Thursday, July 4, 2013

Rumah Mampu Milik Selangor Akan Dipelbagaikan

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri akan memperkenalkan dasar baru bagi mempelbagaikan jenis Rumah Mampu Milik (RMM) yang wajib dibina pemaju pada bulan September ini.
Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata, polisi yang bakal dilaksanakan ini menyediakan lebih banyak RMM kepada semua rakyat di negeri ini.
Jelasnya, Kerajaan Negeri berhasrat mempastikan stok perumahan ini mencukupi kepada semua golongan, rendah dan sederhana.
“Polisi baru ini ada lebih banyak jenis (rumah) bagi memenuhi kehendak rakyat yang berpendapatan rendah sehingga yang berpendapatan isi rumah RM 8,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.
Menurut Iskandar, polisi baru ini menggantikan polisi yang dilaksanakan Kerajaan Negeri pada tahun 2010 lalu.
“Untuk polisi baru, kita belum lagi menghapuskan rumah kos rendah, tetapi dalam polisi baru, kita memberi fokus kepada mereka yang berpendapatan sederhana,” ujar Adun Cempaka itu.
Sehingga kini, seramai 15,105 orang pemohon ditawarkan untuk memiliki rumah kos rendah dari tempoh 2008 hingga 2013.
Manakala seramai 1,568 pemohon ditawarkan oleh Kerajaan Negeri untuk memiliki Rumah Mampu Milik sejak ia diperkenalkan dari tahun 2011 sehingga 30 Mei 2013.

selangorku

No comments: