Saturday, December 26, 2009

Menziarahi Jenazah Mangsa Nahas Bas

Anak Reda Dengan Pemergian Ibu Bapanya Dalam Kemalangan

Pasangan suami isteri antara 10 mangsa nahas bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jalan Kebun dekat Pandamaran di sini kira-kira pukul 5 petang ini.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata Bas ekspres itu berlepas dari Klang, Selangor pada 9 malam tadi menuju ke Kangar dan membawa 48 penumpang.

"Di tempat kejadian, bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudiannya melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti," katanya.

Besi daripada pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (rempuhan di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan penumpang berkenaan.

Wan Abdullah berkata pemandu yang memandu bas ketika kemalangan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Suasana muram kelihatan sejak dari awal pagi di perkarangan rumah mangsa di Taman Setia Kampung Johan Setia Klang disaat menanti ketibaan jenazah kedua pasangan Shaharin Mohd Nor, 61 dan isteri , Supiah Adam, 46 dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, turut kelihatan YB Shuhaimi yang turut hadir menziarahi keluarga mangsa terutama anak sulung mereka Mohd Arif Andi Shaharin, 23, yang masih terkejut dengan berita tersebut, beliau berkata walaupun beliau dan adik-beradiknya berasa amat sedih tetapi menganggap pemergian itu sebagai suratan takdir dan satu ketentuan daripada Allah. Jenazah tiba kira-kira jam 3 petang dan disembahyangkan di Surau Taman Setia.

Selain Shaharin dan Supiah, dua lagi dari Selangor yang terkorban dalam insiden itu ialah Mohd Shukri Mohd Ali, 22, dan Mohd Bilal Osman, 22.

Menurut Mohd Arif, beliau bersama empat lagi adik beradiknya, Zuhairi, 24; Mohd. Helmi, 20; Shuhada, 17; dan Faiz, 14, telah pergi ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kematian ibu bapanya kira-kira pukul 7 pagi tadi dan bergegas untuk menuntut jenazah mereka.

"Saat ibu bapa saya naik bas itu di hentian bas di Seksyen 17 semalam, itulah saat terakhir saya melihat mereka... kami reda akan pemergian kedua orang tua kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Setia di sini.

Al fatihah ..

No comments: