Sunday, October 7, 2012

PR Selangor Jelajah Negeri Persiapan Hadapi Pilihan Raya



PETALING JAYA 5 OKT : Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan mengadakan program Jelajah Selangor secara bersepadu dan sistematik sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Kesemua parti gabungan PR iaitu PKR, PAS dan DAP bersepakat menjelajah ke seluruh 22 parlimen dan 56 DUN dalam negeri Selangor.

“Ia khusus bagi menerangkan tentang prestasi program yang sudah dilaksanakan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sepanjang empat tahun lepas.

“Program ini juga diatur bagi memastikan setiap maklumat dan fakta penting berkaitan kejayaan Kerajaan Negeri dapat disampaikan kepada rakyat,” ujar Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dalam satu sidang media.

Sidang media yang diadakan di Pejabat Keadilan Selangor di sini pagi tadi turut disertai Ketua Penerangan PAS dan DAP Selangor iaitu Shaari Sungib dan Jenice Lee.

Program jelajah tersebut akan bermula pada 14 Oktober ini di Parlimen Selayang dan dijadualkan berakhir pada 8 Disember di Parlimen Klang.

“Kesemua program jelajah akan melibatkan semua anggota komponen parti di semua peringkat dengan pemantauan oleh Penerangan Pakatan Rakyat Negeri,” jelas Shuhaimi lagi.

Satu tema khas bersempena program Jelajah Selangor akan diputuskan selepas mesyuarat bersama semua Ketua-ketua Penerangan peringkat cabang, kawasan dan bahagian serta Penerangan Pakatan Rakyat Negeri Selangor pada 7 Oktober nanti.

No comments: