PETALING JAYA - Pembentukan kumpulan atau pakatan antara calon yang bertanding pada pemilihan PKR kali ini bukan sahaja tidak menjamin kemenangan malah budaya itu tidak sihat kepada parti.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pemilihan calon untuk mengisi pucuk pimpinan parti itu hanya akan ditentukan oleh anggota parti yang akan membuang undi pada 11 Mei depan.
"Pembentukan pakatan atau kumpulan tidak sihat kepada masa depan parti.
"Akhirnya yang akan menentukan masa depan parti adalah anggota parti bukan kumpulan...bukan kartel...bukan pasukan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang menarik diri bertanding Timbalan Presiden dan menyertai kumpulan Datuk Saifuddin Nasution, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar pada pemilihan PKR kali ini.
Selasa lalu, tiga pemimpin tertinggi PKR itu membentukan pasukan bertemakan “Masa Depan Bersama” bagi meraih sokongan anggota parti khususnya golongan muda pada pemilihan parti yang bermula pada 26 April hingga 11 Mei depan.
Mengulas lanjut, Azmin menambah, beliau bagaimanapun menyambut baik rakan-rakan pimpinan lain yang ingin menawarkan khidmat kepada parti namun ia perlu berasaskan rekod prestasi.
"Saya berharap proses pemilihan akan berjalan dengan baik teratur dan berdasarkan rekod prestasi mereka yang menawarkan khidmat kepada parti," katanya lagi.
sinarharian
No comments:
Post a Comment