Thursday, July 25, 2013

Syarat Baru Pelantikan Ahli Majlis Bermula Januari 2014


SHAH ALAM: Selangor meletakkan beberapa syarat ketat dalam kriteria pelantikan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang baru bermula Januari 2014.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim berkata, kerajaan negeri kali ini meletakkan syarat tempoh perkhidmatan tidak boleh melebihi tempoh empat tahun atau dua penggal berturut-turut.
Manakala hampir 50% ahli majlis PBT yang melebihi tempoh khidmat empat tahun sebelum ini akan ‘direhatkan’.
“Pembahagian kuota adalah 75% daripadanya dicalonkan parti masing-masing manakala 25% daripada organisasi badan bukan kerajaan (NGO) yang sah dan berdaftar dibawah Badan Pertubuhan Pendaftar (ROS).
“Manakala minimum 30% jumlah ahli majlis yang dilantik akan terdiri daripada golongan wanita,” katanya dalam sidang media hari ini.
Selain itu, beberapa syarat am turut diambil kira, antaranya calon mestilah warganegara Malaysia dan fasih berbahasa Melayu, had umur minimum 21 tahun, bermastautin dikawasan berkenaan sekurang-kurangnya lima tahun atau menetap didaerah bersebelahan.
Calon juga mestilah bukan daripada kakitangan kerajaan dan perlu memiliki kelayakan akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya.
“Sekiranya tiada kelayakan akademik seperti yang ditetapkan, calon perlu menduduki ujian dan lulus ujian seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan PBT,” katanya.

fmt

No comments: