Tuesday, July 30, 2013

KEADILAN Menggesa Polis Menyiasat Pendedahan Mywatch - DSAI


PETALING JAYA 29 Julai: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut agar pendedahan Pengerusi badan Pemantau Jenayah, My Watch, R Sri Sanjeevan berhubung penglibatan polis dengan sindiket jenayah disiasat.
Katanya, KEADILAN juga menggesa tahap keselamatan terhadap Sanjeevan ditingkatkan selepas cubaan bunuh terhadapnya pada 27 Julai lalu.
“Kita mengulangi desakan supaya polis siasat secara terperinci percubaan bunuh ini termasuk dakwaan anggota polis terlibat dalam sindiket jenayah dan kegiatan haram,”
“KEADILAN tidak menolak bahawa insiden yang menimpa Sanjeevan seperti yang dinyatakan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mungkin memiliki kaitan langsung dengan hasrat beliau untuk mendedahkan perkara itu,” kata Anwar dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.
SanjeevanSri Sanjeevan, 29, parah di bahagian rusuk kanan selepas ditembak dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Taman Cempaka, Bahau kira-kira 4.30 petang dua hari lalu.
Mangsa kini dilaporkan stabil selepas dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar , Seremban setelah mendapat rawatan di Hospital Jempol. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan bunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Menurut Anwar, Sanjeevan sebelum itu mendakwa menerima ancaman pada 11 April 2013 apabila diserang empat lelaki bersenjata parang di ‘basement’ sebuah hotel di Kuala Lumpur, diikuti ancaman diekori beberapa lelaki mencurigakan di Terminal LCCT Sepang.
“Insiden tembakan yang melibatkan beliau dua hari lalu turut berlaku beberapa jam selepas beliau memuatnaik tulisan di akaun Twitter miliknya bahawa beliau menerima ugutan tembak dipercayai dari anggota polis,” kata Anwar.
Sanjeevan“Sehubungan itu, KEADILAN menuntut supaya pendedahan Sanjeevan disiasat serta membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. KEADILAN juga memohon supaya kawalan keselamatan ke atas Sanjeevan di hospital ditingkatkan,” tegasnya.
Jelas Anwar, kes-kes bunuh melibatkan penjawat awam semakin kerap berlaku dan menimbulkan ketakutan kepada rakyat.
“Kekerapan kes-kes bunuh secara tembakan ala ‘mafia’ kebelakangan ini dilihat menjadikan penjawat awam sebagai mangsa, sebelum ini turut mengorbankan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim, yang mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya tiga bulan lalu,” jelasnya.

keadilandaily

Pembunuh Upahan Semakin Laku Di Malaysia


Polis perlu memberi perhatian serius terhadap kejadiaan pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat semakin berleluasa terutama membabitkan mangsa golongan berprofil tinggi.
Semalam sahaja, dua kes tembak dilaporkan -- satu di ibu negara dan satu di Bukit Mertajam -- menyebabkan seorang maut dan dua cedera. Terbunuh dalam kejadian semalam ialah Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi.
Satu lagi kejadian dilaporkan di Ipoh, Perak malam kelmarin menyebabkan seorang lelaki maut dan dua parah ditembak lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee, pada 10.15 malam.
Khuatir dengan trend itu, Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar, berkata kejadian seperti itu memberi gambaran yang kurang elok terhadap tahap keselamatan di negara ini.
Katanya, kes pembunuhan golongan berprofil tinggi sering dikaitkan dengan dakwaan wujudnya pembunuh upahan tetapi tiada pembunuh upahan yang ditangkap atau didakwa setakat ini (pada tahun ini).
"Penguatkuasa perlu menyiasat dan menyelesaikan dengan segera kes tembak terutama yang membabitkan individu berprofil tinggi," katanya.
Beliau mengulas mengenai kejadian Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, semalam.
Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.
Selain Sanjeevan, seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April.  
Sehubungan itu, Akhbar mengesyorkan pihak berkuasa meningkatkan usaha membanteras penyeludupan senjata api yang menyumbang kepada peningkatan kes pembunuhan termasuk kononnya oleh pembunuh upahan.       
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata, pasukannya mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membawa masuk senjata api ke negara ini berikutan kejayaan pasukan khas merampas sejumlah senjata api dalam tempoh dua minggu ini.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan senjata api itu dibawa masuk dari negara jiran dan tidak mendedahkan jumlah rampasan senjata.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan khas sejak kejadian kes pembunuh upahan menggunakan senjata api semakin berleluasa.
Menurut rekod Bukit Aman, sepanjang 2012 Selangor mencatat peningkatan tertinggi kes membabitkan penggunaan senjata api diikuti Pulau Pinang, Kedah, ibu negara dan Kelantan.
Selain kes tembak yang disebut di atas, terdapat kejadian tembakan membabitkan orang awam, antaranya:
* 18 Julai - Seorang guru maut ditembak dua lelaki bermotosikal di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Keladi, Kulim, Kedah.
* 8 Julai - seorang guru penolong kanan hal ehwal murid Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, maut selepas terkena tiga das tembakan dalam kejadian di simpang tiga Jalan Beris Panchor Tawang-Kota Baharu, Kelantan.
* 13 Mei - Seorang lelaki cedera parah selepas terkena dua das tembakan dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Dato Suleiman, Johor Baharu, Johor.
* 11 Mei - Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, Pulau Pinang, dipercayai berkaitan perniagaan.
* 11 Mei - seorang pembantu kedai barang-barang lusuh ditemui mati di dalam kereta yang dipandunya dengan 10 kesan tembakan di persimpangan lampu isyarat Taman Kucai di Lunas.
* 7 Mei - seorang lelaki cedera parah ditembak dari jarak dekat ketika sedang minum bersama beberapa rakannya di sebuah kedai makan di Sungai Daun.
Sepanjang bulan April pula, sebanyak 10 kes tembak melibatkan kematian dan cedera dilaporkan media. - Bernama,

Monday, July 29, 2013

Pendedahan Sanjeevan Ada Kaitan Dengan Insiden Yang Berlaku - Ex-IGP


Percubaan membunuh pengerusi NGO anti-jenayah, MyWatch, R Sri Sanjeevan mungkin ada  kaitan dengan pendedahannya baru-baru ini mengenai dakwaan penglibatan anggota polis dengan sindiket jenayah, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menulis dalan Twitter, beliau berharap pihak polis akan melakukan siasatan menyeluruh untuk mengesan suspeknya kerana Sanjeevan telah menerima beberapa ancaman ekoran pendedahannya mengenai penglibatan polis dengan aktiviti sindiket jenayah dan aktiviti haram.

Menurut akhbar TheStar, Sanjeevan ditembak pada kira-kira jam 4.30 pagi semalam di Jempol, Negeri Sembilan.

Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil tetapi kritikal selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Pilah.
Astro Awani melaporkan bahawa Sanjeevan ditembak oleh dua penunggang motosikal semasa dia sedang memandu di simpang berhampiran Taman Cempaka.

Menurut laporan itu lagi, Sanajeevan sedang merokok dan menurunkan cermin kereta apabila dua lelaki bermotosikal merah datang dari belakang.

Pemboncengnya, menurut laporan itu, kemudian mengeluarkan pistol dan menemba Sanjeevan. Dia cedera di dada kanannya tetapi tak pasti berapa banyak tembakan dilepaskan.
Sanjeevan mendapat perhatian umum akhir tahun lepas apabila beliau menganjurkan siri sidang akhbar bersama dengan bekas IGP, Tan Sri Musa Hassan.

Antara lain, Musa mendakwa terdapat pegawai polis berpangkat tinggi yang ada kaitan dengan sindiket jenayah.

Berikutan ini, Sanjeevan telah menerima beberapa ancaman bunuh dan telah diserang di Kuala Lumpur pada bulan April.


-malaysiakini

Pemantau Jenayah Mywatch Parah Dditembak


Polis tidak menolak kemungkinan insiden tembakan ke atas Pengerusi badan pemantau jenayah Mywatch, R. Sri Sanjeevan semalam bermotifkan dendam.
    
Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh berkata bagaimana pun perkara itu masih dalam siasatan dan pihaknya sedang mengumpul maklumat berhubung kejadian itu.
    
"Pihak polis juga sudah mengambil kenyataan dari rakan mangsa yang bersamanya ketika kejadian dan dari semasa ke semasa akan berhubung dengannya untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.
    
Sri Sanjeevan, 29, parah di bahagian rusuk kanan selepas terkena satu das tembakan yang dilepaskan dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Taman Cempaka, Bahau kira-kira 4.30 petang.
    
Osman berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi melancarkan siasatan  yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pihak polis.
    
Beliau berkata mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar hari ini, setelah mendapat rawatan di Hospital Jempol.
    
Beliau berkata mangsa dijangka menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru dari bahagian rusuknya hari ini.
    
"Bagi menjaga keselamatan mangsa, pihak polis turut menempatkan anggota yang akan menjaga mangsa di hospital," katanya.
    
Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang memandu ke Taman Cempaka untuk menjemput rakannya keluar minum di Pekan Bahau.
    
Semasa dalam perjalanan selepas menjemput rakannya, mangsa menurunkan cermin sisi keretanya jenis BMW untuk menghisap rokok dan memperlahan keretanya apabila tiba di satu simpang.
    
Dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC kemudiannya dikatakan menghampiri kereta mangsa lalu melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa yang mengenai dan menembusi siku kanan sebelum terkena rusuknya.

Salah seorang lelaki itu cuba menghampiri mangsa, bagaimanapun mangsa yang masih sedar terus memecut keretanya sejauh 300 meter sebelum meminta rakannya memandu dan membawanya ke hospital.
    
MyWatch yang dinaungi bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan merupakan badan yang memantau keadaan jenayah dalam negara.
    
Sri Sanjeevan yang bertindak selaku pengerusi badan itu sebelum ini lantang menyuarakan dan membuat laporan polis berhubung aktiviti perjudian haram di negeri ini terutama di Jelebu dan Jempol dan pernah menerima ugutan dan ancaman di atas tindakannya itu.

Dalam pada itu, Osman berkata rakan mangsa yang bersamanya semasa kejadian tembakan itu, ditahan tengah malam tadi berhubung satu kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
    
Beliau berkata suspek dikehendaki sejak awal tahun ini dan polis bertindak memberkasnya di Balai Polis Bahau semasa dia datang membuat laporan berhubung kejadian tembakan itu.
    
"Penahanan rakan R. Sanjeevan ini tidak ada kena mengena dengan kes tembakan ini. Ia adalah kes yang berasingan kerana dia memang dikehendaki sebelum ini. 
    
"Jadi jangan ada pihak cuba membuat spekulasi terhadap mana-mana kes sehingga mengganggu siasatan polis," katanya.

- Bernama

Thursday, July 25, 2013

Syarat Baru Pelantikan Ahli Majlis Bermula Januari 2014


SHAH ALAM: Selangor meletakkan beberapa syarat ketat dalam kriteria pelantikan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang baru bermula Januari 2014.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim berkata, kerajaan negeri kali ini meletakkan syarat tempoh perkhidmatan tidak boleh melebihi tempoh empat tahun atau dua penggal berturut-turut.
Manakala hampir 50% ahli majlis PBT yang melebihi tempoh khidmat empat tahun sebelum ini akan ‘direhatkan’.
“Pembahagian kuota adalah 75% daripadanya dicalonkan parti masing-masing manakala 25% daripada organisasi badan bukan kerajaan (NGO) yang sah dan berdaftar dibawah Badan Pertubuhan Pendaftar (ROS).
“Manakala minimum 30% jumlah ahli majlis yang dilantik akan terdiri daripada golongan wanita,” katanya dalam sidang media hari ini.
Selain itu, beberapa syarat am turut diambil kira, antaranya calon mestilah warganegara Malaysia dan fasih berbahasa Melayu, had umur minimum 21 tahun, bermastautin dikawasan berkenaan sekurang-kurangnya lima tahun atau menetap didaerah bersebelahan.
Calon juga mestilah bukan daripada kakitangan kerajaan dan perlu memiliki kelayakan akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya.
“Sekiranya tiada kelayakan akademik seperti yang ditetapkan, calon perlu menduduki ujian dan lulus ujian seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan PBT,” katanya.

fmt

Selangor Bonus 1 Bulan Untuk Kakitangan Awam


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji untuk kakitangan awam di Selangor.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, keputusan itu dipersetuju oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

"Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk pemberian bonus kepada 21,776 kakitangan tetap, kontrak dan sambilan yang akan diberikan selewat-lewatnya pada hujung bulan ini," katanya. 

Abdul Khalid berkata, sekiranya kerajaan pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi setengah bulan gaji kepada kakitangan awam di negeri ini. 

"Saya berharap bonus ini dapat meringankan tanggungan warga kerja kerajaan negeri bagi menghadapi persiapan Hari Raya. 

"Kita berharap kakitangan awam berbelanja dengan berhemah dan memperuntukkan sebahagian bonus ini untuk simpanan untuk kegunaan pada masa depan," tegas menteri besar.

malaysiakini

Pertubuhan Syiah Mencetuskan Keresahan Umat Islam Malaysia



Kerajaan mengharamkan Pertubuhan Syiah Malaysia berikutan gerakan aktif pertubuhan itu memudarat ketenteraman awam dan mencetuskan keresahan umat Islam di negara ini.
Perisytiharan yang berkuat kuasa semalam itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berdasarkan peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966
Ia dibuat melalui kenyataan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.
Mengikut Utusan Malaysia, Abdul Rahim berkata, pengikut Syiah di Malaysia pernah memohon mendaftar pertubuhan itu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Melaka pada 18 Jun 2011.
Namun, permohonan itu ditolak pada 4 Ogos 2011 sebelum rayuan dikemuka kepada Menteri Dalam Negeri tetapi ia ditolak lagi pada 31 Oktober 2011.
"Pertubuhan yang tidak diluluskan ini bergerak aktif hingga memudarat ketenteraman awam serta mencetuskan suasana keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini yang majoritinya mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
Sumber polis memberitahu akhbar milik Umno itu, dakwaan bilangan pengikut Syiah berjumlah antara 300,000 sehingga sejuta orang, kurang tepat berdasarkan siasatan yang dibuat.
Anggaran bilangan itu dibuat Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz yang dipercayai Ketua Kumpulan Syiah Malaysia.
"Jumlahnya kurang dari itu kerana siasatan mendapati Syiah Ja'fariah yang paling ramai pengikutnya di negara ini hanya dianggar 1,500 sahaja. Namun, kita akui jumlah itu semakin meningkat," katanya.
Kata sumber itu, pihak berkuasa turut mengesan beberapa pusat kegiatan Syiah di beberapa negeri yang dipercayai menyebar fahaman Syiah.
"Dua markas utama terletak di Selangor iaitu Taman Sri Gombak di Gombak dan sebuah premis rumah kedai di Ukay Perdana, Selangor. Markas ini dijadikan pusat aktiviti dan lokasi untuk mendalami ilmu Syiah.
"Di negeri lain, kita turut mengesan tiga markas yang terletak di Pendang, Kedah; Kota Bharu, Kelantan serta Taiping, Perak," kata sumber itu. 

malaysianinsider

PRK Kuala Besut:PAS Terima Keputusan Dengan Hati Terbuka


Calon PAS Endot@Azlan Yusof akur dengan kekalahannya kepada calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
"Saya terima kekalahan ini dan kalah itu perkara biasa, kita tidak merasa pelik dengan kekalahan ini tetapi jikalau kita menang ia memang suatu yang luar biasa," katanya.
Beliau yang dikenali sebagai Che Long, 48, berkata demikian pada sidang media di markas PAS PRK Kuala Besut di Kampung Baharu, Kuala Besut, semalam.
Azlan, seorang kontraktor, menyifatkan pilihan raya ini sebagai aman dan berpuas hati dengan kempen selama 12 hari sejak 12 Julai lalu.
Calon PAS itu, bagaimanapun tidak hadir ketika keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK A Rahim Jusoh di Dewan Majlis Daerah Besut di Jerteh, malam tadi.
Beliau memberi alasan tidak sempat hadir kerana sibuk tetapi enggan mengulas lanjut.
Azlan kalah kepada Tengku Zaihan, 37, dengan majoriti 2,592 undi selepas mendapat 5,696 undi berbanding calon BN 8,288 undi.
Sementara itu, PAS mengakui strategi 'Gelombang Biru' BN lebih mantap berbanding slogan '16-16 Terengganu Baru.'
Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad, berkata penduduk Kuala Besut dilihat lebih mementingkan pembangunan yang dicanangkan BN. 

- Bernama,

Tuesday, July 23, 2013

Gelombang Syiah Semakin Menular Dikalangan Masyarakat Kita



SHAH ALAM – Kerajaan digesa bertindak segera bagi membendung gelombang Syiah yang kini berada di paras bahaya sehingga boleh mencetuskan krisis.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma),  Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, kealpaan semua pihak membendung penularannya menjadi punca Syiah berkembang pesat di Malaysia.

“Pada awal 1990-an, bilangan pengikut Syiah sekitar 400 orang sahaja, tetapi kini kita tidak ambil perhatian dengan perkembangan itu.

“Pada awalnya, mereka menyebarkan ajaran itu di universiti-universiti, tetapi gerakan Syiah telah mengeksploitasikan perkembangan masyarakat Malaysia melalui  hubungan antara masyarakat, politik, NGO dan perdagangan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ditanya bagaimana ajaran Syiah ini mampu berkembang dengan cepat, beliau berkata, antara strategi yang digunakan adalah melalui tarkiyah (berpura-pura) di sebalik badan NGO dan politik.

Katanya, satu ketika dahulu Malaysia pernah menerima kunjungan seramai 70,000 pengikut Syiah.

“Ini proses normalisasi, apabila ada pemimpin politik dan gerakan Islam yang menjadi pendukung Syiah, masyarakat akan anggap ia tidak bahaya.

“Apabila ada perkara buruk dilemparkan terhadap kumpulan ini, akan ada pemimpin cuba neutralkan keadaan dengan memberitahu kebaikan Syiah,” katanya.

Menurutnya, ilmuwan, Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menasihati Malaysia untuk membendung Syiah.

“Beliau pernah diajak berdialog bersama puak Syiah, tetapi terpaksa dibatalkan kerana mereka tidak mahu menghormati perjanjian untuk tidak menyebarkan ajaran mereka ke negara Sunni. Sekarang negara dalam keadaan bahaya dan parah,” katanya.

Mengenai kenyataan Ketua Kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz yang mendakwa jumlah pengikut fahaman itu kini dianggarkan antara 300,000 dan sejuta orang, Abdullah Zaik berkata, angka itu sengaja diperbesarkan bagi melambangkan mereka punyai pengaruh yang kuat.

“Apabila Kedah mewartakan Syiah haram, mereka mahu nampak kuat dan nampak ramai. Dengan itu, mereka boleh guna alasan hak asasi untuk tidak diganggu gugat dan mendakwa didiskriminasikan jika kerajaan mengambil tindakan,” katanya.

sinarharian

20% Daripada 28.3 Juta Rakyat Malaysia Punya Masalah Mental


Satu peratus daripada keseluruhan 28.3 juta penduduk Malaysia menghadapi penyakit mental manakala 20 peratus lagi menghadapi masalah kesihatan mental, kata Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata, antara masalah kesihatan mental itu seperti murung, tekanan dan keresahan.
Menyedari tidak mudah untuk mengenal pasti masalah emosi dan tekanan mental seseorang, katanya, kementerian itu menyediakan kemudahan saringan bagi mengenal pasti penyakit dan tekanan emosi individu.
"Ini dilakukan di 806 buah klinik kesihatan, 40 buah hospital dan empat hospital mental di seluruh negara.
"Ada 224 pakar psiakiatri dan 100 pakar psiakiatri klinikal di seluruh negara," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator S Bagiam Ayem Perumal di Dewan Negara hari ini.
Kepada soalan asal Bagiam yang bertanyakan langkah Kementerian Kesihatan untuk memberi kesedaran mengenai masalah stres kepada rakyat, beliau berkata:
"Ia termasuk mewujudkan satu portal mengenai perkara itu dan mempertingkat program dan latihan kemahiran menangani stres dalam kalangan komuniti," katanya. 

- Bernama, 

Saifudin Nasution Lapor Diri Ke Pejabat MB


Datuk Saifudin Nasution Ismail (gambar)  hari ini melaporkan diri ke pejabat Menteri Besar Selangor sebagai Ketua Staff, jawatan yang baru diwujudkan untuk beliau.
Setiausaha Agung PKR itu melaporkan diri jam 12 tengahari tadi kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Khusrin Munawi.
Walaupun melaporkan diri hari ini, pelantikan sebagai Ketua Staff ala pejabat Presiden Amerika itu bermula dari 1 Julai lagi.
Selepas bertemu Khalid, Saifudin bertemu dengan Penasihat Undang-undang Negeri untuk membincangkan tugas barunya itu.
Sebagai Ketua Staff pejabat MB Selangor, Saifudin bertanggungjawab untuk menyelia semua kakitangan di pejabat itu.
Setaraf dengan beliau dari segi perjawatan adalah Ketua Setiausaha Sulit Kanan yang disandang oleh seorang bekas Pegawai Daerah yang menggantikan ketua setiausaha sulit Khalid sebelum ini

malaysianinsider

Monday, July 22, 2013

Malaysia Mampu Maju Tanpa TPPA



SHAH ALAM – Jika Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), natijahnya negara akan 'terjerat' dan hak untuk mengekang kemasukan syarikat asing seperti Lynas tidak dapat dilakukan, menurut kajian Institut Rakyat.

Menurutnya, perjanjian TPP akan menyebabkan syarikat asing bakal memperoleh peluang yang saksama dan mungkin lebih berbanding syarikat tempatan.

Meskipun senario itu akan memaksa syarikat tempatan untuk meningkatkan daya saing agar kekal teguh, sekali gus merangsang persaingan sihat dalam pasaran tempatan, namun campur tangan asing itu bukanlah jawapan terbaik untuk menyelesaikan masalah di Malaysia.

“Memberikan terlalu banyak hak kepada syarikat gergasi asing bakal merencatkan pembangunan usahawan tempatan seperti kepincangan sistem kroni.

“Sekiranya para perunding tidak berhati-hati, perjanjian TPP bakal mengakibatkan kegagalan ekonomi yang lebih dahsyat daripada sistem kroni kerana ruang dan fleksibiliti bagi para penggubal dasar dalam membentuk hala tuju ekonomi Malaysia berlandaskan kepentingan rakyat kemungkinan besar akan mengecil dengan drastik sekali,” kata badan bebas itu yang dipetik dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut badan itu lagi, perjanjian TPP juga dilihat sebagai cubaan Amerika Syarikat untuk mengekang pengaruh negara China, yang tidak terlibat dalam rundingan itu di rantau Asia-Pasifik.

Menurutnya, sepanjang lima bulan pertama 2013, China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia (14.3 peratus), manakala Amerika Syarikat pula (8.1 peratus) berada di tangga kelima.

“Institut Rakyat berpendapat bahawa Malaysia harus berwaspada dalam setiap tindakan yang diambil supaya Malaysia tidak menjadi pelanduk yang tersepit mati di tengah-tengah apabila dua gajah sama berjuang.

“Para pemerhati yang arif bersetuju bahawa pendekatan Amerika Syarikat bagi sebarang FTA lebih didorong oleh cita-cita geopolitik mereka berbanding kepentingan ekonomi.

“Para pengkritik dasar Barisan Nasional yang menggalakkan kontrak kroni dan kedudukan dominan GLCs mungkin melihat TPP sebagai suatu cara untuk menstruktur semula ekonomi di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Institut Rakyat mendesak kerajaan supaya mendedahkan analisis kos-faedah yang dibuat sebelum menyertai rundingan perjanjian TPP.

Walaupun Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (Miti) berjanji untuk menyerahkan laporan penilaian TPP yang diselaraskan oleh United Nations Development Programme (UNDP) dalam masa dua minggu selepas mesyuarat di antara wakil Miti, ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Institut Rakyat diadakan pada pertengahan Jun 2013,  namun sehingga kini, tiada sebarang maklumat yang telah diterima.

“Malaysia perlu menimbang tara di antara peluang dan kos dari sudut ekonomi dan politik sebelum menandatangani sebarang perjanjian.

“Kerajaan Malaysia yang begitu berbangga dengan sistem demokrasi perwakilannya harus telus dengan rakyat mengenai TPP memandangkan perjanjian tersebut akan memberi impak terhadap masa depan Malaysia di rantau Asia-Pasifik,” katanya.

sinarharian

Syarikat Pengendali AES Dirundung Masalah Bank

PETALING JAYA: Ketika mana pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih berdepan dengan pelbagai masalah dan rintangan, bank-bank sedang mengejar dua syarikat pengendali, Beta Tegap Sdn Bhd dan Automated Traffic Enforcement System (ATES) Sdn Bhd.
Kedua-dua syarikat ini dikejar oleh bank-bank kerana gagal membuat bayaran balik pinjaman mengikut jadual akibat ditimpa masalah aliran tunai berjumlah jutaan ringgit, lapor The Edge.
Mengikut kontrak yang ditandatangani dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kedua-dua syarikat ini harus menyediakan perkhidmatan kepada unit penguatkuasaan JPJ secara berterusan, tanpa gangguan.
Mereka sepatutnya menyediakan perkhidmatan itu kepada JPJ sejak bulan September lalu sehingga tamat tempoh lima tahun kontrak di mana penyerahan peralatan akan dilakukan.
Menurut sumber, sebuah bank komersial terkemuka, mengambil tindakan membeku akaun salah sebuah syarikat itu apabila gagal membuat bayaran balik pinjaman.
Beta Tegah dan ATES telah berusaha untuk mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan JPJ tentang masa depan projek itu berikutan masalah kekangan aliran tunai.
Carian di laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Beta Tegap sedang menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM7.62 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012.
Jumlah saham modal yang dikeluarkan Beta Tegap ialah sebanyak RM19 juta.  Empat pemegang saham syarikat ini terdiri daripada Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed, Yap Kim See@Yap Ai Lin, Rozana Redzuan dan Adreas Teoh.
Rozana ialah pemegang saham terbesar dan beliau adalah anak kepada seorang tokoh Umno dari negeri Johor.
Sementara kedudukan kewangan ATES tidak diketahui kerana syarikat itu hanya menghantar akaun sehingga Mei tahun lalu. Para pemegang sahamnya ialah pengarah syarikat Chee Chwee Cheong dan A.T.E.S. Sdn Bhd.
Selain dari Chee, pengarah lain ATES ialah Lawrence Foong, yang merupakan bapa mertua Chee. Chee adalah pengasas syarikat perunding Etos Consulting, di mana Omar Mustapha adalah rakan kongsinya. Omar pula ada hubungan rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dari segi pembahagian kawasan operasi, perkhidmatan Beta Tegap meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.
Sementara kawasan operasi ATES pula meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Labuan.

fmt

Thursday, July 18, 2013

AES Menghasilkan Lebih RM20 Juta Kompaun Setakat Ini



KUALA LUMPUR 18 JULAI: Kerajaan berkongsi keuntungan hasil pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bersama kroni dengan cara membebankan rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Azan Ismail.
Beliau mengulas jawapan bertulis Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan berjaya mengutip sebanyak RM20,020,500 juta kompaun hasil AES bermula 11 Jun 2013 hingga 23 September 2012 dengan kutipan lebih kurang 10 peratus.
AESDinyatakan juga dalam tempoh yang sama, sebanyak 673,339 saman kesalahan AES dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kerajaan masih belum merubah sikap suka memberi keuntungan kepada kroni dengan mengambil wang rakyat,” kata Azan mengulas perkara itu.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini menyatakan dalam Parlimen segala kos penyelenggaraan dan pemasangan AES akan ditanggung syarikat swasta dan kerajaan akan menerima sebahagian dari bayaran kompaun.
“Maknanya, sah kewujudan AES itu bermotifkan keuntungan berbanding keselamatan pengguna jalan raya. Sebab itulah kerajaan bersungguh mahu laksanakan sistem ini,” jelasnya kepadaKeadilan Daily.
Beliau turut mempersoal keterlibatan agensi penguatkuasaan seperti JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam melaksanakan AES.
“AES dikawal oleh syarikat swasta tetapi menggunakan agensi kerajaan, bermakna mereka menggunakan khidmat pegawai kerajaan secara percuma. Hasil kutipan pula diambil bulat-bulat tanpa mengira gaji atau elaun pekerja yang terlibat,” katanya.
“Sebab itu kita kata kerajaan dan kroni berkongsi keuntungan, rakyat pula dibebankan, syarikat kroni seolah-olah mendapat keuntungan atas angin. Produk tiada tetapi dapat wang berjuta-juta,” jelas Azan.
Perkhidmatan AES dikendalikan syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. Sebanyak 14 kamera AES telah beroperasi di seluruh negara.

keadilandaily

Wednesday, July 17, 2013

MP BN Hanya Menerima Input Dari TV3 & Utusan


KUALA LUMPUR 16 JULAI: Terlalu bergantung kepada laporan TV3 danUtusan Malaysia punca Ahli Parlimen BN tidak mendapat maklumat sebenar berhubung kecurangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama semasa mengendalikan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum KEADILAN itu mengulas dakwaan Ahli Parlimen BN kononnya kegagalan SPR hanya melibatkan penggunaan dakwat yang tidak kekal dan tiada isu lain melibatkan badan itu.
Anwar“Ahli Parlimen BN sering cabar selain dakwat kekal tiada isu lain yang dibangkitkan Pakatan Rakyat melibatkan SPR kerana mereka hanya baca Utusan dan tonton TV3, sedangkan kalau teliti petisyen (pilihan raya) yang dikemukakan, banyak kes seperti pengundi hantu.
“Petisyen (Parlimen) Libaran misalnya menyebut secara khusus (kewujudan) pengundi yang bukan warga negara dalam senarai (daftar pemilih),” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, insiden blackout (lampu padam) semasa pengundian 5 Mei lalu dan petisyen bantahan berhubung isu itu melibatkan Parlimen Baram di Sarawak, DUN Klias, Sabah dan kawasan lain yang pernah didedah Pakatan Rakyat dinafi SPR dan pemimpin BN.
“Begitu juga di Parlimen Tapah yang kini menjadi kes mahkamah. Bagaimana SPR mengizinkan kakitangan Majlis Daerah mengangkut keluar peti-peti undi dari lokap pada masa yang tidak dibenarkan.
“Manakala penipuan di Parlimen Balik Pulau, bilangan undi melebihi jumlah kertas undi yang dikeluarkan. Sebanyak 700 kertas undi diterima pegawai pengurus SPR sedangkan bilangan yang ada hanya 424, selain Borang 14 menyebut 556,” kata Anwar lagi.
TV3 dan Utusan tidak memberi peluang kepada Ketua Pembangkang itu untuk diwawancara tetapi memberi temuramah khas kepada SPR untuk menyerang Pakatan.

KD

Tindakan Biadap Alvin & Vivian Ini Melampau


DAP kesal tiada tindakan dikenakan terhadap ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mengaitkan parti itu dengan pasangan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee dalam ucapan perbahasannya di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Setiausaha Pengelolanya, Anthony Loke Siew Fook mendakwa, Bung Mokhtar telah menyalahgunakan peluang bercakap di Parlimen untuk memfitnah DAP.

"Kita amat kesal apabila beliau mengeluarkan kenyataan fitnah itu. Nampaknya beliau sengaja mengucapkannya di Parlimen kerana tahu ada imuniti.

"Malangnya tiada tindakan dikenakan kepada beliau walaupun kita sudah membangkitkan soal peraturan mesyuarat. Kita harap Speaker Dewan Rakyat dapat menegur dan ambil tindakan kepada beliau," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Terdahulu, Bung Mokhtar dalam ucapan perbahasannya mendakwa pasangan Alvin dan Vivian mendapat tajaan DAP.

Tindakannya itu mengundang kemarahan wakil rakyat DAP yang bangun dan membantah dakwaan tersebut, antaranya V Sivakumar (DAP-Batu Gajah), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dan Loke sendiri.

Menurut Loke yang juga ahli Parlimen Seremban, kenyataan Bung itu cuba memberi gambaran buruk terhadap DAP.

"Seperti yang ditegaskan sebelum ini, DAP mengutuk perbuatan pasangan blogger berkenaan. Tindakan mereka ternyata boleh mendatangkan kemarahan umat Islam dan menimbulkan masalah hubungan kaum.

"Namun, kita lebih kesal apabila ada pihak yang kaitkan mereka dengan DAP. Ini semua modus operandi Umno untuk memberikan imej negatif kepada DAP," katanya.
- SH

Rakyat Harus Matang Menggunakan Laman Sosial


Beberapa Badan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini mengutuk tindakan segelintir individu yang menjadikan laman sosial untuk menjatuhkan imej seseorang, agama atau menghina sesebuah bangsa dan negara.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman, berkata laman sosial bukan bertujuan mencetuskan perbalahan, sebaliknya dijadikan medium menyatupadukan sesebuah bangsa dalam dunia ini.
"Selari dengan kemajuan teknologi, semua perlu menggunakan teknologi dengan bijak dan bukannya mengikut perasaan," katanya kepada Bernama semasa majlis berbuka puasa bersama kira-kira 32 NGO Islam, hari ini.
Abdullah Zaik turut mengutuk perbuatan sesetengah NGO yang menganjurkan demonstrasi jalanan dan kebanyakannya menarik penglibatan golongan muda.
Setiausaha Agung Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma), Amir Hamzah Abdul Rajak pula meminta rakyat pelbagai bangsa supaya hormat-menghormati.
Beliau turut menggesa perbuatan menghina atau bertelagah di laman sosial dihenti segera kerana kelemahan sesebuah bangsa akan terserlah melalui perbalahan.
"Pertelagahan berlaku apabila tiada rasa hormat sesama sendiri..Jangan sampai kita berpecah, kita perlu bangkit bersatu, kuatkan barisan," katanya. 

- Bernama, 

Tuesday, July 16, 2013

Harga Ayam , Konflik Orang Tengah ?


SHAH ALAM – Kenaikan harga ayam bukan disebabkan oleh penjual dan pengeluar semata-mata tetapi berpunca daripada orang tengah yang mengambil kesempatan apabila permintaan meningkat.

Timbalan Presiden, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah berkata, ada orang mengawal pengeluaran ayam menjelang musim perayaan.

“Bukan peruncit sengaja menaikkan harga, tetapi apabila pengedar meletakkan harga tinggi maka mereka terpaksa menjualnya dengan harga yang tinggi juga.

“Bagaimanapun, ada hubung kait di antara pengeluar, orang tengah (pengedar) dan peruncit yang boleh menjadi penentu kepada kenaikan harga ayam,” katanya.

Katanya, pengguna berkuasa menghalang kenaikan harga barang. Undang-undang sahaja tidak mampu menyekat secara keseluruhan.

“Kita tidak boleh bergantung  kepada penguatkuasaan sahaja. Pengguna perlu boikot atau kurangkan pembelian agar penjual dan pengedar lebih bersikap adil kepada pembelinya,” katanya.

Tindakan seumpama itu, katanya, mampu memberi kesan jangka panjang.

“Semua perlu bersatu bertindak pada pasaran bagi memastikan harga itu mampu dikawal di tangan pengguna sendiri.

“Orang kaya walaupun mampu beli ayam dengan harga RM10 sekilogram, juga perlu boikot sama sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada orang miskin,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu menyokong pendekatan ini dan memberi penerangan yang lebih meluas agar situasi sama tidak berulang apabila menjelang musim perayaan.

sinarharian

34 Syarikat Diberi Lesen Import Ayam


KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) sepatutnya membantu menyelesaikan krisis kenaikan harga ayam, bukan mencadangkan rakyat bertukar selera ke sumber protein lain seperti disaran menterinya, Datuk Hasan Malek.
Ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, fungsi asas kewujudan KPDNKK untuk memastikan harga-harga barang terkawal mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.
“Hasan patut sedar fungsi KPDNKK, sama ada rakyat perlu bertukar selera atau tidak bukan dia yang tentukan.
“Bila berlaku kenaikan harga, tanggungjawab menteri memantau dan menghukum peniaga yang menaikkan harga sesuka hati,
“Bukan melepaskan tanggungjawab dengan saranan dangkal,” kata Johari kepada Keadilandaily.
Semalam, Datuk Hasan Malek mengajak orang ramai ‘menukar’ selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.
Johari menambah, KPDNKK sewajarnya meningkatkan kepekaan dan tanggungjawab untuk membantu rakyat agar boleh membeli barang keperluan pada harga berpatutan.
“Tingkatkan kualiti penyeliaan dan pemantauan. Babitkan lebih banyak pihak di setiap peringkat, dari kementerian hingga pengguna.
“Penghulu, ketua kampung, pegawai terlibat dan pengguna mesti digesa menjadi mata dan telinga kerajaan agar sebarang penyelewengan harga boleh dibanteras segera,” katanya.

keadilandaily

TPPA :Banyak Bidang Yang Belum Dipersetujui


Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang membabitkan 12 negara, tidak akan ditandatangani pada Oktober ini seperti yang dijangkakan pada mulanya kerana ada banyak bidang yang belum dipersetujui.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria, berkata rundingan TPPA itu adalah rundingan antara pihak yang setara tetapi jika satu pihak tidak bersetuju, rundingan perjanjian itu tidak akan selesai.
"Perkara yang paling penting ialah kita tidak akan bertolak ansur dari segi kedaulatan Malaysia dan kita akan berpegang kepada dasar kita.
"Kita menggunakan kemahiran berunding untuk mengetepikan perkara yang menyentuh kedaulatan," katanya di forum dan dialog Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia mengenai TPPA di Kuala Lumpur, semalam.
Pada Oktober 2010, Malaysia mengambil bahagian sebagai satu pihak dalam rundingan TPPA itu.
Sta Maria berkata, Malaysia memilih untuk mengambil bahagian dalam rundingan TPPA lebih awal untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam proses rundingan itu dan supaya dapat mempengaruhi keputusan.
Mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau berkata isu berkaitan dengan PKS termasuk dalam rundingan TPPA itu. 
– Bernama,

Monday, July 15, 2013

DYMM Tuanku Perkenan Menyampaikan Sumbangan Kepada Anak Yatim ,Fakir ,Misikin & Mualaf

sultan lzs 01

SHAH ALAM, 12 JULAI : Seramai 550 orang asnaf fakir, miskin, anak yatim dan mualaf menerima sumbangan hari raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri, di sini.
sultan lzs 03Sumbangan itu diagihkan kepada 150 asnaf fakir, 150 asnaf miskin, 150 anak yatim dan 100 mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM400 setiap seorang, manakala anak yatim menerima sumbangan RM100 seorang.
DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan sebelum mencemar duli berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Dalam majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM5.4 juta daripada dua anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.
sultan lzsDua anak syarikat tersebut ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Worldwide Holdings Berhad (WHB) masing-masing menunaikan zakat tersebut sebanyak RM4.02 juta dan RM1.38 juta.
PKNS diwakili Pengurus Besarnya, Othman Omar manakala WHB pula diserahkan oleh Pengerusinya, Datuk Noordin Sulaiman.
Pembayaran zakat perniagaan itu adalah bagi tahun kewangan berakhir 2012.
Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohd Adzib Mohd Isa, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin serta Exco Negeri Selangor.

selangorku