KENYATAAN MEDIA
PENERANGAN KEADILAN SELANGOR
14 JULAI 2016
14 JULAI 2016
Politik Muafakat – Agenda baru harapan rakyat
KEADILAN Selangor menyambut baik saranan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyarankan agar gabungan semua parti pembangkang supaya kembali bersatu.
KEADILAN Selangor juga mendukung penuh hasrat Pengerusi KEADILAN Selangor merangkap Timbalan Presiden KEADILAN, YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang telahpun bersetuju dengan saranan agar semua parti pembangkang di peringkat persekutuan mengukuhkan perpaduan sesama sendiri serta mengelakkan pertembungan.
Menginsafi bahawa rakyat adalah tumpuan dalam pembangunan politik Malaysia, maka Penerangan KEADILAN Selangor mengesyorkan konsep Politik Muafakat dan ‘Smart Politic Partnership’ bagi mengukuhkan hubungan pakatan politik dengan mana-mana gabungan parti yang membawa agenda Reformasi terhadap keseluruhan sistem pentadbiran negara khususnya dengan memberikan perhatian terhadap beberapa aspek pembangunan ekonomi, potensi masa depan pendidikan dan keperluan sosial rakyat.
Politik Muafakat yang bersifat ‘Smart Politic Partnership’ dikalangan parti pembangkang wajar diteruskan dengan sedaya upaya dan dengan tekad mengelakkan pertembungan pandangan mahupun pendirian politik yang keterlaluan di media media massa.
KEADILAN Selangor menyeru agar rakan-rakan Pakatan Harapan; Amanah dan DAP untuk turut sama dalam menjayakan pelan Politik Muafakat ini bersama gabungan parti parti pembangkang di peringkat persekutuan yang akan melibatkan pelbagai latar parti, NGO dan bekas pimpinan kerajaan persekutuan.
Kekuatan gabungan KEADILAN, AMANAH, DAP dan PAS serta parti-parti yang lain akan membawa suatu bentuk momentum kemenangan politik yang berkesan bagi menumbangkan UMNO / Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum Ke-14 akan datang. Terdahulu, kemenangan dalam PRU-13 hasil gabungan kuat parti pembangkang, kita berjaya membentuk serta menjadi kerajaan negeri di Selangor, Kelantan dan Pulau-Pinang atas nama Pakatan Rakyat (PR). Ia telah menjadi suatu bukti bahawa tanpa UMNO / Barisan Nasional mentadbir negeri-negeri tersebut, kita berjaya meningkatkan indeks pembangunan ekonomi serta infrastruktur yang membanggakan jauh meninggalkan negeri negeri yang ditadbir oleh UMNO / Barisan Nasional. Ini secara langsung telah memberikan manfaat kepada rakyat di negeri pakatan khususnya dalam mendepani hari-hari sukar berdepan dengan GST, kenaikan harga barang serta ketidaktentuan nilai ringgit hasil daripada ketirisan pentadbiran politik UMNO / Barisan Nasional mentadbir Malaysia. Usaha sedaya mampu melakukan perubahan ‘Islah Mas Tata’tum’ ini mampu kita lakukan hasil daripada muafakat politik pada PRU-13 yang lepas. Natijahnya, rakyat mendapat kesejahteraan hasil perkongsian kekayaan ekonomi negeri secara saksama melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), rezab negeri terus meningkat melebihi empat billion dan pengagihan kek ekonomi lebih adil kepada golongan sasaran.
Namun jika kita tidak memulakan Politik Muafakat ini serta ‘Smart Politic Partnership’ secara segera dan strategik, mana tertinggallah 'Harapan Rakyat' untuk kita galas bagi mara ke Putrajaya disebabkan pertembungan pandangan yang tidak perlu seringkali berlaku dalam kalangan parti parti pembangkang yang akhirnya bukan sahaja melengahkan kita, malah turut menewaskan kita tatkala 'Harapan Rakyat' begitu tinggi untuk mencari serta mendukung suatu bentuk gabungan Pakatan Harapan Rakyat yang boleh bukan sahaja disandarkan harapan politik perubahan tetapi yang lebih utama, merealisasikan perubahan total atau Reformasi Pentadbiran yang menguntungkan rakyat.
Harus di ingat, perbezaan pandangan kita telah diambil kesempatan oleh UMNO / Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Sungai Besar. Mereka menang bukan kerana mereka kuat atau rakyat telah menerima mereka. Semua pihak tahu UMNO Selangor sangat lemah! Mereka meraih kemenangan itu secara mudah dengan 'menahan lukah di pergentingan'. Mereka bergantung pada kehebatan 'menangguk di air keruh' untuk mencapai sasaran kemenangan.
Semoga ‘Smart Politic Partnership’ yang mengambilkira politik muafakat yang luhur mampu menawarkan jalan penyelesaian kepada kita semua dalam meletakkan harapan rakyat dilandasannya semula.
Haji Shuhaimi Haji Shafiei.
Ketua Penerangan KEADILAN SELANGOR /
ADUN Sri Muda.
ADUN Sri Muda.