Wednesday, June 30, 2010

Nafi Kosong Kerusi, Empat ADUN Teguh Bersama MB

ADUN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha kesal berikutan dikaikan sebagai seorang daripada empat ADUN PKR Selangor yang mahu mengosongkan kerusi, kononnya sebagai tanda membantah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain beliau, Nik Nazmi Nik Ahmad (ADUN Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves), dan Shuhaimi Shafei (Sri Muda) juga turut dikaitkan dengan isu ini.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan tiga rakan ADUN berkenaan, turut berkongsi pandangan.

"Penyebaran berita palsu ini menggambarkan terdesaknya pihak musuh yang cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan dalam kerajaan Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

"Khalid seorang yang banyak berjasa kepada negeri ini dari segi ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat Selangor.

"Peralihan Majlis Pimpinan Negeri Selangor merupakan satu langkah yang baik bagi membolehkan Tan Sri Khalid Ibrahim memberi tumpuan yang penuh kepada pentadbiran negeri," katanya.

Haniza menegaskan taat setianya dan menambah bahawa beliau tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat didokongnya.

"Saya minta seluruh pendokong perjuangan rakyat supaya tidak mempercayai berita palsu ini," katanya.

Sumber: TV Selangor

No comments: