PETALING JAYA, 5 OKT: Pakatan Rakyat Selangor menyokong penuh langkah
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan sidang khas Dewan
Negeri Selangor (DNS) bagi membincangkan tiga kertas putih.
Persidangan khas itu itu nanti akan membentangkan Kertas Putih Talam
Corporation Bhd (Talam) yang menerangkan kaedah pengutipan dan transaksi
yang digunapakai untuk mengutip hutang berjumlah RM392 juta dari Talam.
Demikian menurut Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dalam
sidang media Pakatan Rakyat Selangor yang diadakan di Ibu Pejabat PKR
Selangor di Pusat Perdagangan Dana 1, hari ini.
“Selain itu dua lagi pembentangan lain pula melibatkan isu penyusunan
semula perkhidmatan industri air di negeri Selangor dan pendedahan
Kerajaan Negeri berhubung sejumlah 110,000 nama pengundi yang diragui
dan gagal dikesan sehingga kini,” ujar Saari.
Menurut Saari lagi, rakyat Selangor wajar mengetahui sikap
berdolak-dalik Kerajaan Pusat dalam menangani isu air Selangor melalui
sidang khas tersebut.
Dalam sidang media itu, PR Selangor turut mengalu-alukan reformasi DNS
yang dikemukakan oleh Speaker DNS untuk mengadakan persidangan dewan
selama dua hari setiap bulan.
Selain itu beberapa usul lain juga akan dibawa dalam sidang khas yang dijangka diadakan pada bulan November itu.
Antaranya usul mengecam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan memasang
billboard ‘Selamatkan Malaysia, Mansuhkan ISA’ bagi membuktikan
perjuangan PR Selangor terus konsisten dan selaras dengan prinsip
kebenaran, keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.
Selain Saari, turut hadir dalam sidang media tersebut, Ketua Penerangan
PKR Selangor, Suhaimi Shafie dan Setiausaha Publisiti DAP Selangor,
Janice Lee
No comments:
Post a Comment