah berpuluh tahun aktiviti penggerudian dan pengeluaran minyak dijalankan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (gambar).

Jika peserta industri melihat luar Asia dalam skala global, bekalan masih banyak untuk dikeluarkan, dan dunia masih membuat pencarian konvensional, katanya dalam ucapan keadaan industri di Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-17 di sini hari ini.

“Berikutan penemuan baharu, perkembangan teknologi dan pengalaman operasi, secara teknikalnya, sumber yang boleh diperoleh dianggarkan mencukupi untuk selama dua abad pada penggunaan semasa,” katanya.


Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, rizab dunia telah meningkat sejak 1990 di sebalik pertumbuhan pada penggunaan, dan setakat 2011, anggaran adalah kira-kira 1.5 trilion tong dengan 5.9 trilion tong lagi sumber boleh diperoleh yang masih belum ditemui, tambah beliau.

Shamsul Azhar berkata Iraq mempunyai rizab minyak terbukti kelima terbesar dunia pada 143 bilion tong.

Bagaimanapun, memandangkan tenaga adalah penyumbang utama kemakmuran ekonomi, pergantungan ke atas tenaga jangka pendek meningkatkan risiko gangguan bekalan dan pergolakan harga, kata beliau.

Katanya, pelbagai pelaburan huluan di blok penggerudian dan pembinaan jaringan paip baharu dan terminal regasifikasi menunjukkan strategi keselamatan tenaga.

“Serupa juga dengan PETRONAS, kami memulakan pencarian dan strategi pengeluaran agresif, mencuba pelbagai cara baharu, perairan yang lebih dalam dan lapangan yang lebih kompleks,” katanya sambil menambah untuk memastikan keselamatan tenaga, peserta industri perlu diberikan kebebasan untuk menentukan keberuntungan komersil pasaran sendiri.

“Dengan itu, peserta industri mempunyai fleksibiliti untuk menguruskan risiko mereka sendiri, berusaha untuk memberikan bekalan dan memenuhi permintaan pada harga yang ditentukan pasaran,” kata Shamsul Azhar.

Beliau juga menyeru semua syarikat minyak, penyedia perkhidmatan dan pembuat dasar bekerjasama untuk mencipta penyelesaian yang menggalakkan penggunaan teknologi dan menarik kecemerlangan operasi.

“Industri kita harus berterusan mencari wadah untuk beroperasi dengan bertanggungjawab dan mesra alam,” katanya.

— Bernama