Loading...

Wednesday, June 30, 2010

ADUN PKR nafi laporan letak jawatan
Jun 30, 10
ADUN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha kesal kerana namanya telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada empat ADUN PKR Selangor yang akan mengosongkan kerusi, kononnya kerana membantah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

"Selain saya, YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), YB Amirudin Shari (Batu Caves), dan YB Shuhaimi Hj Shafiei (Sri Muda) juga turut dikaitkan dengan isu ini.

"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Pandangan ini turut dikongsi tiga rakan YB saya yang turut dikaitkan dengan isu ini.

"Penyebaran berita palsu ini menggambarkan begitu terdesaknya pihak musuh yang cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan dalam kerajaan Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, katanya, beliau meyokong penuh kepimpinan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor.

"Beliau merupakan seorang yang banyak berjasa kepada negeri Selangor dari segi ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Selangor.

"Peralihan Majlis Pimpinan Negeri Selangor merupakan satu langkah yang baik bagi membolehkan Tan Sri Khalid Ibrahim memberi tumpuan yang penuh kepada pentadbiran negeri," tambahnya.

Sehubungan itu, Haniza menegaskan taat setianya dan menambah bahawa beliau tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat didokongnya.

"Saya minta seluruh pendokong perjuangan rakyat supaya tidak mempercayai berita palsu ini," katanya.


Sumber: Malaysiakini

No comments: