Tuesday, July 16, 2013

Harga Ayam , Konflik Orang Tengah ?


SHAH ALAM – Kenaikan harga ayam bukan disebabkan oleh penjual dan pengeluar semata-mata tetapi berpunca daripada orang tengah yang mengambil kesempatan apabila permintaan meningkat.

Timbalan Presiden, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah berkata, ada orang mengawal pengeluaran ayam menjelang musim perayaan.

“Bukan peruncit sengaja menaikkan harga, tetapi apabila pengedar meletakkan harga tinggi maka mereka terpaksa menjualnya dengan harga yang tinggi juga.

“Bagaimanapun, ada hubung kait di antara pengeluar, orang tengah (pengedar) dan peruncit yang boleh menjadi penentu kepada kenaikan harga ayam,” katanya.

Katanya, pengguna berkuasa menghalang kenaikan harga barang. Undang-undang sahaja tidak mampu menyekat secara keseluruhan.

“Kita tidak boleh bergantung  kepada penguatkuasaan sahaja. Pengguna perlu boikot atau kurangkan pembelian agar penjual dan pengedar lebih bersikap adil kepada pembelinya,” katanya.

Tindakan seumpama itu, katanya, mampu memberi kesan jangka panjang.

“Semua perlu bersatu bertindak pada pasaran bagi memastikan harga itu mampu dikawal di tangan pengguna sendiri.

“Orang kaya walaupun mampu beli ayam dengan harga RM10 sekilogram, juga perlu boikot sama sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada orang miskin,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu menyokong pendekatan ini dan memberi penerangan yang lebih meluas agar situasi sama tidak berulang apabila menjelang musim perayaan.

sinarharian

No comments: