Monday, November 11, 2013

Miskin Bandar Makin Menular dan Membimbangkan


1.   Penduduk bandar berpendapatan rendah hari ini berhadapan dengan pancarabo kehidupan yang membebankan, ini ditambah lagi dengan kenaikan harga barang serta kos bahan bakar yang kian masa kian melambung akibat penarikan subsidi. Kos sara hidup yang meningkat memberi implikasi terhadap pembangunan modal insan negara.

2.   Kepadatan penduduk juga faktor kemiskinan bandar meningkat dimana penghijrahan penduduk desa mencari peluang pekerjaan di bandar dengan harapan untuk mengubah kehidupan. Melihat demografi menunjukkan penghijrahan warga desa ke bandar akan berlaku setiap tahun tanpa henti.

3.   Kemiskinan tidak boleh dihapuskan atau dikurangkan sekiranya masalah perumahan dan pengangkutan tidak diatasi, teori ini jelas dan relevan untuk masyarakat kehidupan bandar.

4.   Mari kita lihat lebih teliti masalah miskin bandar ini, 60% dari pendapatan setiap orang akan dibelanjakan pada dua perkara asas di bandar iaitu 30% untuk biaya rumah selebihnya untuk kos pengangkutan. Maka 40% pula akan diperuntukkan untuk makan,utiliti, dan perkara keperluan berwajib ini mengakibatkan pendapatan tidak cukup menyekat inflasi.

5.   Ambil contoh pendapatan RM1200 tolak KWSP 11% RM1068 sebulan duduk di ampang kerja di shah alam menaiki motor dan menyewa rumah. Rumah setiap bulan RM600 kos minyak RM5 sehari sama dengan RM100 dua puluh hari bekerja, dari RM1068 kini baki RM368 maka hanya jumlah ini yang akan membiayai makan,utiliti,pakaian kos bulanan motor dan perkara-perkara keperluan lain untuk tempoh 30 hari. Bagaimana pula orang yang berkeluarga ? Orang yang punya kereta ? orang yang menaiki kenderaan awam dengan kos pengangkutan RM10 sehari ? bagaimana golongan ini ingin memiliki rumah sendiri ?


6.   Justeru pihak bertanggungjawab wajib menyelesaikan 2 masalah besar penduduk bandar yakni perumahan dan pengangkutan. Rumah kos rendah (RM 50,000 - RM 100,000) harus dirayakan bermakna ia wajib dibina di setiap pelosok bandar berbanding rumah yang mahal dan tidak mampu dimiliki golongan pertengahan manakala sistem pengangkutan awam yang kini giat berkembang (MRT) harus di yakinkan dengan pengangkutan seperti teksi dan bas agar rakyat dapat sampai ke destinasi dengan efisien serta kos yang bersesuaian mengikut kadar gaji minimum kerajaan. 

Apakah relevannya pembinaan rumah kos rendah di kawasan bandar ?

7.   Pekerjaan dan kawasan tumpuan mencari rezeki itu berpusat di bandar maka jika perumahan kos rendah dibina di pinggir bandar rakyat terpaksa membayar kos yang lebih untuk pengangkutan.Maka masalah bukan sahaja tidak selesai malah ia lebih membebankan rakyat dengan menyekat masa setiap rakyat.

8.   Antara langkah yang boleh dimulakan kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri adalah mengurangkan premium tanah agar mengimbangi kos pembinaan dan terus memberi ruang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah. 

9.   Agenda penghapusan kemiskinan ini wajib diselaraskan mana-mana parti pemerintah agar kesejahteraan rakyat terjamin. Apabila kita berjaya mengurangkan beban kehidupan rakyat maka secara tidak langsung kita membina modal insan yang lebih sihat dan berdaya maju.


-Mj




Masih Tiada Respon Dari PM Berkenaan Soal Peguam Negara & CIA Amerika




Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang masih berdiam diri dengan laporan yang mendakwa peguam negara mendapatkan khidmat ejen perisik Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

“Dakwaan terbaur oleh Tun Dr Mahathir Moahamd bahawa Pejabat Peguam Negara menggaji dua ejen CIA adalah amat mengejutkan dan memerlukan respon segera dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dakwaan itu timbul susulan laporan yang mendedahkan jaringan perisik perisikan global oleh Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara lain di bumi Malaysia.

“Namun perdana menteri sehingga hari ini masih berdiam diri, pendedahan terbaru ini tidak lain dari satu perkara yang amat memalukan dan penuh skandal,” katanya lagi.

Ketua umum PKR itu mengulas laporan dalam laman The Malaysian Insider berhubung satu pertemuan yang didakwa berlangusng di antara Mahathir dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Dr Mahathir juga dikatakan telah menekan Gani dan memanggil Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi untuk satu pertemuan.

“Dalam mesyuarat itu, Dr Mahathir mendakwa Pejabat Peguam Negara mengupah dua orang ejen CIA. Ahmad Zahid bersetuju untuk menyiasat dakwaan itu,” lapor laman tersebut pada hari Rabu lalu, memetik kenyataan sumber yang tidak dinamakan.

Anwar juga berkata Gani perlu memberi penjelasan kepada umum berhubung perkara itu dan juga dakwaan lain mengenai “aktivisi haram dan bersifat konspirasi” yang dikaitkan dengan Pejabat Peguam Negara.

Ia turut melibatkan laporan polis yang dibuat oleh bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim.

Anwar juga berkata, Gani sepatutnya digantung perkhidmatan sekiranya terus gagal untuk menadikan dakwaan salah laku berkenaan.

Tambahnya, perdana menteri tidak harus mengabaikan tuntutan umum untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan tesebut.

Peguam Negara pula tidak sepatutnya dibiarkan untuk berkhidmat apabila timbul dakwaan seperti itu, katanya lagi.

MK

Pembunuh Yang Dicari Sudah Ditangkap , Tahniah Pasukan Cantas Khas PDRM

Suspek dalam pembunuhan pegawai AmBank di reman polis hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 10 November, 2013.

Pengawal keselamatan yang juga suspek menembak mati seorang pegawai operasi AmBank Norazita Abu Bakar dalam kejadian rompakan di bank itu bulan lalu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Beliau direman bermula hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Perintah reman itu dikeluarkan pada pukul 3.40 petang ini oleh Majistret Nazri Omran di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Pengawal keselamatan yang juga suspek yang menembak mati seorang pegawai operasi AmBank di Subang Jaya bulan lalu dikawal ketat anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi mendapatkan tahanan reman, hari ini.
Polis menahan pengawal keselamatan yang melarikan wang sebanyak RM450,000 di cawangan Ambank di USJ Sentral, Subang Jaya di Johor pagi ini.
Suspek dikenal pasti berasal dari Sabah, berumur 37 tahun dan dituduh menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di atas keprihatinan dan kerjasama mereka dalam kes ini.
“Pada jam 7 pagi hari ini, bertindak atas maklumat, Pasukan Cantas Khas PDRM telah berjaya menangkap seorang lelaki di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor yang dipercayai suspek utama dalam kejadian samun di Subang Jaya pada 23 Oktober 2013 yang melibatkan kematian seorang kakitangan AmBank.
“Pihak polis percaya dengan penangkapan suspek utama ini, kes berkenaan telah berjaya diselesaikan,” kata Hadi dalam satu kenyataan yang dikirimkan kepada media sebentar tadi.
Dalam kejadian menyayat hati pada 23 Oktober itu, Norazita, 37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan pada 6.20 petang, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita. – 10 November, 2013.

TMI

Dakwah Seni Mushaf Al-Quran Terjemahan Mandarin


Yayasan Restu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terkenal dalam penghasilan manuskrip Al-Quran bertulisan tangan, telah menerbitkan lebih 20 edisi Al-Quran termasuk Al-Quran Mushaf Malaysia serta mengeluarkan terjemahan kitab suci itu dalam enam bahasa termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Khmer, Rusia dan Kazakh.

Maka terjemahan yang terbaru yang akan diterbitkan ialah dalam bahasa Mandarin dimana ia akan disiapkan dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) yang akan bermula tahun depan.

Dakwah melalui seni Mushaf ini merupakan langkah baik selaras dengan mesej Al-Quran yakni :-
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖفَيُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Surah Ibrahim, Ayat 4

Al-Quran terjemahan Mandarin ini akan diterbitkan sebanyak 20 ribu naskhah, inisiatif sebegini akan ditingkatkan mengikut sasaran Yayasan Restu dimana terjemahan Al-Quran ini akan berterusan sehingga mencapai 100 ribu naskhah mengikut bahasa yang bersesuaian dengan kehendak syarak.

Proses penterjemahan Al-Quran ini punyai 3 teras iaitu aspek kajian , penyelidikan dan penerbitan. Melihat aspek penerbitan ini ia merupakan hasil kerja teknik tulisan tangan dimana penelitian khusus diambil kira agar seni tampak halus tidak tercemar.Ini juga termasuk dalam seni penulisan bahasa Mandarin itu sendiri.

Proses kajian dan penyelidikan juga memakan masa lebih 6 bulan ke 1 tahun agar mesej diterjemah dengan cermat mengikut undang-undang dan memberi makna sejagat kepada seluruh umat.

Inovasi yang seterusnya dalam perancangan ialah mengeluarkan lebih banyak Al-Quran "soft Copy", Walaupun harini di Alam Maya itu sendiri punya banyak portal-portal Al-Quran namun ada juga anasir negatif dimana ada portal yang menyampaikan mesej yang meleset. Maka inovasi membawa Quran ke alam maya ini harus melihat sumber dan pengendali portal tersebut agar mesej Allah Taala itu sampai.

Semoga lebih banyak lagi inovasi penulisan terjemahan Al-Quran akan diterbitkan memandangkan bumi Malaysia ini punya pelbagai kaum. Agar semangat masyarakat madani menyubur di Malaysia
  
-Mj

Friday, November 8, 2013

OIC Menyeru Negara Islam Memutuskan Hubungan Diplomatik Dengan Negara Yang Iktiraf Keputusan Israel



KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak negara-negara anggota memutuskan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara yang mengiktiraf keputusan Israel menggabungkan Baitulmaqdis atau memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis.

Dalam satu kenyataan, OIC berkata isu itu yang ditonjolkan oleh Setiausaha Agung badan itu Ekmeleddin Ihsanoglu, adalah antara resolusi yang akan dibincangkan di sesi ke-40 mesyuarat Majlis Menteri Luar OIC pada Disember di Conakry, Guinea.

Ihsanoglu juga berkata sesi khas mengenai Baitulmaqdis akan diadakan di luar mesyuarat itu, bertujuan merencana sebuah visi tentang bagaimana pertubuhan 57 negara anggota itu dapat bertindak di pelbagai peringkat bagi menyekat pencabulan Israel di Baitulmaqdis.

Beliau berkata terdapat perakuan untuk menyelaras usaha Islam di Majlis Hak Asasi Manusia bagi menyekat percubaan Israel menghapuskan perkara tujuh agenda Majlis itu untuk memeriksa situasi hak asasi manusia di Palestin dan wilayah Arab lain yang ditakluki Israel.

Dalam perkembangan lain, OIC berkata Ihsanoglu dan sebuah delegasi OIC peringkat menteri akan melawat Myanmar minggu depan berikutan resolusi Kumpulan Hubungan OIC tentang masyarakat minoriti Muslim Rohingya yang dibuat September lepas pada mesyuaratnya di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Delegasi Kumpulan Hubungan OIC itu akan terdiri daripada Arab Saudi, Mesir, Djibouti, Turki, Malaysia, Bangladesh dan Indonesia.

Isu utama yang akan dibincangkan dengan kerajaan Myanmar ialah status Rohingya di Myanmar yang meliputi keperluan kemanusian, pelan penempatan semula, hak asasi manusia dan hak kewarganegaraan mereka. 

Berhubung perkembangan di Selatan Filipina, Ihsanoglu mengulangi komitmen OIC untuk terus menyediakan kemudahan bagi penerusan proses damai antara Kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF). - Bernama

Kerajaan Negeri Akan Mengambil Alih Sepenuhnya Pengurusan Air Berikutan Surat Yang Diterima 9 September Lalu


Kerajaan negeri Selangor dimuktamadkan untuk mengambil alih dan mengurus sepenuhnya empat syarikat konsesi bekalan air di negeri itu, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).
Beliau berkata surat rasmi yang diterima pada 9 September lepas daripada kerajaan persekutuan menunjukkan kesepakatan untuk kedua-dua pihak menyelesaikan segera isu pengurusan air demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Benar, pengurusan Syabas telah diberikan kepada kerajaan negeri namun sekarang, kita masih berunding dengan pihak terlibat tentang bayaran dan nilai pengambilalihan tersebut.
"Jika rundingan dapat diselesaikan pada hujung tahun ini, proses mengambil alih akan memakan sedikit masa...mungkin dalam tiga hingga enam bulan.
"Apa yang penting, para pekerja syarikat konsesi air itu tidak akan diberhentikan malah boleh bekerja seperti biasa cuma di bawah pentadbiran baharu saja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, biarpun pihaknya diberi kuasa penuh mentadbir industri air di negeri itu, namun kerajaan persekutuan tetap menjadi pemegang saham emas sebagai syarat keempat-empat syarikat itu tidak boleh dijual kepada pihak lain melainkan kerajaan persekutuan.
Terdapat empat syarikat konsesi air di Selangor - Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang merupakan anak syarikat Kumpulan Gamuda; dua anak syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd, iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS); serta Korsortium Abass Sdn Bhd.
Kerajaan negeri telah membuat tawaran RM9.65 bilion untuk mengambil alih kesemua empat syarikat tersebut.
Abdul Khalid sebelum itu menghadiri majlis Himpunan Penghulu, Ketua-ketua kampung serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) seluruh negeri Selangor bagi mengenal pasti permasalahan penduduk.
Berhubung isu-isu penduduk yang disuarakan semasa himpunan itu, Abdul Khalid berkata pihaknya akan berusaha membantu menyelesaikan isu yang timbul.
Beliau berkata jumlah peruntukan kepada ketua-ketua masyarakat itu sebagai dana pembangunan komuniti desa akan diumum pada pembentangan belanjawan negeri 18 November ini. - Bernama, 7 November, 2013.

Thursday, November 7, 2013

Kisah Pulau Batu Puteh Bermula

NONE


EKSKLUSIF Pada tahun 2008, Almarhum Sultan Mahmud Iskandar bertitah kepada Dewan Undangan Negeri Johor: "Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Pulau Batu Puteh. Pulau Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu."

Lima tahun kemudian, seorang bekas pegawai tinggi polis menerajui usaha supaya kerajaan mengheret mereka yang didakwa bertanggungjawab atas kehilangan pulau itu.

Individu berkenaan adalah bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim - seorang bekas pegawai polis yang kerjayanya berjalinan dengan politik selepas ditugaskan menyiasat kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada tahun 1998.

Sejak bersara, Mat Zain telah memulakan misi peribadinya untuk menghantar surat terbuka kepada pihak berkuasa atasan, menggesa mereka mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang didakwa rasuah yang terlibat dalam perbicaraan kes liwat pertama Anwar.

Dan beliau melangkah setapak lagi, kali ini mengenai kes Batu Puteh - atau Pedra Branca menurut Putrajaya - dengan membuat satu akuan bersumpah (SD) mengenai maklumat baru yang diterimanya mengenai perkara itu.

Malaysiakini melihat SD tersebut dan telah dimaklumkan oleh Mat Zain bahawa salinannya telah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Gesa tubuh RCI

Dalam SD itu, Mat Zain menyatakan bahawa tujuan beliau menuliskan dokumen itu adalah untuk meyakinkan Putrajaya supaya menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai kehilangan Batu Puteh kepada Singapura.

Pertikaian ke atas Batu Puteh bermula pada tahun 1980. Akhirnya, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang berpusat di The Hague, Belanda.

Pada bulan Mei 2008, mahkamah tersebut yang membariskan 16 hakim terkemuka, telah membuat keputusan yang berpihak kepada Singapura.

NONEBagi menyokong gesaannya supaya RCI itu diwujudkan, SD Mat Zain itu mengandungi butiran perjumpaan makan malamnya pada 10 Ogos dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; peguam kanan Datuk Muhammad Shafee Abdullah (kiri) dan bekas Pengarah Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusuff.

Antara isu-isu lain yang dibincangkan dalam perjumpaan itu ialah mengenai insiden mata lebam Anwar serta Batu Puteh, demikian menurut SD Mat Zain itu.

lingam tape panel meeting 031007 abdul gani patailSD itu menyatakan bahawa Shafee telah memaklumkan kepada Mat Zain mengenai rasa tidak berpuas hati Mahathir terhadap Gani (kanan), yang mengetuai pasukan peguam Malaysia di ICJ, kerana didakwa menyembunyikan beberapa fakta penting.

Kembali kepada tahun 2008, Mahathir telahmenyuarakan rasa tidak puas hatinya itu, dengan berkata Singapura menghantar ketua hakim dan seorang peguam yang pernah bekerja dengan Bangsa-Bangsa Bersatu, sedangkan Malaysia hanya menghantar peguam negeranya yang tidak begitu terkenal.

Mat Zain berkata delegasi Malaysia ke ICJ yang diketuai oleh Gani, telah dikemukakan, sebagai bukti, satu gambar kontroversi yang telah diambil dari satu blog tanpa nama.

NONEGambar ini (kiri) menggambarkan Batu Puteh yang berdekatan dengan Johor, tetapi satu lagi gambar lain yang dikemukakan oleh delegasi Singapura, mempertikaikan kesahihan gambar itu.

Mat Zain menyifatkan langkah mengemukakan gambar "palsu" itu sebagai satu bentuk penipuan yang teruk menjejaskan kes di Malaysia.








malaysiakini

2753 Laman Web Disekat SKMM Kerana Melanggar Akta




CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 2,753 laman web yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan Industri SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,611 ialah laman 'Phishing' (laman web bank palsu); kandungan lucah (103); dan kandungan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (10).

Turut disekat 15 laman web yang melanggar Enakmen Jenayah Syariah; Akta Rahsia Rasmi (dua); Kanun Keseksaan (dua); Akta Hasutan (satu); dan lain-lain (sembilan).

"Setakat ini, SKMM sedang menyiasat 10 laman web," katanya kepada Bernama di sini.

Zulkarnain berkata, Kerajaan melalui SKMM sentiasa bekerjasama dengan polis dan agensi penguatkuasa lain di dalam dan luar negara dalam penguatkuasaan undang-undang penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Sepanjang Januari sehingga Oktober tahun ini, beliau berkata, Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan (JPS) SKMM menerima 268 aduan yang disiasat di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Daripada jumlah aduan yang diterima, 108 aduan adalah laporan polis yang dirujuk kepada JPS. Jenis aduan yang dirujuk oleh PDRM ialah kandungan palsu 35 peratus, sumbang (23 peratus), mengancam (14 peratus), jelik (15 peratus), lucah (10 peratus) dan lain-lain yang bukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (11 peratus)," katanya.

Beliau berkata, aduan yang paling banyak diterima SKMM ialah berhubung akaun palsu atau penyamaran, termasuk penyalahgunaan maklumat dan data peribadi, penyebaran fahaman atau ajaran sesat dan 'love scam'.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Akta Perkhidmatan Pos 2012, Akta Tandatangan Digital 1997 dan Akta Perdagangan Strategik 2010 untuk menangani jenayah siber dan penyalahgunaan laman sosial adalah mencukupi.

Namun begitu, beliau berkata, SKMM menghadapi cabaran dalam penguatkuasaan dan pendakwaan, khususnya dalam pembuktian kes jenayah siber.

"SKMM juga berdepan dengan pengendali laman sosial yang enggan membekalkan maklumat kerana individu yang melanggar peruntukan undang-undang di Malaysia tidak semestinya menjadi satu kesalahan di negara pengendali laman web itu.

"Selain itu, SKMM juga berdepan dengan cabaran mengesan individu yang menyalahguna media sosial dengan menggunakan wifi percuma di tempat awam kerana penyedia perkhidmatan tiada log transaksi," katanya.

Selain mendapatkan maklumat lengkap mengenai akaun seperti alamat URL, beliau berkata, SKMM perlu membuat analisa forensik ke atas alat-alat elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba yang membolehkan siasatan dijalankan.

"Ini merupakan antara cabaran yang dihadapi SKMM namun begitu orang ramai masih tidak faham dan menyalahkan SKMM leka dalam siasatan dan gagal menyelesaikan kes," katanya. - Bernama

Seluruh Negara Asean Harus Bantah Intipan Amerika - Ketua Umum


JAKARTA 6 NOVEMBER: Seluruh negara Asean harus membantah keras intipan Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa negara terlibat, kata Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lapor Kompas.com, Anwar berkata, melalui penyatuan semua negara Asean, bantahan lebih mudah dan didengari.
Anwar Jakarta“Kita harus ambil sikap (tindakan), harus tegas, terutama menuntut mereka untuk minta maaf. Segera keluarkan (ungkapan(kenyataan)) siapa saja yang terlibat,” kata Anwar pada pertemuan dengan Ketua Dewan Perwakilan Daerah (DPD) Irman Gusman di Jakarta, semalam.
Katanya, negara-negara Asean seperti Indonesia dan Malaysia yang dikhabarkan diintip Amerika masih berlembut dan tidak tegas.
Menurut Anwar, Indonesia hanya sekadar melakukan bantahan tanpa tindakan lebih jauh.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan, reaksi Indonesia itu lebih baik dibandingkan pemerintah Malaysia yang sama sekali belum mempamerkan bantahan.
“Sampai sekarang pemerintahan Malaysia belum ada pernyataan keras terhadap (isu) ini. Sering kali kita menemukan sikap yang lemah,” kata mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu, lapor portal Indonesia itu dipetik.
Anwar selanjutnya membandingkan dengan negara-negara Eropah seperti Jerman yang juga menjadi sasaran intipan Amerika. Ini kerana Jerman menentang keras setelah mengetahui Kanselor Jerman, Angela Merkel diintip.
“Jerman sebagai negara tetangga (jiran) masih dicurangi, apalagi negara Asia. Untuk itu, kita harus memprotes keras. Harus tegas, terutama menuntut untuk (Amerika) meminta maaf,” tegas Anwar.
Dilaporkan, Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) AS diketahui mengintip komunikasi negara-negara sekutu mereka di Eropah. AS juga disebut mengintip komunikasi pemerintah Indonesia. Australia juga dilaporkan melakukan hal yang sama terhadap Indonesia.
Laporan terbaru di laman Sydney Morning Herald 31 Oktober lalu menyebut, pejabat Kedutaan Besar Australia di Jakarta turut menjadi lokasi intipan maklumat elektronik.
Sehubungan itu, Kerajaan Indonesia meminta pengesahan Kedutaan Besar AS dan Australia mengenai intipan yang diduga dilakukan kedua-dua negara tersebut terhadap negara itu tetapi hasilnya, AS mahupun Australia sekadar membisu.
Anwar dalam kenyataan sebelum itu menyelar sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membisu terhadap tindakan tercela itu.


keadilandaily

Wednesday, November 6, 2013

Kekalahan Malaysia Dalam Kes Pulau Batu Puteh Yang Diwakili Gani Patail Mengungkap Kisah


Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) nampaknya sedang menerima tekanan daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir bukan sahaja mendapatkan pandangan balas daripada bekas pegawai kanan polis dan peguam kanan sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini hari ini bahkan menteri juga dibawa berbincang mengenainya.
Menurut sumber The Malaysian Insider, sekurang-kurangnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibawa berbincang oleh Dr Mahathir mengenai tingkah laku Gani.
Antaranya Mahathir bertanya Zahid apakah beliau sedar atau tidak ada dua pegawai Amerika Syarikat yang didakwanya agen kepada  Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang bekerja di pejabat Peguam Negara sekarang.
Sehubungan itu, Zahid didakwa berjanji akan menyiasat dakwaan Dr Mahathir itu.
Hari ini, Malaysiakini mendedahkan, Dr Mahathir  melalui orang kepercayaannya memanggil bekas pegawai penyiasat polis terhadap kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Mat Zain Ibrahim ke rumahnya.
Mat Zain dibawa bertemu Dr Mahathir oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah pada 10 Ogos lalu, tiga hari selepas hari raya Aidilfitri.
Mereka bertemu Dr Mahathir di rumahnya di Country Height. Turut serta adalah bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Matthias Chang.
Dalam perbincangan di meja makan sempena hari raya itu, mereka berbincang mengenai salah laku Gani bermula daripada kes mata lebam Anwar lagi.
Turut dibincangkan adalah kekalahan Malaysia dalam kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Antarabangsa. Gani mewakili Malaysia dalam kes itu.
Selepas pertemuan 10 Ogos itu, Mat Zain pada 7 Oktober membuat satu akuan bersumpah yang antara kandungannya  adalah dakwaan salah laku Gani dalam kes mata lebam Anwar.
Akuan bersumpah itu kemudiannya dihantar  kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Turut dihantar salinan Akuan Bersumpah itu adalah Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar dan juga dikatakan diterima oleh Timbalan Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyidin Yassin. – 6 November, 2013.

themelaysianinsider

Pimpinan Pakatan Rakyat Mengucapkan Tahniah Diatas Kejayaan PRK Sg Limau



SHAH ALAM 5 NOV : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengucapkan tahniah kepada jentera mereka di atas kesungguhan gerak kerja dan pengundi DUN Sungai Limau yang memberikan kejayaan kepada calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu, semalam.
“Alhamdulillah, syukur atas kemenangan calon PAS di Sungai Limau. Tahniah kepada Ustaz Azam, petugas dan pengundi serta terbukti asakan, sogokan juga fitnah media Umno ditolak rakyat,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di laman Twitternya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, PAS akan memastikan amanah yang diberikan kepada wakil rakyat baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada petugas daripada PAS dan rakan PR yang datang dari seluruh pelusuk tanah air untuk membantu kemenangan calon kami.
“Sumbangan tenaga dan dalam apa juga bentuk bantuan sepanjang tempoh PRK itu sangat dihargai. Semoga Allah SWT membalas segala pertolongan semua,” katanya.
Bagi Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kemenangan PR dalam PRK itu akan memberikan inspirasi untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi berhadapan jentera kerajaan pusat dan negeri yang digunakan Barisan Nasional (BN).
“Kemenangan PAS dan PR memberikan inspirasi besar untuk berhijrah dari ‘Sungai Limau ke Putrajaya’,” katanya.
Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi yang membolehkan parti itu mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi.
Pada PRU ke-13 Mei lalu, mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak memenangi kerusi DUN Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.
Keputusan rasmi PRK DUN Sungai Limau diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, kira-kira jam 9 malam, semalam.
Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menyifatkan kemenangan calon parti itu sebagai kemenangan hari pertama tahun hijrah 1435H.
Dalam entri terbaru di laman Facebook beliau, Nik Aziz memanjatkan kesyukuran dengan kemenangan itu dan merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.
“Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi PAS yang ternyata menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk kekal istiqamah bersama dengan PAS.
“Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharap menjadi langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas politik negara,” katanya. -NFN-


selangorku

Perutusan Maal Hijrah Ketua Umum




Tatkala menghimbau peristiwa Hijrah, kita sewajarnya menginsafi iltizam dan tekad Rasulullah SAW yang tetap istiqamah dalam memacu dakwah dan proses perubahan ummah.
Meski pun dihadapkan dengan pelbagai rintangan dan mehnah, namun umat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah SAW tetap teguh berpegang kepada prinsip dan keimanan kepada Allah SWT.
Peristiwa Hijrah sememangnya telah membuka dimensi baru dalam sejarah ketamadunan Islam. Sentimen dan faham perkauman berteras semangat kabilah dan suku yang menebal di kalangan masyarakat Arab ketika itu telah berjaya dirobek dan dipecahkan.
Perpindahan umat Islam dari Makkah ke Madinah menyaksikan bermulanya era baru dalam perkembangan dakwah Islam. Penyatuan kaum Ansar dan Muhajjirin merupakan titik tolak kepada pembinaan sebuah masyarakat madani dan pemerintahan negara yang berteraskan prinsip al-adli wal ihsan.
Justeru penghayatan Hijrah seharusnya disemai menerusi pemahaman terhadap falsafah pembaharuan yang digagaskan oleh baginda Rasulullah SAW. Lompang besar dalam persoalan tatakelola yang mengabaikan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan sewajarnya diatasi dan diperbaiki.
Pembaziran dan ketirisan yang menjadi budaya dalam amalan tadbir urus mutakhir ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku. Perubahan tidak akan dicapai seandainya kita terus bersikap laih dan lesu. Firman Allah SWT di dalam Al-Qur’an:
“Sesungguhnya Kami tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri.”(Surah Ar-Rad: ayat 11)
Bagi pihak KEADILAN, saya mengucapkan Salam Ma’al Hijrah 1435 kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat dan hidayah untuk kita semua serta memberikan kita kekuatan untuk meneruskan perjuangan membawa perubahan di negara Malaysia yang tercinta ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

Tuesday, November 5, 2013

Kemenangan PR Di Sg Limau Pada Hari Pertama Tahun Hijrah, Tahniah PAS


KUALA LUMPUR:Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai  Limau semalam sebagai “kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H”.

Dalam entri terbaru di laman facebook beliau, Tuan Guru Nik Aziz memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan kemenangan itu dan merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.

“Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kemenangan kepada calon PAS di Dun Sungai Limau Kedah kelmarin (semalam).

“Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi PAS yang ternyata telah menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk kekal istiqamah bersama-sama dengan PAS.

“Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharapkan menjadi langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas politik negara, Insya Allah,” ujarnya.

PAS mengekalkan kerusi Dun Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi.

Calon PAS Ustaz Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi.


Pada PRU ke-13  Mei lalu, Tan Sri Ustaz Azizan Razak (PAS) memenangi kerusi Dun Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.


Keputusan rasmi PRK Dun Sungai Limau diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan kira-kira jam 9.00 malam.

Daripada 23,249 pemilih berdaftar yang keluar mengundi,  145 kertas undi diisytiharkan rosak.

Dengan keputusan ini, PAS mengekalkan kerusi Dun itu sejak pilihan raya umum 1995.





harakahdaily

Titah Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Sempena Maal Hijrah



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan rakyat supaya tidak membawa budaya assabiyyah dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Seri Paduka bertitah rakyat sebaliknya perlu memahami konsep "penerimaan dan kebersamaan" yang menunjangi kesejahteraan hidup.

"Marilah kita bersikap sederhana dalam kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Negara," titah Seri Paduka semasa merasmikan sambutan Maal Hijrah 1435H/2013M peringkat kebangsaan dengan tema "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya hari ini.

Tuanku Abdul Halim juga melahirkan kegusaran apabila semangat "kebersamaan dalam kepelbagaian" dalam kalangan rakyat cuba dihakis dan diganggu gugat pihak tertentu.

"Pelbagai isu sensitif dan slogan cuba dicanangkan, sedangkan semua pihak tahu dan perlu memahami bahawa kita semua bertanggungjawab menjaga kepentingan perpaduan dan keamanan negara," titah Seri Paduka.

- Bernama

Peristiwa Hijrah





Hijrah (هِجْرَة), maksud perpindahan. Ejaan alternatif dari kata Arab dalam abjad Latin adalah Hijrah, atau Hijriyah di Latin.

Hijrah ke Habsyah

Dua belas lelaki dan perempuan dua belas sahabat, kaum muslim yang awalnya bertemu di Mekkah, mencari perlindungan dari penganiayaan Quraisy dalam Kerajaan Habsyah pada bulan Rejab 7 SH (614 - 615M). Tindakan ini dikenal sebagai Hijrah Pertama ke Habsyah; Habsyah dalam perkara ini kerana kata Arab, al-Habasha, dari mana "Abyssinia" berasal. Mereka kembali semula ke Jazirah Arab setelah tiga bulan berhijrah kerana maklumat yang diperolehi bahawa penganiayaan ke atas umat Islam telah berhenti.Jaafar bin Abi Talib r.a. Beliau merupakan sepupu Nabi s.a.w dan juga saudara susuannya.Susuk tubuh beliau dan akhlak peribadinya persis Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diakui oleh Baginda sendiri. Beliau juga seorang yang amat pemurah sebagai akuan daripada Abu Hurairah r.a.Memimpin golongan Islam yang pertama yang berhijrah ke Habsyah (Sudan) akibat penindasan yang melampau yang dilakukan oleh algojo Mekah. Beliau menjadi juru cakap Islam di sana. Apa yang menarik ialah beliau telah berjaya berdakwah kepada Raja Najashi yang menyaksikan dia memeluk Islam.

Hijrah ke Madinah

biasanya merujuk kepada sebuah perjalanan yang diambil oleh umat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622 Masihi dari Makkah ke Madinah. Tujuan penghijrahan ini adalah untuk meneruskan penyebaran Islam. Ancaman orang Arab Quraisy juga telah menjejaskan aktiviti penyebaran ajaran Islam. Hijrah merupakan satu strategi Nabi Muhammad s.a.w untuk mengembangkan Islam dengan aman. Hijrah membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan. Perjalanan sejauh 320 km ini mengambil masa 8 hari.
HariTarikhNota
Hari 1
Khamis
26 Safar SH 1
(9 September 622)
Meninggalkan rumah di Makkah. Tinggal tiga hari di Gua Thur berdekatan kota suci Makkah.
Hari 5
Isnin
1 Rabiulawal SH 1
(13 September 622)
Meninggalkan wilayah Makkah. Perjalanan ke daerah Yathrib.
Hari 12
Isnin
8 Rabiulawal SH 1
(20 September 622)
Tiba di Masjid Quba dekat Madinah.
Hari 16
Jumaat
12 Rabiulawal SH 1
(24 September 622)
Kunjungan pertama ke Madinah untuk solat Jumaat.
Hari 26
Isnin
22 Rabiulawal SH 1
(4 Oktober 622)
Pindah dari Masjid Quba ke Madinah.

Takwim Hijrah

Tarikh Hijrah juga menandakan permulaan tahun dan tarikh baru bagi umat Islam. Di dalam Takwim Hijrah, asas kalendarnya adalah berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi.

Sambutan Maal Hijrah di Malaysia

Setiap kali tahun Hijrah tiba, satu perhimpunan akan diadakan di Malaysia bagi menyambut tahun Hijrah yang baru. Upacara ini akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan disaksikan oleh ribuan rakyat Malaysia. Setiap tahun juga, akan diberi Anugerah Maal Hijrah kepada yang layak


Monday, November 4, 2013

Laporan Langsung PRK Sg Limau

Selepas 12 hari berkempen, seramai 27,222 pemilih akan menentukan siapakah wakil rakyat mereka yang baru di Sungai Limau hari ini.

NONECalon BN Ahmad Sohaimi Lazim, 53, bertanding melawan calon PAS Mohd Azam Samat, 37, dalam pertandingan satu lawan satu.

Pemenangnya akan menggantikan bekas menteri besar Kedah Tan Sri Azizan Razak yang meninggal pada 26 September lalu.

Sungai Limau dimenangi PAS sejak 1995.

Azizan mempertahankan kerusi itu untuk penggal kelima dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 2,772 dalam pertemuan empat penjuru, termasuk calon BN Fazillah Mohd Ali.

Kawasan majoriti Melayu itu mempunyai 93 peratus pemilih Melayu, 1,842 Cina (6.7 peratus), 15 India (0.6 peratus) dan lain-lain.

Kesemua 58 saluran di 17 pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi dan akan ditutup pada 5 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan peratusan keluar mengundi yang tinggi sehingga 90 peratus.

LAPORAN LANGSUNG


11.53am: Seramai 12,166 dari 27,222 pengundi (44.07 peratus) menunaikan tanggungjawab setakat jam 11 pagi, menurut Bernama yang memetik kenyataan jurucakap SPR.

11.25am 
SMK Bukit Besar - Balu Tan Sri Azizan Abdul Razak, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata beliau kesal dengan penyebaran SMS palsu yang mendakwa beliau menggesa pengundi memilih BN.
Menurutnya, SMS tersebut mendakwa beliau kesal dengan penghinaan PAS ke atas Allahyarham Azizan.
"Tentulah saya harap PAS akan menang," katanya ketika ditemui wartawan selepas membuang undi.

11.24am
 Sekolah Kebangsaan Bukit Besar - Wartawan KiniTV Sumisha Naidu berkata beliau tidak menyedari bahawa petugas media tidak dibenarkan menemubual pengundi dalam kawasan pusat pengundian.
Beliau merupakan antara petugas media yang diarahkan keluar dari kawasan pusat pengundian tersebut pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, pegawai SPR dan seorang anggota polis meminta beliau beredar dari pusat pengundian tersebut atas dakwaan kesalahan berkenaan.
"Ya ia kesalahan saya tapi ia tidak disengajakan," katanya yang memberi alasan bahawa tiga orang wartawan lain turut menemubual pengundi pada masa itu.
Oleh sebab itu, beliau beranggapan bahawa tindakan tersebut dibenarkan.

Katanya, petugas China Press juga diusir dari kawasan tersebut dalam kejadian berkenaan.

10.55am 
SMK Bukit Besar - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir meluangkan masa melawat pondok panas BN yang terletak kira-kira 50 meter dari SMK Bukit Besar.

"Seperti yang biasa berlaku, apabila jumlah yang keluar mengundi itu tinggi, kebarangkalian untuk BN menang itu juga tinggi," katanya.
Balu Tan Sri Azizan Abdul Razak, Puan Sri Faekah Sheikh kemudiannya tiba di pusat pengundian tersebut beberapa minit kemudian untuk membuang undi.

Beliau yang diiringi AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad turut meluangkan masa di hadapan pintu pagar sekolah untuk memberikan ruang kepada lensa jurugambar merakam fotonya.

10.42
am  
Seramai 8,278 pengundi (30.4 peratus) telah menunaikan tanggungjawab setakat jam 10 pagi, menurut laporan Bernama yang memetik kenyataan jurucakap SPR.
NONE10.35am SK Dulang Kechil - Sekumpulan penyokong PAS menghalang empat orang penyokong BN yang ingin memasuki kawasan masjid untuk ke tandas.
Dua kumpulan berperang mulut selama beberapa minit dan hampir bergasak namun dileraikan oleh beberapa orang anggota polis.
10.15 SJK(C) Pei Hwa, Kampung Batu 17 - Terdapat provokasi kecil di kalangan penyokong PAS dan BN.

"Jangan buat kacau di sini," seorang polis yang bertugas di situ memberi amaran sambil menjarakkan mereka.
10.10 SK Dulang Besar - Terdapat khabar angin pergaduhan di Sedaka. Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika ditanya berkata beliau tidak mendengarnya.

"Gaduh dalam pemilihan Umno lagi teruk," katanya kepada pemberita.

Mahfuz juga memberitahu, penyokong PAS akan berkumpul di Markas Padang Lumat selepas jam 5 petang untuk mengikuti keputusan pilihan raya dari masa ke semasa.

Menurut pegawai SPR, setakat ini, 3,927 orang (14.43 peratus) sudah keluar mengundi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilapor sebagai berkata, peratusan keluar mengundi yang melebihi 10 peratus pada sejam pertama adalah sangat baik.
9.30am SMK Bukit Besar - Kira-kira 50 meter dari pintu utama SMK Bukit Besar, penyokong dan perayu undi BN bersorak-sorak "Hidup BN!" setiap kali ada kenderaan membawa pengundi masuk ke jalan menuju ke SMK Bukit Besar.

NONEMereka bersorak-sorak sambil mengibarkan bendera kecil dengan logo BN.

Kira-kira 10 meter dari mereka pula adalah penyokong dan perayu undi PAS yang sebahagiannya berterima kasih kepada pengundi yang telah keluar membuang undi hari ini.

Bekas MP Hulu Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS adalah antara yang kelihatan berterima kasih kepada mereka yang telah membuang undi di SMK Bukit Besar.

Beliau berdiri di tepi jalan berhampiran Klinik Kesihatan Bukit Besar bersama-sama penyokong PAS.
9.30am SK Dulang, Dulang Besar - Proses merayu undi semakin rancak. Penyokong PAS membawa kain rentas menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dimulakan kerajaan.

Di pihak BN, kelihatan Puteri Umno, dengan berpayung biru pula membawa gambar calon mereka dan mempamerkan tulisan "I love BN".

NONEPenyokong PAS terus melaungkan slogan "hancur BN", "undur BN" dan "balik BN". Penyokong BN masih diam. Sebahagiannya berbisik, "bila mereka berhenti, baru kita mula".

Bagaimanapun, terdapat anggota Puteri Umno yang menyindir musuh politk mereka:

"Mereka tidak makan ubat hari ini, sebab itu jadi macam itu," kata mereka.

Ketika penyokong BAS melaungkan "Barang Naik!", penyokong BN membalas "BR1M naik".

9.20am SMK Bukit Besar - Perayu undi BN dan PAS berkumpul berhampiran Klink Kesihatan Bukit Besar, menunggu pengundi yang hadir ke SMK Bukit Besar.

Sebahagiannya mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah membuang undi.

8.30 SK Dulang - Sohaimi tiba untuk membuang undi bersama isteri. Berbaju biru, beliau sempat senyum kepada pemberita.

NONEBeliau tidak menjawab apabila ditanya sama ada beliau ada merasa gugup. Selepas mengundi, Sohaimi menunjukkan jarinya yang ditanda dengan dakwat kekal.

"Semuanya OK. Kita sudah sampai ke kemuncaknya hari ini," katanya kepadaMalaysiakini.

Beliau turut membantu pemilih yang berkerusi roda.

Tiga anak perempuan dan seorang lelaki Sohaimi turut menemaninya dan sempat menyapa pemberita Cina dengan ucapan kam siah(terima kasih dalam dialek Hokkien).

NONE8.26am SMK Bukit Besar - Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat tiba di SMK Bukit Besar pada jam 8.26 pagi bersama isteri.

Beliau membuang undi tepat jam 8.31 pagi dengan senyuman penuh keyakinan.
8.00am Dulang Besar - Peti undi dibuka dan cuaca baik hari ini.

Bagaimanapun, proses pembuangan undi bermula perlahan.

Di SMK Dulang, seorang jentera parti memberitahu, setakat ini hanya sepuluh pemilih yang menunaikan tanggungjawapnya di situ.

Dulang Besar antara kubu kuat BN dalam DUN itu.


malaysiakini