'Penduduk perumahan PKNS dinasihatkan jangan terpedaya hasutan karut'
SHAH ALAM, 3 OKTOBER 2012 – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sekali lagi menekankan ia tidak pernah mengeluarkan walau sesen untuk menyelamatkan Talam Corp seperti mana yang didakwa pihak-pihak tertentu.
Perbadanan itu juga kesal dengan tindakan segelintir penduduk perumahan PKNS yang mengadakan demonstrasi di hadapan Ibu Pejabatnya mendesak Perbadanan itu melangsaikan hutang perumahan mereka kerana kononnya mendakwa PKNS telah mengambil alih hutang Talam.
Ketua Pegawai Integriti PKNS Norita Mohd Sidek berkata penduduk terbabit telah dipergunakan untuk mencapai agenda tertentu.
"Kami tidak menyalahkan penduduk ini. Mereka sebenarnya diperdayakan NGO-NGO tertentu yang menyakinkan mereka kononnya PKNS perlu mengambil alih hutang rumah mereka. Namun begitu, kami ingin menasihatkan semua penduduk perumahan PKNS supaya jangan terperdaya dengan hasutan ini kerana ia adalah tidak benar sama sekali," kata Norita.
Norita juga mengingatkan semua penduduk perumahan PKNS agar tidak sebarangan memberikan maklumat peribadi mereka seperti nama penuh, alamat rumah, nombor kad pengenalan dan nombor telefon kerana maklumat tersebut boleh disalahgunakan. Beliau merujuk kepada borang yang diedarkan oleh NGO tertentu yang meminta penduduk mengisi maklumat peribadi mereka sebagai desakan kepada PKNS melangsaikan hutang rumah mereka.
"Kalau ada mana-mana penduduk yang keliru mengenai isu ini, sepatutnya mereka datang terus ke PKNS dan kami bersedia untuk menjawab sebarang pertanyaan. Tidak perlu melalui orang tengah atau berdemonstrasi kerana ianya hanya akan mengeruhkan keadaan."
Dalam pada itu, PKNS sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap NGO-NGO yang dikenalpasti terbabit dalam menghasut penduduk perumahan PKNS membuat tuntutan yang tidak berasas dan karut itu.
"Sebagai sebuah agensi kerajaan negeri yang berpengalaman selama 48 tahun dalam pembangunan hartanah dan mengutamakan ketelusan di dalam sebarang keputusan yang diambil, PKNS tidak akan sewenang-wenangnya membuat keputusan yang boleh membawa kerugian atau tanggapan negatif terhadap PKNS," tambah Norita lagi.
Pada 5 September lalu, Menteri Besar Selangor juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa semakan yang dilakukan oleh firma audit bebas, KPMG Transaction and Restructuring Sdn Bhd mendapati perlaksanaan kutipan hutang bernilai RM392 juta itu dibuat secara telus dan tertib mengikut undang-undang.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment