Loading...

Friday, July 5, 2013

Perbelanjaan Pembekalan Tambahan Berjumlah Rm 761.44 Dibentang oleh TSKI di dalam DNS


SHAH ALAM, 4 JULAI: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membentangkan enakmen perbelanjaan pembekalan tambahan bernilai RM 761.44 juta di Dewan Negeri Selangor.
Perbelanjaan tambahan tersebut antara lainnya sebanyak RM 83 juta bagi membiayai bayaran program air percuma bagi Julai hingga Disember 2013.
Sebanyak RM 22 juta diperuntukan bagi menampung semula peruntukan sedia ada yang digunakan bagi bayaran program air percuma bagi bulan Mei dan Jun 2013.
Selain itu, RM 517.44 juta lagi diperuntukkan bagi menambah siling Tabung Kumpulan Wang Amanah Pinjaman kepada badan-badan berkanun dan badan lain.
“Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM 413.2 juta adalah pemberian pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi tujuan pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB).
“Sejumlah RM 80 juta adalah pinjaman kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi tujuan pengambilalihan tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk projek pembangunan Datum In-City.
“Manakala sejumlah RM 24.24 juta adalah bagi pinjaman kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi projek-projek yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 2/2013 pada 20 Febuari 2013.”
Abdul Khalid berkata demikian ketika membentangkan perbelanjaan pembekalan tambahan petang ini di Sidang Dewan Negeri Selangor petang tadi di sini.
Perbelanjaan lain termasuklah peruntukan untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan/Hutan (RM79 juta) dan perbelanjaan am (RM60 juta) yang digunakan bagi menampung komitmen-komitmen tahun 2013 yang telah digunakan untuk pembayaran program air percuma bagi bulan Januari hingga Mei 2013.

selangorku

No comments: