Thursday, April 28, 2011

Noh risau parti komponen PR sepakat: Shuhaimi

SHAH ALAM – Kenyataan Datuk Seri Noh Omar bahawa Pas tidak perlu malu mengakui hakikat menjadi ‘kuda tunggangan’ DAP dan PKR dilihat sebagai nada kerisauan dengan kesepakatan komponen Pakatan Rakyat (PR) menerajui Selangor.

Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO itu juga dilihat sebagai usaha menyembunyikan kemelut kepimpinan yang berlaku dalam parti itu di negeri ini.

“Konsensus yang dicapai oleh PR sama ada di peringkat nasional dan negeri jelas membuktikan keutuhan PR dalam melaksanakan Agenda PR yang polisinya terus memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.

“Noh cuba menyembunyikan kemelut baru yang melanda UMNO Selangor berikutan UMNO kini sedang menghadapi krisis kepimpinan apabila beliau tidak mendapat sokongan penuh keseluruhan bahagian UMNO di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Shuhaimi berkata, konflik serius antara UMNO bahagian dan kepimpinan parti itu sering diperkatakan dan Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor gagal memperkukuhkan parti komponen BN.

“Sikap kurang senang parti komponen BN seperti MCA dan MIC pada Noh dilihat jelas apabila ada kalangan perwakilan parti keluar dewan pada Konvensyen BN Selangor, April tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, kini MCA menyanggah cadangan UMNO dan akhbar perdana yang mengutarakan slogan bertentangan semangat BN.

“Saya sarankan Noh menyelesaikan masalah dalaman UMNO dan BN Selangor dahulu sebelum membuat tohmahan tidak berasas mengenai kesepakatan PR,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments: