Tuesday, September 10, 2013

Prestasi Universiti Negara Merundum


Kedudukan 800 universiti teratas di seluruh dunia bagi tahun 2013 yang dilaporkan oleh QS World University Rankings sewajarnya menjadi isu utama negara mutakhir ini, selain dari isu kenaikan harga minyak kerana kedua-duanya mempunyai kesan besar kepada kebajikan rakyat.
Laporan tersebut menunjukkan bahawa enam dari tujuh universiti awam negara yang tersenarai di dalam 800 universiti teratas telah mengalami kemorosotan seperti berikut.
Hanya UTM yang menokok sedikit kedudukannya daro tangga 358 (2012) kepada 355= (2013).
Universiti
Kedudukan 2012
Kedudukan 2013
Universiti Malaya
156
167
Universiti Kebangsaan Malaysia
261
269=
Universiti Sains Malaysia
326
355=
Universiti Teknologi Malaysia
358
355=
Universiti Putra Malaysia
360
411-420
Universiti Islam Antarabangsa
401-450
501-550
Universiti Teknologi MARA
601+
701+
Kedudukan ini dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
1. Reputasi pencapaian akademik (40%)
2. Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)
3. Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)
4. Rujukan penyelidikan (citation) mengikut fakulti (20%)
5. Keantarabangsaan pelajar (5%)
6. Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%)
Ramai pimpinan Barisan Nasional yang masih berdolak dalih dan tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan mutu pendidikan tinggi dan kedudukan universiti awam negara adalah isu utama yang membawa kesan besar kepada rakyat.
Kedudukan universiti awam negara yang tidak berdayasaing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan. Malah, masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/Bumiputra banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.
Oleh sebab itu, hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.
Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya univesiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China.
Ramai yang tidak tahu bahawa NUS mempunyai sejarah yang sama dengan Universiti Malaya kerana kedua-duanya diwujudkan sebagai University of Malaya di Singapura dalam tahun 1949 mengikut saranan Suruhanjaya Carr- Saunders. Pada tahun 1959, University of Malaya mempunyai dua kampus yang berasingan iaitu kampus asal di Singapura dan kampus baru di Kuala Lumpur. Pada tahun 1962, kedua-dua kampus ini berpisah menjadi dua universiti berasingan iaitu Universiti Malaya (di Kuala Lumpur) dan NUS (di Singapura).
Selepas 50 tahun, walaupun bermula dari titik yang sama, Universiti Malaya tidak pun berada di dalam kedudukan 100 teratas di dunia sedangkan NUS menjadi universiti terbaik di Asia.
Ini adalah hakikat yang perlu ditangani secara terbuka tanpa prejudis politik atau perkauman kerana mutu dan kedudukan universiti awam negara mempengaruhi taraf hidup rakyat dan daya saing negara seluruhnya.
Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya perkara-perkara demikian dibahaskan secara terbuka dan reformasi pendidikan tinggi dijalankan secara segera seperti berikut:
1. Kembalikan kebebasan akademik kepada universiti-universiti awam dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campur tangan kementerian dan kerajaan
2. Pemilihan kepimpinan universiti awam mengikut merit berdasarkan kredibiliti akademik, pengalaman mengurus universiti ternama, integriti peribadi yang bebas dari pandangan partisan dan ciri-ciri lain yang ada pada kepimpinan universiti ternama dunia
3. Kembalikan kebebasan minda yang sepenuhnya kepada siswazah dan gerakan mahasiswa dengan menghentikan serta merta sebarang aktiviti atau program yang mengongkong perkembangan minda bebas siswazah, termasuklah program propaganda politik yang dianjurkan oleh BTN dan badan-badan yang serupa dengannya
4. Menilai semula sistem pemberian biasiswa yang menekankan penghantaran pelajar terbaik ke universiti-universiti luar negara dan beralih kepada sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada mereka di universiti-universiti terbaik Malaysia, dan
5. Program khusus memperkasakan kredibiliti akademik fakulti di universiti-universiti awam dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia
Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran Universiti Malaya berada di dalam tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.
Saya juga akan membuat kunjungan hormat ke NUS dalam bulan November 2013 untuk mempelajari sendiri langkah-langkah yang dilaksanakan selama ini untuk menjamin kualiti pendidikan di universiti itu.
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi, Parti Keadilan Rakyat


Perasmian Briged Amal Selangor Oleh YB Shuhaimi Shafiei



SHAH ALAM: Adun Sri Muda YB Shuhaimi Shafiei merasmikan Briged Amal Selangor dengan motto "Generasi Cakna Rakyat" di Dewan MPP Zon 10 Seksyen 27A yang dikunjungi lebih 120 orang menyaksikan minat anak muda selangor kepada aktiviti-aktiviti sihat dan membina.

Program bermula dengan ucapan pembukaan oleh pengarah program saudara Wan Sharudin dan terus kepada persembahan perbarisan kemudian YB Shuhaimi Shafiei berucap memberi sedikit motivasi kepada anak muda tentang membina modal insan yang cemerlang.

Turut serta memeriahkan majlis adalah Ahli Majlis MPP Zon 10 Saudara Kamarudzaman , Jawatankuasa penduduk serta Pejabat Adun Sri Muda.

Adun Sri Muda juga memeriksa perbarisan Briged Amal Selangor dan berpuashati dengan perbarisan yang dipersembahkan.

"Anak muda harus berpandangan jauh dan berjiwa besar untuk berjaya di masa akan datang" katanya

40 peratus daripada 5.3 juta rakyat Selangor merupakan anak muda, adalah tanggungjawab kita membentuk anak muda ini menjadi satu produk yang cemerlang kerana kelompok ini merupakan tonggak pembangunan sesebuah masyarakat di masa akan datang.

"melentur buluh biarlah dari rebungnya" ungkapan YB Shuhaimi Shuhaimi ini merujuk kepada pembangunan modal insan lebih 2 juta anak muda di Selangor dimana ia selaras dengan misi Briged Amal Selangor yakni "membina insan yang berilmu, beramal dan berakhlak"

Antara objektif Briged Amal Selangor adalah memperkasa aspek kerohanian dan moral ahli serta menjana sikap kepedulian sosial dan kenegaraan dikalangan ahli.Tambah Briged Alam Selangor ini juga akan turut serta dalam kerja-kerja amal seperti aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan contohnya bencana banjir dan sebagainya.

Aktiviti kemasyarakatan yang telah dilaksanakan oleh Briged Amal Selangor antaranya ialah misi bantuan bencana ribut di Kg Bestari Jaya Kuala Selangor , Program Kraftangan remaja , Program Khidmat Kemasyarakatan di Kg Orang Asli Bukit Kemandul Kuala Langat , Gotong-Royong pelbagai kaum di DUN Sijangkang dan pelbagai lagi aktiviti membina yang digerkakkan.

Justeru Adun Sri Muda YB Shuhaimi Shafiei berharap program yang membentuk anak muda ke arah kebaikan ini harus dikembangkan agar pelapis negeri ini terbentuk dengan acuan yang terbaik terpalit dengan visinya "Briged amal sebagai entiti di dalam melahirkan insan yang menjadi aset selangor"


-Mj






Najib Tidak Belajar Dari Kesilapan "Budak-Budak Tingkat 4"


Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah kini membayangkan kemungkinan beliau bakal mencabar Najib bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan pada 19 Oktober depan. Walaupun memberitahu bahawa beliau belum memutuskan perkara itu tetapi katanya, " hasrat itu ada tetapi belum ada keputusan lagi".

Namun katanya, segala-galanya akan terjawab pada hari pendaftaran pada 28 September nanti.

Sejak beberapa lama nama Tengku Razaleigh dan Muhyiddin Yassin telah menjadi sebutan sebagai pemimpin yang dikatakan akan mencabar kedudukan Najib bagi jawatan Presiden UMNO. Keadaan itu bukan saja berdasarkan keputusan pilihanraya yang menyaksikan BN lebih terperosok berbanding pilihanraya 2008 tetapi juga disebabkan pelbagai isu yang melingkari kepimpinan Najib.

Muhyiddin juga sehingga ini belum membuat keputusan rasmi tentang jawatan yang bakal ditandinginya tetapi besar kemungkinan hanya mengekalkan jawatan Timbalan Presidennya saja berikutan beliau dilihat hanya bergantung kepada kekuatan dan sokongan Mahathir semata-mata jika ingin mencabar Najib. Memandangkan Mahathir sudah membuat kenyataan mahu kedua-dua jawatan tertinggi itu dikekalkan, kekuatan Muhyiddin untuk mencabar Najib juga turut tidak berkembang.

Ini menjadikan hanya Tengku Razaleigh atau Ku Li yang tinggal sebagai satu-satunya pencabar Najib yang dirasakan sesuai.

Namun Ku Li, walaupun agak veteran, beliau ada kekuatannya yang tersendiri. Rekodnya yang sarat dengan pelbagai sumbangan dan kecemerlangan sebelum ini, imejnya yang bersih, peribadi yang terpuji dan keyakinan terhadap kemampuannya melakukan perubahan adalah sandaran yang selalu diperkatakan. Sejarahnya yang hanya kalah 43 undi ketika menentang Mahathir pada 1987 seringkali menjadi sebutan.

Jika beliau memutuskan untuk bertanding, ia adalah semata-mata untuk berkhidmat serta memperbaiki banyak kerosakan yang ada dalam UMNO sekarang dan tidak mahu melihat UMNO dan kerajaan terus terumbang-ambing di mata rakyat.

Walaupun belum pasti beliau akan mencabar Najib dan kita terpaksa menunggu sehingga 28 September ini untuk mengetahui kedudukan sebenarnya, sekurang-kurangnya bayangan yang diberi oleh Ku Li itu merupakan harapan kepada sebahagian orang yang kecewa melihat kepada apa yang berlaku kepada UMNO dan negara sekarang.

Baik di dalam UMNO mahupun rakyat biasa, kritikan kepada Najib kini semakin membesar. Jika sebelum pilihanraya, kritikan banyak terarah kepada pemborosan dan pembaziran isterinya, kepimpinan yang lemah, pendekatan yang merugikan Melayu, lebih memanjakan kaum Cina, rasuah, penyelewengan, ketelusan kerajaan dan sebagainya, keadaan ini nampaknya menjadi lebih parah lagi sekarang ini.

Kelemahan dan ketidakuayaan Najib sebagai pemimpin dan Perdana Menteri meliputi hampir semua segi. Tidak saja rakyat biasa yang bercakap mengenainya, bahkan ramai ahli dan pemimpin UMNO juga bercakap mengenainya. Berbuallah dengan kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO, topiknya mesti tidak terlepas daripada memperkatakan tentang kelemahannya.

Jika sebelum Najib menjadi Perdana Menteri, pemborosan keluarga pemimpin lebih berkaitan mengenai rumah atau kereta besar, tidak ada sesiapa terbayang pemborosan di eranya sehingga ke peringkat membeli cincin bernilai RM24 juta boleh berlaku di ketika masih ramai orang Melayu masih miskin, berpendapatan bawah RM3000 sebulan dan sering digula-gulakan dengan bantuan BR1M.

Mujurlah isu cincin itu menjadi kecoh dan ia akhirnya dipulangkan kepada penjualnya, jika tidak, kita mungkin menyaksikan lebih banyak lagi barang kemas yang mahal-mahal menjadi kebanggaan dan penanda aras betapa mewahnya kehidupan keluarga seseorang pemimpin di negara ini.

Selain meneruskan pendekatan memanjakan kaum Cina walaupun diketahui tidak disokong oleh kaum itu dalam pilihanraya, Najib juga meneruskan banyak perkara yang dilakukannya sebelum pilihanraya lalu sehingga menyebabkan BN hanya menang 133 kerusi sahaja. Ekonomi masih lembab, hutang makin bertambah, defisit makin memburuk, belanja masih boros, pengangguran makin tinggi, jenayah berleluasa dan pelbagai lagi kelemahan dalam megurus kerajaan.

Ramai kalangan dalam UMNO yang dulunya mempertahankan Najib, kini secara terbuka mengkritik dan membelasah beliau secara terbuka. Pelbagai gelaran dan kata-kata yang tidak manis mulai secara terang-tangan dilabelkan kepada Najib. Tiada lagi lagi rasa segan untuk menegur dan mengkritiknya, malah memaki hamun sekali pun. Kebimbangan terhadap kelemahan Najib yang berterusan bukan saja dijangka menjerumuskan negara ke lembah yang lebih berselut tetapi juga memungkinkan UMNO dan BN akan hilang kuasa dalam PRU 14 nanti.

Isu mengenai Pemandu atau Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan yang bertali arus didedahkan kepincangannya sejak kebelakangan dalam media baru menelajanjangkan lagi "panau dan kurap" yang selama ini terlindung dalam pentadbiran Najib. Pemandu yang diketuai oleh Idris Jala dan mirip seperti peranan "budak-budak tingkat 4" ketika era Pak Lah, bukan saja didedahkan dengan pegawai kanannya yang tidak bermoral, kecenderungan terhadap bangsa asing dalam pengambilan kakitangan, kebergantungan kepada konsultan luar, malah turut dikaitkan dengan pembaziran operasi sehingga RM337 juta sejak empat tahun lalu.

Dengan segala kepincangan dalam Pemandu itu tetapi prestasi ekonomi dan kerajaan tidak juga bertambah baik, malah yang lebih dikesali Nalib nampaknya tidak belajar daripada kemelut "budak-budak tingkat 4" yang menjadi punca utama kejatuhan Pak Lah dulu. Najib bukan saja mengulangi kesilapan itu, malah meletakkan kebergantungannya kepada golongan penasihat mirip "budak-budak tingkat 4" dalam skala yang lebih besar lagi.

Hari ini Pemandu bukan saja dikritik hebat, malah sehingga dicadangkan ditutup operasinya dan diminta menggunakan sepenuhnya peranan EPU sebagai tangan penting dalam pengurusan ekonomi negara. Ia jelas menggambarkan kelemahan Najib dan gejolak rasa kebanyakan ahli UMNO terhadap Pemandu tidak jauh bezanya dengan kemarahan mereka terhadap "budak-budak tingkat 4" suatu ketika dahulu.

Daripada hampir semua segi, Najib terlihat lebih lemah dan jauh lebih buruk dari Pak Lah. Sebab itu, bagi kebanyakan pendapat dalam UMNO, mencabar Najib bukan lagi suatu keperluan atau sekadar ingin memberi pilihan kepada perwakilan UMNO dalam memilih pemimpin, bahkan ia sudah menjadi suatu kewajipan.

Walaupun belum pasti, namun Ku Li satu-satunya sandaran kewajipan itu ketika ini.
Ku Li mungkin agak veteran dari segi usia tetapi pengalaman, daya juang dan kemampuan berfikirnya tidak pernah tua atau dimakan usia. Idea dan pandangannya dalam banyak perkara masih kelihatan segar dan sesuai dengan zaman. Beliau mempunyai keluarga yang cukup sederhana dan tidak bermewah. Isterinya juga tidak pun kenal dengan cincin RM24 juta.

Dalam usianya sekarang juga, niat Ku Li hanyalah ingin berkhidmat dan memperbaiki segala benda yang rosak saja. Khidmatnya pasti tidak lama. Pemimpin muda boleh mulai beratur dengan selesa di belakangnya untuk mengambil alih baton kepimpinan negara sebaik saja tugasnya selesai nanti.

Cuma, ketika banyak orang dalam UMNO bercakap tentang kerosakan dan ingin memperbaikinya, bimbang dengan kelemahan Najib yang membahayakan negara, pembaziran, pemborosan, Pemandu yang dikatakan berada di laluan bengkang-bengkok, risau BN mungkin hilang kuasa dalam PRU 14 nanti dan menyebut perkataan transformasi berulangkali setiap hari, semua kata-kata itu haruslah dibuktikan dengan perbuatan juga.

Barulah ia dinamakan transformasi.


MC

Langkah Penjimatan Untuk Kerajaan


jemputanrasmikerajaan

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kesal kerana pemimpin Barisan Nasional yang tidak berani berdepan dalam forum atau debat terbuka mengenai kemelut kenaikan harga minyak yang menimbulkan kemarahan rakyat.
Katanya, reaksi  Menteri Belia dan Sukan,  Khairy Jamaluddin bahawa beliau tidak sudi berdebat kerana ia boleh dibahaskan di Parlimen adalah jalan mudah yang diambil untuk mengelak.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen penggal kedua, sewajarnya beliau sedia maklum bahawa perbahasan di Parlimen mestilah mengikut urusan perjalanan Dewan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Tambahan pula, masanya terhad dan terdedah kepada segala gangguan terutamanya dari Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional,”kata beliau dalam satu kenyataan media.
Oleh itu, tambahnya, sekiranya Ketua Pemuda Umno itu  ikhlas untuk berbahas mengenai permasalahan rakyat akibat kenaikan harga minyak,   wajiblah beliau sendiri yang mengemukakan usul tergempar untuk membahaskan tindakan BN menaikkan harga minyak dan kesannya kepada rakyat.
“Beliau juga wajib memastikan dan mengarahkan ahli-ahli Parlimen BN supaya menyokong usul itu dibahaskan di Parlimen untuk mengotakan janji beliau membahaskan isu itu di Parlimen,” katanya lagi.
Beliau yang juga Pengarah Strategik PKR berkata beliau  menunggu tindakan selanjutnya dari  Khairy Jamaluddin untuk mengemukakan usul di Parlimen untuk membuktikan bahawa tindakan beliau menolak jemputan berdebat bukanlah kerana beliau tidak berani berhadapan dengan suara rakyat.
“Jika tidak ada apa-apa tindakan di pihak beliau, ternyatalah bahawa beliau hanya memberi alasan kerana tidak berani untuk berdebat,” katanya lagi.
Rafizi juga masih menanti pengumuman oleh Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai langkah-langkah penjimatan khusus yang akan diambil oleh BN untuk mengurangkan keborosan kerajaan.
“Sewajarnya Barisan Nasional membentangkan perincian program-program yang akan dihentikan, perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak lagi dibenarkan serta amalan kerajaan yang ditukar untuk menjimatkan wang,” katanya.
Tambahnya lagi, setiap langkah ini perlulah diperincikan sasaran penjimatan yang akan dicapai dan penjimatannya dilapor di Parlimen setiap tiga bulan, seperti mana organisasi korporat menjalankan program penjimatan kos.
Sebagai permulaan, beliau mencadangkan Perdana Menteri mengeluarkan arahan-arahan penjimatan berikut:
1.      Belanja petrol bagi kereta rasmi Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai mereka dibayar sendiri oleh mereka seperti yang saya telah suarakan sebelum ini. Apatah lagi saranan ini turut disokong Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein
2.      Memotong peruntukan perjalanan dalam dan luar negeri Menteri, Timbalan Menteri, pegawai-pegawai mereka dan penjawat awam teratas sebanyak 25% berkuatkuasa serta merta untuk mengelakkan perjalanan yang tidak membawa hasil kepada kerajaan
3.      Menghentikan serta-merta amalan mencetak kad-kad jemputan yang mahal dan dihantar secara Poslaju kepada Ahli-ahli Parlimen, penjawat awam dan jemputan bagi setiap program kerajaan (seperti gambar kanan) kerana ini boleh dibuat secara percuma melalui email dan laman sosial.
“Ketiga-tiga langkah ini boleh menjimatkan jutaan wang rakyat setiap tahun jika dilaksanakan serta-merta,”ujarnya.
Beliau menunggu arahan-arahan ini dikeluarkan oleh Najib  jika benar beliau mengambil berat kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat keputusannya menaikkan harga minyak.

fmt

Monday, September 9, 2013

Jelajah Sumbangan Warga Emas Dun Sri Muda

IMG-20130909-WA0006.jpg

SHAH ALAM: Jelajah Sumbangan Warga Emas  Dun Sri Muda yang sudah bermula dari Ramadhan lalu dimana lebih 130 warga emas mendapat manfaat masih berjalan dan akan ke setiap lokasi sekitar Dun Sri Muda.

Hari ini jelajah diteruskan di sekitar Johan Setia bersama Ketua Kampung Imam Jalil meneruskan amal jariah kepada golongan sasaran.Ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri dimana Kebajikan rakyat merupakan prioriti pentadbiran negeri.

Rata-rata penerima sumbangan berumur 80 tahun ke atas , sumbangan ikhlas ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban hidup mereka, sedia maklum dengan kenaikan harga petrol ia memberi implikasi kepada golongan bawahan maka bantuan ini disalurkan kepada golongan sasaran.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor menjaga kebajikan anda dari usia hijau hingga usia emas" kata Adun Sri Muda YB Shuhaimi Shafiei.

IMG-20130909-WA0009.jpgRombongan YB Shuhaimi Shafiei mengunjungi rumah ke rumah disambut baik para penduduk kampung, penerima sumbangan amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan

Antara lokasi seterusnya Adun Sri Muda akan menjelajah ke Kampung Bukit Naga, Batu 4 Kampung Jawa, Kampung Baru Hicom dan Jalan Kebun.

"Alhamdulillah di atas sumbangan YB Shuhaimi dan terima kasih kepada Kerajaan Selangor" kata Maimunah Binti Abdul majid antara penerima sumbangan.


Jika penggal lalu kerajaan negeri membawa slogan "Merakyatkan Ekonomi Selangor" pada penggal kedua ini kita membawa semangat "Meneruskan Kecemerlangan Selangor"

"Program mengunjungi rumah ke rumah ini akan kerap dilaksanakan agar hubungan kerajaan negeri dan rakyat dapat disemai" katanya


-Mj

Defisit Kewangan Wajib Di tangani Segera


Kerajaan Persekutuan mesti mereformasi dasar fiskal dan menyekat defisit kewangan dari terus merosot dan bertambah buruk, cepat dan segera.
Langkah terkini yang kita nampak kerajaan sedang mereformasi dasar fiskalnya ialah dengan merasionalisasi subsidi atau lebih tepat ‘memotong’ subsidi petrol dengan menaikkan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.
Kenaikan harga ini boleh membantu kerajaan menjimatkan sebanyak RM1.1 bilion tahun ini dan sebanyak RM3.3 bilion untuk tahun 2014. Ini merupakan satu langkah awal untuk kerajaan mengurangkan fiskal defisit negara kepada 3% menjelang tahun 2015.
Kini rakyat mula gelisah kerana kesan kenaikan petrol dan diesel akan berantaian, akan menyebabkan segala jenis barangan akan naik dan inflasi dijangka akan meningkat pada kadar 3% tahun ini dan 4% pada 2014.
Bukti rakyat semakin gelisah ialah apabila berlaku ‘flashmob’ berskala kecil di Jalan Seremban-Tampin dekat Seremban yang menarik perhatian para pengguna jalanraya seperti mana yang dilaporkan FMT semalam.
Dengan disertai hanya 10 ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Sembilan, ‘flashmob’ atau protes kenaikan harga minyak telah menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan tentang kebimbangan rakyat berhubung isu ini.
Kain-kain rentang telah menarik perhatian orang ramai kerana mesej-mesejnya begitu sinis. Di antaranya, terdapat kain rentang yang membawa mesej, “Terima kasih (kepada Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak kerana naikkan harga minyak’ dan ‘Tahniah penyokong BN, kerana BN menang, harga minyak naik’.
Lebih mencuit hati apabila ada kain rentang yang membawa mesej dalam loghat Negeri Sembilan; ‘Harga minyak naik, takpoo…BR1M kan adoo…duit kami botingkek-tingkek’. Slogan tersebut bermaksud ‘Harga minyak naik, tidak mengapa…BR1M kan ada…duit kami bertingkat-tingkat’ (duit banyak menimbun-nimbun).
Mantapkan ekonomi
Di Kota Baharu semalam, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, langkah kerajaan mengurangkan subsidi harga minyak petrol RON95 dan diesel adalah langkah jangka panjang yang perlu diambil bagi memantapkan ekonomi negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata rakyat perlu memahami kesan-kesan yang lebih besar jika kerajaan berterusan memberikan subsidi kerana ia boleh menyebabkan negara menjadi muflis dan rakyat akan menanggung kesan yang lebih buruk jika keadaan itu berlaku.
Namun langkah pengurangan subsidi dengan menaikkan harga petrol RON95 dan diesel masih tidak mencukupi untuk jangka panjang kerana kedudukan fiskal defisit masih melebar.
Rakyat pasti tertanya-tanya apa lagi yang kerajaan akan lakukan selepas ini.  Apatah lagi apabila kerajaan bercadang untuk menambah jumlah pemberian BR1M pada masa akan datang.
Untuk mereformasi dasar fiskal ini, dua lagi jenis cukai yang disebut-sebut yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ialah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST – Goods and Services Tax) dan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT – Real Property Gains Tax).
GST telah ditangguhkan pelaksanaannya sejak diumumkan dalam Belanjawan 2005 untuk dilaksanakan pada tahun 2007. Tetapi kali ini, diyakini GST akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini untuk dilaksanakan pada tahun 2015.
Kesan GST
Kesan yang ditakuti rakyat ialah sejauh mana GST mempengaruhi harga barang.  Tidak ada sesiapa yang terkecuali dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.  Sejauh mana kenaikan harga barang adalah bergantung kepada kadar cukai yang hendak dilaksanakan.
Ura-ura kerajaan untuk memperkenalkan GST pada kadar 7% amat membimbangkan rakyat terbanyak, terutama mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Jika kerajaan melaksanakannya pada kadar 4% atau lebih rendah dari itu maka kemarahan rakyat tidaklah begitu meluap-luap sebelum para pengguna dapat menyesuaikan diri dengan harga baru.
Selain dari GST, kerajaan dijangka memperkenalkan semula RPGT dengan memasukkan dalam Belanjawan 2014 yang dibentangkan di Parlimen bulan depan sebagai satu lagi sumber cukai untuk mengisi tabung kerajaan yang semakin kering itu.
Langkah memperkenalkan semula RPGT ini juga boleh membendung dan menyekat aktiviti spekulasi yang berleluasa hingga menyebabkan harga rumah dan hartanah lain, terutama di Lembah Klang, melambung tinggi sehingga tidak terkawal.
Untuk menyekat kegiatan spekulasi, kerajaan boleh menghapuskan satu skim faedah yang ditanggung oleh para pemaju (DIBS – Developers’ Interest Bearing Scheme) di mana para pembeli hanya perlu mengeluarkan sebanyak 5% atau 10% sahaja wang pendahuluan untuk membeli hartanah.
Selepas itu, para pembeli tidak perlu membuat apa-apa bayaran lagi sehingga hartanah itu siap. Kegiatan ini menggalakkan unsur spekulasi kerana kos masuk (entry cost) yang rendah dan mereka akan menjual hartanah itu selepas ianya siap dalam tempoh dua atau tiga tahun.
Kerajaan pernah memperkenalkan RPGT dahulu, ketika harga hartanah melambung tinggi iaitu dengan mengenakan kadar peratus yang berbeza mengikut usia hartanah itu.  Mana-mana hartanah yang dijual sebelum cukup tempoh lima tahun, penjual terpaksa membayar kadar cukai RPGT yang berbeza kepada kerajaan.
RPGT ini juga merupakan satu langkah untuk menyekat aktiviti spekulasi, cuma kali ini besar kemungkinan kerajaan akan mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi jika kerajaan mahu mendapatkan hasil cukai yang lebih.
Bank-bank yang hanya membiayai setakat 70% dari harga hartanah kepada para peminjam untuk membeli hartanah yang ketiga juga merupakan satu lagi langkah untuk menghalang spekulasi dan langkah ini telah menunjukkan kesan yang positif.
Contohi Kelantan
Barangkali kerajaan persekutuan baru sedar bahawa selama ini kerajaan terlalu boros berbelanja sehingga menyebabkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed menggesa agar kerajaan berjimat cermat apabila berbelanja seperti mana yang dilaporkan Sinar Harian bertarikh 5 September lalu.
Barangkali pemimpin kerajaan sekarang ini baru sedar bahawa setelah penilaian Agensi Penarafan Kewangan Antarabangsa (FITCH) mendedahkan kemerosotan prospek ekonomi negara kepada negatif.
Namun sekiranya langkah-langkah untuk mereformasikan dasar fiskal ini masih gagal dan negara sedang menuju ke ambang kebangkrapan maka kerajaan persekutuan dinasihatkan supaya merujuk kepada kerajaan negeri Kelantan dalam hal soal berjimat cermat.
Bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh menjadi penasihat yang baik tentang bagaimana hendak melaksanakan langkah berjimat cermat seperti mana beliau mentadbir negeri Cik Siti Wan Kembang sejak lebih 22 tahun itu.
Ataupun rujuk juga kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tentang bagaimana beliau mampu berjimat cermat sehingga negeri itu mempunyai rezab kewangan sebanyak RM2.6 bilion dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menerusi dasar CAT (Competency, Accountability dan Transparency).
Selepas ini bolehlah kerajaan persekutuan menutup Pemandu (Unit Prestasi Pengurusan dan Penyampaian) di Jabatan Perdana Menteri itu seperti mana yang dicadangkan oleh Presiden Perkasa, Dato’ Ibrahim Ali. Menterinya Datuk Seri Idris Jala boleh ditukarkan ke tempat lain.

fmt

Rasuah Merupakan Masalah Besar Dalam Sistem Pentadbiran - Ku Li


KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia Tengku Tan Sri Razaleigh Tengku Mohd Hamzah berkata rasuah merupakan masalah terbesar dalam sistem pentadbiran negara sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.
Katanya, amalan rasuah begitu berleluasa di peringkat tertinggi dan melibatkan jumlah wang yang banyak namun akhirnya rakyat terpaksa menanggung beban akibat daripadanya.
Beliau berkata, kerajaan membiarkan rakyat bawahan membayar kos tambahan akibat daripada kos projek yang terlalu mahal dan ini tidak boleh diteruskan lagi.
“Kerajaan sepatutnya kena tanggung dan selesaikannya.
“Banyak masalah akan dapat diselesaikan kalau kita dapat hapuskan amalan rasuah,” katanya mengulas isu defisit fiskal negara baru-baru ini.
Bagi mengatasinya, Bekas Menteri Kewangan itu menggesa semua menteri termasuk bekas menteri mengisytiharkan harta.
“Suruh semua orang, menteri, bekas menteri termasuk saya isytihar semua harta yang ada termasuk jumlah duit.
“Kemudian biar rakyat yang tentukan sebab kita ni semua milik rakyat. Isu rasuah ni tak boleh main-main,” tegasnya.
Bekas Presiden Semangat 46 itu turut menyatakan kebimbangan mengenai prestasi ekonomi negara yang dilihatnya tidak menunjukkan perkembangan baik sejak berlakunya krisis ekonomi pada tahun 2000.
Malah hutang isi rumah juga meningkat sehingga 85% termasuk beban kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel.
Beliau tidak menolak kemungkinan negara akan mengalami krisis ekonomi lebih serius jika kerajaan tidak bertindak mengambil langkah berjaga-jaga.
Mengulas mengenai pengurangan subsidi minyak, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan turut memotong subsidi yang diberikan kepada industri termasuk subsidi yang diberikan kepada penjana tenaga bebas (IPP).
“Sesetengah industri diberikan subsidi yang terlalu banyak. Ini perlu dikurangkan segera dan kita tak boleh bertoleransi lebih lama lagi,” katanya
Beliau bagaimanapun melihat pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen adalah wajar kerana melihat kerajaan tidak boleh menanggung beban subsidi terlalu lama ketika berada tekanan ekonomi global semasa yang semakin mendesak.

fmt

30% Kerja Pembersihan Dalam Kawasan Perbandaran Akan Dilaksana Oleh PBT

SHAH ALAM 8 SEPT : Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 30 peratus kerja-kerja pembersihan dalam kawasan perbandaran akan dilakukan oleh pihak dalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Hasrat kerajaan negeri melihat dasar ini untuk melihat pembandaran yang bersih, kondusif dan terurus melalui pelan tindakan yang menyeluruh melalui kerjasama semua pihak lapisan masyarakat,” kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Program Zon Bersih di Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4 di sini.
teng PBT bersih 01
Teng berkata, usaha untuk menjadikan kawasan yang bersih perlu menjadi agenda utama semua PBT dengan peranannya bertanggungjawab menjaga kebersihan pada tahap tertinggi.
Kata beliau lagi sudah tiba masanya warga Shah Alam untuk menjalankan kitar semula barangan dengan berkesan yang dapat membantu mengurangkan tapak pelupusan sampah bagi memelihara alam sekitar.
“Kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan dan korporat perlu diperkasakan dan diberi nafas baru dengan melaksanakan program berterusan.
“Jika inisiatif ini diteruskan ia dapat mengurangkan masalah-masalah berhubung kait dengan sosio-ekonomi, alam sekitar dan penghijauan bandar,” kata Teng.
Turut dihadiri dalam majlis itu Datuk Bandar Shah Alam,Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dan Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

selangorku

Kepimpinan Negara Islam Hanya Berdiam Diri


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa dukacita dengan kegagalan kepimpinan negara-negara Islam menyuarakan bantahan terhadap pembunuhan rakyat di Syria dan Mesir secara berkesan.
Beliau berkata rata-rata pemimpin termasuk di Malaysia mengambil pendekatan berdiam diri atau tidak bersungguh-sungguh membantu menyelesaikan konflik di negara-negara berkenaan.
“Saya tanya Menteri Luar Turki (Ahmet Davutoglu) mengapa Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) tidak bersidang (membincangkan pembunuhan umat Islam). Dia jawab wakil sidang OIC ialah negara-negara Arab yang kebanyakannya menentang perjuangan rakyat,” kata Anwar.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan pidato khas sempena Himpunan Solidariti Kemanusiaan Mesir, Syria, Palestin, Rohingya, Bangladesh yang dianjurkan bersama Kerajaan Negeri di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.
Anwar menceritakan pendapat tokoh ulama Islam dunia, Profesor Dr Yusuf Al Qardawi yang menyifatkan zaman ini merupakan zaman suram umat Islam kerana tidak ada pemimpin negara Islam yang berupaya bersuara.
“Ini zaman mendung menyelubungi dunia Islam, ini zaman malapetaka bagi umat, ada pemimpin tidak berupaya bersuara, masjid dirobohkan tidak mampu bersuara, apa pemimpin negara-negara Islam menyebut ‘masjid diserang di Kaherah, kita serah pada PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, nada sama turut disuarakan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang kesal dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menyalahkan rakyat Mesir diatas musibah yang menimpa mereka.
“Saya cukup kesal dengan Perdana Menteri Malaysia apabila diminta komen apa yang berlaku di Mesir. Dia kata ini akibat daripada peralihan kuasa yang berlaku di Mesir.
“Salahkan mereka melakukan peralihan kuasa, sedangkan mereka lakukan peralihan kuasa berasaskan kepada amalan demokrasi, kenyataan PM seolah-oleh berkehendakkan rejim Mubarak terus menguasai Mesir,” katanya.
Sehingga kini, Mahfuz berkata, Najib sehingga kini gagal kerana tidak mewujudkan sidang khas Parlimen atau memanggil ketua-ketua negara Islam membincangkan tragedi itu.

selangorku

Jangan Mencampuri Urusan PR - DSAI


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan mengingatkannya agar tidak mencampuri urusan Pakatan Rakyat (PR).
"Dia patut buat kerja dia dan lebih baik fokus kepada tugasnya terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan PR," katanya Anwar merujuk kepada kenyataan Khairy menggesa pembangkang mewujudkan kabinet bayangan.
Khairy dilihat menyuarakan pendapat sama dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan berhubung perkara itu.
"Kita cabar mereka, sebab desakan sekarang datang daripada ahli Parlimen pihak mereka. Jadi jangan berdolak dalih lagi...namakan kabinet bayangan dalam masa terdekat," kata Khairy.
Kerajaan perpaduan
Merujuk kepada laporan Sinar Harian, Anwar berkata kenyataan beliau  disalah erti oleh pemimpin Umno, dan menambah beliau tidak pernah mencadangkan kerajaan perpaduan.
Merujuk kepada Khairy, Anwar menegaskan "dia tidak baca perutusan Merdeka saya. Kenyataan saya merujuk kepada dialog.
"Saya hanya menyentuh empat isu, tadbir urus, jenayah, ekonomi, dan hubungan antara kaum,"katanya. - 8 September, 2013

malaysianinsider

Friday, September 6, 2013

Selesaikan Tebatan Banjir - YB Shuhaimi Shafiei

YB Shuhaimi Shafiei memantau kerja pemulihan banjir di Batu 4 Kg Jawa, MBSA sedang mengorek longkang besar bagi memastikan banjir lumpur tidak memudaratkan rakyat.


Shah Alam-Kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mengeluarkan belanja bagi menyelesaikan projek tebatan banjir demi menjamin kualiti hidup rakyat

Gesaan itu diajukan oleh ADUN Sri Muda YB Shuhaimi Shafiei,berikutan hujan lebat melanda Lembah Klang hingga menyebabkan beberapa kawasan terjejas akibat banjir kilat

Semalam paras air meningkat mendadak terutamanya di kawasan Taman Rimau Perdana , Taman Alam Indah dan persekitaran Bukit Rimau.Kelmarin Pekan Batu Arang turut mengalami banjir lumpur dan isu berkaitan banjir itu dikaitkan dengan masalah saliran yang tidak berkesudahan.

Menurut Shuhaimi,Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) tidak berupaya melaksanakan program tebatan banjir secara holistik atas alasan kekurangan bajet daripada Kerajaan Negeri.

"Tiada makna sekiranya kerajaan negeri mengumumkan bajet berpuluh juta namun kesejahteraan hidup rakyat diabaikan dengan alsan tidak cukup kos.

"Buat apa duit banyak kalau tak belanja?Pada pandangan saya, isu banjir kilat ini sewajarnya diselesaikan oleh JPS, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan juga jurutera Daerah Klang dan Petaling" katanya kepada sinar harian

Shuhaimi Shafiei turut melahirkan kebimbangan ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini dan ditambah dengan Monsun Timur Laut yang biasanya melanda setiap penghujung tahun.

"Saya tidak mahu penduduk kawasan berisiko banjir ini mengalami nasib sama saban tahun.Mereka tidak sewajarnya menanggung beban yang tak sepatutnya"

"Kalau tak bersedia dari awal pastinya banjir kilat seperti 2012 yang seminggu tujuh kali air naik akan berulang" katanya

Dalam pada itu, beliau beberapa kali mendesak kerajaan negeri dan PBT ambil tindakan segera dan memikirkan langkah jangka pendek dan panjang bagi menyejahterakan rakyat.

"Sudah beberapa kali isu banjir kilat ini dibawa dalam mesyuarat kerajaan negeri namun tiada langkah proaktif yang diambil bagi menyelesaikannya" katanya

Sementara itu banjir yang berlaku di Taman Rimua Perdana, Taman Alam Indah Persekitaran Bukit Rimau kembali terkawal selepas hujan reda dan tiada arahan pemindahan penduduk dikeluarkan.

"Diharapkan isu ini tidak di pandang remeh walaupun ia hanya melanda pada musim tengkujuh dan hujan lebat sahaja namun sekiranya tidak ditangani akan terus menjadi barah, rakyat menanggung risiko" katanya


-Sinarharian

Ketua Gangster & MCA Yang Berkecamuk

  


Bekas ketua gangster yang didakwa kini menceburi dunia politik dalam MCA tidak lagi berada dalam parti tersebut, kata polis.
Penolong Ketua Pengarah Bahagian Kongsi Gelap dan Perjudian Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata bekas ketua bahagian parti itu juga merupakan ketua gangster Sio Sam Ong.
Polis mendedahkan nama gangster tersebut Ong King Ee @ Jackie Chan bekas Ketua Bahagian Gurney MCA, Pulau Pinang dan juga ketua gangster.
Chan ditahan dibawah Akta Ordinan Darurat (EO) pada 1990 dan kemudiannya dibebaskan dua tahun selepas itu dia kemudiannya memasuki dunia politik," kata Abdul Jalil hari ini mengulas mengenai dakwaan yang dibuat Bekas Ketua Siasatan Jenayah Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan.
Zaman memberitahu Bernama semalam bahawa beliau telah menangkap ketua gangster berkenaan di Thailand sebelum ia dibawa ke sini.
Identiti Chan dalam parti terdedah apabila terdapat satu gambar pada 2001 menunjukkan ketua gangster itu berjabat tangan dengan bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting sewaktu kemuncak krisis parti tersebut.
Ia selepas Ketua Pemuda pada ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat mendakwa MCA dipengaruhi kongsi gelap.
Ka Ting kemudiannya mengakui mengenali Chan dan beliau juga tahu bahawa lelaki itu mempunyai rekod tahanan EO ketika menyertai MCA pada 2000.
"Chan merupakan bekas kepala naga Sio Sam Ong (Tiga Maharaja) dimana kumpulan itu aktif di kawasan utara. Ahli kumpulan mereka bercakap menggunakan dialek Hokkien.
Kumpulan itu dikehendaki pada 1992 apabila terbabit dalam kes pembunuhan di sambutan pra perkahwinan di Sunga Petani Kedah menyaksikan enam maut ditembak.
Pada Julai 2003, Chan menghantar surat perletakan jawatannya melalui kiriman fax di Ibu Pejabat MCA Pulau Pinang.
Menurut sumber parti di Pulau Pinang, berikutan dari publisiti yang diterima amat meluas, Chan telah meninggalkan negara. Difahamkan dia kini di negara jiran.
Penyokongnya yang turut menyertai MCA bersamanya dilaporkan meninggalkan parti setelah perletakan jawatan Chan.
Abdul Jalil berkata Ops Cantas yang giat dijalankan sekarang tidak mendedahkan penglibatan sebarang ahli poltik dalam kongsi gelap atau kumpulan gangster.
Dia juga berkata sesetengah yang dulunya bekas kumpulan gelap kemudiannya memasuki dunia politik adalah "bersih"
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hari ini pihak berkuasa telah mengenal pasti ahli politik yang dulunya merupakan bekas kumpulan gangster.
Zahid menolak untuk mendedahkan nama ahli politik tersebut dengan berkata mereka merupakan bekas kumpulan, tidak terlibat dan kini berubah menjadi baik.
Abdul Jalil berkata polis akan meneruskan siasatan terhadap 49 lagi kumpulan kongsi gelap dimana ia telah didedahkan oleh Zahid minggu lalu.
Semakan menunjukkan pembabitan ahli politik dan kumpulan gangster berkerjasama bukanlah perkara baru.
Ini kerana pada 2004 pemimpin MCA di Labuan telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti jahat.
Pemimpin tersebut berusia 40 tahun dikatakan menjadi ketua jenayah di Labuan. Kegiatan pemimpin tersebut telah dipantau beberapa bulan sebelum ditahan.
Satu lagi naib ketua bahagian MCA, ditembak mati di Kota Kechil, Johor pada 2004. Dia didakwa terlibat dalam kegiatan perjudian haram.
Beliau juga memegang jawatan Ketua Dewan Perdagangan Cina Kota Tinggi dan dipercayai merupakan dalang pergerakan sindiket di Johor.‎ - 5 September, 2013.‎