Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini tidak melihat Mohamed Azmin Ali sebagai ancaman kepada PKR kerana menganggap semua sebagai satu pasukan.
Presiden PKR itu berkata Azmin sebagai penyandang jawatan timbalan presiden tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kerana semua keputusan mesti diputuskan bersama.
"Eh, tidaklah. Diakan penyandang. Tidak akan jadi ancaman.
"Kamikan konsensus dan satu pasukan. Tidak kiralah suara kuat atau pun tidak," katanya ketika menghadiri majlis perkahwinan anaknya di Kajang hari ini.
90% cabang PKR sudah selesai membuang undi, maka sebarang usaha untuk menyekat kemaraan Azmin daripada menjadi timbalan presiden PKR untuk penggal seterusnya sudah hampir pasti tidak akan berjaya.
Oleh itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berkompromi dengan Azmin jika beliau terpaksa masuk ke penjara sekali lagi dan meninggalkan PKR diuruskan isteri dan orang kepercayaannya.
Menurut sumber dalaman parti, Azmin didakwa terlalu ego dan tidak lagi menghormati Anwar selaku pemimpin utama PKR dan sanggup mempertikaikan peranan Anwar dan keluarganya.
Atas sebab itulah Datuk Saifuddin Nasution Ismail diletakkan sebagai calon.
Namun selepas pemilihan hampir selesai, Azmin terus berada di depan dengan mendapat undi terbanyak, meninggalkan Khalid di tempat kedua dan Saifudin ketiga di kalangan tiga calon yang bertanding jawatan timbalan presiden.
Keputusan sehingga 11 Mei dikeluarkan PKR menyaksikan penyandang, Azmin mendapat 12,250 undi manakala Khalid memperolehi 8,123 undi dan Saifuddin pula 6,997 menjadikan Azmin hanya mendapat sokongan tidak sampai 45% untuk jawatan itu.
Bagaimanapun, keputusan tersebut masih tidak rasmi memandangkan keputusan 27 cabang yang dibatalkan sebelum ini.
"Memang Khalid dan Saifudin masih mempunyai peluang untuk menang, namun saya jangkakan Azmin akan menang tipis sebagai timbalan presiden," kata sumber yang terlibat secara langsung dalam pemilihan PKR itu.
Ketika Azmin berada di hadapan, regu Saifudin iaitu Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli mendahului calon-calon lain untuk jawatan naib presiden. – 25 Mei, 2014.
TMI
No comments:
Post a Comment