Wednesday, January 22, 2014

Putrajaya , Rasuah Kini Lebih Teruk - Tun M


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi mengkritik Putrajaya, mendakwa rasuah pada masa ini lebih teruk kerana birokrasi yang tidak berpenghujung dan pita merah kerajaan.
Beliau berkata, adalah lebih mudah untuk mencegah rasuah daripada cuba untuk menangkap si penjahat itu, dengan mencadangkan sistem kerja membabitkan lebih banyak pegawai dan borang permohonan yang lebih mudah difahami.
Dalam posting terbaru di blognya, Dr Mahathir berkata, penjawat awam di peringkat tertinggi perlu menunjukkan keputusan ketara dalam kerja mereka kepada kakitangan bawahan, dengan mengemukakan laporan bulanan secara terperinci yang menunjukkan prestasi mereia.
“Pemohon lazimnya tidak pertikaikan keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa atau mengadu kerana lewat,” katanya.
Dr Mahathir berkata, jika permohonan itu ditolak atau lewat, akan ada godaan untuk menawarkan rasuah bagi menyelesaikan isu itu.
“Memberi rasuah kurang bahaya jika dibandingkan dengan mencabar pihak berkuasa secara langsung dengan terus melakukan sesuatu tanpa kelulusan yang diperlukan,” katanya.
Beliau mencadangkan pihak berkuasa memastikan syarat kelulusan permohonan adalah jelas, ringkas dan diketahui orang awam.
“Apabila semuanya jelas dan terang, pegawai di depan akan terdedah sepenuhnya kepada penyelianya, yang akan menilai proses permohonan untuk memastikan terma dan syarat dipenuhi.
“Dalam keadaan di mana penyelia pegawai bersubahat dengannya untuk mendapat bahagian dalam rasuah, satu siasatan perlu dijalankan serta merta.
“Kedua-dua pegawai dan penyelia atasannya perlu bertanggungjawab atas akibat tindakan mereka,” katanya.
Dr Mahathir juga mencadangkan laporan bulanan mengenai prestasi pegawai, terutama yang berdepan dengan pemohon didedahkan kepada orang awam.
“Laporan itu juga perlu dengan jelas menyatakan jumlah permohonan yang ditolak dan sebabnya. Sebarang tindakan yang diambil, terutama membabitkan rasuah juga perlu dimaklumkan kepada umum,” katanya.
Katanya, bagi mengurangkan lagi peluang mewujudkan rasuah, borang permohonan perlu dibuat  seringkas mungkin.
Penjelasan dan penerangan cara mengisi borang yang panjang berjela perlu dielakkan.
Dr Mahathir mencadangkan jawapan Ya/Tidak dalam bahagian kotak perlu diisi oleh pemohon sementara pegawai hanya perlu menanda atau memangkah kotak yang disediakan untuk setiap jawapan pemohon.
“Setiap pegawai hanya perlu memeriksa, meluluskan atau menolak jumlah kecil syarat yang diperlukan. Saya cadangkan carta alir kerja.
“Ia hanya memerlukan masa beberapa minit untuk tanda atau pangkah di kotak yang diperlukan sebelum memberikan permohonan itu kepada pegawai berikutnya,” katanya.
Dr Mahathir berkata, keseluruhan proses itu termasuk keputusan semua pegawai tidak patut mengambil masa lebih daripada tiga hari.
Selepas tiga hari, katanya, pemohon dikehendaki oleh undang-undang untuk datang sendiri ke pejabat untuk mengetahui hasil permohonannya.
Beliau berkata, semua pertemuan antara pegawai dan pemohon perlu dirakam dan direkodkan dalam diari.
“Jumlah pegawai yang berurusan dengan pemohon perlu mencukupi, dan jika perlu, lebih ramai pegawai patut dilantik.
“Pegawai kanan berhak untuk menyoal pegawai bawahannya jika mereka tidak berpuas hati dengan permohonan yang tidak diluluskan,” katanya.
Dengan cara ini, katanya, pegawai kanan dapat bertemu dan memberi penjelasan kepada pemohon punca permohonan mereka ditolak atau mungkin ada kesilapan yang boleh diperbetulkan dan borang dihantar semula.
“Mana-mana pegawai yang didapati melengahkan alir kerja lebih daripada tiga hari patut dipanggil untuk memberi penjelasan.
“Jika pegawai yang sama dipanggil lebih daripada tiga kali untuk beri penjelasan, dia patut disenaraihitamkan, sama ada tidak dinaikkan pangkat atau dipindahkan ke jawatan lain,” katanya.
Dr Mahathir berkata, cadangannya hanya pendapatnya dan berharap Putrajaya akan mempertimbang usulnya itu.
“Orang awam patut diberi ruang untuk memberikan cadangan dan bantahan berhubung prosedur dan borang,” katanya.
Beliau mendakwa, sepanjang 22 tahun memimpin Malaysia, beliau juga melaksanakan cadangan berkenaan setakat yang boleh.
“Contohnya ialah Kuala Lumpur pada awal 1980-an berkembang dengan pesat kerana pada masa itu, pemohon lebih mudah mendapatkan kelulusan,” katanya. – 22 Januari, 2014.

TMI

No comments: