Loading...

Wednesday, July 10, 2013

PRK K.Besut: Undi Anak Tempatan N01 Azlan Yusof

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut 24 Julai ini akan menyaksikan pertembungan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan Azlan Yusof daripada PAS.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini mengumumkan Tengku Zaihan, 37 sebagai calon BN berdepan dengan calon PAS.

Tengku Zaihan adalah jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya.

Pengumuman itu dibuat oleh Muhyiddin di Dataran Kuala Besut yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Pilihan raya kecil DUN itu, diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya yang juga exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar. 



Pada pilihan raya umum lalu, allahyarham menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. A Rahman memperolehi 8,809 undi, manakala Napisah mendapat 6,375 undi.  

Dengan pengumuman tersebut, Tengku Zaihan bakal berdepan tentangan sengit daripada Azlan seorang ahli perniagaan, yang baru diumumkan bakal mewakili parti itu.

Azlan yang juga bendahari PAS kawasan - lebih dikenali sebagai Che Long - merupakan dilihat paling popular bakal dicalonkan di kalangan penduduk tempatan.

Dua lagi calon yang disenarai pendek ialah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Zawawi Salleh dan Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad.

PAS mengumumkan calonnya itu di Kampung Nail, Kuala Besut malam ini.

Semalam, Ketua Umno Besut Datuk Seri Idris Jusoh meminta PAS tidak meletakkan calon bertanding di situ bagi menghormati kemenangan BN dan bulan Ramadan serta yakin BN akan mencapai kemenangan lebih 4,000 undi.

Bagaimanapun, Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil DUN itu Datuk Husam Musa pula membidas kenyataan Idris dengan menyifatkan kenyataan Idris itu sebagai "angkuh".

Sementara Pesuruhjaya PAS negeri Mohd Abdul Wahid Endut menyifatkan kenyataan Idris sebagai "takut kalah" sekali gus menyatakan PAS akan mencipta kejayaan dalam pilihan raya itu.


malaysiakini

No comments: