SHAH ALAM - Tindakan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pegawai khasnya Faekah Husin memainkan isu tanah di Ijok sebagai modal kempen PRU14 adalah untuk membantu Umno dan BN.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei mendakwa, mereka layak digelar sebagai ‘penyatuan fitnah berangkai’ susulan polemik isu tanah Ijok sejak Sabtu lalu.
Beliau mempersoalkan punca isu tersebut dibiarkan berpanjangan dan tidak diselesaikan lebih awal sejak zaman BN  dan ketika Abdul Khalid menyandang jawatan utama di Selangor.
“Mengapa perlu dibiarkan peneroka terseksa dan ternanti janji mereka dipenuhi daripada satu menteri besar ke menteri besar yang lain? Sebetulnya Khalid terlepas peluang untuk berbakti.
"Masalah ini terpaksa diwarisi bersama 30 kes lain di peringkat mahkamah dengan potensi liabiliti bernilai ratusan juta ringgit oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas menyandang jawatan menteri besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas isu tanah Ijok katanya, seluas kira-kira 2,200 ekar atau sebahagian tanah dijual kepada pemaju berwibawa dengan jumlah RM1.18 bilion.
“Sebahagian duit akan digunakan oleh syarikat vendor untuk membina rumah bagi hampir 1,000 peneroka dan membayar pampasan. Langkah itu menyelesaikan kes saman dan tuntutan pampasan daripada kerajaan negeri.
“Akhir sekali, kerajaan negeri akan memperoleh baki tanah seluas kira-kira 1,000 ekar tanpa membayar sebarang pampasan. Ia adalah situasi menang-menang untuk semua pihak,” katanya.
Tambahnya, formula itu adalah kaedah memenuhi janji yang dimungkiri BN sejak 18 tahun lalu.
Sebelum ini, isu Ijok menjadi panas selepas Abdul Khalid melalui wawancara yang disiarkan sebuah akhbar tempatan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri memulangkan tanah Ijok yang telah dirampas sebelum kawasan tersebut dijual kepada pihak lain.
Abdul Khalid beranggapan langkah tersebut sebagai tidak mencerminkan tatacara perniagaan yang baik dalam mengendalikan aset rakyat dan meminta siasatan dilakukan ke atas pihak yang terlibat dalam proses pemulangan tanah kepada pemaju.