Saturday, August 31, 2013

3 Loji Kembali Beroperasi, Syabas Jangan Leka


SHAH ALAM 31 OGOS: Loji Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 kembali beroperasi semula bermula awal pagi ini selepas ditutup sementara semalam, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.
Menteri Besar itu berkata bekalan air dijangka pulih mulai tengah hari tadi secara berperingkat-peringkat.
Bermula jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi tadi, katanya, SSP1 dan SSP3 kembali beroperasi selepas pencemaran dikawal dengan memastikan tiada lagi kesan minyak.
Pada jam 4 pagi sehingga 6 pagi tadi, beliau berkata, pengeluaran air di SSP1 dan SPP3 meningkatkan tahap rizab air mentah sebanyak 5 meter.
“Kita menjangkakan bekalan air bersih kepada pengguna akan pulih secara berperingkat selepas tengah hari ini,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Beliau juga mengingatkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya tidak menggunakan alasan itu untuk membiarkan gangguan bekalan air berleluasa sedangkan masalah pencemaran sudah terkawal.
“Kita menjejaki punca pencemaran ke sebuah pusat selenggaraan lori sampah di Rawang. Siasatan awal menunjukkan minyak diesel terpakai dibuang ke longkang dan dibiar mengalir ke sungai,” katanya.
Berterima kasih kepada kakitangan agensi terbabit, beliau berkata, usaha menjejaki itu dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).
“Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sudah menyita premis berkenaan dan perintah berhenti kerja dikeluarkan,” kata Abdul Khalid.
- FZL

selangorku

No comments: