Tuesday, July 30, 2013

KEADILAN Menggesa Polis Menyiasat Pendedahan Mywatch - DSAI


PETALING JAYA 29 Julai: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut agar pendedahan Pengerusi badan Pemantau Jenayah, My Watch, R Sri Sanjeevan berhubung penglibatan polis dengan sindiket jenayah disiasat.
Katanya, KEADILAN juga menggesa tahap keselamatan terhadap Sanjeevan ditingkatkan selepas cubaan bunuh terhadapnya pada 27 Julai lalu.
“Kita mengulangi desakan supaya polis siasat secara terperinci percubaan bunuh ini termasuk dakwaan anggota polis terlibat dalam sindiket jenayah dan kegiatan haram,”
“KEADILAN tidak menolak bahawa insiden yang menimpa Sanjeevan seperti yang dinyatakan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mungkin memiliki kaitan langsung dengan hasrat beliau untuk mendedahkan perkara itu,” kata Anwar dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.
SanjeevanSri Sanjeevan, 29, parah di bahagian rusuk kanan selepas ditembak dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Taman Cempaka, Bahau kira-kira 4.30 petang dua hari lalu.
Mangsa kini dilaporkan stabil selepas dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar , Seremban setelah mendapat rawatan di Hospital Jempol. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan bunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Menurut Anwar, Sanjeevan sebelum itu mendakwa menerima ancaman pada 11 April 2013 apabila diserang empat lelaki bersenjata parang di ‘basement’ sebuah hotel di Kuala Lumpur, diikuti ancaman diekori beberapa lelaki mencurigakan di Terminal LCCT Sepang.
“Insiden tembakan yang melibatkan beliau dua hari lalu turut berlaku beberapa jam selepas beliau memuatnaik tulisan di akaun Twitter miliknya bahawa beliau menerima ugutan tembak dipercayai dari anggota polis,” kata Anwar.
Sanjeevan“Sehubungan itu, KEADILAN menuntut supaya pendedahan Sanjeevan disiasat serta membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. KEADILAN juga memohon supaya kawalan keselamatan ke atas Sanjeevan di hospital ditingkatkan,” tegasnya.
Jelas Anwar, kes-kes bunuh melibatkan penjawat awam semakin kerap berlaku dan menimbulkan ketakutan kepada rakyat.
“Kekerapan kes-kes bunuh secara tembakan ala ‘mafia’ kebelakangan ini dilihat menjadikan penjawat awam sebagai mangsa, sebelum ini turut mengorbankan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim, yang mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya tiga bulan lalu,” jelasnya.

keadilandaily

No comments: