Tuesday, April 9, 2013

Pengundi India Tolak Calon HRP Di P111 Kota Raja


Kebanyakan penyokong Hindraf di kawasan tersebut kecewa kerana kehadiran Uthayakumar hanya untuk memecah undi



SHAH ALAM: Hasrat pemimpin Parti Hak Asasi (HRP) P Uthayakumar untuk memiliki kerusi Parlimen Kota Raja tidak mungkin tercapai kerana majoriti pengundi India di situ menolak kepimpinannya.
Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor S Letchumanan berkata, kebanyakan penyokong Hindraf di kawasan tersebut kecewa kerana kehadiran Uthayakumar hanya untuk memecah undi Pakatan Rakyat.
“Banyak penyokong naik marah dan koyak banner dia,” katanya dalam sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam di sini hari ini.
Menurut Letchumanan, Uthayakumar pernah meminta bantuan kepadanya menjadi orang tengah untuk meminta PAS memberikan kerusi Parlimen Kota Raja dan PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas.
Katanya, Uthayakumar bertegas tidak mahu ke tempat lain kerana yakin beliau mampu menang hanya berdasarkan pengundi India.
“Kota Raja mempunyai bilangan pengundi India paling ramai di Malaysia sebab tu dia yakin boleh pecahkan undi,” katanya.
Tidak selari
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, Pakatan Rakyat sukar menyokong Uthayakumar sebagai calon kerana tidak selari dengan perjuangan mereka.
“Kita bukan memperjuangkan hanya satu kaum jadi perjuangan mereka sukar nak diselarikan dengan Pakatan Rakyat,” katanya.
Uthayakumar dilaporkan akan bertanding di dua kawasan tersebut menggunakan slogan “Undi MP Hindraf Pertama ke Parlimen” dan “Peluang Terakhir Hantar Calon Hindraf Pertama ke Parlimen”.
Tindakan beliau itu bagaimanapun mendapat pelbagai respon kerana melihat ia akan memecahkan undi sekaligus membuka laluan mudah untuk calon pihak ketiga, Barisan Nasional (BN) meraih undi majoriti.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata calon Parlimen dan DUN Selangor akan diumumkan esok sejurus selepas selesai Mesyuarat Tertinggi PAS Pusat.
Katanya, PAS Selangor akan kekal dengan status quo dengan meletakkan 20 calon DUN dan 7 calon Parlimen bertanding Pilihanraya Umum (PRU) 13 nanti.

fmt

No comments: