Wednesday, November 20, 2013

Tawaran Tajaan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor




Untuk Makluman Kerajaan Negeri Selangor membuka tawaran tajaan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor untuk para belia yang berminat mengikuti Pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di INPENS International College.Justeru kepada yang berminat sila hadir temuduga pada:

Tarikh   : 9 & 10 Disember 2013
Masa     : 9 pagi (pendaftaran)
Tempat : Auditorium INPENS Jalan Semarak Kuala Selangor
Pakaian : Lelaki -kemeja dan seluar hitam
               perempuan - baju kurung



Syarat-syarat Kelayakan Permohonan

Pemohon harus memenuhi kriteria seperti berikut :-

1)Pemohon lahir di Negeri Selangor ATAU telah bermastautin lebih dari 10 tahun di Selangor

2)Umur semasa mendaftar sekurang-kurangnya 17 tahun ATAU 16 tahun dengan mendapat pengesahan daripada sekolah pemhono terdahulu

3)Berminat dan komited menamatkan pengajian 

4)Pendapatan keluarga (isi rumah) tidak melebihi daripada RM1500 sebulan


Keperluan Dokumen Semasa Menghadiri Temuduga

Sila bawa dokumen ASAL dan SALINAN semasa sesi temuduga:-

1)Salinan Kad Pengenalan

2)Surat akuan bermastautin 

3)Sijil berhenti sekolah

4)Sijil keputusan PMR/SPM/SPMV

5)Surat sokongan bagi yang hanya mempunyai sijil PMR sahaja, kepada yang telah bekerja sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman kerja pemohon perlu membawa surat sokongan dari majikan

6)Slip gaji Ibu-Bapa atau surat pengesahan gaji (bagi Ibu-Bapa yang bekerja sendiri)

7)Lain-lain Dokumen seperti sijil-sijil berkaitan


Pilihan Kursus Sijik Kemahiran

1)Pelukis Pelan Kejuruteraan Mekanikal

2)Juruteknik Kenderaan Motor

3)Juruteknik Eletrik

4)Juruteknik Elektronik Industri

5)Pembuat Pakaian Wanita

6)Jurukencantikan & Juruestetika

7)Juruteknik Sistem Komputer

8)Penyejukbekuan & Ppenyaman Udara

8)Pendandan Rambut
 

Kepada yang berminat boleh terus Download Borang permohonan di sini http://upen.selangor.gov.my/wp-content/uploads/2013/11/Tajaan_Sijil_Kemahiran_Teknikal.pdf

Untuk pertanyaan Lanjut sila hubungi 03-55447922 ATAU 03-32812619 ext /214/215/211


-Mj


Tuesday, November 19, 2013

Penantian 10 tahun Pembeli Rumah Pangsapuri Andora Berakhir



SHAH ALAM 18 NOV : Penantian selama 10 tahun seramai 160 pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Andorra di Taman Sri Muda di sini untuk memiliki rumah sendiri berakhir.
Pembeli menerima kunci itu yang diserahkan sendiri Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad dalam satu majlis di sini.
Mereka bersyukur selepas projek itu yang terbengkalai sejak 2005 berjaya disiapkan oleh kontraktor penyelamat CH Renovations and Construction yang dilantik Kerajaan Negeri pada September 2012.
Pembeli, Khairuddin Ahmad, 46, gembira apabila menerima kunci rumah yang dinantikan oleh keluarganya sejak ia dibeli pada awal 2013.
Katanya, sejak projek itu didapati terbengkalai beliau terpaksa membayar ansuran pinjaman sebanyak RM400 sebulan selain menanggung sewa rumah lain sebanyak RM500 sebulan.
“Untuk membayar dua buah rumah memang membebankan, saya terpaksa membayar RM900 sebulan untuk rumah ini dan rumah sewa.
“Bayangkan dari anak saya berumur dua tahun, kini sudah tingkatan tiga. Kini kami sekeluarga berasa lega kerana masalah itu selesai,” katanya ketika ditemui.
Pembeli lain, Ooi Kam Yoke, 30, berkata beliau membeli rumah itu ketika masih bujang dengan hasrat untuk menghadiahkan kepada ibunya.
Namun, kerana menunggu terlalu lama, beliau mengambil keputusan untuk mencari perumahan lain untuk ibunya.
“Kini saya sudah berkahwin, nampaknya rumah ini, saya akan tinggal dengan suami saja,” katanya.
Sementara itu, Iskandar memaklumkan projek itu mula dimajukan pada 2003 dan dijangka siap pada Disember 2015, namun akibat kelewatan dan masalah kewangan, projek itu terbengkalai.
Katanya, sejak Mac 2008 hingga 31 Oktober 2013, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan sebanyak 42 projek terbengkalai yang membabitkan 19,958 unit.
-EZY

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Tubuh Badan Khas Laksana Rumah Mampu Milik


SHAH ALAM 18 NOV : Kerajaan Negeri meluluskan cadangan menubuhkan satu badan khas untuk membina rumah mampu milik.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad, berkata badan khas terbabit akan diletakkan di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Katanya, dengan penubuhan itu Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 5,000 unit rumah mampu milik akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.
“Mesyuarat Exco pada 13 November lalu meluluskan untuk  menubuhkan badan khas ini. Jadi hari ini saya mengumumkan penubuhan itu.
“Pembinaan rumah mampu milik ini sebenarnya kita sudah janjikan pada manifesto Pakatan Rakyat Selangor.
“Tugas utamanya ialah membina rumah mampu milik sahaja, kalau dulu kita harapkan kepada pemaju dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetapi sekarang ia melalui Kerajaan Negeri sendiri,” katanya selepas majlis menyerahkan kunci kepada pemilik pangsapuri Andorra di Sri Muda, di sini.
Hadir sama ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafei dan Pengarah Eksekutif LPHS, Norzaton Aini Mohd Kassim.
Iskandar berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil model dari ‘Housing Development Board Singapore’ untuk membina rumah mampu milik itu nanti.
Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa tanah yang bakal dimajukan antaranya di Bangi dan Kuala Selangor.
Beliau memaklumkan projek pertama akan dimulakan pada Jun tahun hadapan.
-EZY

selangorkini

Monday, November 18, 2013

Rakyat Selangor Disaran Cegah Denggi Hapuskan Aedes


SHAH ALAM 17 NOV : Sejumlah 31,540 kes Denggi dilaporkan di seluruh negara sehingga 12 November lepas dengan 16,383 kes itu ataupun 51.9 peratus berlaku di Selangor.
Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, Dr. Mohd Suhaimi A. Majid, berkata sebanyak 313 dari 402 lokaliti wabak aktif Denggi semasa yang dikenalpasti adalah lokaliti di Selangor.
denggi editKatanya, tiga daerah di Selangor menunjukkan peningkatan kes ketara adalah Daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak.
“Sejumlah 64 kematian akibat komplikasi dari kes Denggi direkodkan di seluruh negara. Jumlah ini adalah peningkatan kematian kes Denggi sebanyak 100 peratus iaitu hanya 32 kes kematian untuk tempoh sama pada 2012.
“Daripada 64 kematian yang direkodkan, 17 kes Denggi yang menyebabkan kematian adalah kes yang direkodkan di Selangor,” katanya dalam kenyataan medianya.
Kata Dr Mohd Shuhaimi, aktiviti pendidikan kesihatan di lokaliti wabak dapat membantu kakitangan kesihatan mengenalpasti masalah sebenar penduduk di kawasan wabak.
Kejayaan aktiviti pendidikan kesihatan terutamanya di lokaliti yang berkepadatan penduduk tinggi banyak bergantung kepada kerjasama penduduk setempat dan penglibatan mereka dalam usaha pencegahan di kawasan tempat tinggal masing-masing.
“Kerjasama dari pelbagai pihak temasuk penglibatan dari agensi-agensi yang berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan, Pejabat Pelajaran Daerah, Pejabat Penerangan Daerah, Jabatan Parit dan Saliran akan dapat memberi impak yang positif dalam menangani wabak denggi ini.
“Tanpa kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan ini, dikhuatiri wabak Denggi akan menjadi lebih sukar untuk dibendung,” katanya.
EZY
selangorku

Saturday, November 16, 2013

Banjir Di Sri Muda ,Tindakan atasi terus dipertingkat


SHAH ALAM 15 NOV : Kira-kira 100 buah rumah di kawasan Sri Muda di sini dinaiki air ekoran hujan lebat sejak semalam.
Kawasan itu ialah Kampung Johan Setia, Bukit Naga, Seksyen 32, Taman Alam Indah, Jalan Kebun, Seri Nadi dan Taman Seri Wangi, Seksyen 36 dinaiki air sedalam 0.5 meter.
ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, berkata kejadian itu berpunca daripada hujan lebat berpanjangan antara jam satu hingga lima pagi tadi.
Katanya, pihaknya sudah meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk membuat tinjauan sekiranya perlu sebarang pemindahan dilakukan.
“Kita juga sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menempatkan mesin pam untuk membantu menyedut air keluar dengan lebih cepat.
“Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang pemindahan dilakukan berikutan air kembali surut,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.
Shuhaimi berkata disebabkan banjir yang sering berlaku di kawasannya menyebabkan penghuni rumah mula lelah kerana terpaksa membersihkan rumah.
Katanya, beliau meminta supaya Kerajaan Negeri mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan perkara itu.
banjir dun“Saya sudah membawa perkara ini banyak kali ke pengetahuan Kerajaan Negeri dan saya seru Kerajaan supaya menyediakan pelan jangka pendek bagi mengatasi masalah banjir ini.
“Isu banjir ini adalah isu lama sudah 13 tahun tetapi pemerintahan Pakatan Rakyat juga sudah enam tahun, jadi sepatutnya kita sudah dapat menyelesaikan perkara ini secara beransur,” katanya.
Shuhaimi meminta masalah itu diselesaikan segera ekoran tidak mahu rakyat beranggapan Kerajaan Negeri tidak prihatin.
Baru-baru ini, ekoran kejadian banjir kilat yang sering melanda di beberapa tempat di Klang, Kerajaan Selangor mengumumkan langkah segera bagi melaksanakan kerja-kerja tebatan banjir dan menaiktaraf sistem saliran bagi mengatasi masalah terbabit.
Projek untuk memastikan kesejahteraan penduduk Klang itu membabitkan dana sejumlah RM37 juta yang disediakan untuk lima projek utama di daerah itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata jumlah itu meliputi peruntukan berjumlah RM12.4 juta dari Kerajaan Negeri yang disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, manakala selebihnya RM25.5 juta disediakan Kerajaan Pusat.
-EZY

Selangorkini

Friday, November 15, 2013

DYMM Sultan Selangor Kalimah Allah Eksklusif Untuk Penganut Agama Islam


PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menetapkan bahawa semua rakyat negeri itu, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan mematuhi larangan penggunaan Kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.
Perkara itu diputuskan setelah berunding dengan Dewan diRaja Selangor yang bersidang pada 11 November lalu seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1988.
Enakmen tersebut terpakai kepada semua orang sama ada Islam atau bukan Islam dalam negeri Selangor.
“Semua rakyat perlu patuh kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah membincangkan isu berkaitan dengan tuntutan penganut agama Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah.
“Muzakarah yang diwartakan pada 18 Februari 2010 memutuskan bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan dalam agama lain.
“Sesungguhnya kedudukan agama Islam di Malaysia telah didaulatkan dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan sebagai Agama bagi Persekutuan dan mempunyai kedudukan istimewa berbanding agama lain,” titahnya.
Kenyataan khas itu dikeluarkan melalui Setiausaha Dewan diRaja Selangor Hanafisah Jais hari ini.
Berhubung kes The Herald, Baginda yang merujuk kepada ketetapan undang-undang dan fatwa, menitahkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab ‘Bible’ dan juga penerbitan ‘Herald’ versi Bahasa Melayu perlu dihentikan serta merta.
“Ini bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dalam agama mereka, kerana kalimah Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat dalam surah Al-Ikhlas,” titahnya.
Merujuk kepada rayuan kes di Mahkamah Rayuan antara Kementerian Dalam Negeri dengan penerbitan mingguan Katolik, The Herald pada 14 Oktober lalu, Baginda turut menggesa semua rakyat di Selangor mematuhi keputusan itu.
Baginda turut menasihati agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk menjadikan kalimah Allah ini sebagai agenda politik kerana menganggap ia satu kalimah suci yang melibatkan akidah umat Islam.
Di bawah adalah kenyataan khas DYMM Sultan Selangor
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang pada 11 November 2013, telah membuat ketetapan tegas bahawa semua rakyat di negerì Selangor khasnya, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam sepertimana yang diperuntukkan di dalam Jadual kepada Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan DI Kalangan Orang Islam) 1988 yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988. Enakmen tersebut adalah terpakai kepada semua orang sama ada Islam atau bukan Islam di dalam negeri Selangor.
Selanjutnya, Baginda menegaskan bahawa semua rakyat di negeri Selangor, perlu patuh terhadap keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah membincangkan isu berkaitan dengan tuntutan penganut Agama Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan dalam agama-agama lain. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tersebut telah diwartakan pada 18 Februari 2010 (Sel. P.U. 6).
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menegaskan bahawa sesungguhnya kedudukan agama Islam di Malaysia telah didaulatkan dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan sebagaì Agama bagi Persekutuan dan mempunyai kedudukan istimewa berbanding agama-agama Iain.
Berhubung dengan kes The Herald, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sekali lagi menzahirkan dengan tegas pendirian Baginda berhubung lsu Nama Allah bahawa Nama Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang-undang dan fatwa yang berkuatkuasa. Oleh yang demikian, penggunaan kalimah Allah di dalam ‘Bible’ dan juga penerbitan ‘Herald’ versi Bahasa Melayu perlu dihentikan serta merta. lni bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut-penganut agama lain dalam agama mereka, kerana kalimah Allah bagi umat lslam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat di dalam Surah AI-Ikhlas.
Maka, dengan itu, Baginda menggesa semua rakyat yang duduk di negeri Selangor khasnya perlu menghormati dan mematuhi keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, undang-undang serta keputusan secara sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Menteri Dalam Negeri & lapan (8) yang lain v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (Rayuan Sivil No: W-Ot-l-ZOlO) pada 14 Oktober 2013.
Baginda juga menasihatkan agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk menjadikan kalimah Allah ini sebagai agenda politik mereka kerana kalimah Allah ini ialah satu kalimah yang suci dan melibatkan akidah umat Islam.
Umat Islam digesa supaya merapatkan barisan, dan bersatu padu dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah dan menghalang segala usaha mana-mana anasir yang tidak bertanggungjawab untuk menyalahguna dan menghlna kalimah Allah yang suci ini. Adalah ditegaskan bahawa isu yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh membawa implikasi buruk kepada keselamatan negara dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini.
Baginda berdoa ke hadrat Allah S.W.T. agar perpaduan dan keharmonian rakyat negara ini sentiasa terpelihara dan mereka dapat hidup dengan aman damai, menghormati antara satu sama lain dan saling bertolak ansur.”

FMT

Thursday, November 14, 2013

Akibat Kos Minyak & Gula Maka Harga Roti Pula Akan Naik


SHAH ALAM 13 NOV : Syarikat pengeluar roti, Roti Sedap Sdn Bhd terpaksa menaikkan harga produk keluarannya bagi mengimbangi peningkatan kos pengeluaran syarikat yang semakin melonjak sejak kebelakangan ini.
Exsekutif Pemasaran syarikat itu, Azlin Kassim berkata, antara faktor utama yang menyebabkan meningkatnya kos pengeluaran adalah disebabkan kenaikan harga petrol dan gula baru-baru ini.
harga-naikAnalisis pasaran yang dibuat syarikat itu turut menjangkakan syarikat pengeluar roti lain akan turut mengambil langkah sama, menaikkan harga pasaran produk keluaran masing-masing.
“Bukan tujuan kami mengejar keuntungan tetapi kenaikan ini tak boleh dielakkan, petrol contohnya, kami bukan beli 10 atau 20 liter tetapi beribu liter untuk memasarkan produk kami di seluruh negara dan begitu juga dengan gula dan lain-lain.
“Selama 20 tahun kita pasarkan roti keluaran kami dengan harga rendah berbanding syarikat lain tetapi apabila barang mentah semakin naik khususnya gula dah dua kali naik, petrol pun dah naik. Jadi kami terpaksa menaikan sedikit harga kami.
“Laporan dari lain-lain syarikat pengeluar roti, mereka juga ada kemungkinan akan menaikan harga, kalau tidak mereka akan alami kerugian,” kata Azlin ketika dihubungi Selangor Kini.
cukainaikBagaimanapun Azlin menambah, sehingga kini produk keluaran Roti Sedap Sdn Bhd masih mengekalkan harga yang rendah berbanding pesaing lain.
Selain itu Roti Sedap Sdn Bhd juga mengambil beberapa langkah menghadkan pasaran produk mereka hanya di kedai yang mempunyai jualan yang tinggi sahaja.
“Sekarang kami hanya menjual roti-roti kami di kedai yang tinggi jualannya sahaja seperti di pasaraya atau mini market yang boleh beri jualan tinggi dan cara itu dapat mengurangkan ‘return’ produk tidak terjual sekaligus setiap sen kos yang dikeluarkan dapat dimanfaatkan.
“Sebelum ini, dianggarkan lebih kurang 40 peratus ‘return’ tetapi sekarang dapat dikurangkan sehingga 20 peratus sahaja,” kata Azlin.

selangorkini

5 Projek Utama Atasi Masalah Banjir Di Klang Bermula


SHAH ALAM 13 NOV : Ekoran kejadian banjir kilat yang sering melanda di beberapa tempat di Klang, Kerajaan Selangor mengumumkan langkah segera bagi melaksanakan kerja-kerja tebatan banjir dan menaiktaraf sistem saliran bagi mengatasi masalah terbabit.
Projek untuk memastikan kesejahteraan penduduk Klang itu membabitkan dana sejumlah RM37,984,454.45 yang disediakan untuk lima projek utama di daerah itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jumlah itu meliputi peruntukan berjumlah RM12.4 juta dari Kerajaan Negeri yang disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, manakala selebihnya RM25.5 juta disediakan Kerajaan Persekutuan.
“Walaupun ini merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri turut mengambil tanggungjawab menyediakan peruntukkan pada jumlah yang kita mampu.
“Sebahagian projek itu dijangka siap pada pertengahan 2014 dan beberapa projek lagi akan siap pada April 2015,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Lima projek utama itu, adalah kerja menaiktaraf sistem saliran bagi mengatasi banjir kilat di Pelabuhan Klang yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.
Sementara empat projek yang dibiayai Kerajaan Negeri pula adalah, projek tebatan banjir di Jalan Papan, Pandamaran, menaiktaraf sistem saliran Kampung Teluk Menegun, menaiktaraf sistem saliran di Sungai Aur Fasa 4 dan membina lencongan Sungai Rasah ke Tasik Ladam Sungai Klang dan kerja-kerja berkaitan lain.
banjir klangSelain itu Kerajaan Negeri turut menyediakan dana tambahan RM2.7 juta untuk 23 projek kecil yang melibatkan pelebaran ‘Borrowpit’, mengorek dan membersihkan sungai, penyelenggaraan perangkap sampah (log boom).
Turut sama adalah kerja mengorek semula parit di kampung-kampung, mengukuhkan dan menstabilkan tebing sungai, mengorek dan mendalamkan kolam takungan dan lain-lain yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.
“Kerajaan Negeri sangat prihatin terhadap masalah banjir dan kepayahan hidup penduduk di kawasan yang sering dinaiki air di Taman Sentosa, Rantau Panjang, Sungai Udang, Telok Pulai, Pandamaran, Taman Chi Liung , Bayu Perdana, sebahagian pekan Pelabuhan Klang, Bandar Putri dan Padang Jawa serta kawasan persekitaran,” kata Abdul Khalid lagi.
Kerajaan Negeri berharap dengan perlaksanaan projek tebatan banjir di Klang itu dapat mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda daerah Klang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

selangorkini

Wednesday, November 13, 2013

Laporan Terkini 56% Dari 350 Ribu Penganggur adalah Siswazah


KUALA LUMPUR - Jumlah penganggur di negara ini sehingga Jun lalu adalah sebanyak 375,401 orang dengan 56 peratus daripadanya merupakan siswazah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, jumlah siswazah yang menganggur adalah sebanyak 210,263 orang manakala golongan bukan siswazah adalah 165,139 orang (44 peratus).

"Pada masa ini, kementerian mengumpulkan data berhubung graduan menganggur melalui portal JobsMalaysia dan portal ini juga berperanan memadankan pencari kerja dengan kekosongan jawatan yang diiklankan," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) berhubung jumlah penganggur di negara ini dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ismail, kementeriannya menerusi Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (Ilmia) sedang membina Sistem Pangkalan Gudang Maklumat Pasaran Buruh (LMIDW) yang dijangka siap Disember ini.

Katanya, sistem berkenaan akan menyimpan maklumat pasaran buruh secara komprehensif selain berciri interaktif.

"Sistem ini dibangunkan secara perkongsian pintar dengan Jabatan Perangkaan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Tenaga Kerja dan JobsMalaysia.

"Sistem ini akan menyimpan dan mempersembahkan petunjuk-petunjuk utama pasaran buruh termasuk jumlah penyertaan tenaga kerja, pekerjaan mengikut sektor dan jumlah penganggur," katanya.


MC

Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Tertarik Dengan Idea CGT Berbanding GST


SHAH ALAM 12 NOV : Kerajaan Pusat disarankan melaksanakan Cukai Keuntungan Modal (CGT) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada 1 April 2015 kerana ia mampu memberikan pendapatan kepada kerajaan dan tidak membebankan pengguna.
fomca-GSTPengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata bagaimanapun perkara cadangan perlaksanaan CGT memerlukan kajian dan analisis lebih mendalam oleh pakar-pakar ekonomi.
Kata beliau, kajian itu penting dilakukan bagi memastikan keputusan yang dibuat tidak membebankan rakyat yang semakin terhimpit dengan kos dan bebanan sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.
“Jika CGT didapati lebih baik, maka elok juga dipertimbangkan perlaksanaanya menggantikan sistem cukai sedia ada.
“Kita faham bahawa kerajaan memerlukan sumber pendapatan bagi membangunkan negara namun kita mahu agar ia dilaksanakan secara tidak membebankan rakyat,” kata Yusof ketika dihubungi Selangor Kini.
CGT bermaksud cukai yang dikenakan ke atas keuntungan jualan aset seperti jualan saham, bon, hartanah, emas dan sebagainya.
Buat masa sekarang kerajaan hanya mengenakan CGT ke atas keuntungan jualan hartanah yang juga dipanggil Real Property Gain Tax (RPGT).
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Penganalisis Ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin agar Kerajaan Pusat melaksanakan CGT untuk mengurangkan beban rakyat miskin daripada terus dihimpit dengan pelaksanaan GST.
Mengulas perlaksanaan GST, Yusof mencadangkan agar Kerajaan Pusat menimbang kembali kadar enam peratus yang dikenakan agar tidak memberi kesan mendadak kepada pengguna.
“Saya fikir GST sebagai satu perkara baru di Malaysia diperkenalkan pada kadar lebih rendah iaitu sekitar tiga atau empat peratus sepertimana diamalkan di negara jiran Singapura.
“Ini penting agar rakyat atau pengguna tidak menerima kesan mendadak dengan perlaksanaan enam peratus cukai,” kata Yusof.

selangorkini

CGT Antara Inisiatif Terbaik Sebelum Mengenakan GST



KUALA LUMPUR 12 NOVEMBER: Pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) langkah terbaik bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksana pada 1 April 2015.
Azrul
Azrul
Penganalisis ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, CGT yang dikenakan ke atas keuntungan jualan aset seperti jualan saham, bon, hartanah dan emas akan membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan RM8 bilion hingga RM10 bilion setahun.
Katanya, pendekatan itu akan dapat mengurangkan beban rakyat miskin daripada terus dihimpit dengan pelaksanaan GST yang disifatkan lebih memberi manfaat kepada golongan berada.
“Kalau boleh kita memang mahu CGT dilaksanakan, tetapi nampaknya tidak akan dilaksanakan. Permulaan CGT jika dilaksanakan lagi mudah kerana mengikut kiraan secara rawak dengan mengambil kira beberapa perkara dan kerajaan boleh meraih pendapatan RM8 hingga 10 bilion,” katanya, lapor Media Selangorku.
Sementara itu, Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad berkata, kerajaan boleh melaksanakan sumber lain seperti CGT sebelum GST dilaksanakan.
“Kita katakan bahawa ada lagi sumber lain seperti CGT seperti cukai ke atas keuntungan aset kewangan. Ambil daripada orang kaya dulu, gunakan sumber lain berbanding menekan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.
Beliau berkata, pengambilan cukai GST daripada golongan miskin adalah satu perbuatan yang songsang dari sudut agama Islam.
“Dari sudut Islam juga, cukai perlu diambil daripada golongan kaya bukannya miskin. Itu adalah perbuatan tidak betul dari segi moral dan etika, bahkan pelaksanaan GST akan menyebabkan harga lebih 2,000 barangan serta perkhidmatan dinaikkan,” katanya.
Setakat ini, kerajaan hanya mengenakan CGT ke atas keuntungan jualan hartanah yang dipanggil Kenaikan Kadar Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT).

KD

Tuesday, November 12, 2013

Penswastaan Bernas Mencerminkan Haloba Yang Bobrok


1. Akhir-akhir ini, syarikat yang dahulunya menjadi tarikan pelabur tapi kemudian dibuang-senarai (de-listed) dari pasaran saham lalu diswastakan bagai satu trend. Satu contoh: Blackberry, di mana ia dibuang-senaraikan lalu diswastakan selepas kerugian hampir USD 70 bilion dari nilai asal USD 80 bilion lima tahun lalu.
Senario perniagaan yang semakin mencabar menyukarkan syarikat-syarikat yang tersenarai untuk memberi pulangan yang besar kepada para pelabur; penswastaan memberi peluang kepada pihak pengurusan sesebuah syarikat untuk fokus mengembangkan perniagaan jangka masa panjang.
2. Di Malaysia, penswastaan sesebuah syarikat sebegini seringkali mempunyai niat yang berbeza: tamak haloba.
3. BERNAS tidak menghadapi masalah serupa Blackberry. Harga saham BERNAS sedang meningkat malah nilainya kini hampir tiga kali ganda nilai lima tahun dahulu. Ia satu contoh syarikat yang stabil dengan keuntungan bersih tahunan konsisten sekitar RM 135 juta setiap tahun sejak 2006, dengan hasil yang meningkat tahun demi tahun dari RM 2.1 bilion (2006) ke RM 3.6 bilion (2012).
4. BERNAS memang sasaran pengambilalihan mana-mana individu yang sangat kaya. Apabila diambil kira keuntungan yang sihat, monopoli BERNAS ke atas lesen AP import beras dan realiti bahawa beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia, individu-individu yang sangat kaya pastinya mengidamkan syarikat sebegini.
Niat asal
5. Kita patut ingat niat asal penswastaan BERNAS bukan sahaja untuk memastikan keperluan beras negara dipenuhi (melalui pengurusan Simpanan Stok Negara dan Skim Harga Subsidi Padi) tapi juga untuk memastikan petani dan pengedar bumiputera serta pekerja BERNAS mendapat manfaat dari milikan ekuiti daripada penswastaan tersebut.
6. Hal ini dibangkitkan Menteri Kewangan pada bulan Disember 1995 dalam jawapan kepada YB Tn Lim Guan Eng di Parlimen, diikuti pembentukan konsortium Budaya Generasi Sdn Bhd pada Januari 1996. Konsortium tersebut membolehkan lebih dari separuh ekuiti BERNAS dimiliki persatuan-persatuan petani (KADA, MADA, NAFAS), nelayan (NEKMAT) dan pekerja BERNAS.
Pusingan 1
7. Hingga hujung 2009, milikan-milikan ini mulai dibeli seorang individu bernama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary melalui syarikat-syarikat milik beliau (Gandingan Bersepadu Sdn Bhd dan Tradewinds) mengakibatkan beliau memiliki 53.7% BERNAS melalui pengambilalihan oleh Maybank Investment Bank Berhad bernilai RM 526 juta. Purata keuntungan bersih BERNAS dianggarkan pada RM 164 juta setahun dan hasil meningkat dari RM 3.3 bilion (2009) ke RM 3.6 bilion (2012).
Pusingan 2
8. Apabila kerajaan memanjangkan mandat BERNAS untuk merangkumi pengurusan bekalan beras negara dan monopoli pengimportan beras dari 11 Jan 2011 ke 10 Jan 2021, Tan Sri Syed Mokhtar bertambah tamak.
9. Tawaran pembelian BERNAS pada RM 3.70/saham dibuat pada penghujung Feb 2013 melalui syarikat-syarikat lain milik beliau, iaitu other companies namely, Perspective Lane (M) Sdn Bhd, Kelana Ventures Sdn Bhd, Seaport Terminal (Johore) Sdn Bhd dan Acara Kreatif Sdn Bhd. Pengambilalihan ini, yang juga dinasihatkan Maybank Investment Bank Berhad dikatakan bernilai RM 477 juta.
10. Pada 6 Nov 2013, lembaga pengarah BERNAS dinasihat menyahsenaraikan BERNAS dari Bursa Malaysia kerana jumlah saham yang dimiliki awam telah jatuh ke 16.31% (iaitu dibawah nilai yang diperlukan untuk penyenaraian iaitu 25%) akibat pengambilalihan sistematik Tan Sri Syed Mokhtar.
11. Pada Feb 2013, Maybank Research membuat ramalan hasil dan keuntungan BERNAS bagi 2013 hingga 2015:
TABLE1


Ini bermakna hasil dianggarkan meningkat hingga RM 3.9 bilion pada 2015 dari RM 3.6 bilion pada 2012. Keuntungan meningkat 40% ke RM 165 juta pada jangkamasa pendek untuk mengurangkan harga beras antarabangsa akibat pengeluaran berlebihan di Thailand, Vietnam, India dan Pakistan. Hal ini akan menguntungkan sesiapa yang memiliki BERNAS di masa hadapan.
Soalan yang Diutarakan
12. Bagaimana seorang individu dibenarkan memiliki monopoli ke atas beras sebegini, yang mungkin mendatangkan kemudaratan terhadap kestabilan harga di masa hadapan, yang merupakan niat asal penswastaan BERNAS?
13. Kenapa kerajaan telah tersasar dari niat asal penubuhan BERNAS, iaitu untuk melindungi kepentingan petani dan pengedar bumiputera serta pekerja BERNAS? Adakah milikan ekuiti mereka ini tidak penting di mata kerajaan, berbanding kepentingan individu-individu maha kaya dan mempunyai “kabel” politik sebegini?
14. Bagaimanakah pengambilalihan saham BERNAS bernilai RM 477 juta, dan jumlan pengambilalihan melalui Tradewinds Plantation dan BERNAS bernilai RM 1.173 bilion oleh syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar (Perspective lane, Kelana Ventures, Seaport Terminal dan Acara Kreatif) dipermudah Maybank IB? Bagaimana seseorang individu boleh berterusan berjaya mendapatkan pinjaman dari bank yang sama?
15. Kami kecam pengambilalihan baru-baru ini yang bersifat oportunis oleh Tan Sri Syed Mokhtar sebagai satu langkah mengambilalih sepenuhnya BERNAS pada ketika monopoli BERNAS ke atas pengimportan beras dilanjutkan hingga 2021, disebabkan tindakan ini akan menguntungkan satu individu tertentu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar sendiri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum KEADILAN

Kes JAIP Tidak Gentarkan JAIS


SHAH ALAM 11 NOV : Kejadian pembunuhan pegawai tinggi Jabatan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) semalam tidak akan melunturkan semangat Kerajaan Selangor untuk menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan undang-undang di negeri itu.
Exco Hal Ehwal Islam, Sallehen Mukhyi, berkata penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan dalam menjalankan tugas walaupun sedar kejadian jenayah seperti bunuh dan tembak semakin berleluasa.
Menurut Sallehen, cabaran seperti itu sebenarnya yang memberi kekuatan dan semangat untuk JAIS mempergiatkan lagi kerja-kerja penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti atau pergerakan yang berpotensi menggugat akidah umat Islam di negeri ini.
“Kejadian itu tidak akan mengganggu kita kerana kita juga yakin bahawa tugasan kita ini adalah berlandaskan peruntukan enakmen agama Islam yang ditetapkan mengikut undang-undang.
“Pegawai-pegawai JAIS juga sedar bahawa tugasan yang kita kerjakan ini bukan sahaja untuk mengejar habuan dunia tetapi yang lebih penting ialah untuk mendapat habuan akhirat,” katanya yang dihubungi Selangor Kini.
Semalam, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIP, Mohd Raffli Ab Malik ditembak mati di rumahnya selepas terkena tiga das tembakan.
Pihak penyiasat percaya kejadian itu mempunyai motif kerana ia berlaku dalam masa yang singkat iaitu kurang dari satu minit.
Mengulas kejadian itu, Sallehen menggesa agar pihak bertanggungjawab dapat menggiatkan lagi penguatkuasaan undang-undang mencegah dan membanteras jenayah.
“Kita faham soal hidup dan mati ini memang kerja Allah, tetapi kita juga perlu berusaha untuk membantu agar kejadian seumpama ini dapat dielakkan,” kata Sallehen.
EZY

selangorkini

Tiada Tindakan? Walaupun SD Salah Laku Gani Patail Dikemukakan



Datuk Mat Zain Ibrahim mendedahkan tuduhan salah laku Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) selepas kerajaan gagal untuk bertindak terhadap akuan bersumpah (SD) bekas polis kanan itu yang mengandungi sejumlah aduan terhadap Peguam Negara.
Pendedahan awal Mat Zain baru-baru ini mengenai perjumpaan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung salah laku Abul Gani hanya dua muka surat daripada 31 muka surat akuan bersumpahnya.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur itu berjanji akan melakukan lebih banyak pendedahan tidak lama lagi dan tidak menolak kemungkinan untuk mengemukakan SD di mahkamah.
“SD saya dibuat mengikut Akta Akuan Bersumpah 1960 dan ia boleh digunakan dalam mana-mana prosiding kehakiman, sama ada sivil atau jenayah. Dalam urusan itu, SD akan dikira sebagai dokumen awam.
“Kerajaan sudah menerima SD saya lebih sebulan lalu,tetapi mereka tidak bertindak terhadapnya. Mereka memilih untuk terus senyap,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Salinan SD yang difailkan pada 7 Oktober itu dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Peguamcara Negara, Datuk Idris Harun dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
“Dalam surat iringan, saya memberitahu mereka saya mempunyai hak untuk mengambil apa sahaja tindakan yang sesuai dengan undang-undang tanpa perlu memberitahu sesiapa.
“Saya juga memberitahu yang saya ada hak untuk mendedahkan SD kepada umum melalui mana-mana ahli Parlimen.
“Tidak terdapat tindakan daripada mana-mana pihak dan sebab itu saya dedahkan sebahagian daripada SD itu,” katanya.
Beliau berkata, sebab utama SD dibuat adalah bagi meyakinkan perdana menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat semua pertuduhan terhadap Peguam Negara yang dinyatakan dalam dokumen itu.
Sebahagian daripada SD itu dibincangkan dalam pertemuan di antara Dr Mahathir, Shafee, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusoff;  bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Matthias Chang dan Mat Zain di rumah bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan pada 10 Ogos, hari ketiga sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Perbincangan mereka menyentuh mengenai salah laku Abdul Gani bermula daripada insiden “mata lebam” pada 1998 melibatkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mat Zain adalah pegawai penyiasat pada ketika itu memberitahu Dr Mahathir bahawa Abdul Gani, yang merupakan timbalan pendakwaraya kanan pada ketika itu memalsukan bukti untuk mencadangkan Anwar mencederakan dirinya sendiri.
Mereka juga berbincang mengenai salah laku lain Abdul Gani termasuk kekalahan Malaysia dalam kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Antarabangsa sehingga menyebabkan pulau itu diserahkan kepada Singapura di mana Abdul Gani mewakili Malaysia pada ketika itu.
Mat Zain memberitahu The Malaysian Insider bukan dirinya yang mencadangkan perjumpaan itu, tetapi beliau menerima panggilan daripada Ramli pada Hari Raya pertama yang memberitahunya Shafee mahu bertemu mereka.
“Saya jumpa Ramli pada 10 Ogos dan pergi ke rumah merangkap pejabat Shafee di Bukit Tunku di mana peguam itu memberitahu kami Tun M mahu berjumpa kami. Saya terkejut,” katanya.
Mat Zain berkata, pertemuan terakhirnya bersama Dr Mahathir adalah 15 tahun lalu apabila Dr Mahathir masih perdana menteri.
“Dengan Shafee, ini adalah pertemuan pertama saya dengannya,” kata Mat Zain.
Semalam, Shafee menafikan cadangan pertemuan di rumah Dr Mahathir merupakan plot untuk menggulingkan Abdul Gani.
Peguam Umno itu mengesahkan beliau turut berada di rumah Dr Mahathir, tetapi ianya bertujuan  menunjukkan rasa hormat kepada bekas perdana menteri itu semasa Hari Raya Aidilfitri.
Tentang konspirasi untuk menggulingkan Abdul Gani beliau mengatakan,“Tun sudah tentu tidak terlibat dengan perkara mengarut seperti ini.”
Shafee bagaimanapun, enggan mengulas lanjut sehingga beliau membaca SD itu dan memberitahu akan mengadakan sidang akhbar hari ini.
Shafee berkata, apa pun yang terdapat dalam SD itu, tidak wujud plot atau konspirasi terhadap Abdul Gani kerana tiada sebab untuk berbuat demikian.
"Tiada ada sebab untuk itu sama ada berhubung isu insiden mata lebam atau kes Pulau Batu Puteh.
“Jika anda melihat kes Batu Puteh, apa kena mengena dengan Mat Zain? Beliau bekas pegawai polis, bukan peguam antarabangsa. Mengapa perlu bincang isu ini dengannya,” katanya.
Dr Mahathir juga membuat keputusan untuk tidak mengulas isu itu sehinggalah beliau selesai membaca SD.
Dalam reaksi spontannya Mat Zain berkata: “Saya akui saya bukan peguam antarabangsa. Bukan juga seorang peguam. Tetapi anda tidak perlu menjadi seorang peguam atau mempunyai sijil kelayakan untuk menyatakan kebenaran.
 “Lebih banyak yang akan didedahkan,” katanya dan menambah beliau akan menunggu sehingga Shafee membuat kenyataan mengenai isu itu. – 12 November 2013.

TMI