Friday, September 20, 2013

Centre For Reform


KUALA LUMPUR 20 SEPTEMBER: KEADILAN hari ini akan melancarkan sebuah pusat latihan dinamakan ‘Dewan Reformasi, Demokrasi dan Upaya Masyarakat’ (Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives) atau dikenali sebagai Reformasi.
Majlis pelancaran yang berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya 3 petang ini akan disempurnakan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden merupakan Pengarah pusat latihan ini dan Pengarah Eksekutif pula adalah Dr Edmund Santhara.
Rakyat bangkit menentang kezaliman yang dilakukan terhadap Anwar.
Rakyat bangkit menentang kezaliman yang dilakukan terhadap Anwar.
15 tahun lalu pada tarikh yang sama seperti hari ini, muncul sebuah gerakan kesedaran anak muda yang tercetus dari pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, atas konspirasi peringkat tertinggi.
Tanggal 20 September 1998 mencatatkan detik hitam dalam sejarah Malaysia apabila Anwar ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Rakyat bangkit menentang kezaliman yang dilakukan terhadap beliau.Bermula tarikh itu juga, kesedaran dan minat rakyat terhadap politik tanah air meningkat, demi mempertahan pemimpin yang menentang korupsi dan kronisme di saat rakyat menderita akibat krisis kewangan.
Misi Anwar jelas, untuk menyelamatkan Malaysia dari kerakusan pemimpin korup Umno yang berterusan menggunakan wang rakyat secara boros, di samping hanya mengaut keuntungan dari projek mega.
Sebelum penangkapan berlaku, Anwar telah menjelajah ke serata Semenanjung diselangi solat hajat di seluruh negara.
Enam tahun kemudian, pada 2 September 2004, Anwar dibebaskan selepas pertuduhan fitnah terhadapnya digugurkan, lantas beliau bangkit semula ke persada politik tanah air.
Tahun 2008, Pakatan Rakyat yang diterajui Anwar berjaya merampas lima negeri dari Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-12.
Kelibat pemimpin berjiwa rakyat ini sentiasa menjadi ketakutan kepada pemimpin Umno, tidak cukup dengan Dr Mahathir Mohamad, kini Datuk Seri Najib Razak juga sering mengatur ancaman dan provokasi terhadap Anwar.
Namun pada Julai 2008, selepas beberapa bulan Pakatan Rakyat yang diterajui memenangi lima negeri dari BN – Anwar dituduh lagi dengan fitnah jahat.
Skrip yang sama pada 1998 diputar kembali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengulangi apa yang pernah dilakukan
Mahathir.
Perbicaraan di mahkamah menjadi jenaka di peringkat antarabangsa dengan pelbagai kepincangan terbongkar satu demi satu, dan akhirnya mahkamah melepaskan Anwar dari tuduhan itu.
Semuanya kerana agenda reformasi yang dibawa Anwar sejak 14 tahun lalu, dengan dokongan dan doa jutaan rakyat Malaysia yang berada di belakangnya, teriakan reformasi, sejak 14 tahun lalu, sebenarnya tidak pernah mati.

keadilandaily

Thursday, September 19, 2013

Program Ziarah Penghargaan Warga Emas Di Kg Baru Hicom




Kg Baru Hicom- 9.30 pagi bermula di Lot 144 Jalan Bunga Tanjung 5 Kampung Baru Hicom dan tamat jam 12.30 tengah hari skuad Sri Muda dan YB Shuhaimi Shafie berjaya menziarah 10 buah rumah sempena Program Ziarah Penghargaan Warga Emas.

Ketua Kampung Imam Kamal juga turut bersama menziarah 4 buah rumah di Kg Baru Hicom  kemudian terus menjelajah ke Flat Sri  Proton menziarahi 2 buah rumah, ketiadaan Pn Halijah Binti Othman beralamat No 105 Blok , Flat Sri Proton Sek 27 hari ini akan diraikan wakil Pejabat Adun Sri Muda esok dimana cenderahati sudah diberi.

Selesai di Seksyen 27 perjalanan diteruskan ke Taman Alam Megah 2 buah rumah dan terus ke 2 buah rumah di Lanchong Jaya

"Jangan kita lupa jasa baik warga emas, jika tiada dulu maka tiada sekarang.Selaras dengan slogan meneruskan kecemerlangan selangor justeru setiap lapisan masyarakat kita raikan" kata YB Shuhaimi Shafiei selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda.


Warga emas tertua yang diraikan hari ini ialah Pn.Fatimah Abdul Hamid berumur 94 tahun di Flat Sri Proton Seksyen 27 Shah Alam manakala En. Zakaria Bin Jaafar antara yang termuda dikalangan warga emas hari ini berumur 76 tahun

Lokasi seterusnya Program Ziarah Penghargaan Warga Emas akan diadakan di sekitar Jalan Kebun, lebih 40 orang akan di ziarah Adun Sri Muda YB Shuhaimi Shafiei kelak.



-Mj

    

13 Peserta Demonstran Menang Rayuan


TAIPING 19 SEPTEMBER: Semua 13 peserta demonstrasi dalam insiden rampasan kuasa di Perak pada 2009 menang dalam rayuan pelaksanaan hukuman denda RM5,000 dan dua tahun penjara mandatori.
Keputusan itu dibacakan di Mahkamah Tinggi Taiping sebentar tadi.
Peguam bela, Hanipa Maidin sebelum itu berhujah dan mempersoal kewajaran mahkamah mengenakan hukuman dua tahun penjara sedangkan ia hanya kesalahan bawah Seksyen 145 dan mereka yang terlibat tidak pernah melakukan kesalahan.
Beliau juga merujuk kes rogol kanak-kanak lima tahun apabila yang dihukum boleh diikat jamin dan bebas.
“Mengapa pula mereka ini tidak boleh ditangguh hukuman,” soalnya dipetik Keadilan Daily, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya bangun dan membantah permohonan penangguhan hukuman dan menyatakan hukuman mandatori adalah wajar.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Augustine Anthony menegaskan mengenai tahap kesihatan OKZ juga perjalanan kes sebelumnya.
Katanya, ramai antara mereka yang sudah kehilangan pekerjaan dan sudah pun ‘terhukum’.

selangorku

Kerajaan Negeri Akan Meneruskan Kecemerlangan


KLANG 18 SEPTEMBER : Kedudukan strategik kawasan Lembah Klang menjadikan Selangor sebuah negeri penyumbang utama ekonomi di negara ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurutnya, negeri ini berada di kedudukan strategik yang sering dijadikan tumpuan utama pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di Selangor.
Abdul Khalid berkata, biarpun Malaysia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan bagi tahun ini, Selangor akan terus merangka strategi baru untuk mengekalkan prestasi cemerlang yang dicapai pada tahun lalu.
“Kita bukan sahaja bernasib baik, tetapi kedudukan Selangor yang strategik sehingga menyebabkan ramai pelabur datang ke negeri ini.
“Sebagai usaha untuk meningkatkan perkembangan ekonomi di Selangor dan di Malaysia, pelaburan di negeri ini perlu diperluas dengan pelbagai aktiviti pelaburan dan pelbagai sektor terlibat supaya ia dapat ditingkatkan lagi,” katanya.
Abdul Khalid berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang menyatakan Malaysia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan bagi suku kedua tahun ini.
Ini mengakibatkan, BNM terpaksa mengkaji semula sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku tahun kedua tahun ini dengan hanya mensasarkan 4% berbanding 6% pada permulaan suku tahun pertama tahun ini.
Terdahulu, Abdul Khalid merasmikan bangunan baru pejabat YKGI Holdings Berhad serta perlancaran produk terbaru syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian Sungai Puloh, Kapar, Klang dekat sini, 13 September.
Turut hadir Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, Pengarah Urusan Kumpulan YKGI, Datuk Soh Thian Lai, dan Penasihat YKGI, Datuk Wahab Hamid.
Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata sepanjang lima tahun lalu, Selangor berjaya membawa 1,429 projek perkilangan daripada dalam dan luar negara dengan jumlah pelaburan modal sehingga RM49.7 bilion.
Pada tahun lalu, Selangor menjadi negeri penyumbang utama pelaburan Malaysia dengan menerima RM11.7 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan melalui sektor perkilangan.
Abdul Khalid berkata, projek besi dan keluli di negeri ini juga mendapat jumlah pelaburan modal sehingga RM2.1 bilion sepanjang lima tahun lalu.
“Sebanyak RM1.5 bilion merupakan projek domestik dan selebihnya merupakan pelaburan asing sebanyak RM9.5 bilion, peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan pula sebanyak 3,237 tempat,” ujarnya lagi.

selangorku

Projek IC Berlaku Semasa Tun M Menteri Dalam Negeri



Tidak munasabah jika Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu menahu mengenai Projek IC di Sabah kecuali beliau tidak bertanggungjawab atau tidak cekap, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) ketika memberi keterangan di hadapan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah, hari ini.
Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri ketika projek ini berlangsung, Dr Mahathir sepatutnya bertanggungjawab terhadap skandal itu dan Anwar menolak penjelasan bekas perdana menteri itu bahawa beliau tidak tahu mengenainya.
Anwar juga berkata, beliau tidak pernah mendengar mengenai Projek IC ketika berada dalam Kabinet dari 1982 hingga 1998.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Pegawai RCI, Manoj Kurup sama ada beliau tahu atau tidak mengenai projek itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau mendengar mengenai kewujudan satu pasukan khas yang ditubuhkan untuk memasukkan pendatang asing sebagai rakyat Malaysia.
"Antara 1993 hingga 1998, ketika saya timbalan perdana menteri, saya tidak pernah dijemput dalam mana-mana mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Saya ada mendengar satu pasukan khas ditubuhkan oleh MKN pada 1989 tetapi tidak mendapat maklumat lanjut," katanya di hadapan panel lima anggota RCI yang diketuai Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
"Hatta semasa menjadi pemangku perdana menteri selama dua bulan, saya tidak pernah diberi penerangan oleh Ketua Pengarah MKN atau diminta menandatangani apa-apa fail berkaitan dengan MKN," katanya dan turut memberitahu, Projek IC tidak pernah dibawa kepada Kabinet.
Berpakaian sut biru gelap dan berbaju putih, Anwar dalam keterangannya berkata, pada masa itu Dr Mahathir adalah Menteri Dalam negeri.
Anwar yang memakai cermin gelap sepanjang menjadi saksi itu kerana masalah mata, kelihatan tenang semasa menjawab segala soalan yang dikemukakan kepadanya oleh Kurup, Shim dan wakil daripada Persatuan Peguam Sabah. – 19 September, 2013.

themalaysianinsider

Wednesday, September 18, 2013

Program Ziarah Penghargaan Warga Emas Di Kg Bukit Naga





Bukit Naga - Ziarah Penghargaan Warga Emas Dun Sri Muda hari ini di Kampung Bukit Naga dimana 11 rumah warga tertua di mukim ini dikunjungi skuad Sri Muda yang diketuai YB Shuhaimi Shafiei, turut serta mengerjakan amal jariah ini ialah Ketua Kampung Tok Buang dan Pengarah Biro Kebajikan Kampung Bukit Naga Tn Haji Kassim.


Rata-rata warga emas yang menerima manfaat adalah dalam lingkungan 80 tahun ke atas, penerima yang tertua hari ini adalah Jariah Mat Yusof yang berumur 90 tahun berlamat di No 28 Lot 2838 Jalan Bukit Naga.


Pasangan suami-isteri Ahmad Ali (88 tahun ) dan Sareah Yunus (85 tahun) gembira diatas kunjungan YB Shuhaimi Shafiei, terlanjur kedatangan Adun Sri Muda ini lalu Wak Ahmad memohon agar lorong di Lot 2991 Kampung Sri Gambut kediamannya diturap agar memberi kemudahan kepada penduduk sekitar.


"Program menziarahi ke rumah ini bukan semata-mata hadir dan menyampaikan sumbangan sahaja malah ia memberi ruang kepada penduduk mengutarakan permaslahan setempat contohnya masalah pemparitan serta jalan yang berlobang" kata Adun Sri Muda


Program yang berlangsung sejak Ramadhan ini akan diteruskan hingga seluruh kampung di bawah Dun Sri Muda ini habis dijelajahi.


Sebelum jelajah bermula pagi tadi Ketua Kampung Bukit Naga Tok Buang meraikan skuad Sri Muda dan YB Shuhaimi Shafiei dengan menjamu mereka dengan Durian yang segar dari ladang beliau.Turut serta Ketua Kampung Johan Setia Imam Jalil , Pengerusi Biro Kebajikan Kampung serta para penduduk.


Program Ziarah Penghargaan Warga Emas di Kampng Bukit Naga Hari ini berjalan lancar dan mendapat sambutan yang memberansangkan.


-Mj
  

Pencemaran Minyak Di Sungai Selangor Tempoh Hari, Suspek Dihadapkan Ke Mahkamah

Pencemar Sungau

SHAH ALAM 17 SEPT : Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Shah Alam, bagi menghadapi lima pertuduhan kerana pencemaran minyak di Sungai Selangor, yang dilakukan tertuduh pada 30 Ogos lalu.
Tertuduh, Eng Kim Bok, 55, didakwa melakukan 30 kesalahan manakala isterinya, H’ng Soo Chiew, 56, didakwa melakukan 20 kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Eng merupakan pemilik tunggal bagi Ng Kim Bok Realty Sdn Bhd. dan pengarah bersama isterinya bagi Bengkel Muhibbah Mok dan Muhibbah Mok Sdn Bhd.
Bengkel Muhibbah Mok terletak di tempat di mana tumpahan berlaku manakala Muhibbah Mok Sdn Bhd merupakan syarikat induk bengkel dan Ng Kim Bok Realty syarikat yang memiliki tanah yang diduduki bengkel terbabit.
Setiap kesalahan dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mohd Ashrof Adrin di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Lima pertuduhan itu melibatkan Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 iaitu mencemarkan tanah tani dengan buangan terjadual dan Seksyen 25(1) akta yang sama iaitu meletakkan buangan terjadual SW311 (buangan minyak) tanpa lesen ke dalam mana-mana perairan daratan yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Kedua-dua tertuduh turut didakwa dibawah Seksyen 34(b) akta yang sama kerana melupuskan buangan secara haram. Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun penjara dan denda tidak melebihi RM 500,000.
Pencemar Sungai
Selain itu, Kim Book dan Soo Chiew turut didakwa dibawah Seksyen 79(1)(d) Enakmen LUAS kerana melepaskan bahan buangan yang mengandungi minyak ke dalam sumber air tanpa lesen daripada Pengarah LUAS. Jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh juga dikenakan Seksyen 41 Enakmen LUAS iaitu melepaskan bahan buangan melebihi had piawaian yang ditetapkan mengganggu aliran semulajadi air, jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM5,000.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu sekitar jam 9.50 hingga 11.40 pagi.
Keseluruhan jumlah denda dianggarkan lebih RM3 juta.
Hakim Mokhzani menetapkan semula kes pada 10 Oktober depan dan tertuduh diikat jamin RM150,000 bagi Kim Bok dan RM100,000 bagi Soo Chiew.
Dalam kejadian itu, hampir sejuta pengguna air di tujuh wilayah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bakal terjejas apabila empat loji dihentikan tugas selepas mengesan pencemaran air akibat tumpahan diesel di hulu Sungai Selangor kira-kira jam 8 pagi, 30 ogos lalu.

Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) Cadangan Pakatan Rakyat Untuk Malaysia


KUALA LUMPUR - Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu menangani masalah kemiskinan berasaskan keperluan adalah lebih segar Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pengumuman Perdana Menteri mengesahkan Umno-BN gagal mencari formula baru menangani permasalahan ekonomi secara menyeluruh.
“KEADILAN tegas bahawa setiap warganegara Malaysia berhak dibantu untuk berdikari. Hakikat masih ramai Bumiputera memerlukan bantuan tidak harus dinafikan.
“Kita mengiktiraf keperluan menangani permasalahan semua pihak sesuai dengan semangat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” kata Shamsul dalam kenyataan.
Berdasarkan petunjuk garis kemiskinan di Malaysia, kemiskinan berdasarkan etnik menunjukkan Bumiputera meliputi 2.2%, Cina 0.3% dan India 1.8%.
Dianggarkan terdapat sekitar antara 300 ribu hingga 400 ribu keluarga miskin, melibatkan kira-kira 1 juta orang.
“Malangnya, Umno-BN gagal memurnikan maksud Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sehinggakan ia ditafsir demikian.
“Sementara ditonjolkan jurang ekonomi antara kaum, yang tidak ditegaskan ialah semangat sebenar untuk membasmi kemiskinan merentas kaum dan mendekatkan jurang ekonomi sesama kaum,” katanya.
Keadilandaily.com


Amalan Rasuah Di Peringkat Perbelanjaan Pertahanan Negara Di Tahap Merbahaya

NONE




Malaysia mengalami kemerosotan dan dianggap mempunyai risiko tinggi berlakunya amalan rasuah dalam perbelanjaan pertahanan dan pengoperasiannya, menurut kajian antirasuah badan pemerhati antarabangsa.

Menurut Transparency International - Malaysia (TI-M), Malaysia jatuh daripada kedudukan D (tinggi) kepada E (sangat tinggi) risiko dalam kajian yang dijalankan cabang NGO itu di UK.




Ia sekali gus meletakkan negara ini sekumpulan dengan China, Afghanistan, Rwanda, bahkan Singapura.


Justeru, dalam kenyataannya, TI-M mencadangkan kerajaan meningkatkan ketelusan dalam perolehan barangan keselamatan, melibatkan peranan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).

"TI-M mendesak anggota Parlimen daripada kedua-dua parti pemerintahan dan pembangkang menolak agenda ketelusan lebih jauh ke depan dan mengetepikan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat," katanya.



malaysiakini

Tuesday, September 17, 2013

Perutusan Presiden Sempena Hari Malaysia


(PERUTUSAN)  16 September adalah catatan sejarah untuk Malaysia iaitu tarikh keramat untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di mana 14 negeri ditadbir dibawah satu kerajaan persekutuan yang berpegang kepada prinsip dan sistem demokrasi berparlimen.
Setelah 50 tahun , sudah pasti kita semua punyai impian untuk melihat negara yang kita cintai ini diterajui oleh kepimpinan yang benar-benar memartabatkan kehidupan dan hak rakyat.
KEADILAN mengimpikan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang membuka ruang kepada setiap individu warganya menikmati pendidikan percuma, kesihatan, keselamatan dan pengurusan yang ikhlas dan membela rakyat.
Sejajar dengan apa yang telah dideklarasikan di Permatang Pauh pada 12 September 1998 bahawa “Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang”.
Selamat Hari Malaysia.
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Hari Malaysia Adalah Hasil Perjuangan Pakatan Rakyat


SHAH ALAM 16 SEPT: Tanpa cadangan dan desakan pimpinan Pakatan Rakyat, hari ini bukan cuti umum, kata Naib Presiden PKR, Tian Chua mengingatkan rakyat negara ini betapa cuti umum yang dinikmati hari ini hasil perjuangan berterusan pemimpin Pakatan Rakyat.
Beliau berkata, ia hasil cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mulanya ditolak pemimpin Umno BN tetapi melaksanakannya berikutan mahu menjaga kepentingan politik di Sabah dan Sarawak.
Sebelum ini, katanya, pimpinan kerajaan memberi alasan kononnya sambutan Hari Malaysia boleh memecah belah perpaduan sedia ada dan mengelirukan rakyat.
“Tarikh Hari Malaysia ini disembunyikan BN selama ini. Setiap kali kita sebut Hari Malaysia dikatakan akan pecah belahkan Malaysia.
“Ini hanya fitnah tidak berasas. Akhirnya selepas kita memperjuangkan, akhirnya diterima bukan kerana kebenaran tetapi tunduk kepada kehendak rakyat,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.
Hari Malaysia disambut setiap 16 September sejak beberapa tahun lalu untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia merangkumi Sabah dan Sarawak pada 1963.
Ia antara projek Pakatan yang kemudian diciplak Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Batu itu berkata, penghayatan Hari Malaysia perlu disemai selari dengan Perlembagaan negara sekali gus menghakis amalan politik adu domba antara kaum amalan Umno BN.
“Kita tidak lihat semangat merealisasikan (Hari Malaysia) dengan hanya menyambutnya sahaja.
“Kita menyambut 50 tahun (pembentukan Malaysia) tetapi sehingga sekarang politik Umno-BN masih mengamalkan adu domba antara kaum,” katanya.

-FZL
selangorku

Melayu Dan Input Maklumat


KOTA BHARU - Pengundi Melayu antara golongan paling kurang capaian maklumat berbanding bangsa lain menyebabkan undian mereka paling teruk berbanding dua parti komponen PR, DAP dan PKR.
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, situasi itu mendatangkan masalah besar kepada masyarakat Melayu walaupun Pas sedaya upaya cuba mencari penyelesaian di sebalik perkara itu.

“Ini masalah besar yang berlaku kepada masyarakat Melayu, walaupun parti-parti  pembangkang khususnya Pas ingin memberikan satu bentuk pendidikan agar wujud kesedaran dan kecerdikan politik, namun halangan yang kuat dari sesetengah pihak menjadikan usaha
tersebut agak sukar.

“Ada pihak yang ingin memastikan rakyat tidak terdedah dengan sumber politik dan terus menerus berada dalam keadaan buta politik,” katanya.

Beliau menjawab persoalan dikemukakan moderator Bual Bicara Bersama Facebookers, Hasbie Muda berhubung prestasi undian terhadap Pas yang jauh lebih teruk berbanding DAP dan PKR.

Hasbie berkata, sejak 1959, hanya tiga kali Pas mencapai keputusan tertinggi iaitu pada tahun tersebut (1959), 1964, dan 1999, sedangkan parti itu paling lama, berbanding DAP dan PKR.

Menurutnya, Pas yang juga sebuah parti paling banyak cawangan selain mempunyai ahli paling ramai, dan diasuh serta di tarbiah dalam sistem tersusun sepatutnya lebih baik berbanding DAP dan PKR.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berkata, walaupun kurang maklumat, namun pada 1999, suatu perubahan yang tidak dijangka datang dari orang Melayu apabila memberi kemenangan besar kepada parti.

“Ketika itu, buat pertama kalinya Pas mempunyai ketua pembangkang yang dipegang Presidennya, Datuk Fadzil Muhammad Noor (arwah),” katanya.

Beliau berkata, perubahan di luar jangkaan itu juga turut dipengaruhi faktor ketidakpuasan hati terhadap pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Pencetak 3D Mampu Mencipta Senjata Api



Pencetak 3D, iaitu percetakan sesuatu pelan kepada model bentuk plastik, membuka ruangan kreatif untuk perniagaan dan ilmu namun boleh menjadi ancaman kepada keselamatan umum jika disalahgunakan. 

Terbaru ada pihak dari Amerika Syarikat menyediakan pelan pembinaan senjata api yang boleh dicetak melalui laman web dan ini menimbulkan kekhuatiran pelbagai pihak termasuk Malaysia.

Oleh sebab itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata kerajaan bukan sahaja di Malaysia malah di dunia perlu ada sistem kawalan terhadap mesin teknologi digital terkini itu yang mampu mengganggu-gugat keselamatan negara.

Beliau berkata penggunaan mesin itu mungkin memberi manfaat kepada semua namun tanpa kawalan yang ketat akan memberi peluang kepada individu berniat jahat menghasilkan sesuatu yang memudaratkan.

"Memang kita puji penggunaan mesin itu, tapi dari segi kesalahan ini sangat berbahaya, pencetak 3D yang dijual tanpa kawalan, individu yang berniat jahat mampu menghasilkan senjata api melaluinya," katanya kepada Bernama.

Zaman Khan berkata biarpun setakat ini, masih belum ada yang digunakan untuk perkara jenayah, namun sekiranya tidak dikawal dan tanpa pemantauan yang lebih akan membanjirkan negara malah dunia dengan senjata api," katanya.

Rasional kerisauan Zaman Khan bersandarkan insiden cubaan bunuh dan bunuh di negara ini melibatkan penggunaan senjata api termasuk membabitkan kes berprofil tinggi.

Antara kes itu adalah pada 29 Julai lepas apabila Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi dibunuh manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di Kuala Lumpur. 

Dua hari sebelum itu, aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan jalan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Zaman Khan mengulas berhubung pencetak 3D iaitu alat pembuatan yang menjadikan fail imej 3 Dimensi sebagai input untuk diterjemahkan menjadi produk fizikal, diperbuat daripada bahan plastik. 

Dakwat atau bahan yang digunakan untuk membina objek bercetak itu diperbuat daripada 'acrylonitrile butadiene styrene' (ABS) iaitu bahan plastik yang sama digunakan untuk membuat mainan kanak-kanak dan mesin itu dijual beberapa syarikat di Malaysia dengan harga sekitar RM4,000 hingga RM7,500 seunit.

Lebih menggemparkan ada laman video di You Tube memaparkan seorang lelaki Kanada berjaya menembak 14 pusingan tunggal dari senapang yang dihasilkan melalui pencetak 3D dan adakah penemuan yang jelas ini akan memaksa kerajaan Amerika Syarikat untuk memikirkan semula dan mengharamkan video itu daripada dimuat naik dalam talian.

Zaman Khan berkata dakwat yang digunakan pencetak 3D juga perlu dikawal atau diharamkan terus daripada dijual melainkan individu terbabit mempunyai lesen untuk memilikinya. 

"Ini sangat bahaya, kalau di Malaysia dah ada, yang memiliki mesin pencetak ini perlu diberi kawalan dan pengawasan yang ketat oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Sheikh Raffie Abd Rahman berkata pihaknya sentiasa memantau video yang dimuat naik dalam talian dan individu yang terlibat boleh disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988.

"Individu itu boleh disiasat mengikut Seksyen 233 (1) AKM 1998 iaitu seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, mewujudkan apa-apa komen, permintaan, mengugut atau mengganggu orang lain. 

"Malah individu itu juga boleh dikenakan menurut Seksyen 183 AKM 1998 iaitu seseorang yang menggunakan apa-apa kelengkapan teknik atau sistem yang mmenjejaskan keselamatan awam, tapi pencetak 3D bukan sesuatu yang salah selagi tidak mendatangkan bahaya," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang melihat penyebaran video menghasilkan senjata boleh membuat aduan kepada SKMM dan polis namun dinasihati supaya tidak menyebarkannya kepada pengguna laman You Tube yang lain.

Bernama

Friday, September 13, 2013

Ringgit Jatuh? Pelabur Khuatir


KUALA LUMPUR - Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) dilihat kekhuatiran pelabur luar untuk masuk negara ini akibat kegagalan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 2/3 majoriti pada pilihanraya umum yang lalu.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin menjelaskan pelabur melihat beberapa dasar serta keputusan yang dibuat oleh kerajaan mendapat tentangan daripada Pakatan Rakyat, antaranya kenaikan harga minyak.

Tindakan tersebut membuatkan mereka (pelabur) tidak yakin dengan kekuatan BN terutamanya perkara yang mempunyai kaitan dengan rakyat.

"Faktor utama kejatuhan RM adalah disebabkan ketidakstabilan kerajaan BN yang dilihat pelabur banyak kelemahan.

"Mereka melihat dasar mahupun apa jua keputusan yang dibuat oleh kerajaan mendapat tentang dari pembangkang terutamanya jika melibatkan masalah rakyat," jelasnya.

Beliau berkata setiap tentangan Pakatan Rakyat mempunyai sebab tertentu dan tidak semua yang diputuskan oleh kerajaan itu tidak dipersetujui.

"Isu minyak kenapa kita tentang, walaupun kenaikan hanya 20 sen tetapi ia memberi kesan yang teruk kepada rakyat dan paling ketara adalah mereka berpendapatan rendah.

"Apa yang boleh dilakukan oleh mereka yang bergaji bawah RM2,000 pendapatan tersebut tidak menjamin mereka untuk hidup selesa apatah lagi jika hidup di kawasan bandar," tegasnya.

Lajim yang turut mempersoalkan walaupun kerajaan memberi amaran agar harga tidak dinaikkan tetapi sejauh mana mereka dapat mengawalnya.

"Dulu bayaran pengangkutan dari Beaufort ke Kota Kinabalu hanya RM30 untuk dua hala tetapi sekarang meningkat RM10 menjadikan RM40 untuk dua hala.

"Apakah pengawalan yang diambil kerajaan, kos tambahan menyebabkan penguasa terpaksa menaikan tambang tersebut," sambung beliau.

Beliau berharap setiap pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ekonomi negara memerlukan jalan penyelesaian terbaik dan bukannya membebankan rakyat.

Harakahdaily


Kenaikkan Harga Barang Yang Memalitkan Kalimah Allah


Apabila artikel ‘Kenaikan Harga Barang Ketetapan Allah’ muncul di saat rakyat sedang merasai ancaman kenaikan harga barang akibat potongan subsidi minyak oleh pihak kerajaan, majoriti rakyat memang tidak puas hati. Saya tidak tahu, apakah hasrat sebenar penulis berkenaan.

Mungkin niatnya hendak meredakan perasaan rakyat terhadap kerajaan ataupun meredhakan kerajaan terhadapnya, itu tidak pasti. Kata penulis, dia bercakap dalam konteks sabar. Mungkin itu maksudnya.

Menariknya saya terbaca satu komen yang menyebut: ‘Kalau begitu pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang ketetapan Allah lah?!’ Ringkas, tapi penuh makna.
Akidah
Sebelum kita pergi kepada hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu ini, saya suka menyebut bahawa dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan. Jabariah tidak termasuk dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian.

Nabi s.a.w mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama. Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu. Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izinNYA. Namun, apa yang DIA izinkan, bukan semestinya DIA redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan semestinya DIA izinkan. DIA tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang diciptaNYA. DIA redha hamba-hambaNYA bersedekah, tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta yang banyak, atas sistem alam ciptaanNYA. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk membalas kebaikan dan keburukan.


Usaha
Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabiNYA dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah: (maksudnya)
“(ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).

Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.

Takdir
Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi s.a.w menyebut:
“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap ‘ini semua takdir’ lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit. Sabda Nabi:
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh yang menyebut:
Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”. Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka.” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).

Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri. Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu. Allah telah ingatkan (maksudnya)
“Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195).
Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh bagitau mahkamah ‘jangan salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan mematikan’. Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah’. Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem keadilan yang wajib ditegakkan.
Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab “Allah menaikkan harga barang”. Apakah anda akan berkata: ‘masyaAllah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman’. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!’.

Dalam negara ini, ada berbillion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga berbillion ringgit. Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai alasan berbillion harganya. Apakah jawapannya: ‘semua itu takdir Allah?!’. Saya juga lebih tertarik dengan kerajaan sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan itu cara berhujah yang betul untuk membela.



Maksud Hadis
Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia 

berkata: “Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semulajadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.

Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak. Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut:
“Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).

Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.

Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat. Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij:
“Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).
Adapun saya, tidak tahu apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan mengemukakannya. Saya serahkan urusannya kepada Allah.


-MAZA

Tapak Pembuangan Sampah Haram Di Johan Setia


Tapak pembuangan sampah haram wujud di kawasan Johan Setia berhampiran dengan kediaman penduduk. Masalah ini mengundang rasa tidak senang di kalangan penduduk. Adun Sri Muda dan pihak Majlis Perbandaran Klang melawat ke tempat kejadian.

Thursday, September 12, 2013

Disember ini Akan Terjawab Kemelut Penstukturan Air Selangor


SHAH ALAM: Penstrukturan industri air Selangor membabitkan kerajaan negeri dan pusat yang turut melibatkan Projek Langat 2 akan diselesaikan selewat-lewatnya 31 Disember depan.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, melalui surat bertarikh 9 September lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Maximus Ongkili antara lain menyatakan pihaknya telah mempertimbangkan semua hujah dan fakta yang dikemukakan kerajaan Selangor dan yakin isu penyusunan semula ini akan diselesaikan hujung tahun ini.
“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada menteri yang secara peribadi telah memberikan komitmen bagi memastikan pengurusan air diserahkan semula kepada kerajaan negeri selaras dengan  Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri mengulangi kesediaan untuk mengambil alih operasi air secepat mungkin memandangkan penyelesaian isu ini semakin hampir dicapai.
“Kita juga yakin dengan pengurusan yang lebih tersusun, berhemah dan profesional, industri air di negeri ini akan mampu dipertingkatkan demi kebaikan pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,”katanya lagi.
Katanya, perjanjian itu melibatkan dua bahagian; proses penilaian yang melibatkan beberapa perbezaan persepsi namun tidak menjejaskan perjanjian serta modus operandi pengambilalihan air.
Namun Abdul Khalid berkata buat masa ini pihaknya tidak dapat mendedahkan butiran terperinci syarat dan terma perjanjian kepada umum sehingga selesai mengadakan pertemuan antara Maximus dengan pemegang konsesi.
“Pemilik saham perlu diberikan taklimat tentang terma terlebih dahulu sebelum perjanjian ini dimeterai,” katanya.
Beliau turut menjamin pemberian air percuma kepada rakyat Selangor tidak akan terjejas berikutan penstrukturan air itu memandangkan ia sebahagian daripada manifesto kerajaan Pakatan Rakyat.

fmt

Tribunal Tuntutan Pengguna Mengheret SYABAS



SHAH ALAM, 11 SEPT : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna kerana didakwa gagal menguruskan bekalan air dengan baik sehingga menjejaskan penduduk sekitar Lembah Klang.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mewakili 15 penduduk di sekitar Ampang dan Pandan mengemukakan fail tuntutan tribunal terhadap Syabas berikutan beberapa siri gangguan bekalan air sejak tahun lalu.
Katanya, 15 fail tuntutan ini merupakan usaha peringkat awal dan menuntut pampasan sebanyak RM50 bagi setiap satu hari berlaku gangguan air.

“Kertas salinan ini akan dihantar kepada Syabas, dan Syabas perlu hadir tiga minggu dari sekarang untuk membela dirinya kenapa tidak berjaya memastikan bekalan air di Selangor boleh dibuat dengan baik dan tidak menyusahkan pengguna.
Petisyen ini berhubung gangguan bekalan air disebabkan oleh kerosakan sistem paip di Rumah Pam Wangsa Maju yang mengakibatkan gangguan bekalan air selama tiga minggu pada Disember 2012, dan sekali lagi pada 27 Ogos lalu.
Rafizi berkata demikian selepas mengemukakan fail tuntutan itu di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Menara MRCB, Shah Alam.
“Ini soal untuk memastikan Syabas bertanggungjawab kepada pengguna, sebab sebelum ini dia tak perlu jawab kepada sesiapa, kalau dia nak potong air, dia potong saja, dua minggu ke tiga minggu pun dia tak beritahu. Pengguna perlu tahu bahawa mereka ada hak kalau berlaku gangguan seperti ini,” ujarnya lagi.
Rafizi berkata pihaknya sudah menerima 200 lagi fail tuntutan daripada penduduk Ampang, Pandan, Kelana Jaya dan Klang yang juga mahu Syabas bertanggungjawab diatas kesulitan yang mereka hadapi.
“Selama ini rakyat tak mampu nak ambil tindakan kerana Syabas dilindungi perjanjian konsesi dan kita tak boleh nak akses fail mereka disamping kos peguam yang terlalu mahal,” katanya.
Rafizi menegaskan pengguna mempunyai hak di bawah Seksyen 53 Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan setiap perkhidmatan harus disertai jaminan dan ia perlu dijalankan dengan teliti dan baik.
Rafizi mendakwa Syabas tidak menjalankan tugas dengan teliti dan berkemahiran seperti yang dituntut dalam undang-undang dengan membiarkan kerosakan paip secara berulang.
Tribunal menetapkan tarikh 3 Oktober 2013 bagi mendengar tuntutan 15 penduduk berkenaan.
selangorku

Wednesday, September 11, 2013

Kerajaan Negeri Akan Membelanjakan Wang Untuk Melaksanakan Dasar


AMPANG, 10 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor dijangka akan membelanjakan RM3 hingga RM4 bilion bagi melaksanakan dasar yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Rakyat (PR) Selangor yang diumumkan pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.
Anggaran itu bagaimanapun boleh meningkat sehingga RM6 bilion tertakluk kepada cadangan yang bakal dikemukakan pemimpin masyarakat tempatan di Majlis Dialog Manifesto Kerajaan Negeri Selangor 2013 Bersama Rakyat, yang kini giat diadakan di seluruh negeri.
Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor, Iskandar Abdul Samad, anggaran itu meliputi peruntukkan untuk sepenggal bagi skim-skim yang dilaksanakan dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
“Pada 2008 kita belum bentuk kerajaan lagi, tetapi untuk 2013 hari ini kita sudah buat kriteria secara terperinci.
“Kita cuba habiskan dialog kita minggu ini dan selepas itu barisan exco akan bermesyuarat pada 18 hingga 20 September di mana kita akan bawakan segala maklum balas dari tuan-tuan dan puan-puan, Insya-Allah.
Demikian kata Iskandar dalam majlis dialog sama bagi peringkat kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Galeri MPAJ malam tadi.
Dialog tersebut diadakan bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2014 Negeri Selangor sebelum dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sebelum hujung tahun ini.
Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Abdul Khalid sebelum ini mempraktikkan amalan mengambil kira pandangan masyarakat umum sebelum belanjawan tahunan negeri itu dirangka.
Amalan tersebut turut mengundang minat Kerajaan Persekutuan untuk mengikuti langkah sama dengan mengambil kira pandangan masyarakat awam sebelum Belanjawan 2014 dibentangkan.
Bagaimanapun langkah Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menerima kritikan sinis dari masyarakat umum selepas kerajaan baru-baru ini menaikkan harga petrol Ron95, Ron97 dan diesel.
Keputusan menaikan harga bahan api itu dianggap sebagai tidak mencerminkan realiti di bawah khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

selangorku

Dialog TPPA Tidak Jelas


KUALA LUMPUR - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan bersama-sama dalam siri jelajah bantah TPPA ke seluruh negara kerana yakin masih banyak pihak tidak mendapat maklumat yang menyeluruh mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Wakil MTEM, Norfitri Amin berkata, walaupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengadakan sesi dialog dengan orang ramai sempena hari terbukanya semalam, namun tidak semua maklumat berkaitan TPPA disalurkan kepada mereka.

Menurut beliau, kaedah lain perlu juga digunakan bagi menghalang perjanjian TPPA diteruskan dan memberikan kesan kepada golongan bawahan.

MTEM akan bersama-sama Badan Bertindak Bantah TPPA (Bantah) dalam siri jelajah ke seluruh negara bermula 17 September ini.

"MTEM memang menyertai dialog bersama MITI sempena hari terbukanya. Kita berdialog dan berurusan dengan kerajaan tapi kita percaya untuk menghalang TPPA ini, kita perlukan pelbagai kaedah.

"Mungkin pihak yang berunding itu kurang informasi. Kita kongsikan informasi yang kita ada, kita kongsikan kerisauan kita dengan mereka dan dalam masa yang sama tujuan jelajah ini juga untuk berkongsi informasi untuk masyarakat dan kepada pihak perunding.

"Tak timbul isu kita berunding tapi dalam masa yang sama buat jelajah. Tujuannya sama iatu untuk kesedaran masyarakat," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) hari ini.

Norfitri juga berkata, mereka akan menemui golongan sasar seperti pertubuhan melibatkan petani dan nelayan kerana mereka akan menerima kesan langsung daripada TPPA.

"Kumpulan yang spesifik seperti petani, nelayan, pengusaha industri kecil sederhana, kita dah turun ke beberapa pertemuan, berjumpa dengan pertubuhan nelayan dan petani-petani.

"Mereka ini tidak dipanggil untuk bersama sedangkan kita tahu bahawa dalam proposal TPPA adalah perlu negara-negara yang menandatangani, cukai terhadap barang pertanian dihapuskan kepada kosong dan juga bantuan yang diberikan selama ini kepada pihak petani dan nelayan perlu secara berkala ditarik balik.Mereka yang akan dapat kesan secara langsung, tidak dikonsult secara langsung," katanya lagi.

Tindakan TPPA untuk mewujudkan pasaran bebas dan merendahkan tarif akan menyebabkan semua sektor yang berkaitan kehilangan pekerjaan secara mendadak.

Ini menyebabkan penurunan gaji dan meningkatkan jurang ekonomi kaya dan miskin.

Penurunan tarif akan memberi kesan besar kepada petani dari negeri-negeri utara kerana mereka akan terpaksa berhadapan dengan persaingan yang tidak saksama dengan pengeksport produk pertanian dari negara-negara TPPA seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun yang tidak akan mengurangkan subsidi kepada petani mereka.

Harakahdaily