Tuesday, April 15, 2014

Kerajaan PR Di Selangor Tampak Goyah Akibat Bekerjasa Sendirian


Kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan goyah sekiranya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal mengubah cara pentadbirannya yang kini dikritik ramai pihak, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Diminta mengulas dakwaan Khalid bersikap lepas tangan, Shuhaimi seterusnya berkata Khalid tidak boleh membiarkan dirinya dicemuh atas kegagalan menyelesaikan isu-isu berkaitan pembangunan negeri dan rakyat.

"Saya minta kerajaan negeri ambil perhatian serius, bukan soal persepsi orang yang kata sambil lewa, tak jujur, tak ikhlas, lambat... Di pihak saya, kita mahu kerajaan dan seluruh agensi serius dalam menyelesaikan masalah kerana kita tak boleh bertahan dengan situasi yang sama untuk masa-masa akan datang. PRU-14 kita mungkin dihukum jika kita bersikap seperti ini.

"Kita tak boleh mempertahankan kemenangan ini dengan cara kerja kita yang dilihat oleh rakyat telah menimbulkan bibit-bibit yang kurang menyenangkan mereka. Soal tanah, pengambil alihan tanah di Rawang, PKNS, Hotel Quality, ini isu-isu yang tidak boleh dibiarkan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri," katanya ketika ditemui pemberita Antarapos di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, baru-baru ini.

Kebelakangan ini, Khalid kerap dikritik kerana kegagalan beliau menyelesaikan isu-isu negeri dan rakyat yang seharusnya menjadi keutamaan kepada seorang menteri besar.

Bermula dari pemecatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Khalid kemudian didakwa mendalangi pemecatan mengejut seramai 21 kakitangan PKNS Holdings Berhad (PHSB) yang kononnya dikaitkan dengan Azmin.

Khalid kemudian diheret kepada pendirian kerajaan negeri dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan persoalan masih menangguhkan perlantikan semula Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Terbaharu, Khalid juga dilaporkan tidak menggunakan peranannya sebagai menteri besar dalam menyelesaikan kemelut pemberhentian secara mengejut 105 kakitangan Hotel Quality Shah Alam.

Shuhaimi dalam masa yang sama membangkitkan soal pemusatan tugas yang besar kepada Khalid yang akhirnya memakan dirinya sendiri atas kegagalan menjalankan tanggungjawab tersebut.

"Ada beberapa perkara menunjukkan kelemahan ketara, khususnya dalam menyelesaikan isu-isu rakyat. Contohnya berkenaan PBT yang tidak selesai, masalah sampah tak dikutip, jalan tak diturap dan sebagainya. Dah masuk penggal kedua tidak juga selesai. Sepatutnya ia selesai. Kelemahan ini patut disalahkan kepada siapa?

"Ramai berjumpa dengan kita dan berkata pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada MB yang tidak mengagihkan dan menyerahkan kepada exco-exco tidak dilakukan dengan baik dan akan menjejaskan.

"Tiba masa kepada MB berbincang dan ambil satu tindakan untuk melihat ke bumi. Jangan fikir kita seorang tokoh yang hebat seterusnya tidak mahu dengar pandangan orang dan hanya dinasihati oleh beberapa kerat yang entah siapa-siapa yang akan meranapkan perjalanan parti," ujarnya.

Kelmarin, ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim mengutarakan hal yang sama semasa membahaskan usul titah ucapan Sultan Selangor dengan menegaskan Khalid seharusnya mewakilkan beberapa tugasnya kepada exco kerajaan negeri dan tidak melakukannya sendirian.

"Apa salahnya mewakilkan tugas untuk exco seperti Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi; Adun Sabak, Sallehen Mukhyi dan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah... maka laporan kemajuan boleh dikemukakan setiap enam bulan?'' soal Ng lapor AntaraPos

No comments: