Malaysia sekali lagi mendapat markah corot dalam ujian penilaian
pencapaian pelajar dunia, berada di tempat kumpulan terakhir di kalangan
44 negara – satu keputusan yang mengukuhkan kebimbangan ramai mengenai
sistem pendidikan negara yang semakin merosot.
Malaysia berada di tangga ke-39 dengan min skor 422 dalam penilaian
pertama mengenai penyelesaian masalah kreatif bagi pelajar 15 tahun yang
menduduki ujian Programme for International Student Assessment (PISA),
sementara negara jiran Singapura mengatasi Malaysia dengan min skor 562.Keseluruhan min skor untuk semua negara ialah 500.
Keputusan markah yang diterima Malaysia menunjukkan pelajar yang diuji
kekurangan kemahiran yang diperlukan di tempat kerja moden.
Sebaliknya, Singapura hanya mendapat 8% pecahan pencapai rendah. Itu bermakna 21.4%.
Malaysia pula hanya mendapat 0.9% pecahan pencapai tinggi berbanding
29.3% diperoleh Singapura. Pecahan Malaysia di bawah peratusan purata
iaitu 11.4%.
Ini menunjukkan hanya seorang daripada 10 pelajar Malaysia, berusia 15
tahun, yang mampu menyelesaikan masalah paling kompleks, dibandingkan
dengan seorang daripada lima pelajar di Singapura, Korea dan Jepun.
Negara Asia seperti Korea, Jepun, Macau-China, Hong Kong China,
Shanghai-China dan Chinese Taipei menjadi antara yang tertinggi dalam
senarai itu.
Pelajar dari Kanada, Australia, Finland, England, Estonia, Perancis,
Belanda, Itali, Republik Czech, Jerman, Amerika Syarikat dan Belgium
semuanya memperoleh markah melebihi purata.
“Sebanyak 85,000 pelajar dari 44 negara dan ekonomi mengambil ujian
menggunakan komputer itu, membabitkan senario kehidupan sebenar untuk
mengukur kemahiran yang akan golongan muda guna apabila berdepan dengan
masalah harian, contohnya ialah memasang thermostat atau mencari jalan
paling cepat untuk tiba di sesuatu destinasi,” kata Organisasi Kerjasama
Ekonomi dan Pembangunan, yang menjalankan ujian itu.
Ujian itu dilaksanakan pada 2012 dan keputusannya dikeluarkan semalam.
Malaysia memperolehi 29.1 dalam kadar penyelesaian bagi tugasan
mengukur pemerolehan pengetahuan dan 29.3 untuk tugasan penggunaan
pengetahuan sementara Singapura mendapat markah 62 dan 55.4
masing-masing bagi tugasan berkenaan, jauh lebih tinggi daripada markah
purata semua negara iaitu 45.5 dan 46.4.
“Remaja berusia 15 tahun pada hari ini dengan kemahiran penyelesaian
masalah yang lemah akan menjadi golongan dewasa yang bergelut untuk
mencari atau kekal dalam pekerjaan yang baik,” kata pemangku Pengarah
Pendidikan dan Kemahiran di OECD, Andreas Schleicher.
“Pembuat polisi dan pendidik perlu membentuk semula sistem sekolah dan
kurikulum untuk membantu pelajar membangunkan kemahiran penyelesaian
masalah mereka yang semakin diperlukan dalam ekonomi hari ini,” katanya.
Malaysia juga mendapat keputusan yang teruk dalam penilaian PISA
sebelum ini yang mengukur bagaimana pencapaian pelajar di 65 negara
dalam mata pelajaran matematik, sains dan membaca.
Menurut keputusan PISA pada 2012, pelajar Malaysia hanya mendapat
markah di bawah purata atau berada di tangga 52 daripada 65 negara.
Malah, pelajar Vietnam berada di tangga ke-17 daripada 65 negara itu.
Hanya seminggu lalu, pakar ekonomi Bank Dunia bercakap mengenai kualiti
rendah sistem pendidikan Malaysia lebih membimbangkan daripada paras
hutang isi rumah rakyat negara ini.
Dr Frederico Gil Sander, pakar ekonomi untuk Malaysia berkata, rakyat
Malaysia perlu disedarkan mengenai pencapaian anak di sekolah lebih
teruk daripada pelajar di Vietnam, iaitu negara yang jauh lebih miskin
daripada Malaysia.
Pencapaian Malaysia dalam penilaian antarabangsa yang terus menyedihkan
menonjolkan lagi kelemahan sistem persekolahan negara, walaupun fakta
menyatakan sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar setiap tahun
daripada bajet negara.
Pengkritik berkata keputusan PISA bercanggah dengan Putrajaya yang
berkeras menyatakan Malaysia mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia.
Mereka juga mempersoalkan nilai sebenar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
yang melahirkan ramai pelajar memperolehi A, tetapi tidak mampu bersaing
dengan rakan sebaya mereka dari Singapura, China dan Taiwan.
Ahli politik pembangkang tanpa belas kasihan terus menyerang Menteri
Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keputusan Malaysia yang
buruk dalam ujian penilaian antarabangsa.
Muhyiddin kemudian mengumumkan kementerian akan menubuhkan jawatankuasa
kerja khas untuk meningkatkan penilaian pelajar dalam ujian berkenaan. –
2 April, 2014.
TMI