Beberapa Badan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini mengutuk tindakan segelintir individu yang menjadikan laman sosial untuk menjatuhkan imej seseorang, agama atau menghina sesebuah bangsa dan negara.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman, berkata laman sosial bukan bertujuan mencetuskan perbalahan, sebaliknya dijadikan medium menyatupadukan sesebuah bangsa dalam dunia ini.
"Selari dengan kemajuan teknologi, semua perlu menggunakan teknologi dengan bijak dan bukannya mengikut perasaan," katanya kepada Bernama semasa majlis berbuka puasa bersama kira-kira 32 NGO Islam, hari ini.
Abdullah Zaik turut mengutuk perbuatan sesetengah NGO yang menganjurkan demonstrasi jalanan dan kebanyakannya menarik penglibatan golongan muda.
Setiausaha Agung Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma), Amir Hamzah Abdul Rajak pula meminta rakyat pelbagai bangsa supaya hormat-menghormati.
Beliau turut menggesa perbuatan menghina atau bertelagah di laman sosial dihenti segera kerana kelemahan sesebuah bangsa akan terserlah melalui perbalahan.
"Pertelagahan berlaku apabila tiada rasa hormat sesama sendiri..Jangan sampai kita berpecah, kita perlu bangkit bersatu, kuatkan barisan," katanya.
- Bernama,
No comments:
Post a Comment