Loading...

Thursday, July 18, 2013

AES Menghasilkan Lebih RM20 Juta Kompaun Setakat Ini



KUALA LUMPUR 18 JULAI: Kerajaan berkongsi keuntungan hasil pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bersama kroni dengan cara membebankan rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Azan Ismail.
Beliau mengulas jawapan bertulis Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan berjaya mengutip sebanyak RM20,020,500 juta kompaun hasil AES bermula 11 Jun 2013 hingga 23 September 2012 dengan kutipan lebih kurang 10 peratus.
AESDinyatakan juga dalam tempoh yang sama, sebanyak 673,339 saman kesalahan AES dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kerajaan masih belum merubah sikap suka memberi keuntungan kepada kroni dengan mengambil wang rakyat,” kata Azan mengulas perkara itu.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini menyatakan dalam Parlimen segala kos penyelenggaraan dan pemasangan AES akan ditanggung syarikat swasta dan kerajaan akan menerima sebahagian dari bayaran kompaun.
“Maknanya, sah kewujudan AES itu bermotifkan keuntungan berbanding keselamatan pengguna jalan raya. Sebab itulah kerajaan bersungguh mahu laksanakan sistem ini,” jelasnya kepadaKeadilan Daily.
Beliau turut mempersoal keterlibatan agensi penguatkuasaan seperti JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam melaksanakan AES.
“AES dikawal oleh syarikat swasta tetapi menggunakan agensi kerajaan, bermakna mereka menggunakan khidmat pegawai kerajaan secara percuma. Hasil kutipan pula diambil bulat-bulat tanpa mengira gaji atau elaun pekerja yang terlibat,” katanya.
“Sebab itu kita kata kerajaan dan kroni berkongsi keuntungan, rakyat pula dibebankan, syarikat kroni seolah-olah mendapat keuntungan atas angin. Produk tiada tetapi dapat wang berjuta-juta,” jelas Azan.
Perkhidmatan AES dikendalikan syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. Sebanyak 14 kamera AES telah beroperasi di seluruh negara.

keadilandaily

No comments: