Tuesday, July 16, 2013

Harga Ayam , Konflik Orang Tengah ?


SHAH ALAM – Kenaikan harga ayam bukan disebabkan oleh penjual dan pengeluar semata-mata tetapi berpunca daripada orang tengah yang mengambil kesempatan apabila permintaan meningkat.

Timbalan Presiden, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah berkata, ada orang mengawal pengeluaran ayam menjelang musim perayaan.

“Bukan peruncit sengaja menaikkan harga, tetapi apabila pengedar meletakkan harga tinggi maka mereka terpaksa menjualnya dengan harga yang tinggi juga.

“Bagaimanapun, ada hubung kait di antara pengeluar, orang tengah (pengedar) dan peruncit yang boleh menjadi penentu kepada kenaikan harga ayam,” katanya.

Katanya, pengguna berkuasa menghalang kenaikan harga barang. Undang-undang sahaja tidak mampu menyekat secara keseluruhan.

“Kita tidak boleh bergantung  kepada penguatkuasaan sahaja. Pengguna perlu boikot atau kurangkan pembelian agar penjual dan pengedar lebih bersikap adil kepada pembelinya,” katanya.

Tindakan seumpama itu, katanya, mampu memberi kesan jangka panjang.

“Semua perlu bersatu bertindak pada pasaran bagi memastikan harga itu mampu dikawal di tangan pengguna sendiri.

“Orang kaya walaupun mampu beli ayam dengan harga RM10 sekilogram, juga perlu boikot sama sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada orang miskin,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu menyokong pendekatan ini dan memberi penerangan yang lebih meluas agar situasi sama tidak berulang apabila menjelang musim perayaan.

sinarharian

34 Syarikat Diberi Lesen Import Ayam


KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) sepatutnya membantu menyelesaikan krisis kenaikan harga ayam, bukan mencadangkan rakyat bertukar selera ke sumber protein lain seperti disaran menterinya, Datuk Hasan Malek.
Ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, fungsi asas kewujudan KPDNKK untuk memastikan harga-harga barang terkawal mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.
“Hasan patut sedar fungsi KPDNKK, sama ada rakyat perlu bertukar selera atau tidak bukan dia yang tentukan.
“Bila berlaku kenaikan harga, tanggungjawab menteri memantau dan menghukum peniaga yang menaikkan harga sesuka hati,
“Bukan melepaskan tanggungjawab dengan saranan dangkal,” kata Johari kepada Keadilandaily.
Semalam, Datuk Hasan Malek mengajak orang ramai ‘menukar’ selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.
Johari menambah, KPDNKK sewajarnya meningkatkan kepekaan dan tanggungjawab untuk membantu rakyat agar boleh membeli barang keperluan pada harga berpatutan.
“Tingkatkan kualiti penyeliaan dan pemantauan. Babitkan lebih banyak pihak di setiap peringkat, dari kementerian hingga pengguna.
“Penghulu, ketua kampung, pegawai terlibat dan pengguna mesti digesa menjadi mata dan telinga kerajaan agar sebarang penyelewengan harga boleh dibanteras segera,” katanya.

keadilandaily

TPPA :Banyak Bidang Yang Belum Dipersetujui


Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang membabitkan 12 negara, tidak akan ditandatangani pada Oktober ini seperti yang dijangkakan pada mulanya kerana ada banyak bidang yang belum dipersetujui.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria, berkata rundingan TPPA itu adalah rundingan antara pihak yang setara tetapi jika satu pihak tidak bersetuju, rundingan perjanjian itu tidak akan selesai.
"Perkara yang paling penting ialah kita tidak akan bertolak ansur dari segi kedaulatan Malaysia dan kita akan berpegang kepada dasar kita.
"Kita menggunakan kemahiran berunding untuk mengetepikan perkara yang menyentuh kedaulatan," katanya di forum dan dialog Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia mengenai TPPA di Kuala Lumpur, semalam.
Pada Oktober 2010, Malaysia mengambil bahagian sebagai satu pihak dalam rundingan TPPA itu.
Sta Maria berkata, Malaysia memilih untuk mengambil bahagian dalam rundingan TPPA lebih awal untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam proses rundingan itu dan supaya dapat mempengaruhi keputusan.
Mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau berkata isu berkaitan dengan PKS termasuk dalam rundingan TPPA itu. 
– Bernama,

Monday, July 15, 2013

DYMM Tuanku Perkenan Menyampaikan Sumbangan Kepada Anak Yatim ,Fakir ,Misikin & Mualaf

sultan lzs 01

SHAH ALAM, 12 JULAI : Seramai 550 orang asnaf fakir, miskin, anak yatim dan mualaf menerima sumbangan hari raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri, di sini.
sultan lzs 03Sumbangan itu diagihkan kepada 150 asnaf fakir, 150 asnaf miskin, 150 anak yatim dan 100 mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM400 setiap seorang, manakala anak yatim menerima sumbangan RM100 seorang.
DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan sebelum mencemar duli berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Dalam majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM5.4 juta daripada dua anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.
sultan lzsDua anak syarikat tersebut ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Worldwide Holdings Berhad (WHB) masing-masing menunaikan zakat tersebut sebanyak RM4.02 juta dan RM1.38 juta.
PKNS diwakili Pengurus Besarnya, Othman Omar manakala WHB pula diserahkan oleh Pengerusinya, Datuk Noordin Sulaiman.
Pembayaran zakat perniagaan itu adalah bagi tahun kewangan berakhir 2012.
Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohd Adzib Mohd Isa, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin serta Exco Negeri Selangor.

selangorku

PRK Kuala Besut: Kalau PAS Menang Idris Yang Untung

KUALA BESUT: Hari pembuangan undi pilihanraya kecil (PRK) Kuala Besut pada 24 Julai tinggal 9 hari lagi.Semakin hampir hari pembuangan undi, kempen kedua parti semakin rancak.
Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kecewa kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak membenarkan RTM membuat liputan langsung ketika pengiraan undi berlangsung pada 24 Julai nanti.
“Saya tidak ada kuasa mengarahkan SPR kerana SPR adalah badan bebas,” kata beliau yang lebih terbuka sifatnya. Di zaman beliau menjadi Menteri Peneranganlah, beliau memperkenalkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat di RTM.
Pengarah PRK PAS, Datuk Husam Musa mahu RTM beri liputan yang sama kepada calon PAS. Menjawab permintaan Husam, Shabery berkata tidak ada masalah kalau percakapan calon PAS ada nilai berita.
PRK Kuala Besut menjadi medan melaga-lagakan di antara Timbalan Pengarah PRK BN, Datuk Seri Idris Jusoh dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
“Kalau PAS menang, Idris yang untung,” kata Husam.
Idris menafikan hubungannya dengan Ahmad Said tidak baik. Dia kata dia selalu makan semeja. Idris sudah menerima takdir bahawa Ahmad sudah dipilih menjadi Menteri Besar buat penggal kedua.
Naib Presiden PAS, Sallehudin Ayub berkata PAS tidak berminat untuk melaga-lagakan di antara Idris dengan Ahmad. Katanya, PAS tidak berminat memainkan isu mereka berdua tidak sehaluan.
Ahmad menerima tamparan hebat apabila tidak dilantik mengetuai jentera PRK Kuala Besut. Jentera BN diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Idris yang juga Ketua Umno Bahagian Besut dilantik timbalannya.
Pada hari penamaan calon, semua tokoh BN memakai baju berwarna biru termasuk Muhyiddin, Idris dan calon BN, Tengku Zaihan tetapi Ahmad Said pakai baju warna merah.
Hari ini akhbar melaporkan calon PAS, Azlan Yusof tidak dibenarkan buat kenyataan media kerana tersalah cakap dua hari lalu bahawa dia akan serahkan tugas wakil rakyat kepada orang lain.
Semua kenyataan mengenai calon akan dibuat melalui pengurus kempennya, Hanafiah Mat yang juga ADUN Chukai.
Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, calon cakap dialek Kelantan, itu yang media salah lapor. Apa yang dicakapnya tidak sama dengan apa yang dimaksudkannya.
Faktor calon tak pandai bercakap
Kalau calon sudah tak pandai bercakap, macam mana dia nak berhujah dalam Dewan Undangan Negeri. Faktor ini perlu diambil kira 17,000 pengundi yang akan buat penentuan sama ada mahu calon BN yang pandai bercakap  (jurutera) atau calon PAS (kontraktor) yang mampu bercakap di kedai kopi sahaja.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menafikan PKR Terengganu memboikot calon PAS. Menurut Azmin, pada hari penamaan calon, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail terpaksa menghadiri kes mahkamah di Kuala Lumpur.
Pada mulanya memang PKR menuntut calonnya diberi peluang bertanding di Kuala Besut tetapi PAS kata ia adalah kerusi milik PAS dari dahulu lagi. Malah PAS pernah menang pada tahun 1969, 1974 dan 1999 maka sudah tentu PAS enggan beri laluan kepada PKR bertanding di situ.
Perbalahan di antara PAS-PKR menguntungkan BN. Sebab itu Tan Sri Anuar Musa berkata Kuala Besut tetap kubu kuat BN.
“Walaupun Kuala Besut bersempadan dengan Kelantan, tetapi pengaruh PAS di Kelantan tidak menular ke Kuala Besut,” katanya.
Terpulanglah kepada pengundi Kuala Besut untuk membuat penilaian siapa yang layak jadi wakil rakyat mereka.

fmt

Implikasi Vatican Membawa Ketegangan Kepada Umat Islam Di Malaysia




Malaysia tidak membenarkan campur tangan atau pengaruh asing dalam isu penggunaan kalimah Allah, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anifah berkata sebagai sebuah negara berdaulat campur tangan sebegitu akan hanya menyemarakkan sentimen keagamaan di negara ini serta tidak membantu dalam menyumbang ke arah memastikan kestabilan dan keharmonian kaum serta agama di Malaysia.

"Perkara ini (isu kalacimah Allah) sedang didengar di Mahkamah Rayuan dan semua pihak perlu membiarkan kes itu diputuskan berdasarkan kedaulatan undang-undang negara," katanya. 

Duta Vatican City ke Malaysia Biskop Joseph Marino dilaporkan menyokong kempen gereja tempatan untuk menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God' dalam kalangan penganut agama Kristian.

Sokongan terbuka biskop itu mendapat tentangan hebat beberapa kumpulan Islam yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sensitif dan sangat menghina kepada umat Islam serta rakyat Malaysia.

- Bernama

Saturday, July 13, 2013

TPPA: Perjanjian Ini Akan Mengikat Kaki & Tangan Kita - Tun M


KUALA LUMPUR 13 Julai: Kerajaan Umno BN tetap mahu meneruskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) meskipun ia dibantah mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Azan Ismail.
“Tun Dr Mahathir Mohamad membidas TPPA ini kerana didakwa sebagai satu penjajahan baharu. Tetapi pada masa sama, kerajaan Umno BN tetap bertegas akan melaksanakan perjanjian itu walaupun mendapat bantahan pelbagai NGO.
“Ini satu fenomena yang aneh dan saya khuatir terdapat terma dalam perjanjian itu yang bakal memberikan implikasi negatif terhadap kedaulatan tanah air dan rakyat Malaysia,” ujar Adun Bandar itu kepada Suara Keadilan.
Mahathir dalam tulisan di blognya semalam menggesa kerajaan mengabaikan rundingan itu kerana  menyifatkan ia sebagai muslihat Amerika Amerika Syarikat untuk menembusi pasaran domestik negara.
Malah katanya perjanjian itu akan merugikan Malaysia dan menyifatkan TPPA sebagai “perkongsian yang tidak sama rata” serta sebuah penjajahan baru atau disebut neo-kolonialisme.
Pada masa yang sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata, TPPA tidak akan menggadai kedaulatan, bahkan memberi manfaat kepada negara.
Mengulas lanjut, Azan berkata kerajaan perlu mendedahkan isi kandungan perjanjian tersebut supaya diteliti oleh rakyat.
“Umno BN mengharapkan rakyat supaya mempercayai tindakan kerajaan dalam rundingan ini tetapi apabila kita minta dedahkan isi kandungannya, kerajaan menolak.
“Adakah sikap ini membantu untuk memulihkan persepsi negatif rakyat terhadap TPPA dan kerajaan?” soalnya.

keadilandaily

Thursday, July 11, 2013

PRK Kuala Besut: Kempen Dengan Tenang Bagi Menghormati Ramadhan

KUALA BESUT: Penduduk Kuala Besut berharap kempen parti politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diadakan secara sederhana terutamanya bagi memelihara kemuliaan bulan Ramadan. 

Menurut penduduk tempatan yang ditemui Bernama, tanpa kempen ‘keterlaluan’ pun pengundi tetap akan membuat pilihan dengan kecenderungan memihak kepada calon yang bijak berkempen secara berhemah seperti menjaga percakapan dan bahasa yang digunakan. 

Peniaga kedai runcit di pekan Kuala Besut, Wee Shin Ai @ Wee Ew Hwa, 60, berkata rakyat kini bijak menilai dan lebih menghormati calon ‘matang’ yang tidak menyerang peribadi lawan, sebaliknya memaklumkan agenda pembaharuan jika terpilih menjadi wakil rakyat. “Tidak perlu cakap banyak, cuma ambil tahu apa yang rakyat mahu. 

Di sini tidak ada bank komersil, menyebabkan kami terpaksa pergi ke Jerteh untuk urusan bank setiap bulan terutamanya bagi mereka yang menjalankan perniagaan,” katanya. 

Wee berkata kekurangan bank komersil perlu diatasi memandangkan Kuala Besut merupakan laluan masuk ke destinasi pelancongan terkenal Pulau Perhentian, menyebabkan pelancong termasuk dari luar negara mengalami kesukaran mengeluarkan wang tunai. Kempen bersederhana juga dipersetujui pemandu pelancong Azwee Pin, 37, yang  berharap bandar kecil itu tidak dibanjiri terlalu ramai orang luar bermula hari penamaan calon pada Jumaat ini sehingga hari mengundi kerana ia boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas. 

Pelancong asing Tambahan pula menurut anak jati Kampung Gertak Seratus di sini, jumlah kehadiran pelancong asing tinggi bulan ini terutamanya dari negara Eropah yang  bercuti sempena musim panas. “Jalan di sini kecil. Jika ramai datang untuk tolong kempen, kami akan ada  masalah membawa pelancong yang datang dari Kota Baharu (Kelantan) untuk menaiki bot ke Pulau Perhentian kerana perjalanan yang selalu mengambil masa sejam boleh bertambah,” katanya. 

PRK DUN Kuala Besut diadakan ekoran kematian penyandangnya Dr A Rahman  Mokhtar, 64, akibat kanser paru-paru pada 26 Jun lalu. 

SPR menetapkan hari penamaan calon Jumaat ini manakala 24 Julai sebagai hari pengundian. Barisan Nasional (BN) mengumumkan anak tempatan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera awam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai calon bagi menggalas cabaran mengekalkan penguasaan BN bagi PRK DUN Kuala Besut dengan PAS menamakan Endot@Azlan Yusof, seorang kontraktor sebagai calon parti itu. Bagi pengundi muda Tuan Nur Shafikah Alia Tuan Nor, 22, dari Kampung Nail di sini, beliau berharap penyokong parti terutamanya dari luar tidak akan berkempen secara keterlaluan sehingga tidak mencerminkan budaya orang pantai timur. 

Katanya calon juga perlu bijak mengawal penyokong mereka dan kebolehan berbuat demikian dapat menjadi ‘mata penentu’ untuk rakyat tempatan mengundi mereka pada 24 Julai nanti. Sementara itu, pekerja am Jeti Kuala Besut, Suhaibah Muda, 45, berkata beliau berharap PRK pertama sejak PRU13 itu dijalankan secara bersederhana termasuk dari segi kewangan dan tidak menggunakan surau atau masjid sebagai medium berkempen. 

“Tak perlu buat (kempen) besar-besaran, sampai pasang banyak bendera di setiap penjuru jalan. Ini bulan molek (baik) lebih baik berjimat dan duit itu digunakan untuk bantu orang susah terutama apabila hendak raya nanti,” katanya. 

Beliau yang berasal dari Kampung Alor Teratai di sini, juga berharap calon tidak hanya mesra rakyat dalam tempoh berkempen, sebaliknya terus meletakkan  permasalahan penduduk sebagai agenda utama selepas menang. “Kita duduk di kampung, tapi masih mahu pembangunan untuk golongan muda. Sebab itu perlu wakil yang senang untuk jumpa. Kempen kecil pun, jika pandai  ambil hati, pasti orang Kuala Besut akan pangkah,” katanya. 

- Bernama 


Perutusan Ramadhan Ketua Umum & Presiden



Alhamdulillah, dengan izinNya maka kita dapat memulakan ibadah Ramadhan untuk sekalian kalinya tahun ini. Saya dan Azizah mengambil kesempatan ini mewakili keluarga dan seluruh kepimpinan KEADILAN mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Kareem 1434H kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
PM-anwar-seruRamadhan adalah bulan pembersihan dan penyucian jiwa dan Allah memberi ruang secukupnya untuk kita memanfaatkannya. Justeru wajarlah digunakan segenap masa sebaiknya agar Ramadhan benar-benar memberi makna kepada kita semua.
Akhir sekali, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar kuatkan iltizam, istiqamah dalam perjuangan, lipatgandakan amalan dan teruskan berdoa untuk keselamatan saudara-saudara Islam kita di Palestin, Syria dan Mesir.
(Perutusan Ramadhan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).

EXCO Selangor Boleh Isytihar Harta - TSKI


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menghalang mana-mana exco kerajaan Selangor yang mahu mengisytihar seluruh harta mereka walaupun ia dirasakan tidak sesuai. 

"Kami tidak akan menyekat mana-mana individu yang mahu menghebahkan kepada awam keseluruhan harta yang diperolehi sebelum dan selepas menjawat jawatan walaupun ia  mungkin tidak sesuai untuk dilakukan," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Khalid sebelum ini mengumumkan semua exco hanya dikehendaki mengumumkan harta yang diperolehi selepas dilantik ke jawatan masing-masing.

Menurutnya, exco negeri tidak perlu mengumumkan harta mereka yang dikumpul sebelum lantikan kerana faktor keselamatan.

Pengumuman itu bagaimana pun ditempelak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkannya sebagai alasan sama yang digunakan BN untuk tidak mengisytihar harta mereka.

"Kita menghargai keprihatinan saudara Lim Guan Eng dan DAP berkenaan isu ketelusan yang melibatkan pengisytiharan harta anggota exco kerajaan Selangor," kata Khalid.

Bagaimanapun tegasnya, perisytiharan selepas pelantikan adalah mencukupi untuk mengelakkan salah guna kuasa dalam pembelian aset.

"Amalan ini memadai bagi memastikan tiada exco manyalagunakan kuasa sehingga menimbulkan percanggahan kepentingan dalam mana-mana transaksi pembelian atau penjualan harta itu," ujarnya.

malaysiakini

Cukong Halim Saad Saman Kerajaan RM 2 Bilion




Taikun, Halim Saad mengambil tindakan saman RM2 bilion terhadap kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional dan bekas menteri berkaitan penyerahan kawalan konglomerat, Renong yang bermasalah kepadanya.
Dalam kenyataan pembelaan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan dua lagi defendan, bagaimanapun mempertikai saman Halim dan wajar dibatal berikutan ia terkeluar dari tempoh iaitu melebihi enam tahun dari peristiwa itu.
Ia didakwa bermula pada Ogos 2002 apabila Halim diberitahu, Khazanah Nasional tidak akan melayan tuntutannya untuk bayaran pukal.
Teras tuntutan yang menjadi perbincangan ramai ialah peristiwa yang membawa Halim menyerahkan kawalan Renong dan peranan yang dimainkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Secara mudah, krisis kewangan Asia pada 1997 meranapkan harga saham Renong dan mendedahkan konglomerat itu kepada masalah aliran tunai dan beban hutang yang besar.
Perniagaan pada tahun pembelian UEM pada takat 32 peratus blok saham Renong tidak berlangsung baik daripada pelaburan awam.

Bagi meredakan pasaran, Halim pada 1998 didakwa menawar untuk membeli saham Renong dari UEM secara pilihan.

Sebanyak RM3.2 bilion yang dibayar empat kali ansuran, tiga pada nilai RM100 milion dan bakinya bersama faedah pada 14 Februari 2001.

Kali pertama, Halim membayar RM100 juta tetapi tidak membayar untuk kali kedua hingga tempoh tamat sehinggalah Khazanah mengambil alih.

Versi Halim

Halim membuat bayaran pertama pada Februari 2001 sebelum Julai tahun dipanggil ke Putrajaya oleh Dr Mahathir yang memberitahu beliau patut membiarkan kerajaan mengambil alih pegangan saham dalam Renang dan UEM.

Dalam pertemuan pada Julai itu, Mahathir juga meminta Halim membincangkan hal itu dengan Nor Mohamed.

Halim mendakwa beberapa pertemuan berlangsung antaranya dengan Nor Mohamed dan persetujuan dicapai untuk beliau meninggalkan Renong.

Sebagai balasan, Halim dibayar RM1.3 bilion secara tunai dan menguasai hartanah serta syarikat pengurusan sisa, dianggar bernilai RM2 bilion.

Beliau menulis beberapa surat kepada Dr Mahathir dan Nor Mohamed mengenai perjanjian pada 2001 itu berikutan hanya menerima RM163 juta pada 2003 iaitu sebahagian daripada perjanjian berkenaan.

Halim mendakwa beliau cuba menemui Nor Mohamed antara 2003 dan 2010 bagi  perjanjian dan hanya bertemu di sebuah pejabat di Putrajaya sebelum diberitahu tiada bayaran akan dibuat.

Bagaimanapun, ketiga-tiga defendan menyifatkan dakwaan Halim tidak benar dan semua dakwaan hanya imaginasi beliau.

Versi Nor Mohamed dan kerajaan Malaysia


Sebagai Penasihat Khas Ekonomi kepada Dr Mahathir, Nor Mohamed diberi mandat untuk membuat penstrukturan UEM, bukan terlibat dalam sebarang perjanjian untuk membayar pampasan kepada Halim.

Malah, beliau mendakwa tidak pernah mencapai sebarang perjanjian melibatkan kerajaan untuk membayar kepada Halim pada pertemuan mereka melainkan soal penstrukturan UEM. - 11 Julai, 2013.

themalaysianinsider

Wednesday, July 10, 2013

PRK K.Besut: Undi Anak Tempatan N01 Azlan Yusof

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut 24 Julai ini akan menyaksikan pertembungan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan Azlan Yusof daripada PAS.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini mengumumkan Tengku Zaihan, 37 sebagai calon BN berdepan dengan calon PAS.

Tengku Zaihan adalah jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya.

Pengumuman itu dibuat oleh Muhyiddin di Dataran Kuala Besut yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Pilihan raya kecil DUN itu, diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya yang juga exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar. 



Pada pilihan raya umum lalu, allahyarham menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. A Rahman memperolehi 8,809 undi, manakala Napisah mendapat 6,375 undi.  

Dengan pengumuman tersebut, Tengku Zaihan bakal berdepan tentangan sengit daripada Azlan seorang ahli perniagaan, yang baru diumumkan bakal mewakili parti itu.

Azlan yang juga bendahari PAS kawasan - lebih dikenali sebagai Che Long - merupakan dilihat paling popular bakal dicalonkan di kalangan penduduk tempatan.

Dua lagi calon yang disenarai pendek ialah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Zawawi Salleh dan Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad.

PAS mengumumkan calonnya itu di Kampung Nail, Kuala Besut malam ini.

Semalam, Ketua Umno Besut Datuk Seri Idris Jusoh meminta PAS tidak meletakkan calon bertanding di situ bagi menghormati kemenangan BN dan bulan Ramadan serta yakin BN akan mencapai kemenangan lebih 4,000 undi.

Bagaimanapun, Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil DUN itu Datuk Husam Musa pula membidas kenyataan Idris dengan menyifatkan kenyataan Idris itu sebagai "angkuh".

Sementara Pesuruhjaya PAS negeri Mohd Abdul Wahid Endut menyifatkan kenyataan Idris sebagai "takut kalah" sekali gus menyatakan PAS akan mencipta kejayaan dalam pilihan raya itu.


malaysiakini

Tuesday, July 9, 2013

PRK Kuala Besut, 16-16 Akan Berlaku


PRK KUALA BESUT PAS Besut mengajak rakyat khususnya para pengundi di N1 Kuala Besut agar bangkit menuntut hak mereka yang selama ini ‘dicuri’ untuk dikembalikan semula melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 24 Julai nanti.
Bendahari PAS Besut, Azlan @ Endut Yusuf berkata proses tersebut memerlukan keberanian bagi memilih PAS mewakili Pakatan Rakyat.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan sekadar keberanian memprotes tetapi perlu diterjemahkan melalui peti undi yang dijamin selamat.

“Sudah ketikanya persekitaran kita (Besut) diubah. Fenomena dan lanskap politik di Terengganu perlu diolah secara yang lebih realistik.

“Kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sengaja membiarkan rakyat berada pada skala kehidupan yang statik dan menjadikan pemberian bantuan sebagai umpan untuk meraih sokongan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan mesra Che Long menegaskan PAS tidak bakhil untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas dasar keprihatinan membantu rakyat.

Namun, katanyag bantuan dan keprihatinan tersebut bukanlah hanya bermusim ketika menjelang pilihan raya sahaja seperti sekarang.

“Kalau pilihan raya kecil sebagai ‘basic’ untuk kerajaan turun bersimpuh di hadapan rakyat, maka wajar rakyat bergerak ke arah merealisasikan harapan, slogan dan formula 16:16 yang dilihat boleh melorongkan kepada suatu laluan ke arah Pilihan Raya Negeri semula bagi membolehkan sebuah kerajaan yang kuat, padu dan berwibawa dibentuk untuk menerajui pemerintahan kerajaan negeri Terengganu,” jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan ‘mood’ yang ada, kedudukan 16:16 tidak mustahil boleh dicapai kerana keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan kedudukan kerusi 15:17 membuktikan rakyat sedang bergerak ke arah perubahan.

- Harakahdaily

DSAI Sifatkan Pelantikan Pemimpin BN Ke Dalam GLC Sebagai "Upah PRU"


Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebagai 'upah' pilihan raya.
Mengecam pelantikan berkenaan, Ketua Pembangkang itu pada sidang media di Parlimen, hari ini turut menggesa bayaran kepada mereka didedah kepada umum.
"Kita lahirkan kebimbangan terhadap perlantikan bekas menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet yang berlebihan sebagai ganjaran.
Terlalu ramai yang diberi upah begitu besar. Kalau tak layak, tak payahlah lantik jadi penasihat atau apa-apa jawatan," katanya.
Beliau merujuk pelantikan beberapa bekas menteri dan timbalan menteri dalam GLC, antaranya Tan Sri Rais Yatim, Datuk Seri Ng Yen Yen, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan beberapa lagi.
Antara yang terbaru, Rais sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ng (Pengerusi Tourism Malaysia) dan Abdul Azeez (Pengerusi Lembaga Tabung Haji).- 9 Julai, 2013.

malaysianinsider

Monday, July 8, 2013

RM 800 Ribu Setahun Bagi Tujuan Penyelenggaraan & Naiktaraf Infra Sukan Seluruh Sselangor


SHAH ALAM 8 JULAI : Kerajaan Negeri memperuntukan RM 800,000 setahun bagi tujuan penyelenggaraan, membaikpulih dan naiktaraf infrastruktur sukan di seluruh Selangor.
Exco Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, peruntukan itu termasuk bagi kerja membaiki dan menyelenggara gelanggang futsal.
“Jumlah penyelenggaraan serta naik taraf infrastruktur sukan untuk Selangor adalah RM 800,000 setahun.
“Dari jumlah itu, setiap RM 16,000 akan diagihkan kepada 56 Dun seluruh Selangor untuk kerja baikpulih atau naik taraf kemudahan sukan termasuk gelanggang futsal.
“Ia tidak begitu besar tetapi kita melihat keutamaan dengan kawasan tertentu dikenalpasti dengan kerosakan teruk akan kita baiki segera,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.
Beliau berkata begitu menjawab pertanyaan Adun Bukit Melawati, Jakiran Jacomah.
selangorku

Friday, July 5, 2013

Perbelanjaan Pembekalan Tambahan Berjumlah Rm 761.44 Dibentang oleh TSKI di dalam DNS


SHAH ALAM, 4 JULAI: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membentangkan enakmen perbelanjaan pembekalan tambahan bernilai RM 761.44 juta di Dewan Negeri Selangor.
Perbelanjaan tambahan tersebut antara lainnya sebanyak RM 83 juta bagi membiayai bayaran program air percuma bagi Julai hingga Disember 2013.
Sebanyak RM 22 juta diperuntukan bagi menampung semula peruntukan sedia ada yang digunakan bagi bayaran program air percuma bagi bulan Mei dan Jun 2013.
Selain itu, RM 517.44 juta lagi diperuntukkan bagi menambah siling Tabung Kumpulan Wang Amanah Pinjaman kepada badan-badan berkanun dan badan lain.
“Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM 413.2 juta adalah pemberian pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi tujuan pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB).
“Sejumlah RM 80 juta adalah pinjaman kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi tujuan pengambilalihan tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk projek pembangunan Datum In-City.
“Manakala sejumlah RM 24.24 juta adalah bagi pinjaman kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi projek-projek yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 2/2013 pada 20 Febuari 2013.”
Abdul Khalid berkata demikian ketika membentangkan perbelanjaan pembekalan tambahan petang ini di Sidang Dewan Negeri Selangor petang tadi di sini.
Perbelanjaan lain termasuklah peruntukan untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan/Hutan (RM79 juta) dan perbelanjaan am (RM60 juta) yang digunakan bagi menampung komitmen-komitmen tahun 2013 yang telah digunakan untuk pembayaran program air percuma bagi bulan Januari hingga Mei 2013.

selangorku

Thursday, July 4, 2013

Rumah Mampu Milik Selangor Akan Dipelbagaikan

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri akan memperkenalkan dasar baru bagi mempelbagaikan jenis Rumah Mampu Milik (RMM) yang wajib dibina pemaju pada bulan September ini.
Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata, polisi yang bakal dilaksanakan ini menyediakan lebih banyak RMM kepada semua rakyat di negeri ini.
Jelasnya, Kerajaan Negeri berhasrat mempastikan stok perumahan ini mencukupi kepada semua golongan, rendah dan sederhana.
“Polisi baru ini ada lebih banyak jenis (rumah) bagi memenuhi kehendak rakyat yang berpendapatan rendah sehingga yang berpendapatan isi rumah RM 8,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.
Menurut Iskandar, polisi baru ini menggantikan polisi yang dilaksanakan Kerajaan Negeri pada tahun 2010 lalu.
“Untuk polisi baru, kita belum lagi menghapuskan rumah kos rendah, tetapi dalam polisi baru, kita memberi fokus kepada mereka yang berpendapatan sederhana,” ujar Adun Cempaka itu.
Sehingga kini, seramai 15,105 orang pemohon ditawarkan untuk memiliki rumah kos rendah dari tempoh 2008 hingga 2013.
Manakala seramai 1,568 pemohon ditawarkan oleh Kerajaan Negeri untuk memiliki Rumah Mampu Milik sejak ia diperkenalkan dari tahun 2011 sehingga 30 Mei 2013.

selangorku

Wednesday, July 3, 2013

Text Ucapan Sidang Dewan ADUN Sri Muda

UCAPAN MENJUNJUNG KASIH ADUN SRI MUDA PADA 30 JUN 2013

Assalammualaikum wbt,

Bismillahirahmanirahim,

Terima kasih YB  Puan Speaker kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan usul menjunjung kasih atas titah ucapan DYMM Tuanku.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua rakan-rakan ahli Yang Berhormat Dewan yang telah diberi amanah oleh rakyat bagi memikul tanggjawap besar di dewan ini. Ucapan tahniah ini juga ditujukan kepada Yang Amat Berhormat Dato Menteri Besar kerana dipilih menerajui Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor untuk penggal kedua. Maka saya ingin mengungkapkan satu peribahasa melayu lama untuk direnungi bersama “Dayung sudah ditangan, Perahu sudah di air” segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh, Ayuh! Laksanakan segera harapan dan mandat rakyat.     

Titah DYMM Tuanku yang tegas ini membawa mesej yang amat jelas arah tujuan penggal kedua pemerintahan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor. Antaranya adalah memastikan prestasi ekonomi yang terus stabil, meningkatkan kualiti hidup rakyat, memberi perubahan kepada pembangunan desa, modal insan, pendidikan, kesihatan yang lebih baik dan berusaha menarik teknologi hijau yang berteknologi tinggi.

Kerajaan Selangor mendapat pujian DYMM Tuanku kerana berjaya melaksanakan kutipan hasil negeri dengan cekap. Kecekapan ini perlu ditambahbaik pada masa hadapan dan perlu disebarluaskan kepada semua agensi Kerajaan terutamannya Pihak Berkuasa Tempatan di semua daerah. Selaras dengan titah ucapan DYMM Tuanku semasa pembukaan sidang dewan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mestilah berada dilandasan yang betul dalam melaksanakan tugas-tugas asas mereka bagi memperbaiki parit , longkang dan jalan. Demi kebajikan kepada rakyat perbelanjaan infrastruktur mesti diberi keutamaan secara berterusan oleh semua agensi ini.

Masalahnya Yang Berhormat Tuan Speaker aduan-aduan tentang kualiti parit longkang jalan kerap kali kita dengar , aduan ketidakpuasa rakyat sebegini sering disuarakan. Mereka yang diamanahkan tidak dapat memberikan jawapan memuaskan hati rakyat.

Yang Berhormat Tuan Speaker saya mempunyai contoh dimana Pihak Berkuasa Tempatan tidak memantau kerja-kerja infrastuktur yang dilakukan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). Kegaglan PBT memantau projek ini adalah kerana kegagalan KDEB memaklumkan kepada PBT berkaitan.
 
 
Persoalan kita disini ialah bagaimana KDEB antara cabang pelaburan terbesar syarikat Kerajan Negeri Selangor boleh berlaku kejadian yang tidak diingini. Kita ingin tahu asasnya , kepakarannya tentang bidang kerja infrastuktur kerana terdapat aduan yang menyatakan sebagai contoh saya ingin membacakan laporan - (based on laporan YB)

Rakyat sentiasa meletakkan harapan yang tinggi kepada PBT selaku jentera perlaksana utama memberi perkhidmatan infrastuktur antaranya kemudahan jalan yang baik, longkang yang sempurna , perbandaran yang bersih , pengurusan sampah yang cekap , gerak kerja pemotongan rumput secara berjadual serta lampu-lampu jalan yang berfungsi.

Malangnya saya kerap mendapat teguran dari rakyat bahawa perkhidmatan PBT kepada rakyat agak hambar dari segi kelewatan mengambil tindakan serta gerak kerja yang lembab oleh itu selaras dengan titah DYMM Tuanku yang ingin melihat PBT lebih proaktif.

Maka saya bercadang setiap gerak kerja PBT wajib dipantau agar setiap aduan dan permaslahan rakyat diselesaikan dengan efisien, justeru saya merujuk inisiatif Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor( STAR) yang dikelola oleh Bahagian Korporat SUK Selangor yang berfungsi memanjangkan aduan rakyat kepada pihak bertanggungjawab perlu ditambah baik.

Saya bercadang peranan STAR bukan sahaja memanjangkan aduan semata-mata malah peranan STAR bersifat pro-rakyat dengan memanjangkan aduan dengan tegas kepada pihak PBT atau agensi berkaitan contohnya menegaskan “dateline”(dengan izin) kepada pihak bertanggungjawab menyelesaikan aduan rakyat dan pastikan permaslahan itu diselesaikan mengikut KPI yang ditentukan,modul ini akan memberi lonjakan paradigma kepada PBT agar menjadi lebih baik dari sebelumnya.Ini juga satu momentum yang seiring dengan Dato Menteri Besar yang ingin meningkatkan taraf kerja PBT.
 
  
Saya ingin memetik hadith sedikit hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi:-
 
Mahfum Hadith Rasulullah s.a.w
                “Barangsiapa hari ini lebih baik dari semalam,
                  Maka dia dari kalangan mereka yang beruntung,
                  Barangsiapa hari ini yang sama seperti semalam,
                  Maka dia dari kalangan orang yang rugi,
                  Barangsiapa hari ini lebih teruk dari semalam,
                  Maka dia dari kalangan orang yang celaka”
 
 
Selain daripada infrastuktur asas seperti jalan dan penggunaan air, Kerajaan juga harus memberikan tumpuan kepada infrastuktur teknologi maklumat dan komunikasi khususnya kemudahan internet.Ini selaras dengan zaman modenisasi dan perkembangan anak muda ke arah dunia internet yang luas.

Mohon pemasangan Jalur Lebar Kerajaan Negeri diperluaskan dengan kadar segera kerana pelbagai aduan diterima menyatakan bahawa pekhidmatan Jalur Lebar ini masih tidak berfungsi secara menyeluruh serta punya kerosakan teknikal.Permaslahan lain yang timbul juga adalah kadar kelajuan Jalur Lebar ini terlalu lembab sehinggakan pengguna gagal memanfaatkannya.

Selaras dengan slogan “Meneruskan Kecemerlangan Selangor” Wi-Fi Selangor harus dipertingkatkan kualitinya agar pengguna merasai perkhidmatan Wi-Fi yang sebenar.Secara tidak langsung ia mendekatkan rakyat Selangor dengan maklumat yang luas di dalam dunia internet.Jika kita masih gagal memberi perkhidmatan Wi-Fi yang jitu maka kita juga gagal menyampaikan maklumat-maklumat Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat khususnya penduduk Bandar.
 
 
Pusat Dialisis Rakyat antara polisi Kerajaan Negeri Yang terbengkalai akibat tekanan dari persekutuan.Akibat tekanan dari Kementerian Kesihatan lebih 3 tahun polisi ini beku tanpa apa-apa kata putus.Walaubagaimanapun pihak EXCO berwajib perlu mengambil tindakan dengan kadar segera ,apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjayakan polisi ini dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat.Saya sarankan program ini diletakkan dibawah EXCO kesihatan kerana pengurusan yang lalu ternyata gagal,mohon selesaikan isu lapuk ini.
 
Kata Pujangga dari seorang pengarang buku terkenal Amerika Stephen Covey
“Effective leadership is putting first things first
Effective management is discipline to carrying it out”
 
Selaras dengan slogan “Merakyatkan Ekonomi Selangor” pada penggal yang lalu , Polisi yang dilaksana untuk membantu para peniaga kecil berjalan berjalan lancar.Antaranya Program Mikro Kredit Miskin Bandar (MIMBAR) yang mendapat sambutan baik.

Maklum balas yang saya terima dari penduduk Sri Muda amat memberansangkan.Bantuan usahawan ini sedikit sebanyak membantu kehidupan golongan miskin bandar.Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor  tidak menghimpit ruang peniaga kecil untuk kehadapan.
 
Saya mohon pihak bertanggungjawab memberi data yang lebih lengkap kepada setiap ADUN , sebagai contoh data bilangan peniaga yang cemerlang dan peniaga yang gagal serta peratus peniaga yang membayar kembali wang pinjaman tersebut.

Ini kerana setiap ADUN boleh mengkaji dengan jelas kadar pertumbuhan para peniaga kecil di seluruh Selangor.Kita harus pastikan hasil akhiran  program-program usahawan yang dijalankan melahirkan usahawan yang berkualiti.
Bagi penggal kedua ini saya bercadang program-program usahawan harus ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi serta menarik minat golongan muda untuk berniaga.

Pembinaan Kiosk moden wajib dilaksanakan bagi membuka ruang perniagaan yang lebih selesa kepada rakyat yang selaras dengan Manifesto Pakatan Rakyat.Justeru pihak GLC harus segerakan rencana ini menjadi kenyataan.

Izinkan saya menghurai 2 rangkap pantun :-
            “Penggal pertama di didik keras dan di kerah,
            Penggal kedua rakyat mohon emas dan sifat pemurah”
 
Maka saya mohon Dato Menteri Besar meningkatkan wang pinjaman MIMBAR dari RM 5000 ke RM 20,000 agar perniagaan dapat dijalankan dengan skala besar secara tidak langsung  para peniaga mewujudkan peluang pekerjaan.
Kita ingin membentuk peniaga kecil menjadi “job creators”(dengan izin)ini  selaras dengan slogan “Meneruskan Kecemerlangan Selangor”.Sudah tiba masanya kita menguji rakyat dengan memberikan polisi yang lebih luas dan tegas.

Jangan kita sisihkan golongan muda yang kian berkembang dengan dunia IT.Hari ini Media Sosial merupakan permainan tradisional mereka.Maka jangan kita sia-siakan kelebihan mereka dengan dunia internet.

Justeru bantuan perniagaan secara “online” harus diwujudkan agar menarik minat golongan muda melangkah kedalam industri perniagaan yang semakin moden.Berikan bantuan ilmu serta sumber kewangan dalam bentuk geran agar amanah yang selama ini dipertahankan selama 5 tahun dapat dilsalurkan dengan Keadilan.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor wajib melihat dengan lebih keras akan pembangunan usahawan di Negeri ini.Masyarakat yang punya kekuatan ekonomi akan membantu pembangunan Negeri dengan asas yang konkrit.
 
Kita ingin membina kesejahteraan dikalangan Rakyat Negeri Selangor.