Saturday, July 13, 2013

TPPA: Perjanjian Ini Akan Mengikat Kaki & Tangan Kita - Tun M


KUALA LUMPUR 13 Julai: Kerajaan Umno BN tetap mahu meneruskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) meskipun ia dibantah mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Azan Ismail.
“Tun Dr Mahathir Mohamad membidas TPPA ini kerana didakwa sebagai satu penjajahan baharu. Tetapi pada masa sama, kerajaan Umno BN tetap bertegas akan melaksanakan perjanjian itu walaupun mendapat bantahan pelbagai NGO.
“Ini satu fenomena yang aneh dan saya khuatir terdapat terma dalam perjanjian itu yang bakal memberikan implikasi negatif terhadap kedaulatan tanah air dan rakyat Malaysia,” ujar Adun Bandar itu kepada Suara Keadilan.
Mahathir dalam tulisan di blognya semalam menggesa kerajaan mengabaikan rundingan itu kerana  menyifatkan ia sebagai muslihat Amerika Amerika Syarikat untuk menembusi pasaran domestik negara.
Malah katanya perjanjian itu akan merugikan Malaysia dan menyifatkan TPPA sebagai “perkongsian yang tidak sama rata” serta sebuah penjajahan baru atau disebut neo-kolonialisme.
Pada masa yang sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata, TPPA tidak akan menggadai kedaulatan, bahkan memberi manfaat kepada negara.
Mengulas lanjut, Azan berkata kerajaan perlu mendedahkan isi kandungan perjanjian tersebut supaya diteliti oleh rakyat.
“Umno BN mengharapkan rakyat supaya mempercayai tindakan kerajaan dalam rundingan ini tetapi apabila kita minta dedahkan isi kandungannya, kerajaan menolak.
“Adakah sikap ini membantu untuk memulihkan persepsi negatif rakyat terhadap TPPA dan kerajaan?” soalnya.

keadilandaily

No comments: