Sambil minum di restoran, perunding media ini cuba mengenali wakil rakyat kawasannya.
Sehingga
November 1991, saya tinggal di Aulong Lama, Taiping, Perak. Kemudian,
sehingga Mac 2000, saya tinggal di Batu 3, Jalan Kapar, Klang, Selangor
sebelum berpindah ke Taman Sri Muda, Shah Alam.
Walaupun sudah agak lama di Taman Sri Muda – serta terlibat secara
langsung dalam proses Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2008 – ternyata
saya kurang mengetahui pelbagai realiti berhubung Dewan Undangan Negeri
(DUN) Sri Muda.
Pada lazimnya, saya sepertimana ramai penduduk di taman ini dan
kawasan sekitar hanya menggunakan “Sri Muda” apabila merujuk kepada
“Taman Sri Muda”. Rupa-rupanya tanggapan itu salah; khususnya dari segi
pentadbiran dan kerajaan tempatan.
Perkara ini saya sedari apabila berpeluang bertemu dan berbual-bual
secara amat santai bersama ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei di Kota
Kemuning pada 15 Februari 2013. Perlu saya akui bahawa baru kini saya
sedar DUN Sri Muda terbahagi kepada dua daerah dan tiga kawasan
pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).
Daerah berkenaan adalah Petaling dan Klang. Sebahagian daripada DUN
Sri Muda berada dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),
sebahagian dalam kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan sebahagian
lagi dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Demikian ADUN berusia 45 tahun itu menceritakan kepada saya.
“Bilangan pengundi terkini sekitar 48 ribu orang. Dari segi demografi
kaum, 25 peratus pengundi kaum Cina, India 22 peratus dan Melayu 52
peratus. Sekitar satu per tiga daripada jumlah penduduk (bukan hanya
pengundi berdaftar) adalah golongan elit yang berada antara lain di
sekitar kawasan Seksyen 27, 28, 31, 32, 33, Bukit Rimau, Kota Kemuning,
Subang Alam dan Putra Heights.
“Satu per tiga adalah golongan berpendapatan sederhana. Baki satu per
tiga penduduk adalah mereka yang duduk di kawasan rural dan pangsapuri
seperti di Bandar Putra dan Taman Sri Muda,” katanya sambil kami minum
di sebuah restoran pada petang itu.
Memandangkan saya tinggal di Taman Sri Muda sejak tahun 2000,
tentulah saya berpeluang melihat sendiri perubahan/perbezaan di bawah
ADUN dari dua latar politik (parti) yang berbeza. Pendirian saya tidak
menyokong mana-mana parti politik memudahkan usaha melihat pencapaian
Shuhaimi secara objektif.
Semasa berbual-bual lebih sejam dengannya, saya dapati bahawa
politikus yang berasal dari Bagan Serai, Perak ini boleh duduk
bersembang dengan sesiapa sahaja tanpa terlalu formal atau mengikut
protokol. Hal yang sama juga saya perhatikan apabila bertemu ADUN Seri
Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad di Taman Subang Indah pada 12 Disember 2012.
Memandangkan sejak awal tahun ini ada sambutan pelbagai perayaan oleh
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) – khususnya di negeri
Selangor yang menjadi “rebutan” menjelang PRU-13 – saya cuba mencungkil
pandangan dan pendirian Shuhaimi.
Katanya, perayaan setiap agama dan kaum di DUN Sri Muda diraikan
dengan kerjasama Ahli Majlis, pejabat ketua kampung, Ahli Parlimen Kota
Raja dan penduduk setempat sejak dahulu.
Acara besar-besaran dan kecil-kecilan
“Untuk
Aidil Fitri, sambutan sudah diadakan sebanyak lima kali sejak PRU-12.
Oleh kerana kawasan saya hampir dua per tiga berada dalam kawasan MBSA,
maka sambutan diadakan di Dewan MBSA sebanyak tiga kali iaitu pada 2008,
2009 dan 2011. Sekali di kawasan pentadbiran MPK (2010) dan sekali di
di kawasan MPSJ (2012),” katanya tanpa perlu merujuk apa-apa nota.
Malah, sepanjang kami berbual-bual secara santai, ADUN ini mampu
mengemukakan angka, statistik, maklumat dan fakta secara spontan tanpa
merujuk kepada sesiapa. Beliau juga hadir secara bersendirian walaupun
saya membayangkan bahawa beberapa “rakan” beliau akan hadir dan duduk
bersama-sama kami semasa perbualan berlangsung.
Untuk Deepavali, Shuhaimi mengakui bahawa ada sambutan secara
besar-besaran dan ada juga yang dibuat secara kecil-kecilan tetapi
banyak. Hal ini memang pernah saya dengar daripada beberapa penduduk di
Taman Sri Muda, walaupun saya tidak berminat menghadiri majlis-majlis
seperti ini yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik.
“Ada pandangan rakan-rakan dan penduduk sendiri yang meminta supaya
diadakan secara kecil-kecilan di beberapa tempat kerana masyarakat
India-Hindu tinggal secara berselerak di beberapa tempat. Jadi, pada
tahun 2012, saya adakan sambutan Deepavali di empat kawasan iaitu di
Bukit Kemuning, Taman Sri Muda, Bandar Putra dan Seksyen 28. Sambutan di
Batu 8, Bukit Kemuning dibuat secara besar-besaran; selebihnya secara
kecil-kecilan,” katanya.
Untuk Tahun Baru Cina, sambutan diadakan setahun sekali. Bagi tahun
ini, sambutan akan diadakan pada 21 Februari 2013 (Khamis) di kawasan
letak kereta, Pasar Raya Giant, Kemuning Utama. Para peminat tegar Psy
mungkin sangat kecewa kerana penyanyi popular Korea itu tidak termasuk
dalam senarai tetamu kehormat. Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan
hadir. Untuk rekod, saya tidak bercadang untuk menghadiri majlis
berkenaan.
“Sambutan
ini adalah kali keenam sejak PRU-12. Sebelum ini, sambutan diadakan dua
kali berhampiran tasik di Kota Kemuning, sekali di Batu 8 Bukit
Kemuning, sekali di Taman Sri Muda dan sekali di Putra Heights.
Memandangkan acara khas bagi Tahun Baru Cina hanya diadakan sekali
setahun, maka disambut secara besar-besaran dengan peruntukan yang
tinggi bagi meraikan masyarakat kaum Cina,” Shuhaimi menghuraikan sambil
saya mencatat nota ringkas sebagai panduan.
Berdasarkan maklumat yang saya terima, sambutan khas sempena perayaan
Vaisakhi oleh penganut agama Sikh pernah diadakan sekali di Taman Sri
Muda. Sambutan Tahun Baru Cina juga pernah diadakan di Putra Heights
dengan kerjasama Persatuan Penganut Agama Buddha.
Untuk perayaan-perayaan seperti ponggal dan Maulidur Rasul,
berdasarkan sepanduk-sepanduk yang dipasang di beberapa tempat,
nampaknya program dijalankan secara kecil-kecilan tetapi di banyak
tempat. Bagi tahun ini, misalnya, acara sempena Maulidur Rasul diadakan
di empat tempat dan ponggal pula di tiga tempat.
“Memang benar,” politikus yang menyertai Keadilan (nama asal bagi
PKR) pada 1999 itu mengakui. “Maknanya, kita tidak meminggirkan
mana-mana kaum dan agama dalam meraikan sambutan dan perayaan
masing-masing. Saya sebagai ADUN cuba membantu mengikut kemampuan yang
ada bagi memastikan semua pihak merasakan dan sedar mereka terlibat
sama.”
Bagi menguji sama ada beliau memang benar-benar “turun padang” atau
bergantung kepada para pembantu untuk menyelesaikan masalah penduduk,
saya bertanya apakah keunikan penduduk DUN Sri Muda yang menarik
perhatiannya.
Segera Shuhaimi menceritakan mengenai pengalaman berkunjung ke rumah
penduduk kaum India di Batu 8, Bukit Kemuning sempena Deepavali pada
tahun lalu.
Penduduk jadi tumpuan, bukan diri sendiri
“Salah seorang penduduk yang dikunjungi menceritakan bahawa beliau
sudah lama menyokong parti politik lain tetapi tidak pernah ada Wakil
Rakyat (ADUN) sebelum ini pergi ke rumahnya untuk sama-sama meraikan
hari yang sangat bermakna itu.
“Saya terharu kerana kata-kata itu sebenarnya mewakili suara
sekelompok kecil masyarakat yang menyedari perubahan yang dibawakan oleh
Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR berikutan PRU-12,” katanya dengan
suara ikhlas.
Pengalaman kedua yang muncul dalam fikiran Shuhaimi – dan diceritakan
dengan gembira kepada saya – adalah bilamana beliau masuk ke kawasan
penduduk keturunan Jawa di sekitar Jalan Kebun.
“Hampir 95 peratus penduduk di situ orang Jawa tetapi saya tidak
boleh berbahasa Jawa. Tetapi mereka bercakap dengan saya menggunakan
Bahasa Jawa seolah-olah saya faham. Nasib baik saya ada rakan-rakan yang
mampu menterjemah dan menceritakan balik suara hati penduduk terbabit,”
katanya sambil tersenyum.
Tentu sahaja sebelum bertemu Shuhaimi, saya sudah “melawat kawasan”
dan mengumpulkan sedikit maklumat daripada penduduk setempat. Daripada
maklumat yang saya terima daripada penduduk di sekitar Jalan Kebun,
mereka meluahkan isi hati bahawa mereka kini merasakan “berada sangat
dekat dengan kerajaan negeri”.
Reaksi itu adalah kerana mereka melihat sendiri betapa Wakil Rakyat
PR sangat santai, merendah diri, tidak ada protokal dan sebagainya
apabila bertemu penduduk. Misalnya, mereka duduk bersila bersama-sama
tuan rumah tanpa mengharapkan layanan istimewa. Bagi masyarakat, amalan
“kecil” seperti itu adalah sesuatu yang luar biasa berbanding keadaan
sebelum 2008.
Shuhaimi mengakui bahawa dua contoh itu antara peristiwa yang
membuatkan beliau juga sedar bahawa ada anggota masyarakat yang selama
sekitar 50 tahun sejak negara merdeka (1957) telah merasakan mereka
(penduduk) begitu jauh atau dijauhkan daripada kerajaan (pemerintah).
Bercakap
lebih lanjut mengenai keunikan di DUN Sri Muda, bapa kepada empat anak
itu berkata, keunikan paling ketara adalah dari segi masyarakat pelbagai
kaum dan agama.
“Orang Jawa yang banyak di Jalan Kebun, Kampung Bukit Naga, Kampung
Johan Setia dan Kampung Bukit Lancung ada yang memang Jawa tulen.
Bahasa, masakan dan cara mereka makan secara berkumpulan, misalnya, amat
unik.
“Begitu juga dengan setiap kaum dan etnik lain di DUN Sri Muda. Sejak
2008, kerajaan negeri berjaya merapatkan apa-apa perbezaan yang wujud
sehingga para penduduk sudah menjadi akrab. Pelbagai kelompok ini boleh
berbincang dan bermesyuarat dalam satu kumpulan demi mencapai kata
sepakat. Hal ini mungkin berbeza di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu
di mana setiap parti mewakili satu kaum,” katanya tanpa menyebut nama
parti-parti politik yang dimaksudkan.
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa di bawah pentadbiran PR sejak
2008, tok lebai, tok haji, ketua kampung, pengerusi kuil, pengerusi
surau/masjid, pengerusi tokong dan sebagainya boleh duduk bersama untuk
bermesyuarat.
“Inilah antara keunikan yang saya rasa mungkin ada juga di tempat
lain tetapi memang luar biasa di DUN Sri Muda. Saya katakan begitu
kerana bukan semua daripada mereka mempunyai fahaman politik yang sama
atau sealiran. Namun, mereka semua kini boleh duduk semeja bersama-sama
saya untuk berbincang, berdialog dan bermesyuarat demi kebaikan
bersama,” katanya.
Dengan rekod bersih dan cemerlang seperti ini, tidak mustahil bahawa
penduduk/pengundi di DUN Sri Muda akan memberikan mandat kepada Shuhaimi
pada pilihan raya akan datang untuk terus berkhidmat kepada mereka dan
mewakili mereka.
Petikan FMT