Sunday, October 7, 2012

MB S’gor layak tadbir di Pusat, kata Shuhaimi

Fazy Sahir | October 5, 2012 
Beliau menyifatkan Abdul Khalid sebagai seorang yang berpengalaman luas dan sememangnya layak mentadbir di peringkat persekutuan.
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei bersetuju Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipindahkan ke pentadbiran kerajaan pusat sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke 13 (PRU13).

Ketika dihubungi FMT, beliau menyifatkan Abdul Khalid sebagai seorang yang berpengalaman luas dan sememangnya layak mentadbir di peringkat persekutuan.

Pandangan Shuhaimi ini dilihat selari dengan pendapat Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebelum ini, yang menyatakan bahawa Abdul Khalid berkemungkinan akan ditukar ke peringkat pusat selepas PRU13.

Beliau berkata, ia sebagai pengiktirafan kepada Abdul Khalid yang berkebolehan dan berpengalaman dalam memimpin kerajaan Selangor sejak Pakatan mengambil alih negeri itu pada Mac 2008.

“Sama ada saya setuju atau tidak kenyataan Azmin itu adalah perkara lain. Tetapi apa yang cuba disampaikan Azmin adalah beliau menghargai peranan dan tugas Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

“Malah pengalaman beliau (Abdul Khalid) mentadbir Selangor tidak dinafikan adalah jauh lebih baik daripada menteri-menteri Barisan Nasional (BN),” tegas beliau.

Beliau menegaskan, “pengalaman beliau mentadbir Selangor boleh digunakan dengan baik dalam pentadbiran kerajaan pusat memandangkan di bawah pentadbirannya rizab tunai Selangor mencecah sehingga RM2 bilion.

“Jika Abdul Khalid dipilih menerajui di peringkat kementerian maka saya yakin beliau boleh menyelamatkan lebih banyak wang negara,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Shuhaimi menegur sikap pemimpin Pakatan yang lain agar meneliti terlebih dahulu laporan sesetengah akhbar sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Tegas beliau, “para pemimpin tidak sewajarnya melenting dan memberi kenyataan secara melulu tanpa menyemak asas laporan akhbar tersebut terlebih dahulu.

“Mungkin ada dua tiga kenyataan daripada kepimpinan parti, presiden, timbalan presiden, setiausaha agung dan lain-lain yang dikeluarkan sebelum ini.

“Mereka perlu meneliti laporan itu dari akhbar serta tajuk laporan sebelum memberi kenyataan. Jika tidak betul….tidak boleh terus melenting dengan penuh emosi, biar komen secara matang,” nasihat beliau.

No comments: