SHAH ALAM 5 MEI: Seramai 110 para peniaga asal di Pasar Pagi Sri Muda dijangka dapat menjalankan perniagaan mereka dalam keadaan lebih selesa dan teratur apabila Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan lokasi baru yang lengkap dengan pelbagai prasarana dan kemudahan, menjelang 2016.
Pembinaan pasar baru yang dianggarkan menelan kos RM22 juta dijangka dimulakan pada Oktober ini dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata pasar baru enam tingkat itu dibina dengan berkonsepkan ‘hypermarket’ bersebelahan tapak pasar sedia ada.
“Tapaknya terhad cuma dua ekar. Komponennya enam tingkat iaitu tiga tingkat untuk 67 lot pasar basah, 72 lot pasar kering, 28 gerai makanan dan lapan buah kiosk. Terdapat tempat pelupusan sampah, surau, tandas, bilik air, pejabat pengurusan dan agak cantik serta berkonsep seperti ‘hypermarket’.
.“Kawasan pasar ini sangat padat, jadi kita bina sekali dengan kemudahan 200 petak tempat letak kereta dan 112 tempat letak motorsikal. Peruntukkannya RM22 juta yang akan dipohon daripada Kerajaan Negeri,” katanya pada Majlis Menandatangani Persetujuan Perpindahan Peniaga Pasar Taway di Dewan Kemunting, Seksyen 25, di sini, hari ini.
Menyentuh isu perpindahan 110 peniaga terbabit, Mohd Jaafar berkata, beliau melahirkan rasa lega atas persetujuan yang berjaya dicapai antara MBSA dan golongan itu.
“Hari ini ada 110 peniaga yang tandatangan dan kalau ada yang tertinggal kita minta mereka datang jumpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie yang akan salurkan kepada MBSA.
“Kita periksa dahulu butiran peniaga seperti lesen perniagaan untuk sahkan bahawa dia memang peniaga di situ dahulu. Kita tidak mahu pihak luar mengambil kesempatan untuk berniaga di situ kerana kemudahan ini untuk peniaga tempatan,” katanya.
Menyentuh isu sama, Shuhaimi pula berkata,peniaga yang memberikan lesen dan tapak perniagaan mereka kepada pihak lain akan dikenakan tindakan keras oleh MBSA.
“Saya rakamkan terima kasih atas usaha yang dijalankan MBSA dan Kerajaan Negeri terutama Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri yang mahu mendengar rintihan peniaga kerana isu ini sudah lama.
“Saya menyeru peniaga berniaga dengan baik. MBSA akan membuat satu garis panduan untuk mengelakkan peniaga yang tidak sepatutnya berniaga di situ dan tindakan keras boleh diambil mengikut kaedah sedia ada,” katanya.
-NFN-
No comments:
Post a Comment