Friday, January 24, 2014

Sistem Perbankan & Kewangan Islam Perlu Dikaji Semula


Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan satu kajian semula dilakukan ke atas sistem perbankan dan kewangan Islam untuk memastikan sistem itu berlandaskan prinsip ekonomi syariah.  
    
Beliau berkata pada awal-awal dahulu, ketika sistem itu baru mencari tapak dalam industri, terdapat kecenderungan untuk mencipta produk kewangan Islam tanpa mengikut piawaian dan prinsip Islam yang ketat.
    
"Masanya kini sesuai dan tepat untuk menjalankan satu kajian semula ke atas sistem ini dengan tujuan memperkemaskannya. Ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan jaminan kualiti yang berterusan yang perlu kita lalui untuk memastikan amalan kita benar-benar mengikut kehendak syariah," katanya.

Tengku Razaleigh menegaskan dalam ceramahnya yang bertajuk "Islamic Finance: Straying From Syariah and Pioneer's Path" semasa melancarkan sebuah buku bertajuk "Islamic Transactions and Finance: Principles and Developments" di Institut Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) semalam.

Tengku Razaleigh berkata sistem tidak akan terjejas jika tujuannya adalah untuk mengkaji semula tentang apa yang halal dan haram dalam perbankan dan
kewangan Islam.
    
Beliau berkata ketika peringkat awal perbankan Islam di negara ini, sememangnya ini tidak dapat dielakkan kerana pemahaman dan pengukuran sistem
ekonomi dan kewangan diasaskan kepada sistem konvensional.

Ini mungkin telah menyebabkan pembangunan produk yang kurang sempurna dan tidak menyeluruh apabila diukur berdasarkan ekonomi syariah, tegasnya.
    
Mengenai buku itu, Tengku Razaleigh berkata ia adalah koleksi esei berdasarkan penyelidikan dan amalan kewangan Islam di negara ini.
    
"Saya pasti ia amat bernilai dan amat membantu bagi pengamal dan pelajar perbankan Islam," kata beliau.
    
Buku itu diterbitkan bersama oleh IAIS dan Malaysian Current Law Journal Sdn Bhd. Salah seorang daripada penyusun buku ini ialah Sheila Ainon Yusoff.

- Bernama

No comments: