Monday, February 11, 2013

Wan Azizah ajak rakyat kekal semangat kemerdekaan, Hari Malaysia


Wartawan Sinar Harian 10 Februari 2013
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
 
SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengajak setiap anggota negara ini menginsafi perpaduan yang telah terbentuk sejak lebih lima dekad lalu walaupun ada pihak yang cuba menakutkan rakyat dengan mencipta pelbagai cerita fitnah bagi mengekalkan kuasa politik.

Dalam perutusan Tahun Baru Cina yang disambut hari ini, kata beliau, perpaduan yang telah dipupuk boleh dilihat melalui hari-hari perayaan yang diraikan bersama tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
Beliau juga berkata rakyat perlu memelihara dan melipatgandakan usaha untuk  terus mengekalkan persekitaran muhibah.

Bagaimanapun, beliau berkata, semangat kemerdekaan 1957 dan semangat pembentukan Malaysia 1963 terencat kerana ada pihak yang mengabaikan nasib rakyat.

"Jelas terpancar semangat muhibah tulen di antara kita, tanpa mengira ras atau keyakinan, tatkala bersama-sama meraikan perayaan-perayaan tersebut.

"Tiada sengketa, tiada momokan dan tiada kecurigaan antara kita apabila semangat muhibah meresapi sanubari.

"Oleh itu, mari kita menginsafi dengan semangat yang telah lama wujud dan cuba untuk mengekalkannya," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, dalam kemakmuran negara, ada pihak yang cuba menakutkan rakyat dengan mencipta pelbagai cerita fitnah bagi mengekalkan kedudukan.

"...demi mengekalkan kedudukan, mereka sanggup mengolah tafsiran sejarah mengikut acuan mereka sendiri dan bertunjangkan politik perkauman sempit sekali gus cuba mendapat laba politik dengan menakut-nakutkan rakyat.

" Namun percayalah itu sekadar angan-angan kosong mereka sahaja,  rakyat bijak menentukan hala tuju negara dan akan mengenepikan politik perkauman sempit yang berusaha menyemai kebencian," katanya lagi.

No comments: