Thursday, July 25, 2013

Pertubuhan Syiah Mencetuskan Keresahan Umat Islam Malaysia



Kerajaan mengharamkan Pertubuhan Syiah Malaysia berikutan gerakan aktif pertubuhan itu memudarat ketenteraman awam dan mencetuskan keresahan umat Islam di negara ini.
Perisytiharan yang berkuat kuasa semalam itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berdasarkan peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966
Ia dibuat melalui kenyataan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.
Mengikut Utusan Malaysia, Abdul Rahim berkata, pengikut Syiah di Malaysia pernah memohon mendaftar pertubuhan itu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Melaka pada 18 Jun 2011.
Namun, permohonan itu ditolak pada 4 Ogos 2011 sebelum rayuan dikemuka kepada Menteri Dalam Negeri tetapi ia ditolak lagi pada 31 Oktober 2011.
"Pertubuhan yang tidak diluluskan ini bergerak aktif hingga memudarat ketenteraman awam serta mencetuskan suasana keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini yang majoritinya mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
Sumber polis memberitahu akhbar milik Umno itu, dakwaan bilangan pengikut Syiah berjumlah antara 300,000 sehingga sejuta orang, kurang tepat berdasarkan siasatan yang dibuat.
Anggaran bilangan itu dibuat Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz yang dipercayai Ketua Kumpulan Syiah Malaysia.
"Jumlahnya kurang dari itu kerana siasatan mendapati Syiah Ja'fariah yang paling ramai pengikutnya di negara ini hanya dianggar 1,500 sahaja. Namun, kita akui jumlah itu semakin meningkat," katanya.
Kata sumber itu, pihak berkuasa turut mengesan beberapa pusat kegiatan Syiah di beberapa negeri yang dipercayai menyebar fahaman Syiah.
"Dua markas utama terletak di Selangor iaitu Taman Sri Gombak di Gombak dan sebuah premis rumah kedai di Ukay Perdana, Selangor. Markas ini dijadikan pusat aktiviti dan lokasi untuk mendalami ilmu Syiah.
"Di negeri lain, kita turut mengesan tiga markas yang terletak di Pendang, Kedah; Kota Bharu, Kelantan serta Taiping, Perak," kata sumber itu. 

malaysianinsider

No comments: