Thursday, July 26, 2012

Pusat tak boleh teruskan Langat 2 tanpa kelulusan MB S’ngor

Saiz Teks: A A A


SHAH ALAM 26 Julai: 
Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor) tidak boleh dilaksanakan tanpa mendapat kelulusan daripada Menteri Besar.

“Kerajaan negeri memutuskan kuasa meluluskan sebarang permohonan berkaitan pelaksanaan Projek Langat 2 hendaklah dibawa terus kepada saya (Pihak Berkuasa Negeri),” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini semalam.

Khalid berkata, semua agensi kerajaan termasuk Pejabat Tanah Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Hutan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan lain-lain agensi berkaitan perlu merujuk terus sebarang permohonan berkenaan projek itu kepadanya.

Ia berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Selasa lalu bahawa Kerajaan Pusat akan meneruskan pembinaan projek tersebut walaupun tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri.

Menurut Khalid, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor mengarahkan Peguam Negara mengkaji peruntukan undang-undang bagi mempercepat projek Langat 2 bernilai RM8.65 bilion itu setelah gagal mendapat kebenaran kerajaan negeri.

Syabas operasi di bawah keupayaan

Beliau turut memaklumkan, Mesyuarat Exco menerima laporan tiga penemuan utama daripada Jawatankuasa Pemantauan Air yang perlu diberi perhatian agar rakyat tahu kedudukan sebenar.

Antara penemuan tersebut adalah fakta peratusan rizab air dua peratus yang dilaporkan Syabas tidak tepat dan mengelirukan. Rizab kapasiti pengeluaran sebenar pada masa ini 11 peratus dan akan meningkat kepada 18 peratus selepas Mac 2013 apabila projek mitigasi siap sepenuhnya.

Katanya, penemuan tersebut membuktikan Syabas gagal memenuhi tanggungjawab untuk membekalkan air terawat secukupnya kepada pengguna seperti dipersetujui dalam Perjanjian Penswastaan Air 2004.

“Kegagalan itu menguatkan lagi rancangan kerajaan negeri untuk ‘step in’ dalam pengurusan Syabas yang bertujuan membaiki semua kelemahan termasuk syor supaya Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas dipecat,” jelas Khalid.

“Bagi tujuan ini, kerajaan negeri selesai menyediakan dokumen untuk ‘step in’ dalam pengurusan Syabas dan pasukan yang mewakili kerajaan negeri bagi tujuan ini juga sudah bersiap sedia untuk menyertai pengurusan Syabas bila-bila sahaja bagi membaiki kelemahan,” terang beliau.

Jawatankuasa itu diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk  Khusrin Munawi dan dianggotai Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen), Konsortium Abbas dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor (Puas) yang menjalankan pemantauan terhadap operasi Syabas setiap hari bermula 18 Julai lalu.

Tegas Menteri Besar, fakta sebenar yang tidak boleh dinafi semua pihak dalam isu air ini adalah kegagalan Syabas merancang dan mengurus sistem agihan untuk menyalurkan air terawat kepada pengguna.

Tambahnya, beliau meminta PBT bersama beberapa Exco Kerajaan Negeri untuk bertemu rakyat bagi mencari penyelesaian masalah air termasuk membawa tangki-tangki air ke kawasan yang bertahun-tahun berdepan kekurangan bekalan air.

“Kerajaan Negeri juga menyediakan talian 1-8000-88-2824 untuk orang ramai mengadu masalah air. Pusat panggilan ini juga mengendalikan masalah sampah,” katanya.

Khalid menambah, Kerajaan Selangor konsisten dengan pendirian bahawa isu air ini boleh diselesaikan secara holistik sekiranya kerajaan negeri mengambil alih industri air daripada syarikat-syarikat konsesi yang akan menawarkan pembekalan air yang lebih cekap pada harga munasabah seperti yang dihasratkan WSIA 2006.


No comments: