Monday, October 28, 2013

1200 Bakal Jemaah Umrah Mendakwa Ditipu Agensi


Sebuah agensi pelancongan didakwa menipu kira-kira 1,200 bakal jemaah umrah dari seluruh negara, melibatkan kerugian RM4.8 juta selepas penerbangan mereka ditunda beberapa kali dan gagal menuntut kembali wang mereka.
Difahamkan agensi pelancongan beribu pejabat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur gagal menguruskan penerbangan jemaah umrah dijadualkan pada Jun tahun ini walaupun bayaran penuh RM3,999 seorang dibuat sejak 2012.
Seorang daripada perunding kumpulan jemaah yang dilantik agensi itu, Qurratul 'Ain Hasman, 25, berkata dia bersama-sama 54 jemaahnya hanya menyedari ditipu selepas jemaah yang dijadual berlepas pada Jun tahun ini terkandas atas alasan masalah dana dan visa.
"Pada mulanya saya dimaklumkan wakil agensi, terdapat masalah berkaitan dana tidak mencukupi yang seharusnya dibiayai syarikat korporat bagi menanggung RM1,500 setiap jemaah daripada harga sebenar pakej umrah iaitu RM5,500," katanya kepada pemberita ketika berhimpun bersama 100 mangsa lain di hadapan pejabat agensi itu hari ini.
Bagaimanapun mereka hampa selepas pejabat itu ditutup dengan notis yang tertera “premis ditutup sementara” dan usaha menghubungi wakil agensi juga gagal.
Qurratul `Ain mendakwa beliau difahamkan kira-kira 1,200 bakal jemaah termasuk di Sabah dan Sarawak mengambil pakej umrah agensi itu gagal menunaikan umrah mereka.
Beliau mendakwa pada 7 Jun lepas, ketua pegawai eksekutif agensi itu yang mengadakan perjumpaan dengan mereka, menawarkan dua pilihan sama ada meneruskan penerbangan yang dijanjikan pada Ogos dan September lepas atau mengambil wang yang dibayar 45 hari selepas tarikh cek dikeluarkan.
"Tetapi jemaah gagal menunaikan cek itu selepas dimaklumkan pihak bank akaun atas nama syarikat itu telah ditutup manakala jemaah yang dijanjikan penerbangan pada Ogos dan September sekali lagi berputih mata," katanya.
Sehubungan itu, katanya dia bersama jemaahnya membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju pada 5 Oktober lepas.
Seorang lagi perunding bagi agensi itu yang dikenali sebagai Asmuni, juga kesal selepas gagal menunaikan hajat 27 jemaahnya dan hanya dimaklumkan pada saat akhir iaitu sehari sebelum berlepas ke tanah suci pada 6 Jun.
"Saya tuntut wang namun cek tendang yang diterima dan kerana rasa tertipu saya buat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna pada 1 Oktober lepas," katanya yang menanggung kerugian kira-kira RM16,000 bagi menunaikan umrah bersama isteri dan dua anaknya.
Nasib yang sama turut menimpa Rohany Sulaiman, 55, yang menerima cek tendang selepas mendakwa membuat bayaran RM8,000 untuk mengerjakan umrah bersama-sama suaminya.
"Penerbangan saya sepatutnya berlepas 26 Ogos tapi dibatalkan. Saya dan suami juga telah buat suntikan vaksin di hospital swasta yang menelan kos beratus ringgit dan hajat untuk menunaikan umrah tidak kesampaian sedangkan segala persiapan telah dibuat," katanya kesal. -- 

Bernama, 27 Oktober, 2013.

Friday, October 25, 2013

Belanjawan PR :Memperkenalkan Skim Insuran Luar Bandar


KUALA LUMPUR 24 OKT : Skim Insuran Luar Bandar adalah antara inisiatif Pakatan Rakyat (PR) yang bakal diwujudkan, selain menyediakan kemudahan seperti Skim Insuran Petani, Nelayan dan Penternak (SIPNP) yang lebih menyeluruh.
Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat menyatakan skim itu perlu bagi membolehkan petani menangani kesan ketidaktentuan cuaca, perubahan musim dan kejadian luar jangka yang boleh menjejaskan sumber pendapatan dan kelestarian hidup bagi mengatasi kemiskinan.
Di bawah skim sedia ada, pampasan untuk nelayan yang meninggal dunia dan elaun masuk wad hospital disediakan, namun mengetepikan risiko lain seperti tangkapan berkurangan akibat musim tengkujuh yang menyebabkan kesihatan dan keselamatan nelayan terjejas.
Cadangan SIPNP itu berdasarkan pendekatan kawasan bagi kerugian yang disebabkan perubahan musim dan pendekatan individu bagi kerugian membabitkan bencana alam serta serangan wabak penyakit.
Dianggarkan, kerajaan pusat hanya perlu membelanjakan sebanyak RM365.5 juta setahun untuk melaksanakan skim berkenaan, berdasarkan andaian premium tahunan keseluruhan adalah RM1,000 yang akan dikongsi sama rata bersama penternak, petani dan nelayan.
Sasaran bagi penyertaan skim itu adalah lebih kurang 50 peratus daripada bilangan keseluruhan petani, penternak dan nelayan atau 735,000 orang.
-NFN-

selangorku

Thursday, October 24, 2013

Belanjawan Alternatif PR Tidak Mengenakan GST

Pakatan Rakyat (PR) hari ini melancarkan Belanjawan Alternatif mereka dengan keyakinan akan dapat mengurangkan 10 peratus perbelanjaan pengurusan tanpa penyertaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikatakan bakal membebankan rakyat.
Berteraskan tema "Mempertahankan Kepentingan Rakyat Dalam Mengharungi Gelombang", Belanjawan Alternatif PR itu turut mensasarkan penjimatan RM30 bilion setahun melalui langkah penjimatan dan pengurusan berhemah.
"Bajet PR akan beri penjimatan ringgit dan bukan kenaikan harga," kata Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke pada sidang media di Parlimen, hari ini.
"Mungkin kerajaan akan naikkan kadar GST sehingga tujuh peratus dalam masa beberapa tahun sahaja jika dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata, PR tetap dengan pendirian tidak akan memperkenalkan GST dalam tempoh terdekat memandangkan hanya sebilangan kecil daripada rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan dan individu.
"Pelaksanaan GST masih belum sesuai kerana hanya kira-kira 1.8 juta membayar cukai. Jika ia tetap dilaksanakan, seramai 29 juta rakyat Malaysia akan membayar GST," kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pada sidang media sama.
"GST ini cukai 'regressive’,” katanya. – 24 Oktober, 2013.

TMI

Semua Pihak Jangan Sensasikan Lagi Isu Agama , Ia Mengundang Malang


Malaysia boleh menjadi lebih aman jika ahli politik “berhenti mempolitikkan perkara berkaitan agama dan akademik” dan membiarkan pihak berkenaan kedua-dua isu itu membuat keputusan, kata bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
“Rakyat kini keliru. Jika mereka (ahli politik) dari awal lagi mengikut prinsip ini, maka Malaysia tidak akan berada dalam keadaan seperti sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada kritikan keras yang diterima negara susulan daripada keputusan isu kalimah Allah.
Minggu lalu, panel tiga hakim menukar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009 yang membenarkan gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald.
Cendekiawan Islam dan pemimpin agama di seluruh dunia mengkritik larangan itu dan menyatakan bahawa kalimah itu wujud sebelum Islam dan ia adalah perkataan yang membawa maksud Tuhan dalam bahasa Arab.
Dr Asri, 42, professor madya di Universiti Sains Malaysia (USM) dan dikenali oleh penyokongnya sebagai “suara hujah” dan kepada pengkritik sebagai “penganjur liberalism”, adalah antara yang menghentam larangan penggunaan Allah kepada bukan Islam.
Beliau sebelum ini pernah berkata bahawa selagi perkataan Allah itu digunakan untuk merujuk kepada “yang Maha Berkuasa”, masyarakat bukan Islam boleh menggunakannya.
“Sebenarnya ia bukan isu. Orang Islam percaya kepada Tuhan yang satu. Jadi bagaimana kita hendak kata Tuhan kami berbeza daripada Tuhan saya,” katanya sebelum ini.
Dalam temubual bersama The Malaysian Insider baru-baru ini, Dr Asri berkata, agak mengarut jika ada yang berkata perkataan Allah eksklusif untuk orang Islam.
“Tamadun yang mengamalkan toleransi berkembang dan kekal sebagai masyarakat lebih lama berbanding mereka yang tidak,” katanya.
Dr Asri, graduan pengajian Islam, mengeluh ketika ditanya mengenai senario agama dalam negara.
“Ia amat berbeza sekarang berbanding 20 tahun lalu,” katanya.
Beliau mengulangi pemerhatian awalnya bahawa politik dan isu agama tidak patut dicampuradukkan.
“Orang agama ikut peraturan pengetahuan sementara ahli politik ada agenda dan ideology tersendiri,” katanya.
Bekas mufti itu tersenyum ketika ditanya pendapatnya apabila ada yang mengaitkan namanya sebagai “suara Islam sederhana”.
“Ini adalah Islam yang saya faham daripada Al-Quran.
“Saya tidak melihat diri saya sebagai sederhana atau progresif. Pendapat saya atau apa yang saya cakap adalah apa yang saya belajar dalam agama saya dan saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Ketika meminta maklum balasnya mengenai tuduhan beliau menganjurkan liberalism menerusi pendapatnya, beliau yang berasal dari Pulau Pinang terjeda kemudian berkata:”Saya tidak suka dilabelkan begitu.”
“Apa bukti yang mereka ada atas tuduhan itu,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Asri tidak sunyi daripada kontroversi dan beliau pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 2009 kerana memberi ceramah tanpa tauliah di kawasan perumahan.
Beliau akhirnya didakwa di mahkamah dan bantahan terhadap tangkapan itu menimbulkan kekecohan dalam negara, daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hingga ke pemimpin pembangkang.
Kes mahkamah itu, katanya, masih berjalan.
Cendekiawan Islam itu tersenyum malu ketika ditanya mengenai kehidupannya di luar lingkungan agama kurang diketahui umum.
“Ya kerana saya lebih suka kehidupan peribadi saya tidak diketahui umum. Isteri saya memberi amaran beberapa kali supaya saya tidak bercakap mengenai isteri dan anak-anak,” katanya.
Selepas dipujuk, Dr Asri kemudian memberitahu bahawa beliau bertemu kali pertama dengan isterinya yang dikahwini sejak 16 tahun lalu itu ketika mengajar sementara di sebuah sekolah di Pulau Pinang.
“Saya bertemu dengannya ketika pulang bercuti kerana pada masa itu saya masih belajar di Jordan. Kami bernikah pada 1997,” katanya.
Pasangan itu dikurniakan tiga anak perempuan dan dua lelaki, berusia antara dua hingga 16 tahun.
Dr Asri mula berminat dnegan pengajian Islam ketika di sekolah rendah, dan bapanya kemudian memberi galakan dengan menghantarnya ke sekolah agama Al-Irshad di Pokok Sena untuk sekolah menengah.
Beliau kemudian ke Kolej Islam Klang melanjutkan tingkatan 4 dan 5 sebelum berlepas ke Universiti Jordan pada 1995 untuk belajar bahasa Arab dan Undang-undang Syariah.
Selepas kembali ke Malaysia, Dr Asri mengajar mata pelajaran agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda di Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajarannya ke peringkat sarjana di USM.
Beliau kemudian memperolehi ijazah kedoktoran dalam jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Pengajian Al-Quran dan Sunnah) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Saya bekerja di USM selama tiga tahun dan kemudian dipinjamkan ke kerajaan negeri Perlis sebagai mufti dari 2006 hingga 2008,” katanya.
Beliau turut menjalani Fellowship di Pusat Pengajian Islam Oxford di United Kingdom. – 24 Oktober, 2013.


TMI

Wednesday, October 23, 2013

PRK Sg Limau : Penamaan Calon , Sambutan Luar Biasa Untuk Mohd Azam Calon PR

Penamaan calon bagi pilihan raya N20 Sungai Limau akan berlangsung di Dewan Datuk Madi Yan, Kedah pagi ini.

Pencalonan akan bermula jam 9 pagi dan penyokong BN serta Pakatan Rakyat dijangka mula berkumpul di pusat penamaan calon seawal jam 8 pagi.

Personaliti-personaliti penting dari Pakatan Rakyat dan BN dijangka turun mengiringi calon masing-masing untuk menyerahkan borang.

Jika semuanya berjalan seperti dirancang, pekan Sungai Limau yang tenang ini akan menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52 tahun menentang calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat, 37 tahun.

Di atas kertas, Sohaimi dilihat mempunyai profil yang lebih menonjol sebagai bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Azam pula seorang penolong kanan ko-kurikulum di sebuah sekolah agama di Kedah.

Kempen akan berlangsung selama 12 hari dan hari mengundi jatuh pada 4 November.

Kerusi Sungai Limau yang terletak dalam Parlimen Jerai kosong berikutan kematian anggota dewan undangan negeri merangkap bekas menteri besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Azizan menewaskan Fazillah Mohd Ali daripada BN dengan majoriti 2,774 undi.

Azizan menang dengan 13,294 undi berbanding 10,520 yang dimenangi BN - dan calon-calon bebas memperolehi 100 dan 84 undi.

Bagaimana pun, Kedah jatuh ke tangan BN selepas pilihan raya Mei lalu.

LAPORAN LANGSUNG

08:00 Trafik ke pusat penamaan calon di Dewan Datuk Madi, Yan bergerak lancar dengan kawalan polis.

Beberapa gerai jualan air dan makanan ringan didirikan di kiri dan kanan jalan beberapa puluh meter dari pusat penamaan menjadikan suasana seperti pasar pagi hujung minggu.

NONE08:30 Pemimpin tertinggi Pakatan, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Pengarah Pilihan Raya PAS DUN itu Datuk Mahfuz Omar, kelihatan bersama Azam.

Ratusan penyokong PAS yang menyertai calon mereka bersama pemimpin tertinggi Pakatan diminta bergerak ke Pantai Murni daripada pusat penamaan calon.

Mereka diminta berbuat demikian kerana berkumpul dalam jarak yang tidak dibenarkan. Rombongan BN dijangka tiba tidak lama lagi.

NONEPenyokong parti Islam itu kelihatan tidak gembira kerana sedang teruja mahu menyaksikan acara hari ini dari dekat.

08:36Penyokong PAS mula berarak melalui penamaan calon sambil bertakbir berulang kali.

08:45 Lautan penyokong PAS makin rancak berselawat dan melaungkan slogan anti-BN. Manakala penyokong BN pula, kira-kira 500 orang - yang lebih kecil daripada kumpulan PAS - menyanyikan lagu parti dan melaungkan slogan "Hidup BN".

Heavyweight Umno termasuk Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin kelihatan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai kumpulan itu.

NONE09:00 Tepat jam 9 calon BN masuk ke dewan menyerahkan borang pencalonan. Ketika calon menghantar borang penamaan, penyokong kedua-dua menunggu di luar dengan penuh semangat.

"Jantung kami berdebar, tak sabar hendak menang," kata Umi Haida Mahmood, 50-an, yang datang dari Pendang seawal jam 7 pagi.

Manakala seorang pemuda Fitri Badaruddin, 22, dari Bukit Chira pula kelihatan membawa poster berkaitan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20sen.

"Terima kasih kepada BN!" laungnya kepada orang ramai.

Polis selepas itu memasang kawat berduri di hadapan penyokong BN.

09:15 Di luar pusat penamaan calon, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir memberitahu pemberita, BN yakin merampas kerusi Sungai Limau.

Beliau berharap angin perubahan akan bertiup kencang di kalangan pengundi kawasan itu.

Unit Amal pakai topeng
Unit Amal PAS kali ini lebih bersedia apabila terdapat sebahagian mereka memakai topeng bagi bagi menghadapi gas pemedih mata.

Bagaimanapun, terdapat juga gelagat mencuit hati apabila terdapat tiga penyokong wanita Umno termasuk ke dalam kumpulan PAS.

"Kesian, depa sesat, ini kawasan bendera hijau," kata seseorang yang disambut gelak ketawa, sebelum trio itu bergerak ke kumpulan BN.

Anggota Parlimen Cheras daripada DAP Tan Kok Wai berkata, walaupun hilang negeri, rakyat DUN itu perlu menjadi agen semak dan imbang.

"Kita akan menang. Azizan sangat popular di sini," katanya.



malaysiakini


Tuesday, October 22, 2013

Belanjawan PR 2014: Pembekalan Air & Eletrik Menyeluruh Untuk Kawasan Luar Bandar

KUALA LUMPUR 21 OKT : Pakatan Rakyat (PR) akan memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha memastikan pertumbuhan ekonomi lebih seimbang, mampan dan inklusif.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan penyambungan membabitkan perhubungan internet atau fiskal seperti lebuh raya amat penting bagi mencapai keseimbangan ekonomi.
Katanya, pembinaan lebuh raya Pan-Borneo yang menyambungkan beberapa bandar di Sabah dan Sarawak akan dinaik taraf serta disegerakan, menjelang awal 2014.
“Lokasi kemalangan akan dikenalpasti dan dibaiki, selain pelaksanaan sistem penyelenggaraan berkala untuk manfaat rakyat di kawasan berkenaan.
“PR juga akan mengkaji semula polisi kabotaj untuk Sabah dan Sarawak. Kita akan berusaha menurunkan harga kargo dan barangan yang masuk atau keluar dari negeri berkenaan yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam sidang media pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata, PR juga akan memastikan penjurusan pembekalan air dan elektrik dapat dicapai 100 peratus untuk kawasan luar bandar dan bandar terutama di negeri wilayah timur berkenaan.
“Usaha ini akan memastikan bekalan air bersih dan elektrik diperbaiki melalui penggunaan teknologi solar, ladang angin serta mikro hidro,” katanya lagi.
-NFN-

selangorku

Defisit Negara Akan Terus Meningkat Jika Sikap Masih Lewa



KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun depan akan mencecah kadar 5.2 peratus berdasarkan ramalan peningkatan ekonomi global.

Pertumbuhan itu sekali gus akan menyebabkan defisit fiskal negara turut meningkat pada kadar 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Anggaran itu dibuat berdasarkan anggaran pendapatan negara sebanyak RM228 bilion dan anggaran perbelanjaan negara sebanyak RM262 bilion di mana pengurangan sebanyak 10 peratus pada perbelanjaan operasi tidak termasuk emolumen.

"...anggaran KDNK sebanyak RM1,055 bilion berdasarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun sama," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen, semalam.

Katanya lagi, sejak PR menyediakan Belanjawan Alternatif, anggaran defisit pembangkang jauh lebih rendah berbanding kerajaan Barisan Nasional.

"Sejak tahun lalu, defisit kerajaan semakin meningkat dan ini disebabkan kegagalan kerajaan menangani gejala rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran serta pengurusan kewangan negara," bidas beliau.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membentangkan Belanjawan 2014 Jumaat ini menyasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal negara kepada tiga peratus daripada KDNK.

sinarharian

PRK Sg Limau :PR Akan Pertahankan Legasi Ustaz Azizan


SHAH ALAM 22 OKT: Pakatan Rakyat (PR) menzahirkan permuafakatan dalam mempertahan kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 November ini.
Pendirian itu dilihta melalui permuafakatan pemimpin PKR yang berkampung di Sungai Limau mulai semalam untuk memberi sokongan penuh kepada calon PAS, Azam Samad, pada hari penamaan esok.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dr Mansor Othman antara pemimpin yang menyertai ceramah perdana dan majlis pengumuman calon di Markas Utama PAS Jerai, malam tadi.
Menurut laporan Keadilan Daily, Azmin bersama Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung bergandingan dalam program Ramah Mesra Bersama Aktivis dan Anggota Cabang Alor Setar dan Kuala Kedah di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri, kira-kira jam 3 petang tadi.
Turut serta dalam program itu adalah Ahli Majlis Tertinggi PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.
Program berkenaan diteruskan di Kampung Setia Jaya, Sedaka, Yan dengan pelancaran Bilik Gerakan Utama PKR Negeri dan jentera parti yang turut dihadiri Adun Bakar Arang, Simon Oii, kira-kira jam 5 petang.
Esok mereka juga sepakat akan berarak ke Pusat Penamaan di Pejabat Daerah Yan bagi mengiringi Azam, sebelum berkempen selepas itu. -NFN-

selangorku

Monday, October 21, 2013

Jimat Lebih RM20 Bilion Jika Pembaziran & Penyelewengan Dihentikan


KUALA LUMPUR 21 OKT: Pakatan Rakyat (PR) menganggarkan penjimatan sekurang-kurangnya RM20 hingga RM30 billion sekiranya semua pembaziran dan penyelewengan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 dapat dihentikan.
Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagi menjamin perbelanjaan kerajaan yang lebih efisyen dan teratur, PR akan mengambil tindakan tegas terhadap kementerian yang terbabit dalam salah laku serta pembaziran seperti dilaporkan.
Beliau berkata, pembaziran perbelanjaan yang dikenal pasti adalah membabitkan Kementerian Pelajaran Malaysia berjumlah RM2.051 billion dari tahun 2010 ke 2012 yang digunakan untuk membayar pengawal tidak bersenjata bagi mengawal sekolah dan institusi pengajian tinggi daripada jumlah RM3.689 bilion peruntukan yang disalurkan.
“Walaupun berniat baik, namun ketiadaan sistem pemantauan mengakibatkan pengawal yang berumur dan tidak disahkan latar belakang dibenarkan bertugas.
“Selain itu, kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak berfungsi untuk diguna bagi memastikan keselamatan pelajar sekolah,” katanya ketika bercakap dalam sesi pembentangan Belanjawan PR 2014, di Parlimen, hari ini.
Anwar berkata, PR akan melancarkan program rasionalisasi kos untuk setiap kementerian dan jabatan kerajaan dalam usaha mencapai pengurangan perbelanjaan sebanyak 10 peratus.
“Perkara ini akan dicapai melalui penangguhan sementara kenaikan elaun menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan. PR juga menyarankan pengkajian semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama dalam pemberian kontrak dan perokumen peralatan.
“Selain itu, pelaksanaan lain adalah kekemasan mekanisma subsidi dan pengawalan barangan subsidi seperti petrol, diesel, gula serta tepung bagi mengelak salah guna subsidi,” katanya.


Katanya, tindakan itu harus dilaksanakan sebagai usaha mengkaji semula keutamaan perbelanjaan negara dengan mengurang dan menghapuskan program yang tidak berkesan serta kurang berkepentingan. -NFN-

selangorku

Belanjawan 2014 PR Memperkenalkan Reformasi Fiskal


Pakatan Rakyat (PR) melalui Belanjawan Alternatif mereka akan membolehkan Malaysia menikmati kadar lebihan belanjawan selewat-lewatnya pada 2018 melalui reformasi fiskal yang dicadangkan pembangkang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).
Ketua Pembangkang itu berkata, antara teras utama Belanjawan Alternatif pembangkang adalah pengukuhan kedudukan fiskal negara dan pemerkasaan kewangan awam, pembangunan ekonomi seimbang, inklusif dan mampan, serta peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
"Bajet alternatif 2014 PR adalah usaha untuk memperkenalkan reformasi fiskal yang akan memastikan pencapaian defisit bajet pada kadar tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan seterusnya mencapai lebihan bajet selewat-lewatnya pada 2018," katanya pada sidang media intipati belanjawan pembangkang di Parlimen, hari ini.
Anwar berkata, reformasi itu bakal membolehkan Malaysia keluar daripada kemelut hutang yang kini melebihi RM500 bilion melalui kos bayaran pembayaran hutang melebihi RM20 bilion setahun.
"Bagi menjamin perbelanjaan kerajaan lebih efisyen dan teratur, PR akan melancarkan program rasionalisasi kos melalui pengurangan 10% perbelanjaan operasi.
"Ini akan dicapai melalui penangguhan sementara kenaikan elaun menteri Kabinet dan ketua jabatan kerajaan, pengajian polisi perbelanjaan kerajaan terutama dalam kontrak dan perolehan peralatan dan juga memperkemas mekanisme subsidi sasaran," katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, berkata tindakan keras akan diambil terhadap kementerian yang didapati terlibat dengan salah laku dan pembaziran seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara.
"PR menganggarkan sekurang-kurangnya RM20 hingga RM30 bilion dapat dijimatkan sekiranya pembaziran dan penyelewengan seperti yang dilaporkan dapat dihentikan," katanya.
Belanjawan alternatif pembangkang juga, katanya, akan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana dilihat lebih membebankan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
"Cukai itu akan ditangguhkan sehingga pendapatan isi rumah mencapai tahap yang sesuai, pelebaran 'band' cukai pendapatan terutama golongan menengah untuk mengelakkan mereka memasuki band lebih tinggi, dan kajian menyeluruh mengenai 'trade-off' cukai korporat dan peribadi dengan GST," katanya.
Katanya, PR juga akan memperkenalkan sistem cukai 'real property gains tax' (RPGT) pada tahap sebelum 2007 iaitu cukai berperingkat pada kadar 30% bagi tahun pertama sehingga cukai terendah lima% bagi penjualan pada tahun kelima.
"Ini bertujuan mengekang kegiatan spekulasi hartanah yang berlebihan," katanya.
Anwar berkata, belanjawan alternatif turut memberikan penekanan kepada pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo, pengkajian semula polisi Kabotaj untuk Sabah dan Sarawak serta perbekalan 100% bekalan air untuk kawasan luar bandar.
Anwar turut mengulangi pendirian untuk menghentikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sementara waktu sehingga satu kajian menyeluruh dibuat oleh Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC).  - 21 Oktober, 2013.

TMI

Fokus Belanjawan 2014 PR Mempertahankan Rakyat Dari Krisis Ekonomi Negara


SHAH ALAM, 20 OKT : Belanjawan Alternatif 2014 yang dibentangkan Pakatan Rakyat (PR) akan memberikan fokus kepada usaha mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Belanjawan Alternatif itu akan dibentangkan pada Isnin (21 Okt) di Parlimen sebelum Bajet 2014 dibentang Perdana Menteri pada 25 Oktober ini.
“Kita menjangka, negara akan mengalami krisis ekonomi dengan kadar hutang semakin meningkat, pelaburan berkurangan, harga barang meningkat dan beban kepada rakyat juga bertambah,” kata Anwar.
Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Bengkel Persediaan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Menerusi Bengkel Belanjawan tadi, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat rancak membincangkan draf belanjawan 2014 secara teliti.
“Ia kemudiannya dibentangkan kepada kami selaku pimpinan utama ketiga-tiga parti untuk membuat keputusan muktamad,” kata Anwar.
Anwar berkata, PR merancang untuk mengadakan sesi dialog dengan Kerajaan Pusat untuk membincangkan isu kepentingan rakyat.
“Kita mengusulkan Perdana Menteri dan kepimpinan BN tumpu tadbir negara, urus ekonomi dan tangani isu besar demi kepentingan rakyat yang terabai sekian lama sejak PRU-13 Mei lalu.
“Perlunya perbincangan dan dialog dalam isu ekonomi, perbalahan kaum dan agama, peningkatan kadar jenayah dan isu pengurusan kerajaan termasuk rasuah seperti yang dilaporan ketua audit negara,” kata Anwar.
PR sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian sebelum satu belanjawan bayangan dibentangkan sebelum Belanjawan 2014 dibentangkan.
Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mendapatkan satu formula terbaik untuk dimasukkan dalam belanjawan bayangan Pakatan Rakyat sekaligus mencabar Belanjawan 2014 yang dijangka akan dibentangkan Najib Razak.
Jawatankuasa yang dikordinasikan Institut Rakyat itu dibahagikan kepada sembilan kumpulan yang diketuai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdasarkan kementerian tertentu dan bidang kepakaran masing-masing.
Sembilan kumpulan tersebut, kajian isu nasional dan antarbangsa; ekonomi dan kewangan; keselamatan; pendidikan dan pekerjaan; pertanian, perladangan dan pembangunan luar bandar; pengangkutan dan pembangunan bandar; pengurusan sumber dan kelestarian; masyarakat, kebajikan dan gender serta polisi berkaitan Sabah dan Sarawak.

selangorku

Sunday, October 20, 2013

Belanjawan 2014 PR Bentang Di Parlimen


SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) akan membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 di Dewan Rakyat esok.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah bersetuju untuk membentangkan belanjawan tersebut setelah diteliti sepenuhnya isi kandungannya, hari ini.

“Saya dan kepimpinan ketiga-tiga parti (PKR, Pas dan DAP) membuat keputusan untuk belanjawan secara khusus.

“Esok, Insya-ALLAH kami akan bentangkan di Dewan Rakyat jam 11.30 pagi seperti kerangka yang diputuskan,” katanya dalam sidang media selepas Bengkel Persediaan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, petang tadi.

Anwar berkata, tema belanjawan PR kali ini ialah mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.

Beliau berkata, belanjawan tersebut mengambil kira jangkaan bahawa negara akan menghadapi krisis dengan hutang yang meningkat, pelaburan berkurangan, harga barang meningkat dan beban rakyat bertambah.

Katanya, PR turut membincangkan dan mengusulkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan Barisan Nasional (BN) menumpukan kepada pentadbiran negara, pengurusan ekonomi dan menangani isu besar untuk kepentingan rakyat yang terabai sejak PRU13 lalu.

“Kami mengulangi hasrat untuk mengadakan perbincangan dan dialog di antara pimpinan kerajaan BN bersama PR dalam isu-isu pertama ekonomi, perbalahan kaum, isu agama, isu jenayah, isu kerajaan termasuk rasuah dan laporan ketua audit negara,” katanya.

Abdul Hadi pula berkata, isu kelemahan dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat perlu diambil kira oleh kerajaan khususnya dalam memastikan ketirisan, penyelewengan dan hutang tidak berlaku.

Sementara itu, Kit Siang meminta agar kerajaan BN memberikan perhatian khusus kepada rakyat memandangkan Pemilihan Umno telah selesai semalam

“Tidak dinafikan bahawa enam bulan selepas PRU13, rakyat dan negara sedang menghadapi satu keadaan di mana nampaknya perdana menteri dan kerajaan BN hilang arah. Jadi kena ada permulaan baru untuk negara kita,” katanya.

sinarharian

PERHATIAN :Laman Answering-islam.com Tidak Boleh Dipercayai



SHAH ALAM - Pihak berkuasa perlu menyekat sebarang laman web yang mengandungi unsur memesongkan akidah umat Islam di negara ini.

Pendakwah, Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata,  orang ramai juga perlu segera melaporkannya kepada polis atau kementerian sekiranya menemui sebarang laman web mengenai Islam yang mencurigakan.

Menurutnya,   Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempunyai autoriti untuk menyekat laman web seumpamanya.

"Kemungkinan laman web itu, dibangunkan oleh orang biasa atau pihak tertentu bagi memesongkan akidah orang Islam.

"Kerajaan tidak boleh pandang ringan  kerana ia boleh jadi parah dalam diam," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas kewujudan beberapa laman web menggunakan nama Islam, al-Quran dan ALLAH di mana kandungannya mencurigakan.

Zaharuddin berkata, dalam pada itu, kewujudan laman web itu sepatutnya tidak dihebahkan kepada orang ramai kerana ia hanya mempopularkannya.

"Manusia ni pelik, benda yang ditegah itulah lagi suka dilakukan.

"Memang ada baiknya disebarkan tetapi akan menyebabkan orang ramai tahu akan perkara itu seterusnya membanyakkan akses kepada laman web berkenaan," katanya.

Menurut beliau, sekiranya  tidak ada kontroversi, maka orang lain tidak akan tahu  mengenai laman web itu kerana memang susah untuk seseorang yang ada laman web mahu orang lain membaca tulisannya.

"Sebab itu, apabila ada sebaran barulah sesebuah laman web itu menjadi hangat," katanya.


sinarharian

Saturday, October 19, 2013

Khutbah Jumaat Masjid Abu Bakar Assidiq Adelaide Australia



ADELAIDE (AUSTRALIA) 19 OKT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan oleh Persatuan Islam Australia Selatan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Abu Bakar Assidiq, Adelaide di Australia semalam.
Jemaah penuh mendengar khutbah disampaikan Anwar.
Jemaah penuh mendengar khutbah disampaikan Anwar.
Masjid itu yang terletak di 52-54 Wandana Avenue Gilles Plain antara pusat komuniti Muslim paling aktif di ibu negeri selatan Australia itu.
Ini merupakan pengiktirafan yang jarang diberikan oleh pegawai masjid kepada pemimpin luar negara.
Khutbah dengan tajuk Kebangkitan Dunia Islam, Peranan Minoriti Muslim dalam masyarakat Barat disampaikan Anwar dalam Bahasa Inggeris.
Dalam lawatannya, Anwar dijemput menjadi panel pada forum di Festival Idea, Perbezaan Pendapat dan Demokrasi yang berlangsung di Dewan Universiti Adelaide hari ini.
Orang ramai berasak-asak bersalaman dengan Anwar.
Orang ramai berasak-asak bersalaman dengan Anwar.
Usaha Kerajaan Malaysia menghalang mahasiswa Malaysia menyertai program dihadiri Anwar itu gagal apabila penuntut dan rakyat Malaysia serta masyarakat tempatan beramai-ramai beratur panjang untuk mendengar ucapannya.
Dewan Universiti dipenuhi hadirin.
Dewan Universiti dipenuhi hadirin.
Malah, sekumpulan pelajar Malaysia mengadakan bantahan terhadap arahan Kerajaan Persekutuan Malaysia yang melarang mereka menghadiri program tersebut.
Mengikut agensi berita Australian Broadcasting Corporation (ABC), hampir sedozen pelajar berhimpun sambil memakai topeng dan memegang sepanduk tanda bantahan larangan itu.
Keadilan Daily 15 Oktober lalu mendedahkan amaran pegawai penasihat pelajar di Jabatan Penuntut Malaysia, Sharezan Md Sheriff yang diemel kepada mahasiswa Malaysia di Australia khasnya pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar ‘menjauhkan diri’ dari menghadiri sesi awam bersama Anwar.
Anwar bertemu penuntut Malaysia yang mengadakan bantahan terhadap larangan Kerajaan Malaysia.
Anwar bertemu penuntut Malaysia yang mengadakan bantahan terhadap larangan Kerajaan Malaysia.
Selepas forum, Anwar dijadual akan menghadiri program sembang santai, #MeetAnwar di Watson Avenue, Rose Park, South Australia atas anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC) dengan kerjasama Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) Adelaide.

Friday, October 18, 2013

Penggunaan Kalimah Allah Untuk Archibishop Itu Dilarang Namun Tidak Untuk Umat Manusia


KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu membaca dan memahami penghakiman Mahkamah Rayuah mengenai isu kalimah Allah mengikut konteksnya dan tidak membuat kenyataan sembarangan.
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainur Rijal Abu Bakar berkata kenyataan yang dibuat sewenang-wenangnya boleh menimbulkan kekeliruan atau menghina mahkamah.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini pada pandangan PPMM ialah setakat melarang Archibishop menggunakan kalimah Allah dalam The Herald, iaitu penerbitan mingguan Katolik dan tidak lebih daripada itu, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Persatuan itu juga katanya berpandangan adalah salah anggapan jika ada pihak tertentu sama ada tempatan atau antarabangsa, untuk menganggap keputusan mahkamah berkenaan merupakan larangan penuh terhadap mana-mana komuniti bukan Islam di Malaysia daripada menggunakan kalimah Allah.

"Jika dibaca dengan teliti, penghakiman itu menunjukkan semua rakyat Malaysia dibenar menggunakan kalimah Allah dalam konteks al-Quran dan rujukan Islam kepada tuhan," katanya.

Dalam keputusannya Isnin lepas, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan berbahasa Melayunya untuk merujuk kepada tuhan.



-BERNAMA

Thursday, October 17, 2013

Khutbah Ketua Umum Di Masjid Abu Bakr Assiddiq Adelaide Australia


KUALA LUMPUR 16 OKT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan khutbah di Masjid Abu Bakr Assiddiq, Adelaide, Australia pada hari Jumaat, 18 Oktober ini.
Beliau akan menyampaikan khutbah bertajuk ‘Kebangkitan Dunia Islam, Peranan Minoriti Muslim Dalam Masyarakat Barat’.
Anwar hadir atas undangan The Islamic Society of South Australia (ISSA).
Masjid Abu Bakr Assiddiq yang terletak di 52-54 Wandana Avenue Gilles Plain antara pusat komuniti Muslim paling aktif di ibu negeri selatan Australia itu.
Laman web The Islamic Society of South Australia (ISSA) boleh dilayari melalui pautan ini.

KD

Monday, October 14, 2013

Mahkamah Rayuan Memutuskan Larangan Penggunaan Kalimah ALLAH Dalam Akhbar Mingguan Herald


Gereja Katolik dihalang Mahkamah Rayuan dari menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada tuhan bagi agama Kristian.
Keputusan diumumkan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dalam keadaan mahkamah yang penuh padat.
Pihak gereja boleh mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sekiranya keputusan itu bercanggah dengan kepentingan umum.
Pada 10 September, panel mendengar hujah peguam kerajaan, Suzana Atan yang menyatakan keadaan akan menjadi tegang sekiranya kalimah Arab Allah dibenar untuk penerbitan mingguan Katolik Herald dalam bahasa Melayu.
Suzana memberi contoh selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan, terdapat beberapa insiden serangan ke atas beberapa rumah ibadat.
Katanya, kalimah Allah mengundang pelbagai kekeliruan kepada penganut agama Islam dan Kristian kerana kedua-dua agama mempunyai tafsiran berbeza mengenai kalimah itu.
Menurutnya lagi, menteri mempunyai kuasa mutlak di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 bagi meletakkan syarat ke atas permit penerbitan tersebut.
Suzana berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana keputusannya mewujudkan persengketaan dan kekacauan dalam masyarakat.
Manakala, peguam Porres Royan yang mewakili gereja berkata hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan tidak salah dalam penghakimannya kerana larangan berkenaan adalah satu bentuk pencerobohan kepada kebebasan agama dan kebebasan bersuara. 
Katanya, keselamatan negara dan hujah Putrajaya adalah satu kenyataan lemah.
Royan menjelaskan pada 1982 terdapat arahan pengecualian di mana kalimah itu boleh digunakan oleh Al-Kitab yang diimport dari Indonesia dan menggunakan dialek Sabah dan Sarawak.
Herald telah menggunakan kalimah Allah semenjak 1994.
Royan berkata kerajaan telah membenarkan Al-Kitab dalam bahasa Indonesia dan bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah yang diimport dan dicetak dalam negara. 
Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan. 
Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan. 
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.
Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.
Katanya, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. - 14 Oktober, 2013.

TMI