Tuesday, December 22, 2015
Tuesday, August 18, 2015
Azmin: Bukan Peguam Negara, Najib yang patut ‘rehat’
Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 17 Ogos: Tindakan drastik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk membuang beberapa orang penting ternyata berkepentingan peribadi bukan demi rakyat atau negara.
Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan itu disahkan sendiri Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam satu temubual yang disiarkan akhbar The Star, pada 16 Ogos lalu.
Mohamed Azmin merumuskan Perdana Menteri secara sengaja menganggu siasatan peringkat tertinggi yang sedang berjalan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipengerusikannya hasil daripada pendedahan Abdul Rahman itu.
“Bagi saya, gangguan itu boleh mendorong kepada pelanggaran kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan atau Akta SPRM (Seksyen 186 dan Seksyen 48),” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Rahman dalam temubual sama mendedahkan, Najib terpaksa membuang orang tertentu supaya keadaan kembali normal selepas menyedari kewujudan draf kertas pertuduhan terhadap beliau.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, penubuhan pasukan petugas khas 1MDB kemungkinan inisiatif Ketua Polis Negara (KPN) tanpa kebenaran kabinet seterusnya tidak sah.
“Kenyataan ini seolah-olah cubaan terdesak untuk menyokong tindakan drastik Najib meredakan siasatan seterusnya meletakkan kesalahan ke atas KPN pula,” katanya.
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR turut menyangkal dakwaan Abdul Rahman bahawa penyingkiran Peguam Negara daripada pasukan petugas khas dibuat atas faktor konflik kepentingan.
Katanya, peranan Peguam Negara penting bagi menjamin kelancaran siasatan terutama berhubung isu undang-undang.
“Kebenaran akhir untuk mendakwa penjawat awam, apatah lagi perdana menteri perlu datang daripada Peguam Negara.
“Peguam Negara tak boleh memberi kebenaran itu tanpa akses dan pengetahuan penuh berhubung perkembangan juga kedudukan siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Azmin, berkata Najib yang harus berehat selagi siasatan dijalankan atas faktor konflik kepentingan.
Katanya, semua jalan siasatan akhirnya akan kembali juga kepada Najib sama ada sebagai pengerusi 1MDB atau berhubung pindahan bilion ringgit ke akaun peribadinya.
“Sudah terang lagi bersuluh, Najib patut letak jawatan dengan saki-baki maruah diri yang masih ada dalam dirinya,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)