Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Borhan Aman Shah mendesak supaya setiausaha politik menteri besar negeri itu, Faekah Husin meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa mengeruhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.
Katanya, beliau juga berharap Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil tindakan sewajarnya ke atas Faekah yang "menimbulkan salah faham" apabila mengulas mengenai kenyataan timbalan presiden Azmin Ali berhubung kedudukan Khalid.

NONE"Kita minta agar menteri besar ambil tindakan pada Faekah. Semua tahu kita minta dia dilucutkan daripada jawatan yang ada. Ada beberapa perkara yang dia buat dah jadi salah faham.

"Desakan ini daripada semua cabang PKR Selangor. Jika dia rasa ini sebagai tekanan untuk dia, terpulang sama ada menteri besar hendak ambil tindakan atau tidak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, desakan itu mewakili pandangan daripada majlis pimpinan PKR negeri.
Faekah sebelum ini telah mempersoalkan niat Azmin (kiri) ketika memberi kenyataan kepada akhbar Sinar Harian, yang melaporkan bahawa Khalid akan dilantik sebagai menteri pusat jika Pakatan menang pilihan raya umum.

Azmin menafikan membuat kenyataan seumpama itu.

NONEFaekah bagaimanapun tangkas mengulas perkara itu, yang menyebabkannya menerima teguran daripada timbalan pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin dan setiausaha PKR negeri, Shuhaimi Shafiei.

Susulan itu, Faekah hari ini dilaporkan berkata, beliau akur dan tidak akan mengeluarkan kenyataan menyentuh kedudukan Khalid.

Bagaimanapun, Borhan berkata beliau bersama kepimpinan cabang Selangor yang lain menanti "perubahan" yang akan ditunjukkan Faekah.

Jika perkara sama berulang, Borhan berkata Faekah akan dianggap berlaku khianat kepada parti.

"Kalau ikhlas (akur), kita tengoklah ada perubahan ke tak. Kalau masih berulang, kita anggap (Faekah) khianat," katanya yang mahu Faekah berhati-hati dalam membuat kenyataan dalam isu seperti itu.